COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 20 Mei 2010

Teksi BERMETER vs Teksi BERKUPON

Salam 1Malaysia…,

Menyentuh mengenai kaedah penetapan tambang teksi, saya merasakan masih terdapat kalangan pengguna tertanya-tanya dan keliru mengenai perkhidmatan teksi berkupon dan teksi bermeter ini yang antara persoalan yang ditimbulkan, “apa perlunya sistem teksi berkupon kalau semua teksi telah disediakan meter teksi di dalamnya sebagai mekanisme pengukuran tambang?.

Pada penilaian saya secara rambang, pengguna yang mempertikai dan mempersoalkan perkhidmatan teksi berkupon hanyalah terdiri dari pengguna yang tidak pernah menerima perkhidmatan teksi yang tidak memuaskan. Mungkin mereka sangat bertuah dan saya percaya hanya segelintir sahaja yang mendapat “tuah” sedemikian.

Selalunya penumpang yang menaiki teksi saya sering meluahkan ketidakpercayaan mereka kepada sistem tambang teksi bermeter seperti berikut;-

  1. Kenapa meter teksi ini laju sangat?,
  2. Agaknya berapa keseluruhan tambang untuk sampai ke rumah nanti, cukup ke duit aku nak bayar?, baik aku runding dahulu tambang dengan pemandu ini,
  3. Pemandu ini guna jalan jauh ke jalan dekat ni?, dan
  4. Meter teksi ini meter roket ke meter betul, laju semacam aja?.

Rakan-rakan termasuk saya yang memandu teksi menggunakan meter juga sering kali rasa cuak dan risau apabila mendapat penumpang yang macam ini. Antara rasa cuak yang dialami ialah;-

  1. Dia ini ingat aku kaki tipu ke?,
  2. Cukup ke dia nak bayar tambang nanti, jauh perjalanan ni, baik aku setuju sahaja kalau dia nak runding harga,
  3. Kalau aku guna laluan ini, jalan jem dan meter akan jadi lagi tinggi, aku akan dituduh menipu, nak guna jalan jauh sikit tapi tak jem, meter tak setinggi jalan jem tadi, tapi aku tetap dituduh cuba menipu penumpang kerana guna jalan jauh,

Persoalan-persoalan ini lah yang menyebabkan berleluasa nya pemandu tidak menggunakan meter sekalipun kadar meter telah dinaikkan. Diakui juga kedegilan pemandu yang tidak waras sengaja “memotong” penumpang turut menyumbang kepada masalah ini.

Persoalan ini jugalah menjadikan sistem teksi berkupon terus relevan dan diperlukan. Walaupun kadarnya lebih mahal dari meter, penumpang dan pemandu lebih gemar menggunakan sistem ini kerana;-

  1. Pengguna sudah tahu kadar dan kemampuan dia untuk membayar sesuatu tambang sehingga sampai ke destinasi dituju,
  2. Pengguna percaya bahawa pemandu tidak “bodoh” untuk menggunakan jalan jauh kerana tambang yang diperolehnya adalah sama,
  3. Meter “roket” atau tidak, tidak lagi menjadi persoalan,
  4. Pemandu juga senang hati apabila sudah tahu dan terjamin hasil yang diperoleh dari khidmat perjalanan yang diberikan,
  5. Pemandu dan penumpang tidak lagi sangsi antara satu sama lain sehingga menimbulkan salah faham, dan
  6. Perkhidmatan menjadi lebih mesra dan cekap hasil dari persefahaman yang dinyatakan di atas.

Menyentuh berkenaan Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang turut menjalankan sistem teksi berkupon di Putrajaya Sentral, Imigresen Putrajaya dan stesen KTM Serdang, tentulah perkhidmatan ini menyumbangkan sebanyak 10% dari kadar tambang yang dikenakan kepada Koperasi. Hasil dari kutipan ini, seramai 15 orang kakitangan yang terdiri dari anak-anak ahli Koperasi mendapat pekerjaan di kaunter-kaunter kupon ini.

Tahun 2009, Koperasi ini mendapat keuntungan sebanyak lebih kurang RM353,000.00 dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan, dari itu dapatlah jua 515 orang ahli Koperasi ini yang juga pemandu teksi memperoleh dividen sebanyak 10% dari saham yang dipegang mereka. Koperasi juga telah mengagihkan sebanyak RM17,661.00 kepada Kumpulan Wang Kebajikan Am Koperasi ini.

Berdasarkan kenyataan di atas, saya berpendapat sistem teksi berkupon masih relevan sehinggalah pemandu dan pengguna keseluruhannya telah meyakini sepenuhnya sistem dan penguatkuasaan teksi bermeter ini. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika sistem ini diuruskan Koperasi kerana hasil darinya diperoleh kembali oleh pemandu teksi yang menjadi anggota demi faedah, kebajikan, kesihatan dan pendidikan mereka dan keluarga.

3 ulasan:

  1. tidak setuju kerana sememangnya teksi berkupon adalah jauh lebih MAHAL, walaupun menyatakan ianya bagus dan mengikut garis panduan perjalanan. ia membebankan PENGGUNA. sememangnya teksi adalah tempat untuk mencari rezeki melalui penumpang. Tetapi ianya akan lebih memudaratkan kedua belah pihak sebenarnya.

    BalasPadam
  2. betul memang tidak setuju..memang teksi berkupon lebih mahal..jarak yang sedikit tetapi tidak berbaloi dengan harga tambang..kena kaji balik..sepatutnya memberi kemudahan..

    BalasPadam
  3. Saya setuju sistem teksi berkupon.masing2 tidak akan menipu dan tertipu.tidak salah keluarkan sedikit wang membeli tiket kupon,anggaplah yang lebih tu sebagai sedekah.lagipun driver teksi bekerja,bukannya meminta2 spt peminta sedekah ditepi jalan.lagi pula penumpang yg sama bukan selalu naik teksi.

    BalasPadam