COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 28 Ogos 2009

Perarakan Kepala Lembu

  1. Pembinaan tempat ibadah sesuatu fahaman agama sememangnya diakui perlu melihat kesesuaian disamping persetujuan penduduk di sekelilingnya.
  2. Amatlah janggal jika di suatu penempatan penduduk yang berugama Kristian dibina sebuah masjid. Begitulah juga janggalnya penempatan penduduk yang berugama Islam ditempatkan kuil Hindu.
  3. Diakui juga hak mana-mana rakyat untuk bebas mengamalkan kepercayaan mereka tetapi hak ini hendaklah dengan mengambil perkara 1 dan 2 di atas.
  4. Hak dan kebebasan bersuara juga tentulah dibenarkan namun perlu juga dibuat dengan mengambil kira kemaslahatan masyarakat lain.
  5. Sungguhpun kita dibenarkan untuk membantah sesuatu keputusan kerajaan, tindakan "mengusung kepala lembu" amatlah tidak sesuai serta boleh mengguris perasaan penduduk berugama Hindu yang sedang dibantah pembinaan kuil mereka tersebut.
  6. Saya percaya semangat "1 Malaysia" juga bermaksud kita mengenali dan menghormati kepelbagaian ugama dan bangsa rakyat Malaysia.
  7. Apakah kita tidak tahu bahawa lembu adalah haiwan suci bagi penganut hindu. Tidakkah kita khuatir bahawa perarakan ini disalah faham sebagai menghina kepercayaan penganut Hindu.
  8. Semua muslim akan marah jika penduduk mengusung kepala babi bagi membantah pembinaan surau atau masjid.
  9. Oleh yang demikian, kenapa susah sangat untuk kita tidak mengguris perasaan orang supaya perasaan kita kelak tidak juga diguris sama.

Sabtu, 22 Ogos 2009

Ramadhan mendidik keikhlasan

Salam Ramadhan...,
Ikhlas berasal dari perkataan "Kholasho", Bahasa Arab yang bermaksud murni atau suci. Ramai antara kita seringkali menggunakan perkataan ikhlas ini bagi menggambarkan kesucian atau kemurnian hati kita dalam melakukan sesuatu. Contohnya, "saya ikhlas buat kerja untuk Koperasi". Ayat ini disebut dengan tujuan untuk meyakinkan ahli Koperasi yang lain bahawa dia melakukan kerjanya di dalam Koperai dengan hati yang suci dan murni tanpa mengharapkan apa-apun balasan mahupun pujian.
Sebenarnya, maksud perkataan "ikhlas" ini tidak boleh dilihat dan tidak boleh didengar. Ia hanya boleh dirasai. Bagaimana hendak tahu seseorang itu ikhlas atau tidak?.
Agak sukar untuk memastikan seseorang itu ikhlas tetapi agak mudah pula untuk mengetahui seseorang itu tidak ikhlas. Seorang ustaz saya pernah menyebut "tanda seseorang itu tidak ikhlas ialah jika dia menyebut perkataan, saya ikhlas". Walaubagaimanapun, tidak semestinya orang yang tidak menyebut perkataan "saya ikhlas" itu adalah ikhlas.
Dari pengalaman, suka saya berkongsi tanda-tanda orang (pemimpin) yang tidak ikhlas ini seperti berikut;-
  1. Kepatuhan berubah apabila tidak lagi memegang jawatan. Contohnya, dia membayar yuran ahli persatuan semasa memegang jawatan Bendahari, tetapi apabila digugurkan, dia tidak mahu lagi bayar yuran,
  2. Meninggalkan amanah atau tanggungjawab apabila tidak memperoleh yang dihajati. Contohnya, meninggalkan amanah apabila peruntukan elaun ditarik balik. Ini menunjukkan bahawa kerja keras dia selama ini adalah kerana elaun yang dinikmati, bukan kerana ikhlas untuk memajukan Koperasi, dan
  3. Bersikap seperti pembangkang apabila kalah (bagi pemimpin kerajaan), dan bersikap seperti kerajaan apabila kalah (bagi pemimpin pembangkang). Contohnya, semasa dia berkuasa dahulu, dia berpendapat ISA bagus untuk kesejahteraan. Apabila kalah dengan bengisnya berarak di jalanraya menyatakan kezaliman ISA.

Terlalu banyak rasanya di sekeliling kita tanda-tanda orang yang tidak ikhlas ini untuk disenaraikan. Ringkasnya, ini adalah antara contoh bagaimana orang yang patuh kerana pangkat, orang yang bekerja kerana elaun dan kuasa. Apabila ditarik balik pangkat, elaun dan kuasa itu maka berubahlah sikapnya.

Semoga Ramadhan ini berjaya memupuk keikhlasan dalam hati kita. Dengan perut yang kosong sekarang ini (sementara menunggu waktu berbuka) sempatkanlah diri kita untuk bertanya kepada hati, "Adakah aku akan terus berjuang untuk kemajuan Koperasi walaubagaimana keadaan sekalipun?. Atau aku akan berubah jika tidak dapat itu dan ini. Jika jawapannya "aku akan berubah", maka ambillah kesempatan Ramadhan yang penuh barkah dan tarbiyyah ini untuk memupuk keikhlasan di dalam hati.

Salam Ramadhan.

Selasa, 18 Ogos 2009

Panduan daftar semula teksi syarikat (lama) dengan permit individu

Ramai sekali ahli KPPCB yang merungut dengan kesukaran yang mereka hadapi untuk melesenkan teksi syarikat yang telah habis bayar dengan permit teksi individu. Pihak 'runner' di JPJ meminta upah antara RM1,000.00 hingga RM2,500.00.

Memandangkan saya juga telah melunaskan perjanjian sewa-beli dengan KPPCB dan berhasrat melesenkan teksi tersebut dengan permit individu, maka saya akan cuba kongsikan di sini pengalaman melakukan urusan ini dari semasa ke semasa.

Semoga pengalaman ini menjadi panduan kepada mana-mana pemandu yang berhasrat untuk buat sendiri urusan-urusan ini.

Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ahli KPPCB (En. Mohamad bin Abu Bakar HWC7700) bahawa dokumen yang diperlukan bagi urusan ini adalah seperti berikut;-

  1. Surat tawaran permit teksi dari LPKP,
  2. Surat syarikat yang memaklumkan kepada JPJ untuk menjual kenderaan kepada pemandu,
  3. Resolusi Pengarah Syarikat yang meluluskan penjualan/pelupusan aset kenderaan terbabit kepada pemandu,
  4. Surat "Pelepasan Hak Milik Dituntut" oleh pihak yang membiayai pinjaman kepada syarikat,
  5. Geran teksi,
  6. Permit teksi,
  7. Salinan pendaftaran syarikat pemilik teksi yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat,
  8. Salinan kad pengenalan pembeli (pemandu) dan penjual (syarikat),
  9. Pengisian borang JPJ K3,
  10. Pengisian borang JPJ untuk penyaksian pengesahan identiti (TM-AB), satu pembeli dan satu penjual yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah,
  11. Surat syarikat kepada JPJ untuk memohon membatalkan Lesen Pembawa (lesen teksi),
  12. Surat syarikat yang membenarkan JPJ membatalkan Lesen Kenderaan Motor (LKM),
  13. Borang LPKP untuk memohon membatalkan permit teksi syarikat,
  14. Pendaftaran perniagaan atas nama individu yang mana jenis perniagaannya adalah PERKHIDMATAN TEKSI,

Alhamdulillah walaupun terlalu banyak rasanya..., dokumen-dokumen di atas saya perolehi juga setelah berusaha mendapatkannya sejak sekian lama.

Mengikut En. Mohamad juga, susunan langkah yang perlu saya buat adalah seperti berikut;-

  1. Mengecat kenderaan warna merah dan biru seperti dalam STK,
  2. Membuat booking dengan PUSPAKOM untuk menetapkan tarikh Pemeriksaan Awalan (biasanya 4 hari baru ditetapkan tarikh),
  3. Sementara menunggu tarikh Puspakom, bolehlah callibrate meter dahulu,
  4. Puspakom memeriksa kenderaan secara lengkap termasuk meter, brake, alignment dan lain-lain serta mengekuarkan borang pemeriksaan,
  5. Dengan dokumen yang telah lengkap ini, pemandu kena submit kepada LPKP permit asal untuk pembatalan lesen,
  6. Dengan semua dokumen yang lengkap mengemukakan kepada JPJ untuk membatalkan hak milik dituntut, menukar nama pemilik, membatalkan cukai jalan dan melesenkan kenderaan ini untuk dijadikan teksi,
  7. Mengemukakan dokumen dari JPJ ini kepada LPKP untuk mendapatkan permit baru yang asal,
  8. Mendapatkan insurans bagi kenderaan teksi (sekarang ini wajib first party),
  9. Mengemukakan dokumen berkaitan kepada JPJ semula untuk mendapatkan cukai jalan.

Fuh..., panjangnya proses dia..., tak apa..., mulai esok saya akan ikut step di atas satu persatu dan akan kongsikan kos-kos yang saya kena bayar. Harapnya slogan "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" benar-benar diamalkan oleh semua agensi kerajaan.



