COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 31 Julai 2009

Syarat memohon permit teksi individu - Mengemukakan maklumat syarikat/perniagaan yang terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Terlebih dahulu saya menyeru rakan-rakan pemandu agar melapangkan sedikit masa untuk mengemukakan permohonan permit yang sedang dibuka sekarang ini.

Janganlah pulak kita hanya marah dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana tak dapat permit setelah berbelas tahun menyewa teksi syarikat, walhal kita tidak pernahpun mengemukakan permohonan.

Walaubagaimanapun, kepada rakan-rakan saya yang telah memohon berkali-kali, tetapi permohonan tetap ditolak, wajar juga mereka mengamuk..., hehehe.

Kesempatan ini suka saya komen sedikit berkenaan dengan syarat permohonan permit individu iaitu mengemukakan sijil pendaftaran syarikat.

  1. Terdapat sedikit kekeliruan berkenaan dengan syarat permohonan permit teksi individu ini,
  2. Ada pemohon yang di 'reject' permohonan awal-awal lagi (semasa mengemukakan borang) kerana gagal mengemukakan sijil pendaftaran syarikat,
  3. Tetapi ada pula yang telah menerima Surat Tawaran Lesen Kenderaan Perdagangan (STK) walaupun tanpa mengemukakan sijil pendaftaran syarikat (SSM) sebelum ini,
  4. Saya lebih suka dan setuju sekiranya sijil SSM hanya dikemukakan selepas kelulusan STK diperolehi,
  5. Ini bagi mengelakkan tanggapan pemandu bahawa kerajaan menganiaya mereka sekiranya permohonan permit individu mereka ditolak,
  6. Iyelah..., menghantar borang permohonan kena bayar RM10.00 dan nak daftar syarikat dengan SSM kena bayar lagi, belum ambil kira lagi masa yang perlu diluangkan...., akhirnya dimaklumkan permohonan anda TIDAK DILULUSKAN,
  7. Dasar-dasar yang boleh dianggap MENGANIAYA RAKYAT seperti ini mestilah dihapuskan pada era 1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN sekarang ini.

Suka saya maklumkan disini, saya sendiri tidak mengemukakan sijil SSM sebelum ini, tetapi permohonan telah diluluskan dan menerima STK pada majlis penyerahan STK fasa ke-2.

Saya menyuarakan ini kerana menginsafi rakan-rakan pemandu khususnya ahli Koperasi yang merungut dengan masalah ini. Saya yakin mereka mereka akan merungut dengan lebih kuat(berteriak) lagi sekiranya permohonan mereka ditolak kerana mereka telah membazirkan wang mereka kepada SSM = kerajaan.

**Pagi tadi, jam 11.30pg. saya mengunjungi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di The Mall (depan Pan Pacific KL) untuk daftar syarikat bagi permit teksi (STK) yang saya dapat. Pukul 12.00 tgh. submit borang..., Alhamdulillah, pukul 1.00tgh. dah siap..., sempat tunai solat jumaat..., nasib baik tak upah orang buat..., kalau tidak terbang lagi duit.....

Suka juga saya kongsikan di sini, kos untuk daftar syarikat dengan SSM (lesen untuk tempoh 5 tahun) ialah RM160.00. Diskaun dibawah "Sokongan Pakej Ransangan Ekonomi" sebanyak RM15.00. Jumlah yang kena bayar tadi RM145.00.

Hmm..., terbayangkan bagaimana perasaan saya kalau saya belum dapat STK, baru nak mengemukakan permohonan, akhirnya dimaklumkan permohonan saya tidak diluluskan....... Harap kerajaan tak buat macam itu kepada rakan-rakan saya nanti...

Jumaat, 24 Julai 2009

Dialog Dengan PUSPAKOM - Mengenai pemeriksaan meter teksi

Tarikh : 24hb. Julai 2009 - 9.30 pagi
Tempat : Tingkat 6, Wisma DRB Hicom, Shah Alam
Dipengerusikan oleh : Ketua Pegawai Operasi PUSPAKOM

Ucapan Pengerusi;-
  1. Tahniah atas kenaikan kadar meter teksi,
  2. Callibration meter ini hanya boleh mula dilaksanakan oleh pembekal meter mulai 1hb. Ogos 2009,
  3. Pelaksanaan kadar meter baru ini adalah selama 6 bulan, sekiranya pemandu membuat pemeriksaan berkala tetapi masih belum callibrate meter teksinya, maka pemeriksaan meter berdasarkan kadar lama masih boleh dibuat dan diluluskan sehingga tempoh 6 bulan tamat,
  4. Puspakom akan melaksanakan keputusan kerajaan dengan cara memastikan kerja-kerja
    'calibration' yang dibuat pembekal meter menepati keputusan kerajaan dan juga memastikan pemeriksaan dijalankan dengan cara yang terbaik dan segera,
  5. Puspakom hanya mengenakan caj pemeriksaan kepada pemandu sebanyak RM10.00 sahaja berbanding RM50.00 sebelum ini.
  6. Sekiranya ada teksi yang membuat pemeriksaan berkala serentak dengan pemeriksaan meter baru, maka hanya caj pemeriksaan berkala (RM55.00) sahaja dikenakan, pemeriksaan meter dikecualikan dari bayaran.
  7. Untuk kemudahan pemandu dan pengguna, Puspakom akan membuka cawangan lebih masa serta waktu pemeriksaan khas meter teksi ini akan ditentukan bagi mengelak kesesakan. Jadual pemeriksaan yang ditentukan adalah seperti di bawah;-

DIALOG;

En. Shahril - Petekma.

  1. Ucapkan terima kasih dan tahniah atas inisiatif Puspakom,
  2. Meminta supaya proses ini tidak sama sekali membebankan pemandu dengan cara mengelakkan mereka dari terpaksa datang membuat pemeriksaan ke Puspakom beberapa kali,
  3. Pemandu tidak wajar dibebankan dengan caj 'callibration' sebanyak RM70.00. Berapa juta pembekal meter ini akan membuat duit,
  4. Pemandu juga tidak boleh menanggung beban atas kecuaian oleh pembekal meter apabila gagal callibrate meter dengan tepat sehingga digagalkan oleh Puspakom (sebelum ini 25-50% dari pemandu digagalkan akibat kecuaian pembekal,
  5. Bagi mengatasi masalah ini, pembekal meter hendaklah diarahkan hadir ke Puspakom supaya dengan segera boleh membaiki atau callibrate semula meter teksi yang gagal akibat kecuaian mereka,
  • Pihak Puspakom telah bermesyuarat dengan pembekal meter tetapi mereka menolak untuk hadir ke Puspakom.
  • Puspakom tiada kuasa mewajibkan mereka hadir ke Puspakom.
  • Puspakom akan mengusahakan supaya pembekal meter dapat hadir dengan mendapat kerjasama JPJ.

Dato' Aslah - Destination Sdn. Bhd.

  1. Tidak bersetuju agar pembekal meter teksi diwajibkan hadir ke Puspakom kerana akan mengganggu kelancaran pemeriksaan Puspakom. Biarlah hanya kereta dan pemandu sahaja hadir untuk pemeriksaan. Jika gagal, pemandu terpaksalah balik semula ke pembekal meter untuk callibrate lagi sekali, dan
  2. Berpendapat proses callibration tidak boleh dan tidak perlu dibuat dengan segera.

Persatuan Teksi India Selangor

  1. Mencadangkan supaya Puspakom tidak perlu tergesa-gesa membuat pemeriksaan,
  2. Benarkan meter yang telah di callibrate beroperasi (tanpa pengesahan Puspakom) sehingga tempoh pemeriksaan berkala berikutnya (tempoh yang kurang 6 bulan), dan
  3. Ini akan memudahkan pemandu dan JPJ tidak perlu khuatir dengan pemandu kerana mereka tidak pandai dari segi teknikal untuk mengubahsuai meter tersebut. Jika pun berlaku kesilapan, ia pastinya berpunca dari pembekal meter.
  4. Berkenaan dengan pemadam api, kenapa semasa pemeriksaan awalan oleh pembekal boleh lulus (dengan pemadam api saiz kecil), tetapi apabila diserahkan kepada penyewa, pihak Puspakom menggagalkan pula (ada rasuah ke oleh pengusaha teksi).
  • Tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana diluar bidangkuasa Puspakom (melibatkan JPJ dan LPKP).
  • Berkenaan pemadam api, mungkin pengusaha menunjukkan pemadam api yang sebenar semasa pemeriksaan awalan dan memberikan pemadam api kecil semasa diserahkan kepada penyewa.

Persatuan Teksi Pulau Pinang.

  1. Memaklumkan teksi di Pulau Pinang (keseluruhan) tidak terima dengan kenaikan meter ini (tidak cukup),
  2. Puspakom sepatutnya membiayai elaun, tambang dan penginapan persatuan yang hadir kerana kami adalah pelanggan yang menyumbangkan pendapatan kepada Puspakom,
  3. Dato' Seri Nazri berjanji untuk mengadakan perbincangan dahulu dengan persatuan teksi di Pulau Pinang, tetapi tiba-tiba kadar baru ini diumumkan tanpa perbincangan,
  4. Harap Puspakom tidak perlu ghairah untuk membuat pemeriksaan di Puspakom di Pulau Pinang kerana kami menolaknya.

Gabungan Teksi Johor

  1. Maklumkan bahawa harga meter dan caj callibaration di Johor lebih tinggi berbanding di Lembah Kelang,
  2. Harga meter di KL RM750.00 tetapi di Johor RM1,200.00. Pada tahun 2005, pembekal meter mengenakan caj sesuka hati kepada pemandu,
  3. Ada juga meter teksi yang hanya boleh diselenggara di Kuala Lumpur.
  • Puspakom akan membangkitkan isu ini kepada kerajaan dan JPJ.

Hal-hal lain tidak saya coretkan di sini kerana jauh menyimpang dari tajuk dan tujuan dialog.

Semoga coretan ini boleh diambil sebagai panduan oleh rakan-rakan pemandu kelak.

Khamis, 16 Julai 2009

Kadar tambang baru teksi

1. Alhammdulillah dan terima kasih kepada YB. Dato' Noh Omar (Mantan Menteri MECD) yang memulakan inisiatif kajian tambang teksi sebelum ini.

2. Terima kasih juga kepada YB. Datuk Seri Nazri yang meneruskan usaha-usaha kajian tambang bagi menyokong kenaikan tambang ini sehingga diluluskan dan diumumkan sebentar tadi.

3. Pengguna diminta berlapang dada dengan kenaikan ini memandangkan kos operasi pemandu sememangnya tinggi dan sentiasa meningkat.

4. Kerajaan pula tidak mampu menanggung sebarang subsidi bagi membiayai kos operasi yang tinggi ini (pemandu lagilah tidak mampu menanggung subsidi ini).

5. Saya percaya kenaikan ini diluluskan setelah kajian mendalam yang dilaksanakan oleh konsultan yang dilantik.

6. Saya difahamkan antara skop kajian yang dibuat bagi menyokong kenaikan ini termasuklah kos operasi teksi, sara hidup pemandu dan kemampuan (kuasa beli) pengguna.

7. Persatuan pemandu teksi, persatuan pengusaha dan juga Koperasi KPPCB telah dipanggil berbincang beberapa kali bagi membincangkan kenaikan ini.

8. Mungkin sebahagian kita masih tidak puas hati dengan kenaikan ini (masih tidak cukup) dan mungkin juga sebahagian kita tidak puas hati kerana kenaikan ini (membebankan pengguna).

9. Kita perlu terima hakikat, bahawa dalam kehidupan ini, mustahil kita akan dapat apa sahaja yang kita mahu dan mustahil juga kita tidak akan dapat langsung apa yang kita tidak mahu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan kadar tambang baru untuk perkhidmatan teksi dengan tambang permulaan RM2 dinaikkan kepada RM3 dan 10 sen bagi setiap 115 meter atau sebahagian. Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata sekiranya teksi terperangkap dalam kesesakan dan kenderaan tidak bergerak, tambang RM3 dikenakan bagi tiga minit pertama dan setiap 10 sen bagi setiap 21 saat berikutnya.

Sumber : Berita Harian

Selasa, 14 Julai 2009

SYARAT BARU MOHON PERMIT TEKSI

Oleh S Anand Kumar: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam menetapkan syarat baru memohon permit teksi di bawah pertambahan 3,000 permit untuk individu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata antara syarat ditetapkan ialah pemohon berpengalaman lebih 10 tahun memandu teksi selain tidak disenaraihitamkan pihak berkuasa.

Katanya, syarat itu bukan membebankan pemohon, sebaliknya memastikan pemberian permit dilakukan adil serta meningkatkan mutu perkhidmatan teksi.


“Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan meneliti setiap permohonan. Sesiapa saja boleh memohon, tetapi tidak bermakna semua dapat permit.

“Mereka yang membawa teksi lebih 10 tahun dan tiada rekod buruk serta berdisiplin diutamakan kerana pengalaman amat penting dan mereka juga arif dengan segala tempat di ibu kota.

“Kita bercakap mengenai perkhidmatan dan teksi menjadi antara pengangkutan utama rakyat, maka kerajaan mahu pastikan perkhidmatan (teksi) selesa dan tidak mengundang masalah.
“Ada pemohon yang membawa teksi lebih 10 tahun masih tidak mendapat permit. Ada pemandu yang bergantung sepenuhnya kepada pendapatan teksi untuk menyara hidup dan ada yang sudah bersara dan kini membawa teksi.

“Kita (LPKP) meneliti setiap permohonan yang diterima dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas merasmikan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) Siri 2/2009 di Institut Tadbiran Awam Negara, Bukit Kiara, di sini, semalam.

Sabtu lalu, Najib yang menyambut 100 hari sebagai Perdana Menteri mengumumkan 11 hadiah kepada rakyat termasuk pertambahan 3,000 permit teksi untuk individu dalam masa tiga bulan lagi iaitu pertambahan 7,000 permit yang diberikan setakat ini. Mohamed Nazri berkata, beliau akan menemui persatuan dan pemandu teksi bagi mendapatkan reaksi pertambahan permit itu.

“Saya perlu mendapatkan pandangan mereka kerana sebelum ini ada yang membuat aduan permit banyak dikeluarkan dan pemandu teksi sukar dapat penumpang. Saya akan menerangkan mengapa pertambahan permit ini diberikan.

“Saya juga difahamkan, sehingga Oktober lalu, LPKP menerima hampir 9,000 permohonan permit dan LPKP k ini sedang memproses permohonan itu,” katanya. Sementara itu, Mohamed Nazri juga akan membuat pengumuman tambang baru teksi, Khamis ini selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak.

PENGUMUMAN KADAR TAMBANG BARU TEKSI PADA 16 JULAI 2009

1. Diberitakan YB. Datuk Seri Nazri akan mengumumkan kadar tambang teksi baru pada 16hb. Julai 2009 nanti.

2. Detik ini seperti biasanya mendebarkan dan menggembirakan pemandu teksi.

3. Tidak dapat dipastikan lagi kadar ini boleh memberikan pendapatan yang selesa kepada pemandu atau mereka masih perlu bekerja lebih 12 jam sehari sepanjang tahun (tanpa cuti).

4. Apakah dengan kadar tambang baru ini, pemandu berupaya menyimpan wang pendapatan mereka untuk masa kecemasan, pendidikan anak-anak, kesihatan keluarga dan simpanan hari tua?.

5. Atau kesemuanya terpaksa dibelanjakan untuk kos bayaran sewa, pinjaman bank, kerosakan teksi, sara hidup dan lain-lain.

6. Mungkin sebahagian pengguna melalui persatuan-persatuan pengguna dan parti politik berkepentingan akan membantah dengan alasan kenaikan ini membebankan rakyat.

7. Maka berlakulah sekali lagi konflik kepenggunaan antara tuntutan kos operasi pemandu dan kehendak pengguna.

8. Sebagai jalan tengah kepada konflik ini, Kerajaan dicadangkan supaya menanggung subsidi bagi mengurangkan kos operasi pemandu. Sekiranya Kerajaan sanggup menanggung separuh dari kos pembelian kenderaan untuk dijadikan teksi, mungkin pengguna tidak perlu dibebankan dengan kenaikan ini.

9. Apa pun, saya menunggu detik pengumuman ini dengan penuh harapan bahawa ia baik kepada semua pihak.

Ahad, 12 Julai 2009

3000 permit teksi individu akan dikeluarkan dalam masa 3 bulan

1. Pada 11hb. Julai saya berkesempatan menghadiri majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" yang diadakan di KLCC.

2. Kehadiran yang begitu ramai (melebihi sekali ganda dari jemputan) menggambarkan harapan rakyat yang begitu besar dengan pendekatan beliau.

3. Sempena majlis ini, beliau telah mengumumkan "11 hadiah kepada rakyat" dan sebagai pemandu teksi, saya tentunya tertarik dengan hadiah beliau yang ke-4 iaitu mengeluarkan 3000 lagi permit teksi individu dalam masa 3 bulan kepada pemandu teksi.

video

4. Pengumuman ini tentunya menggembirakan sebahagian pemandu teksi dan tentunya mendukacitakan pengusaha teksi kerana pengeluaran lebih banyak permit individu bermakna lebih banyak teksi akan dikembalikan kepada mereka yang mungkin akan tersadai.

5. Disebalik kegembiraan saya dengan pengumuman ini, timbul juga kegusaran ekoran lambakan teksi yang berlaku sekarang ini. Tambahan 3000 teksi lagi dalam masa 3 bulan akan datang tentunya akan lebih menyukarkan.

6. Lainlah sekiranya sebanyak 3000 teksi syarikat yang sedang beroperasi sekarang ini dijual kepada penyewa yang telah mendapat permit individu (3000 permit syarikat yang kenderaannya telah dijual kepada pemandu ini hendaklah dibatalkan bagi mengelak lambakan teksi)

7. Jika ini yang dilakukan, mungkin ia akan menggembirakan pemandu dan mengurangkan dukacita pengusaha kerana mereka dapat mengelak teksi mereka dari tersadai tanpa penyewa.

8. Semasa majlis bersurai, saya diberitahu bahawa Dato' Seri Najib (mungkin) tersilap membaca teks. Teks yang sebenar bermaksud kerajaan telah menerima 7000 permohonan permit teksi individu manakala 3000 telah diluluskan.

9. Saya yakin seluruh rakyat Malaysia tidak sanggup menerima kenyataan bahawa Datuk Seri Najib "tersilap membaca teks" di hari ke 100 beliau sebagai PM.

10. Penuh harapan saya agar YB. Datuk Seri Nazri dapat melaksanakan "hadiah" yang diumumkan YAB PM ini dengan cara yang amat bijaksana.

11. Mungkin cadangan saya di perkara 6 dan 7 boleh dipertimbangkan.

12. Saya merasa khuatir apabila mendengar khabar angin bahawa sebuah 'syarikat istimewa' telah mendapat kelulusan 700 permit teksi baru-baru ini. Semoga maklumat tersebut adalah palsu.

Isnin, 6 Julai 2009

Selamat Pengantin Baru...., Fauzi dan Ros


Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada En. Wan Muhammad Fauzi (Pegawai Operasi KPPCB) yang telahpun selamat melangsungkan pernikahannya dengan Cik Ros Muar binti Md Khalid di Felda Redong 1 pada 6hb. Julai 2009 yang lalu. Semoga kedua mempelai ini mendapat rahmat dan kasih sayang Allah swt., panjang umur, murah rezeki dan kekal bahagia hingga ke anak cucu.

video

video

video

Tahniah juga kepada En. Hasbi dan isteri (ayah dan ibu kepada pengantin lelaki).

(En. Hasbi adalah merupakan anggota awal Koperasi yang telah banyak memberikan nasihat, dorongan dan teguran kepada saya dalam menjalankan tugas sebagai Setiausaha Koperasi. Tanpa dorongan dan kata-kata semangat dari beliau, mungkin saya telah lama 'surrender' dari memikul amanah yang amat berat ini)


Jumaat, 3 Julai 2009

Dialog Ketua Pengarah JPJ Malaysia dengan Persatuan dan Pengusaha Teksi

Sekali lagi saya bersama Ybhg. Pengerusi KPPCB (En. Zakuan bin Harun) dan En. Khairul Aszwan dijemput menghadiri sesi dialog di atas di Dewan Bunga Raya, Aras 5, Blok D4, Kompleks D Putrajaya pada 2hb. Julai yang lalu.

Dialog yang sepatutnya dipengerusikan Dato' Ketua Pengarah JPJ telah dipengerusikan oleh En. Salim Parlan, Pengarah Penguatkuasa JPJ Malaysia. Difahamkan kerana JPJ pada waktu itu menghadapi masalah sistem komputer yang memerlukan Ketua Pengarah untuk menyelesaikannya.

Ramai rakan yang mewakili persatuan pengusaha dan persatuan pemandu yang turut hadir. Antaranya Dato' Aslah (Perpekli), En. Mohd Shahril (Petekma), En. Abd. Jalil dan En. Razak (PPTLK), Tn. Hj. Mokhtar dan lain-lain.

Berikut saya sampaikan serba sedikit catatan saya mengenai mesyuarat tersebut kerana ianya mungkin boleh dijadikan panduan oleh tuan-tuan khususnya pemandu teksi.

UCAPAN PENGERUSI (PENGARAH PENGUATKUASA)

1. Menerangkan peranan JPJ hanya untuk menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan LPKP,

2. JPJ menerima aduan setiap hari dari seluruh dunia (termasuk melalui email oleh pelancong yang telah pulang ke negara asal),

3. Beliau belum pernah lagi menerima pujian dari pengguna terhadap perkhidmatan teksi yang kita berikan,

4. Y.bhg. Dato' Pengerusi LPKP mengangankan supaya suatu hari nanti, penumpang menahan teksi, menaikinya, sampai ke lokasi dan membayar tambang. Ini adalah juga hasrat penguatkuasa JPJ,

5. Dalam operasi selama 2 minggu yang dibuat oleh JPJ, 95% daripada teksi yang ditahan didapati melakukan kesalahan dan kebanyakannya tidak menggunakan meter,

6. Beliau belum pernah mengalami pengalaman yang memuaskan semasa menggunakan perkhidmatan teksi di kawasan kediaman beliau (Seksyen 2 Shah Alam),

7. Beliau menerima laporan pengusaha bahawa perkhidmatan teksi dah bagus, tetapi pengguna masih mengemukakan aduan malah semakin meningkat, dan

8. Pengusaha tidak boleh mengatakan kesalahan pemandu sebagai kesalahan pemandu kerana sebagai tuan punya lesen mesti turut bertanggungjawab mendidik pemandu mematuhi peraturan.

ISU YANG DIBANGKITKAN PENGUSAHA

Isu oleh Dato' Aslah

1. Cadangan supaya nombor siri tangki NGV dan NGV kit dicatatkan dalam geran teksi bagi mengelak berleluasanya masalah kehilangan tangki NGV oleh pengusaha,

2. Menguatkuasakan kesalahan pemandu kepada pemandu sahaja, bukan pengusaha,

Tn. Hj. Mokhtar

1. Mengenai kesalahan meninggalkan teksi, minta JPJ nyatakan di mana tempat yang pemandu boleh meninggalkan teksi (sebab ada yang pergi makan atau rehat pun kena saman).

Tn. Hj. ___ (tak ingat nama dia) dari Inovasi Timur

1. Memohon supaya kesalahan mengambil penumpang di KLIA tidaklah sampai menyita kenderaan kerana menyusahkan pengusaha dan juga pemandu.

2. Pengusaha tidak perlu dipanggil bagi kesalahan kecil pemandu seperti tidak pakai tali pinggang keledar dan lain-lain. Saman sahaja pemandu tersebut.

En. Abd. Jalil Maarof

1. Mohon supaya JPJ buat satu rekod kumpulan daftar pemandu berpusat supaya membolehkan pengusaha membuat saringan setiap kali pemandu memohon untuk menyewa teksi.

En. Mohd Shahril (Petekma)

1. Mempersoalkan kenapa mesyuarat hanya menumpukan kepada isu-isu yang dihadapi oleh pengusaha sedangkan yang membawa teksi adalah pemandu. Kalau masalah mereka seperti kadar tambang rendah, kos operasi tinggi dan kos sewa teksi tinggi yang mereka hadapi sekarang ini tidak diselesaikan, maka selagi itulah masalah perkhidmatan teksi tidak dapat diatasi.

2. Meminta supaya JPJ atau LPKP supaya pemandu diberi peluang membela diri yang lebih luas termasuk dipanggil pengadu. Ini kerana banyak aduan pemandu yang menyatakan mereka dianiayai.

3. Meminta supaya perbincangan-perbincangan selepas ini menumpukan mengenai isu-isu pemandu dengan memanggil lebih ramai "persatuan pemandu" bukan "persatuan pengusaha".

(isu yang saya kemukakan dari Koperasi tidak dibincangkan kerana tidak diterima oleh JPJ- hmm..., mana dia pergi entah)

SOAL JAWAB

Dalam sesi soal jawab, saya senaraikan beberapa yang dibangkitkan beserta jawapan JPJ dan LPKP yang turut hadir.

Soalan 1. Pemandu teksi bandar menghantar dua orang penumpang (suami & isteri) ke KLIA (Isteri nak ke luar negara dan suami cuma nak hantar sahaja), salah atau tidak teksi tersebut membawa si suami tadi balik semula dari KLIA ke rumah beliau?

Jawapan : Boleh, dengan syarat jika ditahan, pemandu kena buktikan bahawa betul keadaan seperti itu dan bukan trick untuk mengulat (saya ragu dengan jawapan ini kerana jika dah ditahan, selalunya pemandu diminta ambil surat saman dan buat rayuan dengan pegawai penyiasat di ibupejabat JPJ. Mengemukakan rayuan juga bukanlah satu kerja yang senang)

Soalan 2. Pemandu teksi bandar menghantar 4 orang penumpang, orang hendak ke KLIA dan dua orang lagi nak ke LCCT. Boleh atau tidak?.

Jawapan : Boleh, dengan syarat jika ditahan pemandu dan penumpang hendaklah membuktikan keadaan seperti tadi dan bukan trick untuk mengulat (saya ragu dengan jawapan ini).

Soalan 3. Pemandu teksi LCCT, boleh atau tidak mengambil penumpang di KLIA.

Jawapan : Tidak boleh.

Soalan 4. Pemandu Airport Limo, boleh atau tidak mengambil penumpang di LCCT?

Jawapan : Boleh dengan syarat menggunakan kupon LCCT (Jawapan diberikan setelah pegawai LPKP yang hadir bertanya (call) dahulu ibupejabat).

Soalan 5. Permit teksi eksekutif, kawasan operasinya adalah Semenanjung Malaysia, kenapa tidak dibenarkan mengambil penumpang dari KLIA/LCCT kerana ianya terletak di dalam Semenanjung Malaysia?

Jawapan : Tidak boleh kerana kawasan KLIA dan LCCT telah diserahkan konsesi kepada Airport Limo dan syarikat-syarikat teksi di LCCT.

Soalan 6. Apakah pemandu teksi LCCT atau Airport Limo boleh mengambil penumpang dari KL ke KLIA/LCCT?

Jawapan : Boleh dengan syarat ke KLIA atau LCCT sahaja, tidak ke destinasi lain. Saya agak keliru namun tidak sempat bertanya kenapa dalam permit dicetak dengan ayat...,

"Teksi Lapangan Terbang hanya dibenarkan untuk dikendalikan dari pangkalan yang ditetapkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dan tidak berulang-alik untuk disewa di atas mana-mana jalan."

RUMUSAN SAYA

1. Dialog ini tidak menghasilkan sebarang keputusan konkrit ke arah menyelesaikan masalah perkhidmatan teksi (mungkin kerana ketidakhadiran Ketua Pengarah JPJ yang sepatutnya mempengerusikan dialog ini),

2. Dialog sepatutnya mengutamakan perbincangan mengenai masalah yang dihadapi pemandu bukan pengusaha, kerana pemandulah yang membawa teksi dan mengambil penumpang,

3. Syarikat pengusaha teksi yang hadir dalam mesyuarat ini lebih berminat untuk menyelesaikan masalah perniagaan mereka,

4.Saya percaya bahawa selagi pemandu tidak boleh 'survive' dengan kadar tambang yang ditetapkan, maka selagi itu pemandu terpaksa "mencari jalan" untuk mendapat pendapatan yang lebih supaya mereka boleh 'survive' untuk hidup,

