Pada 10 Disember 2014, Ketua Bahagian Operasi Negeri dan Pelesenan Terminal SPAD telah mengeluarkan surat "arahan" kepada Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. (KPPCB) bagi menyelaraskan sistem teksi berkuponnya kepada Kaedah Tambang RM2 + meter. Tempoh diberikan kepada KPPCB hanya sebulan (mesti dilaksanakan mulai 10 Januari 2015).
Sistem teksi berkupon menyumbangkan pendapatan tahunan kira-kira RM500,000.00 kepada KPPCB. Pendapatan ini memberikan peluang pekerjaan kepada 14 orang kakitangan dengan belanja gaji tahunan sebanyak RM280,000.00. RM108,000.00 darinya adalah sebagai kos operasi lain-lain (sewa, utiliti, komputer, cetakan kupon dan lain-lain). Keuntungan dari perkhidmatan ini pula dikembalikan kepada 550 orang pemandu teksi yang menjadi anggota KPPCB dalam bentuk dividen berasaskan saham (RM31,000.00), elaun, insentif, derma kebajikan, perubatan serta kecemerlangan pelajaran anak-anak (RM50,000.00).
Seperti selalu saya sebut, Kaedah Tambang RM2 + Meter ini tidak praktikal. KPPCB pernah melaksanakan kaedah ini di Kolej Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya, namun terpaksa menghentikannya kerana penumpang tidak berpuashati kerana mereka masih perlu membayar tambang yang mahal (tak guna meter).
Pengalaman pengusaha teksi berkupon di TBS (yang telah menyelaraskan kaunter kupon mereka kepada Kaedah RM2 + Meter) juga menunjukkan keadaan yang sama apabila bilangan trip harian mereka berkurangan berkurangan dari 700 kepada hanya 200 (penyusutan 71%). Puncanya ialah kerana pemandu masih enggan menggunakan meter. Pemandu yang telah menghantar penumpang juga tidak berminat untuk kembali menunggu di TBS melainkan sekiranya mereka mendapat trip ke TBS semula. Keadaan ini menyebabkan waktu menunggu penumpang meningkat sekaligus menyebabkan penumpang mencari alternatif pengangkutan yang lain.
Berdasarkan pengalaman ini, nampaknya KPPCB tidak mampu untuk meneruskan perkhidmatannya di KTM Serdang dan Presint 2 Putrajaya (kerana faktor pemandu yang tidak bersedia dan tidak berminat menggunakan meter). KPPCB akan sedaya upaya mempertahankan operasi kaunter teksinya di Putrajaya Sentral. Namun berkemungkinan ditutup juga sekiranya berlaku penyusutan ketara penumpang seperti yang berlaku di TBS.
Nampaknya cabaran besar 2015 ini ialah berkemungkinan KPPCB akan hilang pendapatan sebanyak RM500,000.00 dan terpaksa menghentikan 14 orang kakitangannya selain perlu mengkaji semula faedah-faedah kebajikan kepada anggotanya.
Sebagai Setiausaha yang mengasaskan penubuhan KPPCB sejak tahun 2004 hingga kini, saya terpaksa (dengan sedaya upaya) "membawa" KPPCB mengharungi "cabaran" ini. Beberapa rancangan sedang disiapkan untuk kelulusan ALK Koperasi sebelum dilaksanakan.
Namun risiko yang akan dihadapi oleh KPPCB sekiranya rancangan ini gagal amat besar sekali. KPPCB yang sangat dibangga-banggakan oleh ahli-ahlinya ini berkemungkinan akan gagal dan tersungkur juga.
Semoga KPPCB ini dilindungi oleh Allah SWT dari keadaan sedemikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan