COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 29 Januari 2010

Kempen "Pemandu Berbudi"





  1. Petang kelmarin (28/01/2010) saya terdengar bual bicara Radio Bernama 24 dengan Dato' Aslah (Presiden PERPEKLI), yang memberikan penilaian 8 dari markah penuh (terbaik) 10 kepada mutu perkhidmatan teksi di Malaysia sekarang ini.

  2. En. Shahril (Timbalan Presiden PETEKMA) pula dalam rancangan yang sama mempertikaikan fakta angka yang dikemukakan LPKP yang katanya "hanya sedikit sahaja" pemandu yang terlibat dengan sikap negatif.

  3. Walaupun pahit untuk diakui, saya terpaksa bersetuju dengan fakta, pendapat dan teguran yang dikemukakan YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz terhadap mutu perkhidmatan teksi, yang mana pada pendapat pelancong asing sebagai antara yang terburuk berbanding kelemahan-kelemahan lain yang wujud.

  4. Markah 8 yang diberikan Dato' Aslah pada saya adalah jauh dari realiti. Selaku orang yang masih berkerjaya sebagai pemandu teksi, saya memberikan markah 3 sahaja.

  5. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi ini, LPKP mengambil tindakan 'ofensif' dengan mengadakan operasi besar-besaran (setakat terdaya kerana bilangan penguatkuasa yang tidak mencukupi). Kempen kesedaran kepada pengguna untuk mendapatkan hak mereka serta menggunakan kuasa pengguna untuk membuat aduan telah dilancarkan.

  6. Akhbar Berita harian (ruangan Sentral) baru-baru ini mendedahkan keengganan pemandu teksi di Alamanda Putrajaya untuk menggunakan meter.

  7. Pengarah LPKP dalam kenyataan kepada Berita Harian berhubung isu yang sama memaklumkan akan membuat operasi penguatkuasaan. Permohonan KPPCB untuk laksanakan sistem kupon tidak diluluskan kerana tambang kupon adalah lebih mahal dari kadar meter. Rakan-rakan teksi memaklumkan adanya operasi bersepadu LPKP, JPJ dan PDRM di lokasi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

  8. Saya menyokong sepenuhnya operasi ini malah kalau boleh diadakan dengan lebih kerap. Ini kerana saya tidak mahu melihat Putrajaya dan Cyberjaya sebagai pusat pentadbiran negara dan MSC dicemari sikap-sikap negatif rakan-rakan saya yang lain.

  9. Sebagai tanda sokongan kepada operasi dan penguatkuasaan ini, KPPCB telah meluluskan cadangan untuk mengadakan kempen "Pemandu Berbudi" kepada semua pemandu teksi yang beroperasi di Putrajaya dan Cyberjaya ini.

  10. Istilah "berbudi" digunakan bagi mengajak pemandu agar menanamkan sikap "budi pekerti diri" yang baik, ramah, mesra dan mematuhi undang-undang. Dalam masa yang sama pemandu juga diseru untuk "berbudi" kepada kerajaan sebagai tanda terima kasih kerana diberikan lesen atau permit untuk berkerjaya sebagai pemandu teksi.

  11. Budi pada kerajaan ini boleh disumbangkan oleh pemandu dengan cara mematuhi undang-undang, berkerjasama dengan PDRM untuk mencegah jenayah (program Rakan Cop), menyertai pasukan bulan sabit merah untuk membantu dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa kemalangan dan lain-lain.

  12. KPPCB berhasrat untuk menjemput YB. Dato Seri Nazri Tan Sri Aziz sendiri majlis pelancaran kempen "Pemandu Berbudi" ini.

Ahad, 17 Januari 2010

KEMPEN KESEDARAN HAK-HAK PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM TEKSI


LIPUTAN BERITA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN

  1. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Abdul Aziz di Hentian Puduraya mulai tepat jam 10.00 pagi tadi (18/01/2010).

  2. Turut hadir YB Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri KPDNKK dan Datuk Halimah Saddique, Pengerusi LPKP.

  3. Objektif kempen ini ialah untuk meningkatkan pengetahuan pengguna berhubung senarai kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi, memaklumkan kepada pengguna saluran untuk mereka mengadu dan mewujudkan rasa saling menghormati antara pengguna dan pemandu.

  4. Ucapan pelancaran oleh YB Dato' Seri Nazri menyentuh mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna, perana yang perlu dimainkan pengusaha bagi memenuhi kehendak pengguna dan disamping itu peranan agensi penguatkuasaan.

  5. Kalaulah semua pengguna bersepakat tidak menaiki teksi yang tidak menggunakan meter, nescaya tiadalah pemandu teksi yang boleh survive hidupnya jika tidak menggunakan meter. Begitu juga jika pengguna tidak menaiki teksi yang kotor, nescaya semua teksi akan menjadi bersih.

  6. Ucapan aluan oleh YB. Datuk Halimah pula menjelaskan bahawa tujuan kempen ini bukanlah untuk melepaskan tugas dan tanggungjawab penguatkuasaan LPKP kepada pengguna, sebaliknya adalah untuk mendapatkan kerjasama mereka agar kualiti perkhidmatan teksi dapat ditingkatkan lagi.


KOMEN SAYA

  1. Kempen ini sangat baik bagi meningkatkan kesedaran pengguna akan hak-hak mereka dari perkhidmatan teksi yang mereka gunakan.

  2. Namun, perlu diakui bahawa teramat sukar untuk menjadikan kesemua pengguna bersatu bagi menangani masalah ini. Sebagai contoh, seorang penumpang yang terdesak untuk mendapat teksi di awal-awal pagi ke KLIA, mereka hanya boleh mencuba untuk tawar menawar dengan pemandu. Sebaliknya jika pengguna berkeras meminta pemandu menggunakan meter dan pemandu tetap tidak bersetuju, maka apa alternatif lain yang pengguna ini boleh usahakan pada waktu ini.

  3. Pada pemerhatian saya, ramai pemandu bersikap opurtunist. Pemandu ini tentunya akan mengambil kesempatan atas kesuntukan masa pengguna untuk ke KLIA dengan mengenakan tambang yang lebih menguntungkan.

  4. Pemandu opurtunist ini juga bijak memilih pengguna yang tidak tahu hak mereka seperti pelancong asing, pekerja asing dan orang tempatan yang terdesak.

  5. Untuk mendidik 26 juta rakyat Malaysia dan berjuta-juta lagi pelancong asing terhadap hak-hak mereka tentulah teramat susah berbanding mendidik pemandu yang hanya seramai 30,000 orang sahaja.

  6. Sewajarnya kempen ini dituruti juga dengan kempen lain yang bertujuan mendidik pemandu agar mematuhi peraturan. Tajuk kemen ini mungkin boleh dinamakan sebagai "KEMPEN KESEDARAN PEMANDU UNTUK MEMBERIKAN PERKHIDMATAN TEKSI YANG BERKUALITI KEPADA PENGGUNA".

  7. Selain mendidik pemandu dalam sesi kempen-kempen yang dianjurkan, penguatkuasaan yang tegas turut perlu dijalankan secara berterusan kerana penguatkuasaan yang dijalankan sekarang adalah telalu lemah sehingga tidak ramai pemandu yang takut untuk tidak menggunakan meter.