COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Ahad, 7 Oktober 2012

KLIA 2 : Antara Harapan dan Angan-angan Pemandu


Salam 1 Teksi.
  1. Sekitar Februari 2012, saya dan beberapa rakan mewakili Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad (KPPCB) telah mengusulkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengumpulkan koperasi-koperasi teksi di Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi membincangkan cadangan mewujudkan gabungan koperasi yang lebih kuat bagi menaungi komuniti pemandu. Oleh itu, satu program yang dinamakan "Taklimat Penubuhan Gabungan Koperasi Pengangkutan Zon Tengah" telah dianjurkan SKM di Hotel Putra Nilai pada 22 dan 23 Feb. 2012.
  2. Hasil dari program tersebut, wakil-wakil koperasi yang hadir telah bersetuju menubuhkan sebuah koperasi menengah yang dinamakan "Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad" yang kemudiannya telah diluluskan pendaftarannya oleh SKM pada 21 Mei 2012.
  3. Fokus utama penubuhan "Gabungan Koperasi" ini ialah untuk menaungi komuniti pemandu teksi yang selama ini hanya menjadi kuli, penyewa ataupun pekerja kepada syarikat-syarikat teksi. Melalui Gabungan, dicadangkan supaya komuniti pemandu sendiri mengambil alih beberapa perkhidmatan pengangkutan khususnya pengendalian kaunter kupon (teksi dan limousin) di KLIA 2 yang dijangka beroperasi pertengahan tahun depan.
  4. Pengendali kaunter kupon di LCCT sekarang ini menjual lebih kurang 2000 kupon/trip yang bernilai lebih kurang RM180,000.00 sehari. Bagi tempoh setahun, diunjurkan mereka menjual kupon bernilai RM64.8 juta yang bermakna mereka memperoleh pendapatan sekitar RM6.48 juta. Ditolak dengan kos operasi, sekurang-kurangnya 3 orang individu pemilik syarikat ini membahagi-bahagikan di kalangan mereka seorang RM1 juta setahun. Dalam masa yang sama, nasib pemandu masih di takuk yang lama. Perkhidmatan yang diberikan pula tidaklah bagitu baik malah seringkali menerima kutukan di media internet.
  5. Melalui Gabungan, kami merancang supaya sekurang-kurangnya RM1 juta dari keuntungan bersih ini dikembalikan semula kepada pemandu dalam bentuk kemudahan perubatan, insurans, khairat kematian, dermasiswa pelajaran anak-anak, kursus dan latihan.
  6. Disebalik ikhtiar ini, seperti biasa, komuniti kita (pemandu teksi) ini amat sukar bersatu. Sebuah koperasi kecil yang mewakili sebahagian pemandu di LCCT sekarang ini tidak bersetuju dengan ikhtiar yang kami buat kerana merasakan mereka lebih layak dan berhak terhadap KLIA 2. Ada juga yang mahu supaya KLIA2 tidak mengunakan sistem kupon. 
  7. Dalam masa yang sama, saya mendengar tak kurang 20 buah syarikat telah melobi untuk projek kaunter kupon KLIA2, sebahagian mereka telah menubuhkan konsortium bagi menguatkan kertas kerja permohonan mereka.
  8. Sungguhpun kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada komuniti pemandu sendiri (melalui gabungan) untuk mengendalikan sistem kupon di KLIA2 ini, namun dek kerana perpecahan kita, harapan ini agak sukar dicapai.
  9. Jika cadangan Gabungan Koperasi ini tidak berjaya, saya secara peribadi tidaklah merasa rugi sangat kerana Gabungan Koperasi ini bukanlah milik saya secara individu. Namun, sebagai seorang pemandu teksi, saya merasa amat kecewa jika  2000 orang pemandu akan kembali bekerja sebagai "kuli" di KLIA2 walaupun sebenarnya mereka turut berpeluang menjadi tokey secara bersama.
**Khabar (angin) mutakhir yang saya terima, anak syarikat kepada pengendali perkhidmatan teksi dan limousine di terminal utama KLIA telah memenangi perkhidmatan teksi berkupon di KLIA2. 

Bagi yang pernah bekerja sebagai pemandu limousine di KLIA pasti faham bagaimana syarikat mengerah pemandu siang dan malam untuk membesarkan perut mereka...

1 ulasan:

  1. ABIH TU RAYA KE...KENDURI KENDARA SEDARA MARA ...AMACAM? KALAU TAK CUTI...GILA KE APE...

    BalasPadam