COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 13 Disember 2013

Kenaikan Tambang Teksi


Sensitif juga apabila nak bincangkan mengenai kenaikan tambang teksi tatkala perasaan rakyat baru sahaja (nampaknya) reda dari rasa marah akibat kenaikan harga petrol dan gula. Kenaikan tarif elektrik yang duputuskan mulai Januari 2014 telah menaikkan semula rasa marah ini, diikuti lagi dengan kenaikan kadar tambang perkhidmatan pengangkutan awam yang diumumkan oleh Y.Bhg. Tan Sri Pengerusi SPAD. Dijangkakan beberapa kenaikan lagi (kecuali gaji) akan berlaku sepanjang tahun 2014 nanti.

Saya (sebagai pengguna) rasa marah dan tak puas hati apabila harga barangan naik, tetapi saya tak pula marah (malah menyokong) bila ada cadangan nak naikkan tambang teksi.... Macam tak adillah lah pulak..., ;-)

Walau bagaimanapun, saya boleh guna alasan..., "oleh kerana harga minyak dan gula dah naik serta diikuti peningkatan barangan lain..., maka saya sebagai pemandu teksi, TERPAKSA menyokong kenaikan tambang teksi". Amacam...? relevan tak alasan saya nie..., ;-)

Relevan atau tidak alasan ini sebenarnya bergantung kepada diri kita sendiri. Seorang yang dah "totok" menyokong sesuatu parti, akan tetap mengatakan partinya betul dan suci sekalipun dikemukakan dengan bukti-bukti bahawa partinya itu membebankan rakyat ;-)

Akhir entry ini, saya nak kongsikan sedikit maklumat kadar kenaikan yang diputuskan di peringkat pengurusan SPAD setelah mereka membuat kajian menyeluruh terhadap kos operasi, kos sara hidup pemandu dan juga kesediaan penumpang untuk menerima kenaikan ini. Walaubagaimanapun, kadar ini belum muktamad kerana masih tertakluk kepada keputusan pengurusan  atasan SPAD dan juga JPM.

Kadar baru tambang bagi teksi bajet ialah;-

  1. 1 KM atau 3 minit pertama ialah RM3.30 (naik 30 sen dari kadar asal)
  2. Setiap 200 meter atau 30 saat (menunggu) berikutnya ialah RM0.25 berbanding RM0.10 bagi setiap 115 meter atau 21 saat. Naik sebanyak 40% dari kadar sebelum ini.
  3. Caj tempahan dikekalkan kepada RM2.00.
Bagi TEKS1M, kadar tambang mereka berbeza sikit bagi kadar "flag fall" (1KM atau 3 minit pertama). Meter mereka bermula dengan RM4.00. Walaubagaimanapun, kadar bagi jarak atau masa menunggu berikutnya adalah sama dengan kadar teksi bajet.

Bagi rakan pemandu yang membantah kenaikan tambang teksi ini..., saya ingin membuat saranan yang sama dengan saranan YAB Menteri Besar Selangor terhadap bantahan kenaikan elaun ADUN Negeri Selangor..., ;-)

Isnin, 2 Disember 2013

Memajukan Industri Teksi di Terengganu


Pada 28 November 2013, saya bersama 2 orang rakan dari Koperasi Pemandu Teksi Terminal 3, Subang Bhd. dijemput ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk berbincang mengenai langkah-langkah bagi memajukan industri teksi di Terengganu. Dimaklumkan perkhidmatan teksi di sini banyak bergantung kepada pelancong yang datang melawat dan pekerja asing. Kewujudan kereta sapu memburukan lagi keadaan.

Melalui carian di Google, perbincangan dengan pihak UMT dan sesi lawatan ke beberapa perhentian teksi di Kuala Terengganu, saya menemui beberapa maklumat seperti berikut;-