5. Kerajaan mesti mengambil tindakan untuk menyelesaikan punca pelanggaran undang-undang 0leh pemandu teksi sekarang ini, bukan dengan hanya menyaman mereka, dan

6. Sekiranya hanya tindakan penguatkuasaan dikenakan kepada pemandu, saya khuatir seramai 81,000 pemandu teksi (termasuk pasangan, anak-anak dan adik beradik mereka) di Lembah Kelang merasakan mereka (Rakyat) Tidak Diutamakan seperti slogan YAB Perdana Menteri (1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan). Kesan ini amat tidak baik kepada Kerajaan Barisan Nasional sekiranya masih ingin memerintah selepas PRU ke-13 nanti.

Rabu, 1 Julai 2009

Putrajaya ke arah MSC Malaysia Cybercity.., Peranan Pemandu Teksi...,

Sebentar tadi (1hb. Jun 2009 - 2.30 ptg.) saya bersama En. Khairul Aszwan (Penolong Pengurus Pembangunan dan Operasi KPPCB) telah mewakili Koperasi dalam mesyuarat bersama Pengarah Perancangan Bandar Perbadanan Putrajaya (En. Omairi Hashim). Turut hadir beberapa jabatan kerajaan dan swasta di Putrajaya untuk mendengar taklimat dari MSC Technology Centre Sdn. Bhd. (MSCTC) dan berkongsi pandangan dan memberikan kerjasama kepada PPj untuk mendapat pengiktirafan sebagai MSC Malaysia Cybercity.

Beberapa maklumat perkhidmatan yang dikendalikan Koperasi ini telah saya sampaikan kepada MSCTC seperti perkhidmatan teksi berkupon di Putrajaya Sentral dan Jabatan Imigresen Putrajaya yang telah berjaya mengurangkan aduan pengguna terhadap perkhidmatan teksi, perkhidmatan radio teksi yang beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun, perkhidmatan teksi eksekutif sebagai pilihan kepada pengguna dan lain-lain. Perkhidmatan pengangkutan awam termasuk teksi yang cekap di Putrajaya adalah antara kriteria penting untuk mendapatkan pengiktirafan Putrajaya sebagai MSC Malaysia Cybercity.

Apa yang ingin dikongsikan di sini ialah, saya selaku "pemandu teksi" yang dahulunya beroperasi secara individu sejak Tahun 2002 di Terminal Pengangkutan Barat Putrajaya, sekarang dipanggil Putrajaya Sentral, siapalah saya pada waktu itu untuk diminta memberikan pandangan dan kerjasama oleh pihak atasan...,

Hasil dari usaha mengumpulkan 14 orang AJK Penaja Persatuan Teksi Putrajaya, menubuhkan Persatuan pada Tahun 2004, Menubuhkan Koperasi pada Tahun 2005, mengendalikan sistem teksi berkupon di Putrajaya Sentral dan Jabatan Imigresen Putrajaya, menyediakan perkhidmatan Putrajaya Cyberjaya Radio Taxi kepada penduduk dan pengunjung Putrajaya, menyediakan perkhidmatan teksi bajet dan eksekutif..., maka saya dan rakan-rakan (pemandu teksi) di Putrajaya diminta memberikan kerjasama kepada Perbadanan Putrajaya untuk diiktiraf sebagai MSC Malaysia Cybercity.

Sebagai rakyat (pemandu teksi) biasa, tentulah saya berasa gembira untuk memberikan sumbangan secara langsung kepada negara yang kita kasihi ini.

Ini menginsafkan saya betapa, pemandu teksi juga sekiranya bersatu padu dengan mengembelingkan kebaikan dan keistimewaan dari setiap diri kita, maka kita juga mampu "berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah" dengan orang lain.

Sebaliknya, jika kita berpecah belah dan saling menuding jari terhadap kesilapan dan kesalahan rakan kita yang lain, dikhuatiri kita kan terus ketinggalan dan hanya dipergunakan oleh tokey-tokey teksi....., Wallahu aa'lam...