COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 22 November 2012

PANDUAN MENGURUSKAN KEWANGAN HARIAN TEKSI

Salam 1 Teksi. Posting kali ini sekadar perkongsian pengalaman dan idea sahaja. Jika pembaca merasakan pendapat saya ini salah, saya suka juga mendengar pendapat lain yang mungkin lebih baik dan saya boleh belajar dari tuan/puan juga... :-)

Sebagai pemandu teksi, kita sebenarnya adalah seorang peniaga yang menjual perkhidmatan kita kepada pelanggan. Dalam mana-mana perniagaan, kita sepatutnya membezakan entiti kita sebagai pemilik perniagaan  (perkhidmatan teksi) serta perkhidmatan yang kita tawarkan. Rujuk gambar di bawah..


Apa yang menjadi masalah selama ini ialah tidak mengasingkannya. Apa sahaja kutipan yang kita dapat, maka kita akan gunakan untuk apa sahaja samada untuk makan, minum, belanja kawan, beli barang dapur dan lain-lain. Maka hasilnya kita seperti tiada pendapatan tetap ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Untuk memudahkan kita menguruskan kewangan kita dengan lebih baik, saya cadangkan supaya kita menentukan berapakah gaji yang kita perlukan sebulan (contoh RM2,500.00 sebulan), kemudian kita tentukan pula berapa kos perkhidmatan teksi yang perlu perkhidmatan teksi yang kita jalankan ini menanggungnya, seperti sewa/ansuran bulanan, kos penyenggaraan, insurans dan lain-lain. Setelah kita menentukan peruntukan gaji dan kos operasi ini, maka kita akan dapat menentukan berapakah pendapatan yang perlu kita dapatkan setiap hari. Contoh pengiraan adalah seperti berikut;-

KOS PERKHIDMATAN TEKSI
PERKARA              RM

Gaji pemandu          2,500.00

Sewa/ansuran teksi          1,200.00

Kos penyenggaraan             200.00

Road tax/Puspakom dll             100.00

Tabungan kecemasan             200.00

Toll, makan, minum semasa bertugas             300.00
JUMLAH TAMBANG PERLU DIKUTIP SEBULAN          4,500.00
JUMLAH PURATA TAMBANG HARIAN (26 HARI)             173.08

Selepas kita menentukan kadar gaji dan kos operasi yang lain seperti di atas, maka jangan lagi kita menggunakan kesemua kutipan harian kita seperti sebelum ini. Cara mudah untuk mengelakkan diri kita menggunakan wang kutipan harian sewenangnya ialah dengan mendapatkan sejumlah wang sebagai modal pusingan. Contohnya dapatkan modal pusingan sebanyak RM300.00 dan wang ini hanya digunakan untuk menampung kos operasi sahaja. Kutipan tambang yang kita dapat pula terus disimpan di dalam akaun bank. Jika wang RM300 tadi telah kehabisan, maka keluarkanlah lagi RM300 untuk membiayai kos operasi bagi hari berikutnya. Cukup sebulan, kita keluarkanlah dari akaun bank RM2,500.00 sebagai gaji kita dan lain-lain jumlah untuk bayaran sewa/ansuran bulanan dan lain-lain. Hanya wang gaji RM2,500.00 sahaja kita gunakan untuk menyara diri dan keluarga. Jangan lupa, kita kena pastikan juga hasil tambang yang kita kutip sekurang-kurangnya RM4500 sebulan atau purata RM173.08 sehari. Nak gaji lebih..? mahirkanlah diri anda dengan perkhidmatan teksi serta "work smarter and harder".

Mungkin ada yang akan kata "mana boleh kita mendapat RM173 sehari, nak dapat RM100 pun susah. Kita ini ditekan lagi dengan tokey teksi yang zalim, kerajaan zalim tak bagi permit individu, saman AES lagi kena bayar, saman SPAD, saman JPJ, orang asing pun bawak teksi sekarang, teksi dah berlambak sangat..., bla-bla...."

Pendapat saya, di satu sudut kita patut meluahkan masalah yang kita tanggung selama ini dan kita berhak berjuang untuk menuntut sesuatu yang lebih baik. Ambillah kesempatan diambang pilihanraya ini untuk menuntut sesuatu (yang baik) untuk diri dan komuniti kita. Namun, di satu sudut yang lain, kita mesti akur bahawa bukan semua yang kita hendak kerajaan akan bagi. Nanti kalau kerajaan baru mengambil alih pimpinan negara pun, mustahil bagi mereka memenuhi kesemua kehendak kita. Maka untuk mengatasi halangan ini, kita sendiri kena berusaha dan berubah. Hidup dalam keadaan yang sentiasa rasa benci serta marah kepada orang lain hanya akan membuatkan diri kita bertambah derita. So, be positive..., jangan terlalu negative.