Gambar HWC5401 pada jam 5.25 ptg. 18hb. Ogos 2009

19hb. Ogos 2009 - Hantar kedai cat untuk cat wara biru kat bumbung dan bonet. Seminggu baru siap sebab kononnya nak cantik dengan warna 2K untuk satu body kereta. Bajet yang sepatutnya dalam RM400 dah jadi RM1,300.00 lebih. Tak bolehlah nak salahkan kerajaan pulak sebab sendiri yang gatal nak yang cantik ..., hehe.

25hb. Ogos 2009 - Pergi Puspakom Padang Jawa untuk buat booking Pemeriksaan Awalan. Perlu kemukakan Surat Tawaran Permit, Geran Asal, Pendaftaran Perniagaan dan Borang TR1 (meter). Dimaklumkan oleh Penyelia Puspakom untuk callibrate meter dulu supaya senang nanti tak payah buat 2 kali. Tarikh Pemeriksaan Awalan ditetapkan pada Hari Jumaat 28hb.8.2009 sebelum jam 3 petang.


26hb. Ogos 2009 - Kereta baru siap cat (lama betul, salah sendiri jugak), terus masuk bengkel untuk tukar tayar, alignment/balancing dan tukar brake pad. Lepas tu terus pergi callibrate meter kat BH Chan (kat Batu Cave), 5 minit siap (pekerja dia sambungkan cable dari komputer ke meter untuk setting dan seorang lagi siapkan borang TR1) tapi terbang jugak RM70.00. Memang buat duit betul tokey meter teksi nie (berangan jugak nak jadi tokey meter teksi lepas nie..., hehe).

28hb. Ogos 2009 (11.15 pagi) - Masuk queue di Puspakom Padang Jawa. Pukul 1.15 ptg. kereta telah diperiksa dan penyelia memaklumkan telah lulus (Alhamdulillah), cuma terpaksa datang semula selepas Jumaat untuk pemeriksaan visual oleh penyelia lain (sebab Pemeriksaan Awalan kut...) Lepas solat, masuk balik Puspakom.

2.40 petang seorang penyelia lain membuat pemeriksaan. Beliau memaklumkan telah lulus (Alhamdulillah sekali lagi..) dan meminta datang selepas 3 hari iaitu Hari Rabu (2hb. September 2009) untuk mengambil keputusan (terlupa nak pastikan dengan dia tarikh tu sebab Hari Isnin cuti Merdeka, tak apalah...., saya nak pergi Hari Rabu nanti untuk ambil keputusan tu - Insyaallah.

2hb. September 2009 - (3.00 ptg.) - Ambil keputusan pemeriksaan Puspakom. Alhamdulillah dah siap. Tak sempat nak uruskan pendaftaran hari ini kerana kena selesaikan urusan Koperasi.

3hb. September 2009 - 10.10pg. - Sampai ke kaunter LPKP untuk batal permit teksi lama (Koperasi). 1 minit je siap. Dia ambil yang asal, dua salinan dia cop "Batal", 1 untuk syarikat dan 1 untuk dikemukakan kepada JPJ. Terus pergi ke JPJ Padang Jawa untuk urusan selanjutnya.

11.15 pg. sampai ke kaunter JPJ Padang Jawa. Ambil nombor, tunggu 2 minit sahaja terus dipanggil ke kaunter 9. Kerani kaunter cek semua dokumen yang diserahkan dan memaklumkan kena pinda nombor rujukan STK di LPKP dan Puspakom. Patah balik LPKP,

2.00ptg. sampai ke kaunter, tunggu 5 minit, siap. Terus ke kaunter JPJ Padang Jawa semula.

3.55ptg. sampai, Alhamdulillah, telah berjaya mendaftar dan melesen semula teksi. Nombor plate baru HBA2416. Esok kena ke LPKP semula untuk keluarkan permit baru.

4hb. September 2009 - 9.34 pagi - Sampai kaunter LPKP, serah semua dokumen,

pukul 11.00 pagi tepat permit siap, Alhamdulillah. Cuma terdapat perbezaan sedikit pada Nombor Rujukan pada permit asal iaitu tiada kod (7) yang membawa maksud permit individu. Terus ke kaunter 9 untuk buat pindaan bagi mengelakkan terpaksa berulang-alik lagi jika dokumen di reject oleh JPJ. Sambil menunggu pindaan, terus buat kad pemandu. Alhamdulillah siap serentak.

Terus gi batal insurans lama dan beli insurans baru dengan UNI ASIA..., terpaksa first party beb...., terbang jugak RM2,500.00.

12.40 tengahari sampai ke JPJ Padang Jawa untuk keluarkan cukai jalan baru. 2 minit dipanggil tetapi belum boleh buat road tax sebab kenderaan kena dilesenkan dahulu dengan Bahagian Pelesenan JPJ.

2.25 ptg. sampai di Bhg. Pelesenan JPJ, ambil nombor..., ramai jugak orang dan terpaksa menunggu selama hampir satu jam.

3.19 ptg. nombor dipanggil, 2 minit selepas tu siap melesen. Terus ke kaunter bawah untuk keluarkan cukai jalan.

3.35ptg. nombor dipanggil tetapi tak boleh buat sebab tiada insurans dalam sistem JPJ. Saya minta kerani JPJ cek dengan pegawai apa masalah sebenar sebab saya te;ah beli insurans baru. 3 minit selepas itu Pegawai JPJ maklumkan insurans asal atas HWC5401 belum dibatalkan. Saya terus call Uni Asia dan maklumkan bahawa dia belum batalkan insurans atas teksi lama.

Selepas 20 minit, Uni Asia maklumkan pembatalan insurans lama telah berjaya dan insurans baru telah dikeluarkan. Terus ke kaunter semula dan cukai jalan berjaya dikeluarkan. Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah memudahkan segala urusan walaupun terdapat juga beberapa masalah berbangkit. Terus ke Bangi untuk buat nombor plate baru.

Jumaat, 7 Ogos 2009

Dipanggil Mengadap YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz

Pada Hari Selasa, 4hb. Ogos 2009, saya agak terkejut kerana dimaklumkan oleh En. Khairul Aszwan (Penolong Pengurus) bahawa Koperasi dipanggil ke pejabat YB. Menteri di tingkat 15 Bangunan Parlimen pada jam 10.30 pagi 5hb. Ogos 2009.

Beberapa jam kemudian saya menerima email yang menyatakan mengenai kesalahan seorang pemandu teksi eksekutif HWD4** milik Koperasi ini yang didapati berkasar dengan penumpang serta mencabar penumpang supaya membuat laporan kepada LPKP.

Tepat jam 10.15 pagi 5hb. Ogos 2009, saya bersama En. Zakuan (gambar bersama YB) tiba di pejabat YB di Bangunan Parlimen berjumpa dengan Pegawai Khas Bahagian Aduan (En. Mohammad Azahari). Selepas memberikan penjelasan kepada En. Mohammad Azahari, sempatlah juga berbual-bual...., rupa-rupanya kami pernah sama-sama terlibat dalam mogok pemandu Airport Limo (ALM) beberapa tahun dahulu. Beliau pada masa itu adalah merupakan pegawai ALM yang juga tidak berpuas hati dengan syarikat tersebut.

Tidak berapa lami kemudian, En. Azahari menerima panggilan dari Putrajaya yang memaklumkan YB panggil kami mengadap di pejabat beliau di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Presint 3 Putrajaya.

Dalam hati saya...., masya Allah..., risaunya..., maklumlah beberapa rakan sebelum ini bagitau yang beliau ini sangat 'tegas'. Pengalaman saya berdialog dengan beliau sebelum ini turut menggambarkan sedemikian.

Saya bersama En. Zakuan dan En. Azahari sampai terlebih dahulu di tingkat 9 bangunan BHEUU tersebut.

Sebaik YB. Menteri sampai, saya dan En. Zakuan dipanggil masuk ke dalam dan beliau terus menjelaskan kenapa beliau memanggil kami pada hari tersebut iaitu berhubung aduan yang beliau terima terhadap pemandu teksi HWD4**.

Saya terus memaklumkan bahawa Koperasi telah memanggil pemandu berkenaan dan juga akan menarik kenderaan yang disewa tersebut kerana melanggar penjanjian yang telah ditandatangani dengan Koperasi.

Dalam keadaan berdebar, sempat juga saya bertanya kepada beliau samada pemandu tersebut boleh merayu. Beliau menjelaskan boleh iaitu dengan mengemukakan surat kepada beliau.

Setelah mendengar penjelasan kami mengenai isu tersebut, beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang Koperasi berikan dan berharap Koperasi dapat bersama-sama dengan beliau untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia.

Akhir perjumpaan, sempat juga En. Zakuan menyampaikan cenderamata yang tidak seberapa kepada beliau. Nampaknya beliau sangat menghargai cenderamata yang tidak seberapa tersebut.

Kemesraan di sebalik ketegasan beliau semasa pertemuan tersebut nampaknya berjaya mengurangkan sedikit 'persepsi' negatif saya kepada beliau sebelum ini. Wallahu aa'lam