Menyambung mengenai mesyuarat antara pengusaha teksi berkupon dengan LPKP yang dihadiri saya beberapa minggu lepas, Pengerusi Mesyuarat (Cik Maslina - Bahagian Dasar dan Pembangunan Usahawan LPKP) telah meminta pandangan atau cadangan dari pengusaha untuk menyelesaikan permasalahan teksi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini. Dato’ Aslah dari Destination Transport menyanggupi untuk mengemukakan cadangan tersebut. Saya yakin bahawa pandangan beliau nanti memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pemandu kerana beliau juga pernah menjadi pemandu teksi sebelum menjadi pengusaha. Saya tidaklah menyanggupinya kerana saya bukanlah orang yang terlebih bijak serta punyai masa yang banyak.
Berkenaan permasalahan teksi ini, saya melihat ia berpunca dari atas, maksud saya dari pembuat dasar. Mungkin pandangan ini agak kontras dengan sebahagian orang yang hanya menuding kepada pemandu semata-mata dalam setiap permasalahan yang timbul sehingga seolah-olah dasar pengangkutan teksi kita telah 100% sempurna, pemandu teksi sahaja tidak tahu bersyukur.
Cuba kita lihat dasar pemberian permit kepada syarikat yang menyebabkan syarikat mengambil untung tanpa mempedulikan nasib pemandu. Bagaimana pula dengan dasar warna-warna teksi yang pelbagai sehingga menyebabkan pengguna keliru. Lihat pula dasar jenis teksi dari jenis bajet, premier, eksekutif dan kemungkinan wujudnya jenis-jenis teksi baru di masa akan datang adalah tinggi sesuai dengan tingginya kemungkinan rombakan kabinet nanti.
Dasar pemberian permit teksi kepada individu juga seolah-olah kerajaan tiada hasrat memperbaiki mutu perkhidmatan teksi. Cuba lihat di majlis-majlis pemberian permit teksi individu ini, dengan mudah kita bertemu dengan pemandu yang berpakaian selekeh, berseluar jeans, berambut panjang, dan memakai baju dengan membuka butang di dada. Pemandu yang berpakaian ala taliban seperti di pergunungan Khunduz (Afghanistan) pun tidak kurang juga. Ada juga penerima permit individu ini tidak tahu berbahasa Melayu sedikit pun, malah ramai juga pemandu yang tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris (mungkin kerajaan beranggapan pemandu jenis ini akan hanya membawa penumpang bangsa sendiri sahaja).
Begitu juga dengan dasar monopoli syarikat ALM di KLIA sehingga menyebabkan pemandu ditekan dengan kadar sewa yang tinggi. Bayangkan bagi sebuah Proton Waja, syarikat lain hanya mengenakan kadar sewa antara RM50-55 sehari, tetapi di ALM ini, kadar sewa kenderaan yang sama (dikatakan) mencecah RM130.00 sehari. Pengguna juga terpaksa membayar kos tambang yang tinggi, walhal kalau teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di KLIA, kadar tambang limousin (baca teksi) sekarang boleh diturunkan sehingga 40%. Ini kerana pemandu teksi tersebut telah mendapat penumpang ke KLIA, jadi dengan kos yang sama (tidak lagi balik kosong) mereka boleh membawa penumpang ke KL semula.
Setiap manusia termasuk pemandu memerlukan pembelajaran berterusan. Mereka perlu diajar mengenai bagaimana mengira pendapatan, bagaimana membelanjakan pendapatan, bagaimana memberikan perkhidmatan yang baik (customer servis), bahasa antarabangsa, promosi dan sebagainya. Mereka juga perlu diterapkan dengan kehidupan beragama yang melarang mereka mengambil hasil yang haram. Apakah kita punyai dasar pendidikan pemandu seperti ini.
Saya bukanlah maksudkan latihan pemandu seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu dengan mengenakan kursus wajib setiap tahun dan pemandu perlu membayar ribuan ringgit untuk mendapatkannya sebelum diluluskan pembaharuan lesen memandu teksi. Pemandu tidak perlu lagi diajar memandu, mereka sudah pandai memandu, kita bukan nak jadikan mereka pemandu Formula 1. Yang saya maksudkan ialah kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi menjalankan latihan ini yang boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri.
Salam sahabat,bagi sy sistem pengankutan awam di malaysia ini harus di rombak keseluruhanya.Bermula di peringkat atas yaitu pembuat dasar.Jika ini tidak di pedulikan,sampai bila pun masaalah ini tidak akan habis.
BalasPadamTerima kasih saudara kerana sudi menjenguk blog sy yg x seberapa nie. Sy baru jengok blog saudara.., wah.., meriah sekali..., :)
BalasPadamSaya sudah lama mengikut blog ini sejak di beritahu oleh blog Pemandu teksi
BalasPadam