COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 27 Januari 2015

Masalah Ketidakcukupan Teksi Pada Waktu Puncak & Perkongsian Lawatan Ke Blue Bird

Assalamualaikum...,
Pada 23 Januari 2015, saya bersama wakil-wakil dari Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Bhd. (GKPMB) telah melawat Blue Bird Jakarta bagi tujuan untuk membuka minda ALK koperasi-koperasi dibawah GKPMB. Pada kesempatan ini, saya kongsikan sedikit pendapat saya setelah melihat bagaimana Blue Bird menguruskan perkhidmatan teksi mereka. 

Selama ini kita mengalami masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak dan lebihan teksi pada waktu bukan puncak. Masalah ini menyebabkan pengguna marah pada waktu puncak kerana teksi tidak "cukup" dan pemandu pula marah pada waktu bukan puncak kerana terlalu banyak teksi di atas jalan raya.
Mungkin catatan ini dapat memberikan sedikit pendedahan kepada rakan-rakan industri teksi. 
Pendahuluan
Istilah teksi merujuk kepada kenderaan yang mana tujuannya diwujudkannya adalah untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan kepada pengguna. Berbeza dengan perkhidmatan pengangkutan lain, teksi memberikan perkhidmatan yang ekslusif kepada pengguna yang mendapatkan perkhidmatannya. Maka sepatutnya, sepanjang 24 jam kewujudan kenderaan teksi ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada penumpang.
Di Malaysia, saya menganggarkan lebih separuh dari kitar hayat kenderaan teksi disalahgunakan. Antara salahguna yang saya maksudkan ialah;-
  1. Dijadikan sebagai kenderaan persendirian dan hanya parking selama 9 jam sehari oleh pemandu teksi sambilan yang bekerja kerajaan mahupun swasta.
  2. Dijadikan sebagai kenderaan keluarga oleh pemandu samada untuk ke pasar, hantar isteri ke tempat kerja, anak ke sekolah, bercuti dan balik kampong.
  3. Hanya disimpan di rumah apabila pemandu tidak bekerja atas alasan kalau bagi orang lain bawak, teksi lebih cepat rosak.

Secara keseluruhannya, dianggarkan bahawa bagi setiap teksi, hanya 40% dari masa kewujudkannya digunakan untuk mengangkut penumpang. Selebihnya disia-siakan bagi tujuan di atas.
Saya berpendapat inilah puncanya kenapa kita menghadapi masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak dan lambakan teksi pada waktu biasa.
Punca Masalah
Antara punca yang menyumbang kepada penyalahgunaan teksi ini ialah;-
  1. Skim sewa atau sewa beli.
  2. Permit individu

Skim sewa atau sewa beli akan menyebabkan pemandu tidak memanfaatkan sepenuhnya kenderaan. Secara amalannya, pemandu akan bekerja bagi mencapai sesuatu target kutipan bagi membiayai kos sewaan dan gaji pemandu, kemudiaannya kenderaan disimpan.
Permit individu pula akan menyebabkan pemandu yang dianugerahkan permit untuk kerja lebih “santai” kerana kos operasi harian mereka lebih rendah berbanding teksi sewa. Keadaan ini menyebabkan teksi permit individu lebih tidak produktif dalam memberikan perkhidmatan.
Penyelesaian
Bagi mengatasi masalah ini, transformasi perkhidmatan teksi yang diolah perlu mengambilkira isu “produktiviti” setiap lesen kenderaan teksi. Transformasi ini amat rumit serta memerlukan keberanian membuat keputusan oleh pihak berkuasa termasuk tidak mempedulikan tekanan politik. Dalam konteks Malaysia, ianya kelihatan amat sukar namun bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan.
Transformasi yang paling berkesan untuk memastikan produktiviti setiap lesen teksi ialah dengan cara menghapuskan skim sewa atau sewa beli.
Penghapusan skim ini akan menyebabkan syarikat pengusaha teksi marah kerana mereka telah selesa dengan skim sewa yang mana mereka tidak perlu mengurus, mengawal dan menyenggara setiap aset kenderaan teksi dan pemandu mereka. Syarikat hanya perlu memantau bayaran sewa harian pemandu sahaja.
Penghapusan permit individu yang tidak produktif pula akan menyebabkan tentangan yang tidak kurang sengit dari pemandu dan persatuan teksi. Namun, selain dengan cara menghapuskan permit individu, pihak SPAD mungkin boleh memastikan hanya individu yang benar-benar layak mendapat permit. Sistem kawalan yang ketat perlu dibuat bagi memastikan setiap teksi individu ini bekerja pada tahap produkiviti yang bersesuaian.
Perkongsian Cara Blue Bird Menguruskan Perkhidmatan
Di akhir catatan ini, suka saya kongsikan lawatan saya dan rakan-rakan dari Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad ke Blue Bird Jakarta pada 23 Januari 2015.
Antara ringkasannya adalah seperti berikut;-
Aspek Perkhidmatan.
  1. Pemandu hanya bekerja dan dibayar gaji/komisen dari hasil pendapatan tambang.
  2. Kos penyenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh Blue Bird kecuali bagi kerosakan akibat kemalangan atau kerosakan yang berpunca dari kecuaian pemandu.
  3. Setiap aset kenderaan dipastikan bekerja sepanjang masa yang boleh. Bagi tujuan ini, setiap tiga orang pemandu akan memandu 2 unit kenderaan berdasarkan jadual kerja yang disediakan. Waktu rehat kenderaan hanya sewaktu disenggara sahaja.
  4. Bengkel kenderaan yang diuruskan sendiri oleh Blue Bird akan memastikan supaya setiap kenderaan yang memerlukan penyenggaraan dibuat dengan secepat mungkin.
  5. Menyediakan talian hotline serta aplikasi tempahan dan agihan permintaan teksi menggunakan smartphone.
  6. Promosi dan pembinaan jenama serta imej secara berterusan.

Aspek Kebajikan Pemandu
  1. Kemudahan asrama percuma.
  2. Kemudahan pinjaman kenderaan peribadi dan juga perumahan.
  3. Kursus dan latihan yang berterusan.
  4. Belanja perubatan.
  5. Insentif kepada pemandu yang produktif dan berkualiti.
  6. Kebajikan dan dermasiswa juga dikembangkan kepada keluarga pemandu.

Aspek Disiplin dan Penguatkuasaan.
  1. Unit khas bagi mengawal selia aduan pengguna.
  2. Perkhidmatan kaunseling bagi membantu pemandu berjaya dalam bidang ini.
  3. Hukuman yang tegas bagi kesalahan besar atau yang berulang.

Sistem
  1. GPS yang boleh mengesan setiap pergerakan unit teksi.
  2. Sistem untuk mengesan samada meter teksi sedang digunakan atau tidak.
  3. Sistem untuk mengesan kadar bacaan meter serta jumlah wang yang perlu diserahkan oleh pemandu sebaik habis waktu bekerja.
  4. Sistem yang melaporkan prestasi kutipan tambang pemandu setiap hari.

Pencapaian Blue Bird
  1. Semua pemandu Blue Bird yang saya jumpa, semuanya sangat berpuas hati dengan majikan mereka.
  2. Sebahagian mereka telah bekerja selama 30 tahun dengan Blue Bird (Blue Bird beroperasi mulai tahun 1972).
  3. Perkhidmatan teksi Blue Bird mendapat pujian dari seluruh dunia serta menjadi salah satu ikon perkhidmatan teksi yang berkualiti di dunia.


Pencapaian Blue Bird dalam mengatasi masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak sukar diukur kerana banyaknya perkhidmatan pengangkutan alternatif seperti “ojek” (motosikal), "bajai" (tut tut), “angkut”, bas dan teksi.

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum....boleh sy tahu macam mana cara untuk memulakan syarikat perkhidmatan teksi? Macam mana pula dgn permohonan permit teksi?

    BalasPadam
  2. Waalaikumussalam

    Kene rujuk dengan SPAD..., saya difahamkan SPAD masih membekukan permit teksi syarikat.....

    BalasPadam