COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Ahad, 26 September 2010

DERITA SEORANG KETUA

Saya bukanlah seorang pemimpin besar, hanya sebagai Setiausaha kepada Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang dianggotai oleh 529 orang ahli dan 27 orang kakitangan sahaja.

Ramai mungkin merasakan seronok dan teruja untuk menjadi ketua, namun sebenarnya kita kelak akan dibebankan dengan tanggungjawab yang banyak dan tidak mampu ditunaikan. Semoga baik dan buruk catatan ini menjadi pedoman dan sempadan kepada kita semua.
  1. Sebagai ketua sebenarnya saya tidak punya kuasa pun, sebab kuasa itu hanya dipertanggungjawabkan ke atas saya. Seringkali saya dipersoalkan semula atas apa jua masalah yang dihadapi oleh orang bawahan saya.
  2. Saya terpaksa mengecewakan ramai orang untuk menggembirakan orang lain yang lebih ramai.
  3. Apabila saya marah, saya tidak pernah dapat melepaskan kemarahan saya mengikut kehendak saya demi menjaga organisasi yang saya pimpin.
  4. Saya terpaksa menerima cacian dan makian dari sebilangan yang lain demi untuk memuaskan hati sebilangan yang lain pula.
  5. Saya hampir tidak pernah menerima pujian ikhlas apabila usaha atau keputusan saya memberikan kejayaan.
  6. Namun begitu saya tidak pernah lepas dari dicerca atas setiap kesilapan yang dilakukan.
  7. Saya terpaksa membuat keputusan walaupun saya tidak tahu yang manakah keputusan terbaik.
  8. Saya terpaksa menjadi lebih pandai dari orang bawahan saya lebih-lebih lagi ramai dari mereka punyai kelulusan yang lebih jauh tinggi.
  9. Saya terpaksa membiarkan diri dimusuhi oleh rakan baik demi memastikan agenda organisasi dijayakan.
  10. Saya terpaksa bersedih seorang diri apabila sekian ramai yang dahulunya rakan karib tetapi kini memusuhi saya kerana tanggungjawab yang saya tanggung ini.
  11. Kerana banyaknya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, saya terpaksa cepat mempercayai dan memberikan tanggungjawab kepada orang-orang yang sanggup menolong saya walaupun selalunya, selepas beberapa tempoh, baru saya menyedari mereka tidak ikhlas bahkan menikam saya di belakang.
  12. Saya sentiasa terpaksa menekan perasaan sendiri apabila berurusan dengan orang bawahan yang bermuka-muka di hadapan saya. Kerana ini adalah tanggungjawab saya sebagai ketua kepada semua orang bawahan/ahli organisasi saya.
  13. Seringkali terpaksa mengikut gerak hati kerana bersangka baik kepada orang walaupun sebenarnya saya dipergunakan.
  14. Saya terpaksa mendahulukan orang bawahan sehinggakan gaji staff saya pun melebihi elaun saya.
  15. Tetapi akhirnya apabila satu sahaja permintaan ditolak, orang yang selama ini sentiasa saya dahulukan telah mendakwa saya tidak adil, jahat dan takut mereka menjadi ancaman kepada saya.
  16. Kini, apabila nama baik Koperasi dipandang serong, saya terpaksa bertegas mengenakan hukuman walaupun saya sedar bahawa akhirnya sayalah yang akan dilihat sebagai diktator, berhati busuk, pendendam dan tidak bertimbangrasa.
"Ya Allah, sesungguhnya dengan ilmu, akal fikiran dan gerak hati ku yang engkau anugerahkan ini, aku percaya bahawa tindakan tegas yang akan aku ambil nanti adalah yang terbaik. Engkau berikanlah petunjuk-Mu dan balikkanlah hatiku jika keputusan ini sebenarnya adalah salah lagi batil. Berikanlah taufiq dan hidayah-Mu akan tindakan-tindakan lain yang lebih tepat Ya Allah"

"Namun, aku bersyukur Ya Allah, kerana walaupun tidak ramai, sentiasa engkau utuskan kepadaku ahli-ahli biasa yang memberikan kata semangat dan nasihat kepada ku untuk neneruskan perjuangan ini. Segala perit yang diharungi terasa bagai tiada apa-apa apabila melihat kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi"

Isnin, 20 September 2010

Teksi di Kolej Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya


  1. Baru-baru ini saya dipanggil oleh Ybhg. Dato' Nazaruddin, salah seorang "Vice President" Lim Kok Wing bagi membincangkan mengenai masalah yang ditimbulkan oleh sebahagian pemandu teksi di sana seperti pelajar antarabangsa dirompak, dicabul dan malah dirogol oleh pemandu teksi,
  2. Kes terkini adalah apabila seorang dari pelajar antarabangsa yang kebetulan keluarga kepada seorang duta kerajaan asing di Kuala Lumpur telah dipukul oleh seorang pemandu teksi,
  3. Pemandu teksi di sana pada hari ini tidak menggunakan meter dan mengenakan tambang ikut sedap mulut mereka sahaja,
  4. Didapati juga tiada pengawasan berterusan oleh LPKP terhadap pemandu teksi di Lim Kok Wing,
  5. Saya telah menjelaskan bahawa Koperasi telah sejak sekian lama cuba membantu dengan cadangan melaksanakan sistem teksi berkupon di Lim Kok Wing yang tidak diluluskan oleh LPKP atas alasan tertentu,
  6. Antara alasannya juga yang saya dengar adalah kerana sistem kupon tidak lagi digalakkan kerana kadar meter teksi telah dinaikkan.
  7. Ybhg. Dato' Naza dalam perjumpaan tersebut meminta agar Koperasi dapat mewujudkan kerjasama dengan semua persatuan dan pemandu teksi individu di Lim Kok Wing untuk mendaftarkan pemandu-pemandu ini serta memberikan mereka sticker khas agar mudah dikenali oleh pengurusan apabila berlaku sebarang masalah. Sticker ini juga akan tidak menggalakkan pemandu melanggar peraturan kerana mereka sedar bahawa mereka dikenali oleh pengurusan Lim Kok Wing,
  8. Sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, KPPCB telah memanggil Pengerusi dan Jawatankuasa 3 persatuan teksi di Cyberjaya iaitu Persatuan Pemandu Teksi Multimedia University, Persatuan Pemandu dan Tuan Punya Teksi dan Kereta Sewa Dengkil dan Cyberjaya dan Persatuan Pemandu Teksi Pulau Meranti, Puchong, untuk membincangkan permohonan oleh pihal Lim Kok Wing ini,
  9. Hasil dari perbincangan, Koperasi telah mengemukakan senarai dan butiran lengkap 153 orang pemandu kepada Lim Kok Wing. Pihak Lim Kok Wing pula meminta agar hanya teksi ini sahaja dibenarkan beroperasi di hadapan kolej,
  10. Saya menjelaskan bahawa mengikut peraturan LPKP, semua teksi bandar boleh beroperasi di mana-mana kawasan di Lembah Kelang kecuali KLIA dan LCCT. Menghadkan hanya teksi yang berdaftar sahaja adalah menyalahi peraturan LPKP,
  11. Pihak Lim Kok Wing mempertikaikan peraturan LPKP ini kerana mereka sendiri gagal membantu menguatkuasakan disiplin pemandu di hadapan Lim Kok Wing, bagaimana pula mereka boleh menghalang usaha pihak lain untuk mendisiplinkan mereka,
  12. Sebagai penyelesaian, saya mencadangkan agar Lim Kok Wing mendapatkan perintah dari YDP Majlis Perbandaran Sepang agar "hanya pemandu teksi yang dibenarkan sahaja boleh mengambil penumpang di perhentian teksi" yang dibina Majlis di hadapan kolej tersebut,
  13. Entah lah..., pastinya sebilangan pemandu yang tidak didaftarkan nanti akan membuat aduan kepada LPKP dan sekali lagi KPPCB mungkin diberikan surat tunjuk sebab atau saman,
  14. Matlamat pengurusan Lim Kok Wing adalah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi yang terurus agar senang bagi mereka membincangkan isu-isu berbangkit serta mengelakkan penjenayah yang menyamar sebagai pemandu teksi menyamun, merompak atau merogol pelajar mereka. Tidak nampak yang LPKP berupaya memastikan perkara ini.
  15. Jika begitu, LPKP perlu mendengar masalah yang dihadapi pengurusan Lim Kok Wing ini serta memberikan jalan penyelesaian terbaik.