
Saya bukanlah seorang pemimpin besar, hanya sebagai Setiausaha kepada Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang dianggotai oleh 529 orang ahli dan 27 orang kakitangan sahaja.
Ramai mungkin merasakan seronok dan teruja untuk menjadi ketua, namun sebenarnya kita kelak akan dibebankan dengan tanggungjawab yang banyak dan tidak mampu ditunaikan. Semoga baik dan buruk catatan ini menjadi pedoman dan sempadan kepada kita semua.
- Sebagai ketua sebenarnya saya tidak punya kuasa pun, sebab kuasa itu hanya dipertanggungjawabkan ke atas saya. Seringkali saya dipersoalkan semula atas apa jua masalah yang dihadapi oleh orang bawahan saya.
- Saya terpaksa mengecewakan ramai orang untuk menggembirakan orang lain yang lebih ramai.
- Apabila saya marah, saya tidak pernah dapat melepaskan kemarahan saya mengikut kehendak saya demi menjaga organisasi yang saya pimpin.
- Saya terpaksa menerima cacian dan makian dari sebilangan yang lain demi untuk memuaskan hati sebilangan yang lain pula.
- Saya hampir tidak pernah menerima pujian ikhlas apabila usaha atau keputusan saya memberikan kejayaan.
- Namun begitu saya tidak pernah lepas dari dicerca atas setiap kesilapan yang dilakukan.
- Saya terpaksa membuat keputusan walaupun saya tidak tahu yang manakah keputusan terbaik.
- Saya terpaksa menjadi lebih pandai dari orang bawahan saya lebih-lebih lagi ramai dari mereka punyai kelulusan yang lebih jauh tinggi.
- Saya terpaksa membiarkan diri dimusuhi oleh rakan baik demi memastikan agenda organisasi dijayakan.
- Saya terpaksa bersedih seorang diri apabila sekian ramai yang dahulunya rakan karib tetapi kini memusuhi saya kerana tanggungjawab yang saya tanggung ini.
- Kerana banyaknya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, saya terpaksa cepat mempercayai dan memberikan tanggungjawab kepada orang-orang yang sanggup menolong saya walaupun selalunya, selepas beberapa tempoh, baru saya menyedari mereka tidak ikhlas bahkan menikam saya di belakang.
- Saya sentiasa terpaksa menekan perasaan sendiri apabila berurusan dengan orang bawahan yang bermuka-muka di hadapan saya. Kerana ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua kepada semua orang bawahan/ahli organisasi saya.
- Seringkali terpaksa mengikut gerak hati kerana bersangka baik kepada orang walaupun sebenarnya saya dipergunakan.
- Saya terpaksa mendahulukan orang bawahan sehinggakan gaji staff saya pun melebihi elaun saya.
- Tetapi akhirnya apabila satu sahaja permintaan ditolak, orang yang selama ini sentiasa saya dahulukan telah mendakwa saya tidak adil, jahat dan takut mereka menjadi ancaman kepada saya.
- Kini, apabila nama baik Koperasi dipandang serong, saya terpaksa bertegas mengenakan hukuman walaupun saya sedar bahawa akhirnya sayalah yang akan dilihat sebagai diktator, berhati busuk, pendendam dan tidak bertimbangrasa.
"Ya Allah, sesungguhnya dengan ilmu, akal fikiran dan gerak hati ku yang engkau anugerahkan ini, aku percaya bahawa tindakan tegas yang akan aku ambil nanti adalah yang terbaik. Engkau berikanlah petunjuk-Mu dan balikkanlah hatiku jika keputusan ini sebenarnya adalah salah lagi batil. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu akan tindakan-tindakan lain yang lebih tepat Ya Allah"
"Namun, aku bersyukur Ya Allah, kerana walaupun tidak ramai, sentiasa engkau utuskan kepadaku ahli-ahli biasa yang memberikan kata semangat dan nasihat kepada ku untuk neneruskan perjuangan ini. Segala perit yang diharungi terasa bagai tiada apa-apa apabila melihat kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi"