COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 12 November 2013

PEMANDU LEBIH SUKA SISTEM KUPON ATAU METER...?

Salam 1 Teksi

Erm.., seminggu dua nie macam banyak pulak masa dan sempat menulis beberapa entry kat blog nie..., ;-)

Kali ini nak berkongsi sedikit berkenaan pendapat pemandu teksi sendiri samada mereka benar-benar tidak mahukan sistem kupon atau mereka mahukannya kerana lebih menguntungkan.

Memandangkan terdapat ura-ura pemansuhan sistem ini kepada sistem "kaunter teksi" dimana penumpang hanya membayar kepada pemandu berdasarkan meter. Koperasi Pengangkutan Putrajaya yang mengendalikan sistem kupon di Putrajaya Sentral dan Perhentian Teksi Jabatan Imigresen Putrajaya membuat soal selidik terhadap pemandu dan juga pengguna terhadap sistem manakah yang menjadi pilihan mereka.

Minggu lepas, saya berjaya mendapatkan 100 pemandu yang beroperasi di Putrajaya Sentral dan Jabatan Imigresen Putrajaya bagi mendapatkan maklumbalas dari mereka. Untuk makluman, hanya sekitar 50 orang sahaja dari mereka adalah ahli Koperasi. Soalan dan temuan yang saya peroleh dari 100 orang pemandu ini ialah seperti berikut;

  1. Adakah pemandu berpuashati dengan perkhidmatan sistem kupon yang dikendalikan Koperasi di Putrajaya Sentral?. 91% pemandu menjawab Ya dan 9% menjawab Tidak.
  2. Apakah pemandu bersetuju agar sistem kupon dimansuhkan dan diganti dengan menggunakan meter sepenuhnya?. 89% pemandu Tidak Bersetuju berbanding 11% Bersetuju.
  3. Dengan sistem kupon, pemandu akan memilih laluan mana bagi menghantar penumpang?. 79% menjawab akan memilih laluan paling dekat atau cepat sampai. Bakinya menjawab mengikut laluan yang dikehendaki penumpang.
  4. Jika menggunakan meter, pemandu akan memilih laluan mana bagi menghantar penumpang. 64% menjawab akan menggunakan laluan jauh yang lebih menguntungkan. 36% bakinya menjawab akan menggunakan laluan terdekat.
Dalam masa yang terdekat, Koperasi akan cuba mendapatkan maklumbalas penumpang pula. Rancangan saya untuk mendapatkan maklumbalas mereka dari perkara berikut;-
  1. Adakah anda berpuashati dengan perkhidmatan teksi berkupon yang dikendalikan di Putrajaya Sentral?.
  2. Adakah anda bersetuju terhadap cadangan untuk memansuhkan sistem ini dan anda hanya membayar terus kepada pemandu berdasarkan bacaan meter?.
  3. Dengan sistem kupon sekarang ini, adakah anda mendapati pemandu mengunakan jalan terdekat/tercepat untuk anda sampai ke destinasi?.
  4. Jika menggunakan meter, adakah anda yakin pemandu akan menggunakan jalan terdekat/tercepat?.
InsyaAllah, maklumbalas ini nanti sedikit sebanyak bermanfaat kepada Koperasi dan juga pihak berkenaan dalam membuat sebarang dasar dalam perkhidmatan ini. Maklumbalas ini juga bermanfaat kepada Koperasi untuk bermuhasabah diri bagi memperbaiki kelemahan yang wujud.

Jumaat, 8 November 2013

CADANGAN SEMAKAN SEMULA KADAR TAMBANG TEKSI KEPADA SPAD


Pada 18 Oktober 2013 lalu SPAD mengadakan Mesyuarat Semakan Semula Kadar Tambang Teksi bersama pengusaha-pengusaha teksi Lembah Kelang. Lebih kurang 21 pengusaha teksi yang hadir termasuk Dato' Aslah, Dato' Alias, Tn. Hj. Abdul Jalil, Frankie (Public Cab) dan lain-lain. Tujuan mesyuarat ini adalah bagi mengumpulkan pendapat pengusaha teksi berhubung cadangan SPAD mengkaji semula kadar tambang teksi. Pendekatan SPAD ini amat baik kerana mengambil kira pendapat semua pihak sebelum menentukan kadar kenaikan bagi memastikan kenaikan tambang nanti tidak menjejaskan permintaan pengguna terhadap perkhidmatan teksi.

Sebagai pemandu, kita inginkan kenaikan yang semaksima mungkin. Namun, sekiranya kenaikan terlalu mendadak, pengguna akan beralih kepada perkhidmatan pengangkutan lain ataupun membeli kereta sendiri. Lebih-lebih lagi, kenderaan semakin murah sekarang. Keadaan ini pastinya menjejaskan pendapatan pemandu. Tiada gunanya mendapat kenaikan tambang 40% tetapi permintaan penumpang menurun 50%.

Sebagai penumpang pula, pastinya kita tidak inginkan kenaikan langsung tanpa penambahbaikan kualiti perkhidmatan. Namun perlu difahami bahawa kenaikan harga sesuatu perkhidmatan atau produk bukanlah semuanya bersamaan dengan peningkatan kualiti. Mohon juga pertimbangkan faktor bahawa perkhidmatan teksi bukanlah perkhidmatan yang terlalu kerap digunakan penumpang. Ia selalunya menjadi pilihan terakhir selepas kenderaan sendiri dan perkhidmatan bas. Kenaikan tambang teksi ini tidak menjejaskan pengguna secara mendadak berbanding kenaikan harga petrol yang menyebabkan banyak barangan lain turut naik.

Kadar kenaikan tambang teksi ini saya cadangkan seperti berikut;


Saya mencadangkan surcaj bagi perjalanan jauh melebihi 50KM atas faktor sukarnya mendapat penumpang lain dari kawasan yang jauh kembali ke pusat bandar. Contohnya perjalanan dari KL ke Seremban. Apa lagi apabila pemandu teksi mempunyai banyak persatuan yang "kononnya berkuasa" mengawal sesuatu perhentian teksi. Apabila saya menghantar penumpang ke Seremban, saya tidak boleh "queue" di stand teksi Seremban, begitulah juga bagi teksi dari Seremban ke Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun mungkin pengenaan surcaj ini boleh dibuat secara berperingkat. Contohnya lingkungan 20KM tiada surcaj, 20 - 30 KM dikenakan 10%,  30 - 40 KM 25%, 40 - 50 KM 35% dan 50% bagi jarak jarak melebihi 50KM.

Akhir sekali, saya menyerahkan kepada SPAD untuk mempertimbangkan cadangan ini bersamaan dengan cadangan-cadangan lain yang diterima dari semua pihak. Pastinya SPAD akan turut mengambil kira faktor kos operasi, sara hidup pemandu, kemampuan pengguna dan keadaan ekomoni semasa. 

Semoga kajian semua kadar tambang ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia.

Sabtu, 2 November 2013

SURCAJ TAMBANG RM12 KE KLIA DIMANSUHKAN


Salam 1 Teksi,

Mungkin sebahagian rakan pemandu teksi tidak sedar bahawa surcaj tambang (RM12.00) ke KLIA telah dimansuhkan oleh SPAD melalui Pekeliling Bil. 3 Tahun 2013 bertarikh 15 Mei yang lalu.

Untuk makluman pembaca yang merupakan pengguna teksi, surcaj KLIA ini adalah caj tambahan ke atas bacaan meter teksi sekiranya destinasi penumpang ke KLIA kerana sebelum ini teksi bandar tidak dibenarkan mengambil penumpang dari KLIA ke luar. Sebagai contoh, jika bacaan meter dari Presint 9 Putrajaya ke KLIA ialah RM33.00, ia akan ditambah RM12.00 menjadikannya RM45.00 yang perlu dibayar pengguna.

Pemansuhan ini dibuat SPAD bersekali dengan membenarkan teksi bermeter mengambil penumpang dari KLIA.

Saya tidak pasti respon pemandu lain mengenai isu ini kerana tidak mendengar lagi sebarang rungutan pemandu melalui persatuan masing-masing. Namun secara peribadi saya kurang bersetuju kerana pemansuhan ini sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik.

Mungkin pada tanggapan SPAD, apabila pemandu teksi sudah boleh mengambil penumpang dari KLIA, maka surcaj itu tidak perlu lagi digunakan. Pemandu yang sebelum ini mendapat RM45 sahaja bagi trip dari Presint 9 ke KLIA, akan mendapat RM66 apabila mereka dapat mengambil penumpang lain dari KLIA ke Putrajaya. Lebihan pendapatan untuk pemandu ini hanya boleh dinikmati sekiranya pemandu yang menghantar penumpang ke KLIA terus masuk “queue” dan dalam masa yang singkat (kurang 30 minit) mengambil penumpang berikutnya ke pusat bandar.

Namun secara amalannya, begitu ramai rakan-rakan pemandu yang rajin menunggu sehingga sanggup bergerak kosong (tanpa penumpang) dari pusat bandar ke KLIA. Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap teksi bermeter tidak seimbang dan kesannya pemandu terpaksa menunggu begitu lama.

Apabila keadaan ini berlaku, tidak ekonomik bagi pemandu dari Putrajaya yang menghantar penumpang ke KLIA untuk menunggu antara 1 hingga 3 jam bagi mendapatkan penumpang dari sana.

Akhirnya, pemandu yang sebelum ini mendapat RM45 bagi perjalanan yang sama akan mendapat hanya RM33 walaupun terpaksa menanggung kenaikan kos operasi yang terus meninggi.

Mungkin boleh dipertimbangkan agar hanya pemandu yang menurunkan penumpang di KLIA sahaja boleh masuk "queue" bagi mendapatkan penumpang berikutnya supaya tidak berlaku lebihan teksi pada satu-satu masa.

Mungkin rakan-rakan pemandu lain ada pendapat yang berbeza, harap boleh dikongsikan untuk faedah bersama.