COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 28 Disember 2010

Kenapa Permasalahan Teksi Berlarutan

Menyambung mengenai mesyuarat antara pengusaha teksi berkupon dengan LPKP yang dihadiri saya beberapa minggu lepas, Pengerusi Mesyuarat (Cik Maslina - Bahagian Dasar dan Pembangunan Usahawan LPKP) telah meminta pandangan atau cadangan dari pengusaha untuk menyelesaikan permasalahan teksi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini. Dato’ Aslah dari Destination Transport menyanggupi untuk mengemukakan cadangan tersebut. Saya yakin bahawa pandangan beliau nanti memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pemandu kerana beliau juga pernah menjadi pemandu teksi sebelum menjadi pengusaha. Saya tidaklah menyanggupinya kerana saya bukanlah orang yang terlebih bijak serta punyai masa yang banyak.

Berkenaan permasalahan teksi ini, saya melihat ia berpunca dari atas, maksud saya dari pembuat dasar. Mungkin pandangan ini agak kontras dengan sebahagian orang yang hanya menuding kepada pemandu semata-mata dalam setiap permasalahan yang timbul sehingga seolah-olah dasar pengangkutan teksi kita telah 100% sempurna, pemandu teksi sahaja tidak tahu bersyukur.

Cuba kita lihat dasar pemberian permit kepada syarikat yang menyebabkan syarikat mengambil untung tanpa mempedulikan nasib pemandu. Bagaimana pula dengan dasar warna-warna teksi yang pelbagai sehingga menyebabkan pengguna keliru. Lihat pula dasar jenis teksi dari jenis bajet, premier, eksekutif dan kemungkinan wujudnya jenis-jenis teksi baru di masa akan datang adalah tinggi sesuai dengan tingginya kemungkinan rombakan kabinet nanti.

Dasar pemberian permit teksi kepada individu juga seolah-olah kerajaan tiada hasrat memperbaiki mutu perkhidmatan teksi. Cuba lihat di majlis-majlis pemberian permit teksi individu ini, dengan mudah kita bertemu dengan pemandu yang berpakaian selekeh, berseluar jeans, berambut panjang, dan memakai baju dengan membuka butang di dada. Pemandu yang berpakaian ala taliban seperti di pergunungan Khunduz (Afghanistan) pun tidak kurang juga. Ada juga penerima permit individu ini tidak tahu berbahasa Melayu sedikit pun, malah ramai juga pemandu yang tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris (mungkin kerajaan beranggapan pemandu jenis ini akan hanya membawa penumpang bangsa sendiri sahaja).

Begitu juga dengan dasar monopoli syarikat ALM di KLIA sehingga menyebabkan pemandu ditekan dengan kadar sewa yang tinggi. Bayangkan bagi sebuah Proton Waja, syarikat lain hanya mengenakan kadar sewa antara RM50-55 sehari, tetapi di ALM ini, kadar sewa kenderaan yang sama (dikatakan) mencecah RM130.00 sehari. Pengguna juga terpaksa membayar kos tambang yang tinggi, walhal kalau teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di KLIA, kadar tambang limousin (baca teksi) sekarang boleh diturunkan sehingga 40%. Ini kerana pemandu teksi tersebut telah mendapat penumpang ke KLIA, jadi dengan kos yang sama (tidak lagi balik kosong) mereka boleh membawa penumpang ke KL semula.

Setiap manusia termasuk pemandu memerlukan pembelajaran berterusan. Mereka perlu diajar mengenai bagaimana mengira pendapatan, bagaimana membelanjakan pendapatan, bagaimana memberikan perkhidmatan yang baik (customer servis), bahasa antarabangsa, promosi dan sebagainya. Mereka juga perlu diterapkan dengan kehidupan beragama yang melarang mereka mengambil hasil yang haram. Apakah kita punyai dasar pendidikan pemandu seperti ini.

Saya bukanlah maksudkan latihan pemandu seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu dengan mengenakan kursus wajib setiap tahun dan pemandu perlu membayar ribuan ringgit untuk mendapatkannya sebelum diluluskan pembaharuan lesen memandu teksi. Pemandu tidak perlu lagi diajar memandu, mereka sudah pandai memandu, kita bukan nak jadikan mereka pemandu Formula 1. Yang saya maksudkan ialah kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi menjalankan latihan ini yang boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri.

Saya percaya bahawa kualiti perkhidmatan teksi yang terbaik lebih diperlukan oleh negara dan rakyat dari menara 100 tingkat yang bakal dibina. Berbangga kah kita dengan bangunan itu sekiranya dikelilingi oleh pemandu potong leher seperti di KLCC sekarang ini?. Wallahuaa’lam.

Isnin, 20 Disember 2010

SISTEM KAUNTER TEKSI vs TEKSI BERKUPON


Beberapa minggu yang lepas saya bersama beberapa pengusaha teksi berkupon dijemput menghadiri satu mesyuarat di Ibu pejabat LPKP mengenai cadangan LPKP untuk menukar sistem teksi berkupon kepada sistem “kaunter teksi”.

Berdasarkan pemahaman saya dari taklimat yang disampaikan pegawai LPKP, Sistem Kaunter Teksi bermaksud satu pengurusan teksi yang diselenggarakan oleh satu kaunter pengurusan bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan teksi yang lebih murah iaitu dengan menggunakan meter selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

LPKP memaklumkan bahawa sistem teksi berkupon bagi sesetengah destinasi mendapat aduan dari pelanggan kerana terlalu mahal. Walau pun demikian, isu terbesarnya ialah kadar tambang bagi sistem kupon terlalu sukar di gazet kan kerana sukarnya menetapkan garis panduan harga bagi sesuatu destinasi berikutan jarak dan masa perjalanan adalah bergantung pada keadaan jalan raya pada waktu perjalanan tersebut dibuat.

Oleh yang demikian, LPKP mencadangkan sistem kupon ini ditukarkan kepada penggunaan meter sepenuhnya. Kaunter pengurusan dibenarkan pula mengenakan caj sebanyak RM2.00 bagi setiap trip kepada penumpang yang menggunakan teksi di kaunter tersebut.

Harapan LPKP, dengan penggunaan sistem ini, pengguna akan lebih berpuas hati terhadap tambang yang dikenakan kerana ia adalah berdasarkan meter. Di samping itu, LPKP telah pun menggazet kan kadar surcaj RM2.00 ini.

Dari sudut perundangan, kelihatan cadangan baru LPKP ini adalah lebih baik, namun demikian, berdasarkan realiti, timbul beberapa persoalan di fikiran saya yang antaranya;-

Dengan perubahan sistem kupon kepada sistem kaunter teksi dengan surcaj RM2.00 ini;-

  1. Adakah penumpang akan bersetuju untuk membayar surcaj RM2.00 ini sedang mereka masih belum yakin kepada pemandu sama ada mereka akan menggunakan laluan paling dekat?
  2. Adakah penumpang bersetuju bayar RM2.00 walhal mereka masih khuatir kalau-kalau meter teksi yang dinaiki telah diubahsuai menjadi laju?
  3. Apakah pengurusan “kaunter teksi” boleh memastikan pemandu menggunakan laluan meter teksi yang betul selepas menerima bayaran RM2.00 bagi setiap trip tersebut?

Tanpa ingin menyanggah pendapat LPKP, saya berpendapat, buat masa ini, sistem teksi berkupon adalah yang terbaik kerana;-

  1. Penumpang telah mengetahui satu harga yang tetap untuk sampai ke sesuatu destinasi,
  2. Pemandu tidak akan mencari jalan jauh atau berpusing-pusing 2-3 pusingan untuk sampai ke sesuatu destinasi kerana kadar bayaran adalah sama,
  3. Penumpang tidak perlu risau dengan meter roket lagi, dan
  4. Pemandu juga tidak perlu lagi berasa sangsi dengan penumpang yang menganggap mereka menipu walhal hanya sebahagian pemandu yang sedemikian.

Saya akui bahawa sistem terbaik bagi perkhidmatan teksi ini adalah dengan menggunakan meter sepenuhnya. Namun, apakah kita khususnya LPKP dapat menguatkuasakan dengan tegas penggunaan meter ini sehingga 98% pemandu teksi mematuhinya. Jika KPI ini dapat dicapai oleh LPKP atau SPAD yang menggantinya nanti, saya yakin persepsi masyarakat umum dan pelancong kepada perkhidmatan teksi di Malaysia akan berubah.