  1. Bilangan penduduk Negeri Terengganu sekitar 1.1 juta orang (statistik 2010).
  2. Statistik dari sumber JPJ menyatakan bilangan teksi (kereta sewa) yang didaftar di Terengganu pada tahun 2010 ialah sebanyak 1127 buah.
  3. Kebanyakan teksi adalah kenderaan yang agak baru serta dicat dengan warna yang menarik (Kerajaan Negeri Terengganu menyumbangkan RM10,000.00 bagi setiap teksi untuk tujuan membaiki dan mengecat badan teksi).
  4. Tiada permit syarikat di sini (semuanya permit individu).
  5. Rata-rata pemandunya berusia 50-an ke atas, tetapi nampak masih segak, kemas dan sihat-sihat.., :-)
  6. Di seluruh Terengganu, terdapat lebih 11 buah perhentian teksi yang diuruskan oleh persatuan atau koperasi pemandu dan dilengkapi dengan nombor telefon untuk dihubungi.
  7. Saya tidak bertemu dengan teksi yang menggunakan NGV, katanya sebab kedai yang memasang NGV hanya ada di Kemaman (jauh dari Kuala Terengganu).
  8. Pemandu di sini agak tidak terbuka untuk mendedahkan pendapatan harian mereka. Kerata akhbar yang saya jumpa ada yang menyebut mereka hanya mendapat RM30 sahaja sehari. Dari perbualan dengan rakan-rakan pemandu di stand teksi, ada yang mengatakan antara RM60 hingga RM300 bergantung kepada musim cuti.
  9. Berdasarkan maklumat dari laman facebook "TerengganuKu", kadar tambang teksi agak rendah bagi perjalanan jauh, tetapi mahal bagi perjalanan dekat. Contohnya tambang bagi perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun (jarak 84 KM) ialah RM80 tetapi bagi perjalanan dari Kuala Terengganu ke Taman Tamadun Islam dikenakan caj RM20 walaupun jaraknya hanya lebih kurang 3 KM.
Berdasarkan maklumat di atas, saya merasakan punca pengguna tempatan amat kurang menggunakan perkhidmatan teksi ialah kerana kadar tambang bagi perjalanan domestiknya yang tinggi. Faktor ini juga menyebabkan kereta sapu menjadi pilihan pengguna domestik. Kadar yang lebih munasabah bagi perjalanan sejauh 3KM ialah antara RM7 hingga RM9 sahaja berbanding RM20 sekarang ini.

Saya tidaklah berkebolehan membuat kajian serta cadangan terperinci mengenai perkara ini, namun rasanya untuk meng"hidupkan" teksi di Terengganu, kita perlu pastikan pengguna domestik mampu menggunakan perkhidmatan ini untuk urusan seharian mereka (lebih kerap). Sekiranya dianggarkan 5% dari keseluruhan (1.1 juta) penduduk Terengganu adalah pengguna perkhidmatan teksi serta mereka (secara purata) mampu meningkatkan kekerapan penggunaan teksi kepada 2 kali seminggu, ia sudah mampu mewujudkan 440,000 perjalanan teksi sebulan. Jika purata tambang bagi perjalanan ini ialah RM8.00, maka ia akan memberikan pendapatan sebanyak RM3.52 juta kepada 1127 pemandu (purata RM3123 sebulan seorang). Pendapatan ini tidak termasuk dari penggunaan teksi oleh pelancong yang berkunjung pada musim-musim tertentu.

Sekiranya maklumat yang saya kumpul di atas adalah benar dan langkah pengurangan tambang mampu mengatasi kesuraman industri teksi di sini, maka cabaran paling besar ialah untuk melaksanakannya. Bukan senang nak minta pemandu yang dah biasa dapat RM20/trip untuk turunkan kepada RM8.

Untuk melaksanakan idea ini, antara langkah yang perlu dibuat ialah;-
  1. Bekerjasama dengan koperasi pemandu teksi yang beroperasi di perhentian teksi yang bersesuaian (tempat tumpuan penumpang),
  2. Dapatkan bantuan atau subsidi dari Kerajaan Negeri / Petronas bagi memasang peralatan NGV (supaya kos petrol dikurangkan),
  3. Laksanakan sistem tambang berkupon yang dikendalikan koperasi pemandu (untuk tujuan penyeragaman tambang),
  4. Promosi serta kerjasama bersepadu dengan semua agensi, dan
  5. Mewujudkan pusat perkhidmatan tempahan teksi melalui telefon/online. 
Insya Allah, kejayaan dengan sebuah koperasi pemandu ini akan mudah diikuti oleh persatuan/koperasi pemandu yang lain di seluruh Terengganu. Wallahu A'alam.

Bergambar dengan salah seorang rakan pemandu di sebuah perhentian teksi di Kuala Terengganu