COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 19 Julai 2011

RUKUN BEKERJASAMA DALAM ORGANISASI

Dari kecil kita diajar tentang pentingnya bekerjasama, bersatu padu, bergotong royong, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul dan lain-lain lagi, bahkan sekarang ini cerita kartun “Wonder Pets” pun menanamkan maksud yang sama kepada anak-anak kita. Sekali pandang, mudah sahaja kerjasama tu dan semua orang dah buat. Benarkah begitu?

Sekadar contoh, Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. ini punyai 550 orang ahli, mesyuarat agung tahunan memilih 12 orang jawatankuasa untuk melaksanakan agenda dan dasar yang ditentukan mereka. Seperti maklum, 12 orang AJK ini pula, bukanlah satu kepala, mustahil kita boleh dapatkan sekumpulan manusia yang semuanya satu kepala sahaja dalam semua hal, sedangkan lidah lagi tergigit, bahkan ada juga antara yang dipilih itu sebenarnya sedang berkelahi antara satu sama lain. Kitaran yang hampir sama ini berlaku di dalam semua organisasi yang berasaskan demokrasi.

Agak-agaknya macam manalah mereka ini hendak bekerjasama memajukan organisasi?

Kerjasama itu sangat luas batasan nya dan juga kompleks. Naiflah kalau kita berpendapat bahawa kerjasama itu hanya di kalangan orang yang sekepala dengan kita sahaja.

Kitaran kerjasama ini berlaku dengan bentuk dan tujuan seperti berikut;

  1. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat dan matlamat yang sama;
  2. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat berbeza tetapi matlamat yang sama; dan
  3. Kerjasama dengan musuh dalam hal tertentu demi faedah bersama.

Di antara jenis kerjasama ini, saya berpendapat kerjasama bentuk ke-2 lebih complicated dan banyak dihadapi dalam organisasi sama ada politik, persatuan mahupun koperasi. Usaha jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain turut berlaku dalam maksud kerjasama konsep ini, ia juga dipanggil krisis dalaman.

Bagaimana mengawal situasi ini supaya organisasi kita tidak terjejas. Seorang pemimpin sebuah parti politik mengistilahkan krisis dalaman mereka dengan “umpama ribut dalam cawan”, maknanya hanya air yang berkocak, tetapi cawan tetap utuh.

Mengatasi cabaran kerjasama ini, ahli-ahli jawatankuasa perlulah memahami rukun bekerjasama serta berpegang teguh dengannya. Jika tidak, maka berlakulah perpecahan ketara sehingga melemahkan organisasi yang diperjuangkan tersebut.

Antara rukun kerjasama yang wajib difahami dan diamalkan oleh pimpinan (AJK) sesebuah organisasi adalah;

  1. Pastikan apa jua yang dibuat adalah dengan niat untuk kejayaan organisasi.
  2. Sentiasa berpegang teguh kepada asas perjuangan,
  3. Kebebasan memberi dan sedia menerima pendapat/idea,
  4. Bersedia menerima dan memberi kritikan,
  5. Menghormati antara satu sama lain, dan
  6. Akur kepada kehendak majoriti.

Tanpa kesemua 6 rukun di atas, maka pincanglah organisasi kita.

** Sekadar perkongsian pendapat dari pengalaman peribadi. Komen atau pendapat dari rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman amatlah dialu-alukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan