COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 28 Disember 2010

Kenapa Permasalahan Teksi Berlarutan

Menyambung mengenai mesyuarat antara pengusaha teksi berkupon dengan LPKP yang dihadiri saya beberapa minggu lepas, Pengerusi Mesyuarat (Cik Maslina - Bahagian Dasar dan Pembangunan Usahawan LPKP) telah meminta pandangan atau cadangan dari pengusaha untuk menyelesaikan permasalahan teksi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini. Dato’ Aslah dari Destination Transport menyanggupi untuk mengemukakan cadangan tersebut. Saya yakin bahawa pandangan beliau nanti memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pemandu kerana beliau juga pernah menjadi pemandu teksi sebelum menjadi pengusaha. Saya tidaklah menyanggupinya kerana saya bukanlah orang yang terlebih bijak serta punyai masa yang banyak.

Berkenaan permasalahan teksi ini, saya melihat ia berpunca dari atas, maksud saya dari pembuat dasar. Mungkin pandangan ini agak kontras dengan sebahagian orang yang hanya menuding kepada pemandu semata-mata dalam setiap permasalahan yang timbul sehingga seolah-olah dasar pengangkutan teksi kita telah 100% sempurna, pemandu teksi sahaja tidak tahu bersyukur.

Cuba kita lihat dasar pemberian permit kepada syarikat yang menyebabkan syarikat mengambil untung tanpa mempedulikan nasib pemandu. Bagaimana pula dengan dasar warna-warna teksi yang pelbagai sehingga menyebabkan pengguna keliru. Lihat pula dasar jenis teksi dari jenis bajet, premier, eksekutif dan kemungkinan wujudnya jenis-jenis teksi baru di masa akan datang adalah tinggi sesuai dengan tingginya kemungkinan rombakan kabinet nanti.

Dasar pemberian permit teksi kepada individu juga seolah-olah kerajaan tiada hasrat memperbaiki mutu perkhidmatan teksi. Cuba lihat di majlis-majlis pemberian permit teksi individu ini, dengan mudah kita bertemu dengan pemandu yang berpakaian selekeh, berseluar jeans, berambut panjang, dan memakai baju dengan membuka butang di dada. Pemandu yang berpakaian ala taliban seperti di pergunungan Khunduz (Afghanistan) pun tidak kurang juga. Ada juga penerima permit individu ini tidak tahu berbahasa Melayu sedikit pun, malah ramai juga pemandu yang tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris (mungkin kerajaan beranggapan pemandu jenis ini akan hanya membawa penumpang bangsa sendiri sahaja).

Begitu juga dengan dasar monopoli syarikat ALM di KLIA sehingga menyebabkan pemandu ditekan dengan kadar sewa yang tinggi. Bayangkan bagi sebuah Proton Waja, syarikat lain hanya mengenakan kadar sewa antara RM50-55 sehari, tetapi di ALM ini, kadar sewa kenderaan yang sama (dikatakan) mencecah RM130.00 sehari. Pengguna juga terpaksa membayar kos tambang yang tinggi, walhal kalau teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di KLIA, kadar tambang limousin (baca teksi) sekarang boleh diturunkan sehingga 40%. Ini kerana pemandu teksi tersebut telah mendapat penumpang ke KLIA, jadi dengan kos yang sama (tidak lagi balik kosong) mereka boleh membawa penumpang ke KL semula.

Setiap manusia termasuk pemandu memerlukan pembelajaran berterusan. Mereka perlu diajar mengenai bagaimana mengira pendapatan, bagaimana membelanjakan pendapatan, bagaimana memberikan perkhidmatan yang baik (customer servis), bahasa antarabangsa, promosi dan sebagainya. Mereka juga perlu diterapkan dengan kehidupan beragama yang melarang mereka mengambil hasil yang haram. Apakah kita punyai dasar pendidikan pemandu seperti ini.

Saya bukanlah maksudkan latihan pemandu seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu dengan mengenakan kursus wajib setiap tahun dan pemandu perlu membayar ribuan ringgit untuk mendapatkannya sebelum diluluskan pembaharuan lesen memandu teksi. Pemandu tidak perlu lagi diajar memandu, mereka sudah pandai memandu, kita bukan nak jadikan mereka pemandu Formula 1. Yang saya maksudkan ialah kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi menjalankan latihan ini yang boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri.

Saya percaya bahawa kualiti perkhidmatan teksi yang terbaik lebih diperlukan oleh negara dan rakyat dari menara 100 tingkat yang bakal dibina. Berbangga kah kita dengan bangunan itu sekiranya dikelilingi oleh pemandu potong leher seperti di KLCC sekarang ini?. Wallahuaa’lam.

Isnin, 20 Disember 2010

SISTEM KAUNTER TEKSI vs TEKSI BERKUPON


Beberapa minggu yang lepas saya bersama beberapa pengusaha teksi berkupon dijemput menghadiri satu mesyuarat di Ibu pejabat LPKP mengenai cadangan LPKP untuk menukar sistem teksi berkupon kepada sistem “kaunter teksi”.

Berdasarkan pemahaman saya dari taklimat yang disampaikan pegawai LPKP, Sistem Kaunter Teksi bermaksud satu pengurusan teksi yang diselenggarakan oleh satu kaunter pengurusan bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan teksi yang lebih murah iaitu dengan menggunakan meter selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

LPKP memaklumkan bahawa sistem teksi berkupon bagi sesetengah destinasi mendapat aduan dari pelanggan kerana terlalu mahal. Walau pun demikian, isu terbesarnya ialah kadar tambang bagi sistem kupon terlalu sukar di gazet kan kerana sukarnya menetapkan garis panduan harga bagi sesuatu destinasi berikutan jarak dan masa perjalanan adalah bergantung pada keadaan jalan raya pada waktu perjalanan tersebut dibuat.

Oleh yang demikian, LPKP mencadangkan sistem kupon ini ditukarkan kepada penggunaan meter sepenuhnya. Kaunter pengurusan dibenarkan pula mengenakan caj sebanyak RM2.00 bagi setiap trip kepada penumpang yang menggunakan teksi di kaunter tersebut.

Harapan LPKP, dengan penggunaan sistem ini, pengguna akan lebih berpuas hati terhadap tambang yang dikenakan kerana ia adalah berdasarkan meter. Di samping itu, LPKP telah pun menggazet kan kadar surcaj RM2.00 ini.

Dari sudut perundangan, kelihatan cadangan baru LPKP ini adalah lebih baik, namun demikian, berdasarkan realiti, timbul beberapa persoalan di fikiran saya yang antaranya;-

Dengan perubahan sistem kupon kepada sistem kaunter teksi dengan surcaj RM2.00 ini;-

  1. Adakah penumpang akan bersetuju untuk membayar surcaj RM2.00 ini sedang mereka masih belum yakin kepada pemandu sama ada mereka akan menggunakan laluan paling dekat?
  2. Adakah penumpang bersetuju bayar RM2.00 walhal mereka masih khuatir kalau-kalau meter teksi yang dinaiki telah diubahsuai menjadi laju?
  3. Apakah pengurusan “kaunter teksi” boleh memastikan pemandu menggunakan laluan meter teksi yang betul selepas menerima bayaran RM2.00 bagi setiap trip tersebut?

Tanpa ingin menyanggah pendapat LPKP, saya berpendapat, buat masa ini, sistem teksi berkupon adalah yang terbaik kerana;-

  1. Penumpang telah mengetahui satu harga yang tetap untuk sampai ke sesuatu destinasi,
  2. Pemandu tidak akan mencari jalan jauh atau berpusing-pusing 2-3 pusingan untuk sampai ke sesuatu destinasi kerana kadar bayaran adalah sama,
  3. Penumpang tidak perlu risau dengan meter roket lagi, dan
  4. Pemandu juga tidak perlu lagi berasa sangsi dengan penumpang yang menganggap mereka menipu walhal hanya sebahagian pemandu yang sedemikian.

Saya akui bahawa sistem terbaik bagi perkhidmatan teksi ini adalah dengan menggunakan meter sepenuhnya. Namun, apakah kita khususnya LPKP dapat menguatkuasakan dengan tegas penggunaan meter ini sehingga 98% pemandu teksi mematuhinya. Jika KPI ini dapat dicapai oleh LPKP atau SPAD yang menggantinya nanti, saya yakin persepsi masyarakat umum dan pelancong kepada perkhidmatan teksi di Malaysia akan berubah.

Ahad, 26 September 2010

DERITA SEORANG KETUA

Saya bukanlah seorang pemimpin besar, hanya sebagai Setiausaha kepada Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang dianggotai oleh 529 orang ahli dan 27 orang kakitangan sahaja.

Ramai mungkin merasakan seronok dan teruja untuk menjadi ketua, namun sebenarnya kita kelak akan dibebankan dengan tanggungjawab yang banyak dan tidak mampu ditunaikan. Semoga baik dan buruk catatan ini menjadi pedoman dan sempadan kepada kita semua.
  1. Sebagai ketua sebenarnya saya tidak punya kuasa pun, sebab kuasa itu hanya dipertanggungjawabkan ke atas saya. Seringkali saya dipersoalkan semula atas apa jua masalah yang dihadapi oleh orang bawahan saya.
  2. Saya terpaksa mengecewakan ramai orang untuk menggembirakan orang lain yang lebih ramai.
  3. Apabila saya marah, saya tidak pernah dapat melepaskan kemarahan saya mengikut kehendak saya demi menjaga organisasi yang saya pimpin.
  4. Saya terpaksa menerima cacian dan makian dari sebilangan yang lain demi untuk memuaskan hati sebilangan yang lain pula.
  5. Saya hampir tidak pernah menerima pujian ikhlas apabila usaha atau keputusan saya memberikan kejayaan.
  6. Namun begitu saya tidak pernah lepas dari dicerca atas setiap kesilapan yang dilakukan.
  7. Saya terpaksa membuat keputusan walaupun saya tidak tahu yang manakah keputusan terbaik.
  8. Saya terpaksa menjadi lebih pandai dari orang bawahan saya lebih-lebih lagi ramai dari mereka punyai kelulusan yang lebih jauh tinggi.
  9. Saya terpaksa membiarkan diri dimusuhi oleh rakan baik demi memastikan agenda organisasi dijayakan.
  10. Saya terpaksa bersedih seorang diri apabila sekian ramai yang dahulunya rakan karib tetapi kini memusuhi saya kerana tanggungjawab yang saya tanggung ini.
  11. Kerana banyaknya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, saya terpaksa cepat mempercayai dan memberikan tanggungjawab kepada orang-orang yang sanggup menolong saya walaupun selalunya, selepas beberapa tempoh, baru saya menyedari mereka tidak ikhlas bahkan menikam saya di belakang.
  12. Saya sentiasa terpaksa menekan perasaan sendiri apabila berurusan dengan orang bawahan yang bermuka-muka di hadapan saya. Kerana ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua kepada semua orang bawahan/ahli organisasi saya.
  13. Seringkali terpaksa mengikut gerak hati kerana bersangka baik kepada orang walaupun sebenarnya saya dipergunakan.
  14. Saya terpaksa mendahulukan orang bawahan sehinggakan gaji staff saya pun melebihi elaun saya.
  15. Tetapi akhirnya apabila satu sahaja permintaan ditolak, orang yang selama ini sentiasa saya dahulukan telah mendakwa saya tidak adil, jahat dan takut mereka menjadi ancaman kepada saya.
  16. Kini, apabila nama baik Koperasi dipandang serong, saya terpaksa bertegas mengenakan hukuman walaupun saya sedar bahawa akhirnya sayalah yang akan dilihat sebagai diktator, berhati busuk, pendendam dan tidak bertimbangrasa.
"Ya Allah, sesungguhnya dengan ilmu, akal fikiran dan gerak hati ku yang engkau anugerahkan ini, aku percaya bahawa tindakan tegas yang akan aku ambil nanti adalah yang terbaik. Engkau berikanlah petunjuk-Mu dan balikkanlah hatiku jika keputusan ini sebenarnya adalah salah lagi batil. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu akan tindakan-tindakan lain yang lebih tepat Ya Allah"

"Namun, aku bersyukur Ya Allah, kerana walaupun tidak ramai, sentiasa engkau utuskan kepadaku ahli-ahli biasa yang memberikan kata semangat dan nasihat kepada ku untuk neneruskan perjuangan ini. Segala perit yang diharungi terasa bagai tiada apa-apa apabila melihat kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi"

Isnin, 20 September 2010

Teksi di Kolej Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya


  1. Baru-baru ini saya dipanggil oleh Ybhg. Dato' Nazaruddin, salah seorang "Vice President" Lim Kok Wing bagi membincangkan mengenai masalah yang ditimbulkan oleh sebahagian pemandu teksi di sana seperti pelajar antarabangsa dirompak, dicabul dan malah dirogol oleh pemandu teksi,
  2. Kes terkini adalah apabila seorang dari pelajar antarabangsa yang kebetulan keluarga kepada seorang duta kerajaan asing di Kuala Lumpur telah dipukul oleh seorang pemandu teksi,
  3. Pemandu teksi di sana pada hari ini tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang ikut sedap mulut mereka sahaja,
  4. Didapati juga tiada pengawasan berterusan oleh LPKP terhadap pemandu teksi di Lim Kok Wing,
  5. Saya telah menjelaskan bahawa Koperasi telah sejak sekian lama cuba membantu dengan cadangan melaksanakan sistem teksi berkupon di Lim Kok Wing yang tidak diluluskan oleh LPKP atas alasan tertentu,
  6. Antara alasannya juga yang saya dengar adalah kerana sistem kupon tidak lagi digalakkan kerana kadar meter teksi telah dinaikkan.
  7. Ybhg. Dato' Naza dalam perjumpaan tersebut meminta agar Koperasi dapat mewujudkan kerjasama dengan semua persatuan dan pemandu teksi individu di Lim Kok Wing untuk mendaftarkan pemandu-pemandu ini serta memberikan mereka sticker khas agar mudah dikenali oleh pengurusan apabila berlaku sebarang masalah. Sticker ini juga akan tidak menggalakkan pemandu melanggar peraturan kerana mereka sedar bahawa mereka dikenali oleh pengurusan Lim Kok Wing,
  8. Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, KPPCB telah memanggil Pengerusi dan Jawatankuasa 3 persatuan teksi di Cyberjaya iaitu Persatuan Pemandu Teksi Multimedia University, Persatuan Pemandu dan Tuan Punya Teksi dan Kereta Sewa Dengkil dan Cyberjaya dan Persatuan Pemandu Teksi Pulau Meranti, Puchong, untuk membincangkan permohonan oleh pihal Lim Kok Wing ini,
  9. Hasil dari perbincangan, Koperasi telah mengemukakan senarai dan butiran lengkap 153 orang pemandu kepada Lim Kok Wing. Pihak Lim Kok Wing pula meminta agar hanya teksi ini sahaja dibenarkan beroperasi di hadapan kolej,
  10. Saya menjelaskan bahawa mengikut peraturan LPKP, semua teksi bandar boleh beroperasi di mana-mana kawasan di Lembah Kelang kecuali KLIA dan LCCT. Menghadkan hanya teksi yang berdaftar sahaja adalah menyalahi peraturan LPKP,
  11. Pihak Lim Kok Wing mempertikaikan peraturan LPKP ini kerana mereka sendiri gagal membantu menguatkuasakan disiplin pemandu di hadapan Lim Kok Wing, bagaimana pula mereka boleh menghalang usaha pihak lain untuk mendisiplinkan mereka,
  12. Sebagai penyelesaian, saya mencadangkan agar Lim Kok Wing mendapatkan perintah dari YDP Majlis Perbandaran Sepang agar "hanya pemandu teksi yang dibenarkan sahaja boleh mengambil penumpang di perhentian teksi" yang dibina Majlis di hadapan kolej tersebut,
  13. Entah lah..., pastinya sebilangan pemandu yang tidak didaftarkan nanti akan membuat aduan kepada LPKP dan sekali lagi KPPCB mungkin diberikan surat tunjuk sebab atau saman,
  14. Matlamat pengurusan Lim Kok Wing adalah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi yang terurus agar senang bagi mereka membincangkan isu-isu berbangkit serta mengelakkan penjenayah yang menyamar sebagai pemandu teksi menyamun, merompak atau merogol pelajar mereka. Tidak nampak yang LPKP berupaya memastikan perkara ini.
  15. Jika begitu, LPKP perlu mendengar masalah yang dihadapi pengurusan Lim Kok Wing ini serta memberikan jalan penyelesaian terbaik.

Selasa, 31 Ogos 2010

KENAPA TAKUT DENGAN ISTILAH "PENDATANG"?...

Salam Ramadhan.
  1. Baru-baru ini seorang pelajar berbangsa Cina yang dipanggil Namewee meluahkan rasa marahnya kepada seorang guru dengan menggubah sebuah lagu yang kontroversi.
  2. Tindakan ini terhasil dari ucapan guru tersebut yang menyebut kaum Cina ini adalah kaum pendatang.
  3. Saya tidak pasti apa niat sebenar ucapan guru tersebut, tetapi agak pasti dengan niat Namawee apabila menggubah dan menyanyikan lagu tersebut seperti yang boleh dilihat di sini http://www.youtube.com/watch?v=ePSupJ3J7-c
  4. Beliau sungguh marah kerana cikgu tersebut menyebut Cina kaum pendatang sehingga membalasnya dengan kata-kata maki hamun serta mencarut sedemikian rupa.
  5. Faktanya memanglah kaum Cina adalah pendatang.., cuma mereka yang ada di Malaysia hari ini telah dianugerahkan hak sebagai warganegara yang sah.
  6. Apakah dengan menyampaikan lagu yang menghina tersebut, maka kaum Cina boleh mengubah sejarah menjadikan mereka adalah kaum yang asal usulnya dari Tanah Melayu ini.
  7. Saya juga pendatang, difahamkan oleh ibu saya bahawa keluarga datuk dan nenek saya dari Patani di Thailand. Saya tidak marah malah selalu berbangga dengan keturunan saya tersebut. Sangat ramai rakan saya yang lain yang dari Jawa, Boyan, Banjar, Aceh dan lain-lain berbangga dengan keturunan dan asal usul mereka dari Indonesia tersebut.
  8. Apakah Namewee ini tidak berbangga lagi dengan Negara Cina yang menjadi asal keturunan nenek moyangnya? Kalau begitu, eloklah catatan "bangsa" di kad pengenalan beliau ditukar dari "Cina" kepada "Bangsa Malaysia".
  9. Mungkin saya akan dituduh lebih "racist" dari beliau jika mengesyorkan supaya semua istilah "Cina" dipadamkan kerana mereka tidak suka atau tidak berbangga lagi dengan asal keturunan mereka.

Jumaat, 23 Julai 2010

Buruknya Perangai Politik Orang Melayu


Saya terbaca komen awal bahawa Tn. Guru Nik Aziz (TGNA) yang dilaporkan seolah setuju bertemu Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk membincangkan mengenai perpaduan yang katanya sebagai perintah Allah itu. TPM kemudiannya mengalu-alukan perjumpaan tersebut dan rela turun merendah diri berjumpa dengan TGNA.

Kemudiannya saya membaca HarakahDaily yang menjelaskan bahawa TGNA sebenarnya ingin berbincang mengenai perpaduan antara Negeri dan Pusat. Perkara yang sama ditegaskan oleh TGNA dalam blog rasmi beliau.

Berikutnya Ust. Harussani (Mufti Perak) membuat kenyataan yang menawarkan diri sebagai orang tengah. Beliau juga memaklumkan bahawa telah ditemui oleh pemimpin kedua-dua pihak untuk membincangkan perpaduan ini.

Berikutan itu, saya terbaca pula tuduhan dari YB Mahfuz Omar yang menuduh Mufti Perak tersebut menipu. Kenyataan ini berturut pula dengan pandangan yang hampir sama dari YB Salahuddin Ayub.

Pada mulanya akhbar harian khususnya Utusan membuat laporan yang kelihatan seperti akhbar tersebut suka sangat dengan Perpaduan ini. Kenyataan berikutnya seperti bertujuan melaga-lagakan antara pemimpin PAS disamping menimbulkan rasa kecewa yang amat sangat olehnya kerana perbincangan perpaduan tersebut tidak boleh dijalankan.

Saya juga terbaca berkenaan desakan MP Khalid Samad - Pas Shah Alam, agar pemimpin yang berjumpa Mufti Perak tersebut itu dipecat dan khabarnya yang dituduh itu adalah YB Hassan Ali (kelihatan seperti musuh peribadi beliau).
Dalam masa yang sama saya melihat berita mengenai Ketua Pemuda MCA (Wee Ka Siong) dan Ketua Menteri P.Pinang (Lim Guan Eng) di majlis anjuran sebuah Persatuan Cina. Tanpa perlu disuarakan, tanpa perlu tolak menolak dan tuduh menuduh, saya percaya kedua-dua tokoh ini hadir ke majlis tersebut bagi tujuan dan manafaat masyarakat Cina walaupun tidak dinamakan "Perpaduan Cina".

Itulah buruknya perangai polik orang Melayu.

Selasa, 6 Julai 2010

Istimewanya Aku sebagai MELAYU


Saya dilahirkan sebagai Melayu Bumiputera beragama Islam di Kg. Kota Tampan Air, Lenggong Perak. Ayah dan ibu saya juga merupakan Melayu Bumiputera Islam.

Saya merupakan anak ke 9 dari 12 orang adik beradik. Ayah saya berkahwin 2 dan saya dari isteri nombor 2, manakala isteri pertamanya yang saya panggil Makwe (telah kembali ke Rahmatullah 2 tahun lepas) mempunyai 11 orang anak. Kesemua keluarga besar saya punyai 23 orang adik beradik. Semasa kecil, saya biasa makan nasik dengan garam, atau kelapa parut yang digaul dengan garam sahaja.

Sekarang saya telah berusia 37 tahun, punyai seorang isteri dan 4 orang anak. Saya bekerja sebagai pemandu teksi di Lembah Kelang sejak tahun 2009 setelah gagal dalam beberapa perniagaan kecil yang saya usahakan di Ipoh sebelum itu.

Semasa bekerja sebagai pemandu teksi ini, saya punyai ramai kawan-kawan bukan Melayu yang menyatakan bertuahnya saya berbanding mereka kerana saya orang Melayu. Seorang dari rakan saya tersebut adalah Jothy yang juga bekerja sebagai pemandu teksi dan tinggal di Puchong.

Dalam satu perbualan, saya pernah berkata kepada Jothy ini bahawa tiada istimewanya jadi Melayu ini, mari kita tengok perbezaan antara kita berdua...,
  1. Kita berdua adalah pemandu teksi,

  2. Kita berdua (pada masa itu) menyewa teksi Koperasi yang kita sama-sama menjadi ahli,

  3. Pendapatan kita masing-masing bergantung kepada keadaan,

  4. Kos pembaikan teksi apabila rosak adalah sama,

  5. Jothy ada masalah nak dapat pinjaman Bank kerana dia ada masalah tunggakan loan rumah, saya pulak, langsung tiada rumah kerana tidak mampu membelinya,

  6. Kalau buat salah dan kena saman, tiada bezanya nilai saman kepada orang Melayu atau bukan Melayu,

  7. Saya dapat permit teksi dan Jothy jugak dapat permit teksi,

  8. Kita berdua tidak menerima apa-apa saham percuma atau murah dari kerajaan melalui DEB atau seumpamanya. Malah saya tidak faham pun bagaimana dasar-dasar DEB itu mengagihkan saham-saham Bumiputera yang kononnya ada 30% itu,

  9. Jothy tidak dapat pinjaman bank untuk beli teksi atas beberapa alasan, saya pula tidak dapat pinjaman beli teksi dari MARA kerana tiada peruntukan,

  10. Yuran persekolahan anak saya dan anak jothy adalah sama,

  11. Anak sulung saya ini dapat keputusan 5A dalam UPSR tahun lepas, tetapi permohonan saya untuk menyekolahkannya di Sekolah Menengah Sains dan MRSM telah ditolak. Saya merayu untuk kedua-duanya, namun tetap ditolak,

  12. Kos rawatan kesihatan saya dan Jothy di Hospital Kerajaan adalah sama, dan lain-lain.

Di luar sana, saya melihat kepada dua pertembungan kuasa politik, satunya mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu dan satu lagi pihak tidak suka dengan istilah-istilah perkauman seperti ini dan mereka lebih suka agar dasar-dasar yang adil diwujudkan dengan maksud bantuan kerajaan kepada rakyat hendaklah atas dasar keperluan, bukan atas dasar bangsa kaum-kaum tertentu.

Secara jujurnya, tentulah saya sebagai Melayu ini mahukan Hak-Hak Melayu ini dipertahankan, tetapi saya sendiri tidak tahu dan tidak faham dimana hak-hak saya sebagai Melayu itu untuk saya perjuang dan pertahankan.

Rabu, 9 Jun 2010

SEMINAR TATACARA PENGURUSAN KOPERASI TEKSI & KERETA SEWA


Alhamdulillah dan terima kasih kepada SKM yang menganjurkan seminar yang sangat bermanafaat ini pada 7 hingga 9 Jun 2010 di Tiara Beach Resort, Port Dickson.
Objektif seminar adalah;-
  1. Memberi input penting kepada ALK dalam meningkatkan kecekapan pengurusan, pentadbiran dan kewangan koperasi, dan

  2. Mewujudkan rangkaian kerjasama koperasi-koperasi teksi melalui penggabungan.

Wakil KPPCB adalah saya sendiri, En. Idrus Abdullah (ALK), En. Mohd Suhaimi (ALK), En. Mohd Zayed (ALK) dan En. Aszwan (Pengurus Operasi & Perniagaan). Di sini saya kongsikan apa ilmu yang dapat saya kumpul sepanjang kursus tersebut.

UCAPAN PERASMIAN TN. HJ. YUSUFF - 7hb. Jun 2010, 8.30 malam.

  1. Perkembangan gerakan koperasi di Malaysia amat menggalakkan. Dahulu hanya ada koperasi kredit, pengguna, perladangan sehinggalah kepada koperasi teksi. Lebih 1000 buah koperasi didaftarkan pada tahun 2009 berbanding hanya 2-3 ratus tahun-tahun sebelumnya.
  2. Sehingga Disember 2009, lebih 1000 permit dikeluarkan oleh LPKP kepada lebih kurang 100 buah koperasi,
  3. Tujuan wujudkan rangkaian perkhidmatan antara koperasi-koperasi teksi,
  4. Gunakan peluang seminar ini untuk mendapatkan ilmu dan mengusahakan usaha sama antara koperasi teksi,
  5. SKM sentiasa membuka ruang dan peluang untuk memajukan gerakan koperasi pengangkutan melalui geran, pinjaman dan konsultasi,
  6. RM45 juta telah diberi dalam bentuk pinjaman kepada 16 buah koperasi, 6 membayarnya dengan baik, manakala 10 koperasi lagi telah tertunggak bayaran mereka lebih RM2.3 juta,
  7. Koperasi berkenaan diminta memberi perhatian serius terhadap tunggakan ini kerana wang tersebut adalah wang rakyat yang sepatutnya digunakan oleh orang lain pula yang lebih memerlukan,
  8. Sifat jujur, amanah, dedikasi dan komitmen membolehkan kita menguruskan Koperasi dengan baik sekalipun kita tidak mempunyai pendidikan yang tinggi,
  9. Jujur dan amanah khususnya dalam menguruskan kewangan merupakan satu cabaran yang berat,
  10. 4 elemen penting dalam sesebuah koperasi adalah (1) ALK, (2) Anggota, (3) JAD, (4) Pengurusan. ALK adalah paling penting kerana merekalah yang membawa hala tuju koperasi,
  11. Harap ilmu yang diperoleh dalam seminar ini dikongsi kan dengan anggota-anggota yang lain,Harap seminar ini dapat mewujudkan kerjasama dan kalau boleh menubuhkan komiti antara koperasi-koperasi bagi melaksanakan usaha sama ini.

KERTAS KERJA 1 - AMALAN INTERGRITI PENGURUSAN KOPERASI. Oleh En. Hamilya Sham Harun. Institut Integriti Malaysia.

  1. Persepsi pelancong UK = Teksi di Malaysia kurang hajar walaupun budi bahasa rakyatnya baik sekali.
  2. Koperasi mesti Memacu Ekonomi melalui peluang-peluang yang diwujudkan kerajaan seperti "health tourism", "edu tourism", "biz tourism" dan "CSR (corporate sosial responsibility) tourism".
  3. Koperasi mesti berwaspada dengan mewujudkan Lembaga Koperasi yang jujur, beretika dan berintegriti.
  4. Koperasi mesti berwibawa dengan melantik Lembaga Koperasi yang berilmu dan berpengalaman.
  5. Koperasi mesti berintegriti,
  6. Koperasi mesti beretika,
  7. Koperasi mesti professional,
  8. Koperasi mesti prihatin.
  9. "Orang yang menyusahkan orang lain, nescaya Allah akan menyusahkan dia".
  10. Koperasi perlukan anjakan paradigma dengan mewujudkan CTP atau "Cooperative Transformation Plan".
  11. Wujudkan moto perkhidmatan seperti "keselesaan anda keutamaan kami"
  12. Jangan beban diri dengan hutang. "our action today can determine our destiny tomorrow"
  13. Hutang adalah keperluan, namun uruskan hutang tersebut dengan baik.
  14. Kata Imam Alghazali "hendaklah kamu menjadi orang berilmu, mempelajari ilmu atau mendengar ilmu"
    1. Terokailah bidang yang bernilai tinggi dan menyumbang pendapatan lebih besar.
    2. Paculan koperasi agar lebih kompetitif, berdaya tahan, berdaya saing dan progressif.

    KENAPA TUBUH KOPERASI

    1. Berniaga
    2. Tambah pendapatan
    3. Bina rangkaian
    4. Jadi usahawan
    5. Mengisi masa lapang
    6. Ikut kawan-kawan yang berjaya
    7. Mencuba nasib.

    MENGAPA BERHUTANG

    1. Ingin memenuhi kehendak,
    2. Pengaruh, dan
    3. Tak cukup dengan apa yang ada.

    KESAN HUTANG

    1. Jadi budaya negatif kepada pemiutang,
    2. Jiwa tidak tenteram,
    3. Boleh mendorong perlakuan jenayah seperti mencuri dan lain-lain,
    4. "Akan terikat hidupnya di dunia dan tergantung rohnya".

    KENAPA LIAT NAK BAYAR HUTANG

    1. Niat tak betul,
    2. Tidak berdisiplin,
    3. Sebab nak bayar hutang lain,
    4. Tidak berintegriti - nak menipu,
    5. Sengaja tak nak bayar,
    6. Nak cepat kaya,
    7. Tamak, dan
    8. Pentingkan diri sendiri.

    Orang yang mati syahid pun akan tersangkut rohnya jika meninggalkan hutang.

    BAGAIMANA NAK BAYAR HUTANG SECARA EFEKTIF

    1. Bayar hutang (sewa dahulu) setiap hari (wang sewa diasingkan),
    2. Pasakkan niat,
    3. Kerja dengan ikhlas,
    4. Tanam sifat integriti,
    5. Biar duit sedikit asalkan berkat,
    6. Ingat, orang (koperasi) lain pun nak berniaga jugak, kalau anda tak bayar, macam mana orang lain nak pinjam,

    Hutang mengajar cakap bohong dan memungkiri janji.

    Integriti bermaksud ikhlas, jujur dan amanah.

    "Real integrity is doing the right thing knowing that nobodys known" - Oprah Winfrey

    "Speak with honesty"

    "Think with sincerity"

    "Act with integrity"

    KERTAS KERJA 2. PENGURUSAN DAN KEWANGAN KOERASI

    Ahmad Rafis Che Omar- Pensyarah Fakulti Ekonomi & Pengurusan Perniagaan SKM.

    1. Ada orang nak buat pelaburan, tapi tak tengok risiko dan ada orang takut nak buat pelaburan sebab takut rugi.
    2. Objektif tubuh koperasi adalah ekonomi dan kebajikan. Tiada ekonomi (wang) tiadalah kebajikan.
    3. Syarat pinjaman di bank ialah memeriksa karakter, cagaran dan kerjaya(pendapatan). Begitu juga koperasi untuk memilih penyewa teksi.

    PENGURUSAN PEMANDU

    1. HASIL - letak target dan rancang untuk mencapainya

    2. BELANJA

    1. Gaji
    2. Sewa
    3. Minyak/NGV
    4. Senggara
    5. Cukai jalan, insurans, Puspakom.

    FAKTOR KEJAYAAN KOPERASI

    1. Kepimpinan
    2. Sumber - dana, aset, jaringan dan teknologi
    3. Aktiviti perniagaan, pelaburan dan pembiayaan
    4. Ahli- kejujuran dan komitmen
    5. Tadbir urus - ketelusan

    RUKUN PENGURUSAN KEWANGAN

    1. Tetapkan matlamat,
    2. Merancang dan menulis rancangan,
    3. Laksana rancangan, dan
    4. Kawalan dan disiplin.

    KERTAS KERJA 3 - PENGURUSAN TEKSI - PENGALAMAN AIRPORT LIMO

    SYARAT PENDAFTARAN PEMANDU

    1. Umur - 24 - 54 tahun
    2. B. Inggeris
    3. Mahir jalanraya
    4. Sihat
    5. Lesen PSV
    6. Warganegara
    7. Ujian dadah dan kesihatan.

    MEWUJUDKAN SISTEM MERIT DAN DEMERIT PEMANDU

    PROSES SIASATAN DALAMAN

    JAWATAKUASA RAYUAN

    SISTEM ANAK ANGKAT

    MELAKSANAKAN KRA (KEY RESULT AREA) ALA-ALA NKRA

    MELAKSANAKAN KPI (KEY PERFOMANCE INDEXS)

    SERTAI PROGRAM TAXI.COM UNTUK PERIKSA PENYEWA BERMASALAH DENGAN SYARIKAT LAIN.

    TRIP ALM = 3500 SEHARI

    CATATAN SAYA

    1. Pengalaman ALM tak berkaitan dengan Koperasi kerana bentuk dan cara beroperasi berbeza kerana mereka mempunyai konsesi dengan kerajaan dan sistem kupon turut diuruskan oleh mereka.
    2. Pengurusan Sumber Manusia ALM juga tidak relevan dengan Koperasi kerana kadar sewa, kekangan dan syarat-syarat menjadi pemandu adalah menzalimi pemandu kerana terpaksa bekerja dalam masa yang lama. Untuk makluman, sewa Waja di ALM RM120.00 sehari berbanding hanya RM45 di KPPCB.

    CERAMAH 4. PENGALAMAN KOPERASI PEMANDU TEKSI BANDAYARA JOHOR BAHRU

    En. Mahmud b. Ahmad - Pengerusi KTJB

    1. Koperasi ini membentangkan kejayaan mereka yang saya sifatkan sangat bagus. Mereka adalah koperasi teksi yang sebenarnya apabila lembaga pengarah dan anggota-anggota adalah pemandu teksi.
    2. Koperasi ini punyai simpanan tetap lebih RM400,000.00 dan tunai di bank dan tangan lebih RM350,000.00.
    3. Bilangan teksi yang dimiliki hanya 130 buah sedangkan KPPCB punyai 150 buah,
    4. Keuntungan tahun 2009 ialah RM350,000.00
    5. Mereka punyai hanya 2 orang kakitangan pengurusan berbanding KPPCB, lebih 27 orang,
    6. Aktiviti mereka adalah penyewaan teksi, radio teksi dan jualan minyak enjin.
    7. Caj radio teksi mereka hanya RM80.00 sebulan manakala KPPCB RM150.00. Bagaimana mereka untung dengan kadar ini (perlu kajian lanjut).

    CERAMAH 5 : KERJASAMA ANTARA KOPERASI YANG DIBENTANGKAN OLEH SAYA (INSYAALLAH AKAN DIBENTANGKAN DALAM TAJUK KHUSUS)

    CERAMAH 6 : TATACARA PERMOHONAN DAN KELULUSAN PERMIT OLEH LPKP

    1. Organisasi LPKP,
    2. Sejarah,
    3. Carta Organisasi,
    4. VISI = PERKHIDMATAN KENDERAAN PERDAGANGAN BERKUALITI MENEPATI ASPIRASI NEGARA,
    5. MISI = MEMPASTIKAN PENGANGKUTAN AWAM DAN KENDERAAN BARANGAN SELAMAT, EFISIEN DAN BERKOS EFEKTIF
    6. Proses permohonan permit dan proses rayuan,
    7. Seksyen 44, 44A, 44B & 44C, Polis dan JPJ berkuasa menyita dokumen jika disyaki melanggar syarat lesen,
    8. Seksyen 45, Polis dan JPJ boleh mendakwa kesalahan,
    9. Struktur LPKP Semenanjung,
    10. Pengeluaran permit teksi jenis teksi premier telah diberhentikan dan diganti dengan eksekutif,
    11. Kawasan operasi teksi ialah Lembah Kelang (KL, Putrajaya, Selangor dan Seremban), Johor Bharu, Pulau Pinang, Kuala Trengganu, Bandaraya Melaka dan seluruh Semenanjug bagi teksi eksekutif,
    12. Warna teksi bajet = merah putih, jalur gemilang dan merah biru bagi permit individu. Teksi eksekutif = candy blue.
    13. Kadar tambang kereta sewa (jarak km x 25 sen dan + 50 sen jika berhawa dingin). (jarak km x 21.6 sen + 50sen jika tidak berhawa dingin),
    14. Bumbung mesti warna kuning, tiada had usia kenderaan dan tempoh lesen 7 tahun.
    15. Teksi lapangan terbang hanya diberi kepada syarikat Sdn. Bhd., Berhad dan Koperasi.

    Sebenarnya banyak ilmu yang dicurahkan oleh penceramah-penceramah jemputan...., tapi setakat ini sahaja yang saya dapat kutip untuk rujukan saya di masa hadapan.

    Khamis, 20 Mei 2010

    Teksi BERMETER vs Teksi BERKUPON

    Salam 1Malaysia…,

    Menyentuh mengenai kaedah penetapan tambang teksi, saya merasakan masih terdapat kalangan pengguna tertanya-tanya dan keliru mengenai perkhidmatan teksi berkupon dan teksi bermeter ini yang antara persoalan yang ditimbulkan, “apa perlunya sistem teksi berkupon kalau semua teksi telah disediakan meter teksi di dalamnya sebagai mekanisme pengukuran tambang?.

    Pada penilaian saya secara rambang, pengguna yang mempertikai dan mempersoalkan perkhidmatan teksi berkupon hanyalah terdiri dari pengguna yang tidak pernah menerima perkhidmatan teksi yang tidak memuaskan. Mungkin mereka sangat bertuah dan saya percaya hanya segelintir sahaja yang mendapat “tuah” sedemikian.

    Selalunya penumpang yang menaiki teksi saya sering meluahkan ketidakpercayaan mereka kepada sistem tambang teksi bermeter seperti berikut;-

    1. Kenapa meter teksi ini laju sangat?,
    2. Agaknya berapa keseluruhan tambang untuk sampai ke rumah nanti, cukup ke duit aku nak bayar?, baik aku runding dahulu tambang dengan pemandu ini,
    3. Pemandu ini guna jalan jauh ke jalan dekat ni?, dan
    4. Meter teksi ini meter roket ke meter betul, laju semacam aja?.

    Rakan-rakan termasuk saya yang memandu teksi menggunakan meter juga sering kali rasa cuak dan risau apabila mendapat penumpang yang macam ini. Antara rasa cuak yang dialami ialah;-

    1. Dia ini ingat aku kaki tipu ke?,
    2. Cukup ke dia nak bayar tambang nanti, jauh perjalanan ni, baik aku setuju sahaja kalau dia nak runding harga,
    3. Kalau aku guna laluan ini, jalan jem dan meter akan jadi lagi tinggi, aku akan dituduh menipu, nak guna jalan jauh sikit tapi tak jem, meter tak setinggi jalan jem tadi, tapi aku tetap dituduh cuba menipu penumpang kerana guna jalan jauh,

    Persoalan-persoalan ini lah yang menyebabkan berleluasa nya pemandu tidak menggunakan meter sekalipun kadar meter telah dinaikkan. Diakui juga kedegilan pemandu yang tidak waras sengaja “memotong” penumpang turut menyumbang kepada masalah ini.

    Persoalan ini jugalah menjadikan sistem teksi berkupon terus relevan dan diperlukan. Walaupun kadarnya lebih mahal dari meter, penumpang dan pemandu lebih gemar menggunakan sistem ini kerana;-

    1. Pengguna sudah tahu kadar dan kemampuan dia untuk membayar sesuatu tambang sehingga sampai ke destinasi dituju,
    2. Pengguna percaya bahawa pemandu tidak “bodoh” untuk menggunakan jalan jauh kerana tambang yang diperolehnya adalah sama,
    3. Meter “roket” atau tidak, tidak lagi menjadi persoalan,
    4. Pemandu juga senang hati apabila sudah tahu dan terjamin hasil yang diperoleh dari khidmat perjalanan yang diberikan,
    5. Pemandu dan penumpang tidak lagi sangsi antara satu sama lain sehingga menimbulkan salah faham, dan
    6. Perkhidmatan menjadi lebih mesra dan cekap hasil dari persefahaman yang dinyatakan di atas.

    Menyentuh berkenaan Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang turut menjalankan sistem teksi berkupon di Putrajaya Sentral, Imigresen Putrajaya dan stesen KTM Serdang, tentulah perkhidmatan ini menyumbangkan sebanyak 10% dari kadar tambang yang dikenakan kepada Koperasi. Hasil dari kutipan ini, seramai 15 orang kakitangan yang terdiri dari anak-anak ahli Koperasi mendapat pekerjaan di kaunter-kaunter kupon ini.

    Tahun 2009, Koperasi ini mendapat keuntungan sebanyak lebih kurang RM353,000.00 dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan, dari itu dapatlah jua 515 orang ahli Koperasi ini yang juga pemandu teksi memperoleh dividen sebanyak 10% dari saham yang dipegang mereka. Koperasi juga telah mengagihkan sebanyak RM17,661.00 kepada Kumpulan Wang Kebajikan Am Koperasi ini.

    Berdasarkan kenyataan di atas, saya berpendapat sistem teksi berkupon masih relevan sehinggalah pemandu dan pengguna keseluruhannya telah meyakini sepenuhnya sistem dan penguatkuasaan teksi bermeter ini. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika sistem ini diuruskan Koperasi kerana hasil darinya diperoleh kembali oleh pemandu teksi yang menjadi anggota demi faedah, kebajikan, kesihatan dan pendidikan mereka dan keluarga.

    Jumaat, 23 April 2010

    TAKLIMAT SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT (SPAD)

    Pada 22hb. April 2010 telah berlangsung taklimat di atas yang diadakan di Bilik Taklimat, Aras 2, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Majlis yang sepatutnya berlangsung mulai jam 3.30 ptg. terpaksa ditangguh sehingga jam 5.00 petang ekoran kesibukan YB Dato' Seri Nazri berbahas di dewan persidangan. Saya bersama En. Zakuan telah hadir mewakili Koperasi.

    Semasa permulaan, agak kelam kabut jugak majlis ini keraa ketiadaan emcee. Mujurlah YB Dato' Halimah sendiri dengan mesra dan rendah hati menjadi emcee bagi menjemput bakal CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memberikan taklimat. Saya amat kagum dengan keramahan dan kerendahan hati YB. Datuk Halimah.

    Seterusnya taklimat disampaikan oleh En. Nur dalam keadaan yang agak bosan kerana penyampaian yang tidak menarik, tiada edaran "handout" dan tayangan nota "slide" yang terlalu kecik (tidak jelas).

    Berikut saya perturunkan juga catatan saya dari ucapan En. Nur ini;-

    Statistik penggunaan pengangkutan awam tahun 1985 ialah 34% berbanding hanya 10-12% sekarang ini.

    Punca penyusutan penggunaan ini adalah kerana:-

    1. Polisi kerajaan dalam pembinaan dan pembesaran jalan dan lebuh raya,
    2. Dasar otomotif kerajaan yang membantu pengeluaran kenderaan tempatan dan import (20juta bilangan kenderaan yang didaftarkan sekarang ini),
    3. Persepsi pengguna terhadap kualiti perkhidmatan,
    4. Perkhidmatan pengangkutan yang tidak intergrated (bersambung), dan
    5. Kapasiti dan rangkaian perkhidmatan yang tidak berkembang mengikut keperluan.

    Perkhidmatan pengangkutan negara sekarang ini diuruskan oleh beberapa agensi berbeza seperti JPJ, LPKP, PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Pelancongan dan lain-lain. Ini menyukarkan lagi kerajaan untuk membina hala tuju perkhidmatan yang lebih jelas.

    Bagi mengatasi masalah ini, SPAD telah dicadangkan untuk ditubuhkan bagi mengambil alih seliaan perkhidmatan pengangkutan awam dari semua agensi kerajaan tadi. Kajian penubuhan SPAD telah dimulakan sejak tahun 2008 dan rang undang-undang mengenainya baru diluluskan.

    Formasi organisasi SPAD akan bermula pada 1hb. Jun 2010 nanti. Ada 3 fungsi SPAD iaitu;-

    1. Perancangan
    2. Kawal Selia
    3. Penguatkuasaan

    Semasa sesi dialog, ramai peserta mengambil bahagian, namun isu-isu yang dibangkitkan adalah remeh dan tidak berkaitan dengan tujuan majlis diadakan.

    YB. Datuk Halimah semasa penggulungan (sebelum beredar ke mesyuarat lain) telah memaklumkan bahawa memorandum yang dikemukakan oleh beberapa persatuan teksi telah diterima untuk diangkat oleh YB. Menteri kepada YAB Perdana Menteri. Antara isu yang akan YB Menteri minta kelulusan YAB PM adalah;-

    1. Penghapusan access duty sepenuhnya (sekarang ini cukai masih mesti dibayar semasa convert teksi kepada kereta biasa). Kos yang ditanggung kerajaan bagi penghapusan duty ini ialah RM6.25juta setahun.
    2. Penghapusan sales tax (cukai jualan). Kos yang ditanggung kerajaan bagi penghapusan cukai ini ialah RM6.25 juta setahun.
    3. Subsidi pemasangan NGV oleh kerajaan. Perbelanjaan sebanyak RM24 juta setahun.
    4. Subsdi petrol dan Diesel turut diberkan kepada pemandu teksi sebagaimana nalayan

    Sekian sahaja catatan yang mampu saya kongsikan pada kali ini

    Jumaat, 26 Mac 2010

    Balasungkawa Allahyarham Tumat bin Kalil

    Saya dan rakan-rakan lama pemandu teksi di Putrajaya menyatakan rasa sedih atas kembalinya ke Rahamtullah, Allayarham Tumat Bin Kalil, Pemandu teksi HWC2673. Dahulunya beliau memandu teksi HWA2828.

    Sebelum saya mengenali Allahyarham pada pertengahan tahun 2003, difahamkan beliau adalah Pengerusi atau Jawatankuasa Penaja Badan Kebajikan Pemandu Teksi Hentian Duta.

    Sesungguhnya beliau telah berjasa kepada pemandu-pemandu teksi di Putrajaya dengan memberikan nasihat dan panduan kepada saya untuk menubuhkan Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya pada Tahun 2003 tersebut.

    Dengan nasihat, dorongan dan pandangan beliau, dapatlah jua Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya ditubuhkan dan seterusnnya berubah menjadi Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. sekarang ini.

    Semoga rohnya mendapat belaian kasih sayang dan keampunan dari Allah s.w.t. Marilah kita hadiahkan setulus ikhlas hati bacaan Al-Faatihat untuk roh beliau. Alfaatihah.....

    Khamis, 11 Mac 2010

    JPJ ZALIM...???

    1. Entri saya pada 2hb. Julai 2009 yang lalu (http://taxidriversmind.blogspot.com/2009/07/dialog-ketua-pengarah-jpj-malaysia.html) menceritakan mengenai dialog yang saya hadiri dengan Ketua pengarah JPJ (diwakili oleh Pengarah Penguatkusa),
    2. Catatan saya adalah seperti berikut... "Soalan 2. Pemandu teksi bandar menghantar 4 orang penumpang, orang hendak ke KLIA dan dua orang lagi nak ke LCCT. Boleh atau tidak?". Jawapan : Boleh, dengan syarat jika ditahan pemandu dan penumpang hendaklah membuktikan keadaan seperti tadi dan bukan trick untuk mengulat.
    3. Pada 23hb. 2. 2010, pemandu teksi eksekutif nombor HWD1375 menghantar penumpangnya ke KLIA. Sesampai di KLIA, penumpang telah meminta beliau mengambil teman lelakinya dan pulang ke KL semula. Pemandu tidak mahu kerana tahu ianya salah dan JPJ sedang menunggu di bawah sana.
    4. Penumpang yang tidak memahami peraturan "mengarut" negara Malaysia tercinta ini telah memarahi pemandu dan mengugut tidak mahu membuat bayaran jika enggan hantar dia balik semula ke KL.
    5. Tanpa ada pilihan lain dan pemandu menghantar juga penumpang tersebut ke KL dengan harapan pegawai JPJ yang sedang menunggu di bawah sana memahami situasinya.
    6. Pemandu ini beserta penumpangnya telah ditahan JPJ dan pemandu telah menjelaskan situasinya seperti di atas kepada pegawai JPJ berkenaan iaitu EN. NORIZAN AZMI KPP (N22). Dimaklumkan penumpang juga menyatakan perkara yang sama kepada pegawai JPJ berkenaan.
    7. Pegawai JPJ berkenaan tetap menyatakan tindakan ini salah dan menyita lesen memandu dan PSV pemandu dan menyuruhnya menghantar penumpang ke KL dan kemudian mengarahkan pemandu hadir temusiasat pada 2hb. Mac 2010.
    8. Tidak cukup dengan itu, kenderaan HWD1375 ini telah disita semasa temu siasat dibuat. Penyitaan dibuat sehingga 10hb. Mac (10 hari pemandu tidak boleh bekerja).
    9. Mungkin tak puas hati lagi dengan masalah "dera" yang ditimpakan kepada pemandu ini, Pegawai JPJ Nurul Murni PPP(N27) mengeluarkan saman untuk dibicarakan di mahkamah pada 18hb. Mac 2010 tanpa memberi ruang langsung untuk membayar denda.
    10. Saya bersangka baik bahawa pegawai-pegawai JPJ yang saya nyatakan namanya di atas "TERPAKSA" menjalankan undang-undang yang dipikulkan oleh kerajaan kepada mereka. Jika begitu nampaknya macam kerajaan yang zalim sebab membuat peraturan dan kaedah hukuman sebegitu rupa.
    11. Saya pun jadi tidak pasti untuk apa JPJ adakan dialog yang saya hadiri sebelum ini jika keputusan/jawapannya tidak dipraktikkan serta terus menzalimi rakan-rakan saya.
    12. Adakah saya atau JPJ yang tidak faham slogan YAB Perdana Menteri "1 Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian DIUTAMAKAN".
    13. Khuatir juga kalau nanti JPJ akan dianggap sebagai ejen pembangkang yang berperanan sebagai penyemai kebencian pemandu teksi kepada kerajaan. Wallahuaalam.

    Khamis, 25 Februari 2010

    Halalkah tambang teksi jika tidak menggunakan meter?

    1. Saya terbaca mengenai MUI (Majlis Ulamak Indonesia) yang disaran mengeluarkan fatwa mengenai wajibnya memakai topi keledar. Dengan fatwa ini, pembonceng dan penunggang yang tidak memakai topi keledar akan dianggap berdosa di sisi Islam (http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/index.php/bahasa/53839-indonesia-perlukan-fatwa-wajibkan-pakai-helmet-motosikal.)
    2. Terfikir pula saya mengenai masalah berleluasanya masalah keengganan pemandu teksi di Malaysia untuk menggunakan meter sekalipun tambang telah dinaikkan,
    3. Sebahagian rakan-rakan pemandu teksi yang saya kenal adalah orang yang boleh dikatakan alim...., memakai kopiah/serban malah ada yang menjadi khatib dan imam Solat Jumaat. Maaf cakap.., ada juga antara mereka yang tidak menggunakan meter,
    4. Mungkin LPKP boleh mengemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia untuk mengeluarkan fatwa mengenai isu ini, wallahuaa'lam.

    Jumaat, 29 Januari 2010

    Kempen "Pemandu Berbudi"





    1. Petang kelmarin (28/01/2010) saya terdengar bual bicara Radio Bernama 24 dengan Dato' Aslah (Presiden PERPEKLI), yang memberikan penilaian 8 dari markah penuh (terbaik) 10 kepada mutu perkhidmatan teksi di Malaysia sekarang ini.

    2. En. Shahril (Timbalan Presiden PETEKMA) pula dalam rancangan yang sama mempertikaikan fakta angka yang dikemukakan LPKP yang katanya "hanya sedikit sahaja" pemandu yang terlibat dengan sikap negatif.

    3. Walaupun pahit untuk diakui, saya terpaksa bersetuju dengan fakta, pendapat dan teguran yang dikemukakan YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz terhadap mutu perkhidmatan teksi, yang mana pada pendapat pelancong asing sebagai antara yang terburuk berbanding kelemahan-kelemahan lain yang wujud.

    4. Markah 8 yang diberikan Dato' Aslah pada saya adalah jauh dari realiti. Selaku orang yang masih berkerjaya sebagai pemandu teksi, saya memberikan markah 3 sahaja.

    5. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi ini, LPKP mengambil tindakan 'ofensif' dengan mengadakan operasi besar-besaran (setakat terdaya kerana bilangan penguatkuasa yang tidak mencukupi). Kempen kesedaran kepada pengguna untuk mendapatkan hak mereka serta menggunakan kuasa pengguna untuk membuat aduan telah dilancarkan.

    6. Akhbar Berita harian (ruangan Sentral) baru-baru ini mendedahkan keengganan pemandu teksi di Alamanda Putrajaya untuk menggunakan meter.

    7. Pengarah LPKP dalam kenyataan kepada Berita Harian berhubung isu yang sama memaklumkan akan membuat operasi penguatkuasaan. Permohonan KPPCB untuk laksanakan sistem kupon tidak diluluskan kerana tambang kupon adalah lebih mahal dari kadar meter. Rakan-rakan teksi memaklumkan adanya operasi bersepadu LPKP, JPJ dan PDRM di lokasi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.

    8. Saya menyokong sepenuhnya operasi ini malah kalau boleh diadakan dengan lebih kerap. Ini kerana saya tidak mahu melihat Putrajaya dan Cyberjaya sebagai pusat pentadbiran negara dan MSC dicemari sikap-sikap negatif rakan-rakan saya yang lain.

    9. Sebagai tanda sokongan kepada operasi dan penguatkuasaan ini, KPPCB telah meluluskan cadangan untuk mengadakan kempen "Pemandu Berbudi" kepada semua pemandu teksi yang beroperasi di Putrajaya dan Cyberjaya ini.

    10. Istilah "berbudi" digunakan bagi mengajak pemandu agar menanamkan sikap "budi pekerti diri" yang baik, ramah, mesra dan mematuhi undang-undang. Dalam masa yang sama pemandu juga diseru untuk "berbudi" kepada kerajaan sebagai tanda terima kasih kerana diberikan lesen atau permit untuk berkerjaya sebagai pemandu teksi.

    11. Budi pada kerajaan ini boleh disumbangkan oleh pemandu dengan cara mematuhi undang-undang, berkerjasama dengan PDRM untuk mencegah jenayah (program Rakan Cop), menyertai pasukan bulan sabit merah untuk membantu dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa kemalangan dan lain-lain.

    12. KPPCB berhasrat untuk menjemput YB. Dato Seri Nazri Tan Sri Aziz sendiri majlis pelancaran kempen "Pemandu Berbudi" ini.

    Ahad, 17 Januari 2010

    KEMPEN KESEDARAN HAK-HAK PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM TEKSI


    LIPUTAN BERITA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN

    1. Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Abdul Aziz di Hentian Puduraya mulai tepat jam 10.00 pagi tadi (18/01/2010).

    2. Turut hadir YB Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri KPDNKK dan Datuk Halimah Saddique, Pengerusi LPKP.

    3. Objektif kempen ini ialah untuk meningkatkan pengetahuan pengguna berhubung senarai kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi, memaklumkan kepada pengguna saluran untuk mereka mengadu dan mewujudkan rasa saling menghormati antara pengguna dan pemandu.

    4. Ucapan pelancaran oleh YB Dato' Seri Nazri menyentuh mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna, perana yang perlu dimainkan pengusaha bagi memenuhi kehendak pengguna dan disamping itu peranan agensi penguatkuasaan.

    5. Kalaulah semua pengguna bersepakat tidak menaiki teksi yang tidak menggunakan meter, nescaya tiadalah pemandu teksi yang boleh survive hidupnya jika tidak menggunakan meter. Begitu juga jika pengguna tidak menaiki teksi yang kotor, nescaya semua teksi akan menjadi bersih.

    6. Ucapan aluan oleh YB. Datuk Halimah pula menjelaskan bahawa tujuan kempen ini bukanlah untuk melepaskan tugas dan tanggungjawab penguatkuasaan LPKP kepada pengguna, sebaliknya adalah untuk mendapatkan kerjasama mereka agar kualiti perkhidmatan teksi dapat ditingkatkan lagi.


    KOMEN SAYA

    1. Kempen ini sangat baik bagi meningkatkan kesedaran pengguna akan hak-hak mereka dari perkhidmatan teksi yang mereka gunakan.

    2. Namun, perlu diakui bahawa teramat sukar untuk menjadikan kesemua pengguna bersatu bagi menangani masalah ini. Sebagai contoh, seorang penumpang yang terdesak untuk mendapat teksi di awal-awal pagi ke KLIA, mereka hanya boleh mencuba untuk tawar menawar dengan pemandu. Sebaliknya jika pengguna berkeras meminta pemandu menggunakan meter dan pemandu tetap tidak bersetuju, maka apa alternatif lain yang pengguna ini boleh usahakan pada waktu ini.

    3. Pada pemerhatian saya, ramai pemandu bersikap opurtunist. Pemandu ini tentunya akan mengambil kesempatan atas kesuntukan masa pengguna untuk ke KLIA dengan mengenakan tambang yang lebih menguntungkan.

    4. Pemandu opurtunist ini juga bijak memilih pengguna yang tidak tahu hak mereka seperti pelancong asing, pekerja asing dan orang tempatan yang terdesak.

    5. Untuk mendidik 26 juta rakyat Malaysia dan berjuta-juta lagi pelancong asing terhadap hak-hak mereka tentulah teramat susah berbanding mendidik pemandu yang hanya seramai 30,000 orang sahaja.

    6. Sewajarnya kempen ini dituruti juga dengan kempen lain yang bertujuan mendidik pemandu agar mematuhi peraturan. Tajuk kemen ini mungkin boleh dinamakan sebagai "KEMPEN KESEDARAN PEMANDU UNTUK MEMBERIKAN PERKHIDMATAN TEKSI YANG BERKUALITI KEPADA PENGGUNA".

    7. Selain mendidik pemandu dalam sesi kempen-kempen yang dianjurkan, penguatkuasaan yang tegas turut perlu dijalankan secara berterusan kerana penguatkuasaan yang dijalankan sekarang adalah telalu lemah sehingga tidak ramai pemandu yang takut untuk tidak menggunakan meter.