COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Rabu, 2 Februari 2011

Taklimat & Dialog Bersama Pemandu Teksi LimKokWing



Berhubung pelaksanaan sistem kaunter teksi di Limkokwing University of Creative Technology atau singkatannya LUCT, saya berasa gusar kalau-kalau sistem yang bakal diwujudkan ini mendapat tentangan dari persatuan atau individu pemandu teksi. Bantahan pemandu seperti yang dihadapi pengendali sistem kaunter teksi di KLCC perlu dielakkan.

Walaupun sistem ini mungkin lebih baik daripada tiada langsung, namun tidak semua pemandu memahami apa yang bakal dilaksanakan kelak. Komuniti pemandu teksi tidak mahukan pihak lain menindas atau mengambil kesempatan atas mereka. Inilah perkara yang mungkin dirasakan pemandu-pemandu teksi di KLCC sehingga mereka mengadakan protes. Kita juga boleh lihat bagaimana pemandu teksi menentang sesuatu kerana mereka tidak diberikan kefahaman akan kewajaran sesuatu arahan yang dikeluarkan (contohnya pemasangan sticker dan lain-lain).

Berbalik mengenai pemandu teksi di LUCT ini, saya telah memanggil pengerusi dan setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Multimedia Universiti, Persatuan Pemandu Teksi Desaria Pulau Meranti dan Persatuan Pemandu Teksi Neo Cyberjaya ke satu mesyuarat yang diadakan pada 22hb. Januari 2011 yang lalu di Wisma KPPCB.

Hasil dari mesyuarat di atas, satu program yang dinamakan Majlis Taklimat dan Dialog Pelaksanaan Sistem Kaunter Teksi telah diadakan pada 29/1/2011 di Dewan Serbaguna LUCT. Seramai 120 orang pemandu teksi dari pelbagai bangsa telah hadir ke majlis tersebut. Turut hadir ialah pengurusan kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar LUCT.

Kandungan taklimat yang disampaikan pada majlis tersebut adalah mengenai;-

  1. Apa itu sistem kaunter teksi?
  2. Kenapa sistem kaunter teksi diperlukan di LUCT?
  3. Statistik aduan disiplin dan jenayah oleh pemandu terhadap pelajar.
  4. Kelulusan sistem kaunter teksi dari LPKP.
  5. Pentingnya komuniti pemandu teksi berubah agar kerjaya ini lebih dihormati sekali gus lebih ramai pengguna akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi,
  6. “Enam Perkara” pemandu mesti buat di kaunter teksi LUCT.
  7. “Enam Perkara” pemandu mesti elakkan.
  8. Peraturan queue.
  9. Jenis-jenis kesalahan dan bagaimana tindakan diambil terhadap sesuatu aduan yang diterima.

Selepas taklimat tersebut, peluang seluas-luasnya telah diberikan kepada pemandu untuk bertanyakan sebarang soalan. Soalan yang diterima adalah berkisar mengenai peraturan menggunakan meter, booking dari LUCT, peraturan queue, peraturan tambang, penumpang yang tidak bayar tambang, penumpang yang berkelakuan tidak senonoh dan lain-lain.

Soalan yang berkaitan dengan peraturan teksi dijelaskan oleh saya manakala mengenai aduan terhadap pelajar, En. Abdul Rahim (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) menjelaskan bagi pihak LUCT.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik tanpa menerima satu tentangan pun dari pemandu yang hadir. Pemandu juga nampaknya bersetuju untuk menggunakan meter dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Harapnya sistem kaunter teksi di LUCT ini berjalan dengan baik dan lancar.

(Sepatutnya sistem ini akan beroperasi mulai 7hb. Februari 2011, namun mungkin sedikit lewat kerana pihak LUCT sendiri belum menyiapkan beberapa gerak kerja yang dipersetujui)

1 ulasan: