COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Isnin, 21 Disember 2009

Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26

  1. Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 (PKTA-26) telah dilangsungkan di Dewan Merdeka PWTC pada 19hb. Disember 2009.

  2. Selaku Setiausaha Kehormat KPPCB, saya telah diamanahkan untuk mewakili KPPCB persidangan tersebut yang dihadiri 0leh 2900 orang perwakilan dari 1900 buah koperasi yang menjadi ahli Angkasa.

  3. Suasana di Dewan PWTC nampak hangat dengan aktiviti kempen oleh calon-calon yang bertanding.

  4. Pada saya, kempen yang menceritakan kebolehan dan pengalaman calon tidaklah menjadi masalah, yang menjadi masalah ialah kempen yang memburukkan calon lain samada dengan cara fitnah atau serangan peribadi.

  5. Antara kempen yang dihebahkan termasuk kepada saya ialah berkenaan (1) penyelewengan kuasa dan harta oleh calon YDP (2) Penggunaan gelaran Dato' dari Indonesia (3) Pembabitan calon dengan Al-Arqam sebelum ini (4) Perbuatan merasuah dan menebar wang di kalangan perwakilan.

  6. Berhubung dengan kempen yang menyatakan seorang calon menebarkan wang kepada perwakilan untuk membeli undi, agak pelik apabila saya sendiri tidak menerimanya. Memandangkan tiadanya siapa pun dari calon-calon tersebut (atau wakil mereka) yang menghubungi saya untuk membeli undi, saya menganggap tuduhan rasuah untuk membeli undi ini tidak berlaku.

  7. Tahun ini adalah tahun pertama saya menghadiri persidangan ini, jadi tidaklah layak bagi saya untuk membezakan antara Persidangan Angkasa dahulu dan sekarang, tetapi seorang rakan dari Koperasi Felcra Kuala Kangsar memaklumkan bahawa kempen untuk merebut jawatan tidak pernah sehebat pada persidangan pada kali ini.

  8. Perjalanan persidangan agak teratur dan selesa, walaubagaimanapun perbahasan isu agak hangat dengan teguran, tuduhan, perli-memperli dan kata-mengata. Agak malang apabila persidangan tahunan yang sebegitu penting ini hanya dimomokkan dengan isu yang sama dan berulang-ulang di kalangan perwakilan yang bercakap.

  9. Saya turut mengambil kesempatan bercakap semasa membahaskan Laporan Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa. Angkasa sebagai sebuah Koperasi Apex (induk) perlulah membanyakkan lagi kursus, seminar, bengkel dan malahan projek yang boleh menggalakkan koperasi bekerjasama sesama mereka sesuai dengan prinsip ke-6 koperasi. Dengan 7000 buah koperasi dan 7 juta manusia rakyat Malaysia menjadi anggotanya, kenapa gerakan koperasi hanya menyumbang 1% dari KDNK negara?. Saya mengetengahkan pendapat saya bahawa punca kegagalan ini ialah kerana tiadanya "kerjasama" di kalangan koperasi walhal "kerjasama" ini adalah prinsip atau rukun koperasi. Realitinya koperasi di malaysia hidup sendiri-sendiri dan tiada sifat tolong menolong sesama mereka. Kalaulah kita dapat mengembelengkan kerjasama dikalangan 7 juta rakyat Malaysia (yang menjadi ahli koperasi) untuk membeli produk-produk keluaran koperasi, bayangkan betapa besarnya faedah yang akan diperoleh gerakan ini disamping dapat mengawal harga barang dan lain-lain.

  10. Proses pengundian bagi memilih Ahli Jawatankuasa Tertinggi juga berlangsung dengan lancar dan terkawal walaupun wujudnya persaingan sengit antara Prof. Dato' Mohd Ali Baharum dan Tn. Hj. Mustafa Kamal Maulut untuk merebuh jawatan YDP. Penyandang jawatan nampaknya berjaya mengekalkan jawatan dengan kebebihan hanya 47 undi.

  11. Akan diperturunkan sedikit rakaman video persidangan dan gambar-gambar sebagai renungan.

Ahad, 20 Disember 2009

Konvensyen Hala Tuju Baru Angkasa


  1. Pada 18hb. Disember (Jumaat) saya telah di amanahkan mewakili KPPCB menghadiri Konvensyen Halatuju Angkasa yang diadakan di PWTC.

  2. Sebuah kertas kerja bertajuk "HALA TUJU DAN STRATEGI BARU UNTUK PENGUKUHAN ANGKASA" telah dibentangkan dengan panjang lebar oleh YDP Angkasa (Dato' Professor Mohd Ali Baharum).

  3. Antara kandungan kertas kerja tersebut menyentuh mengenai agenda Angkasa, latar belakang, rasional perubahan, analisa SWOT dan mencadangkan penetapan 4 elemen utama untuk kejayaan Angkasa di masa hadapan iaitu (1) Memperkasakan BPA (biro yang menguruskan potongan gaji kakitangan kerajaan) (2) Mengukuhkan kewangan Angkasa (3) Menceburi perniagaan baru (4) Penstrukturan semula organisasi.

  4. Untuk memperkasakan BPA, Angkasa akan memastikannya ianya adalah perkhidmatan yang berwibawa dan diyakini, meluaskan skop perkhidmatan yang strategik, meningkatkan kecekapan (setaraf bank), mengekalkan pelanggan utama disamping menambah pelanggan baru serta memastikannya sebagai peneraju perkhidmatan dengan kos terendah. Koperasi kredit juga akan dibantu untuk mendapat keyakinan dan minat masyarakat kepada produk kewangan koperasi dengan menggabungkan koperasi kredit bersaiz kecil serta meningkatkan profesionalisme mereka dalam aspek pemasaran, pengurusan dan khidmat komputer.

  5. Bagi mengukuhkan kewangan Angkasa, digariskan rancangan untuk menceburi perniagaan baru jangka pendek (perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan) dan jangka panjang (Bank Angkasa). Polisi pelaburan ditetapkan bagi memenuhi manfaat ahli, pulangan cepat (ROI > 8%), tidak bersaing dengan ahli, menjadi pelengkap kepada perniagaan ahli, risiko minima dan pematuhan syariah.

  6. Skop perniagaan yang digariskan bagi mengukuhkan kewangan Angkasa ini antaranya ialah (1) Insurans (2) Pembungkusan produk Koperasi, penjenamaan dan pemasaran (termasuk eksport) (3) Busana (pakaian sekolah), buku dan alat tulis (4) Agen zakat (5) Perladangan (6) Hartanah (7) Land Bank (membeli tanah2 murah dari kerajaan atau tanah-tanah terbiar) (8) Saham (9) Wakaf (10) Melabur dalam projek koperasi ahli yang berdayamaju.

  7. Cadangan mewujudkan Bank Angkasa (yang menarik minat saya) juga dihuraikan dengan detail. Begitu juga Skim Tabarru' (takaful), wakaf koperasi, tanggungjawab sosial dengan menubuhkan Pasukan Sukarelawan Koperasi dan penubuhan Yayasan Angkasa.

  8. Bagi merealisasikan misi ini, turut dicadangkan agar struktur organisasi Angkasa dirombak semula.

  9. Sekejap fikiran saya mengerawang ke angkasa lepas betapa gahnya gerakan koperasi di Malaysia ini nanti dengan berjayanya rancangan-rancangan yang digariskan diatas.

  10. Berbalik kepada realiti (selepas berangan sebentar), esok 19hb. 12. 2009 akan diadakan pemilihan semula jawatan Yang Dipertua Angkasa yang mana Prof Ali mempertahankan jawatan tersebut.

  11. Jawatan ini dicabar sengit oleh Tn. Hj. Mustafa Kamal Maulut (Naib YDP) yang juga mengemukakan manifesto yang tidak kurang hebatnya.

  12. Kelihatan konvensyen yang dianjurkan ini sebenarnya (mungkin) bertujuan untuk menyaingi manifesto pencabar.

  13. Jika ini benar, Angkasa tidak akan sampai ke angkasa lepas, malah akan kekal di bumi terpalit dengan "persepsi" rasuah, penyelewengan, penyalahguaan kuasa disamping mewujudkan lebih ramai kakitangan kerajaan yang menjadi mangsa ALONG berlesen yang berlindung disebalik logo Angkasa itu. Wallahuaa'lam.

Sabtu, 12 Disember 2009

PERKHIDMATAN TEKSI YANG TERUK DAN TANDAS YANG KOTOR


  1. Baru-baru ini YB. Menteri di JPM (Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz) mendedahkan berkenaan kualiti perkhidmatan teksi di Malaysia pada mata pelancong berada di tempat yang pertama teruk. Di tempat kedua pula ialah tandas-tandas awam di Malaysia yang kotor.

  2. Berikutan itu (keesokannya), Persatuan Usahawan Pemilik Teksi Eksekutif Malaysia (Pupteksm) mengadakan perhimpunan bagi membantah sekeras-kerasnya kenyataan tersebut selain mendesak YB. Menteri menyerahkan portfolio LPKP kepada kementerian lain.

  3. Turut kelihatan dalam perhimpunan ini seperti yang disiarkan dalam akhbar-akhbar ialah Presiden Petekma (Tn. Hj. Yusoff Lahir). Seakan-akan terdapat dendam lama antara dua tokoh ini yang tidak mampu saya jelaskan.

  4. Mengulas mengenai desakan menyerahkan portfolio LPKP ini, YB. Menteri sekali lagi mengeluarkan kenyataan pedas dengan menyifatkan tindakan (desakan beliau meletakkan jawatan) sebagai kerja bodoh.

  5. Beliau juga mengeluarkan kenyataan bahawa "sepatutnya persatuan-persatuan teksi mengambil tindakan kepada ahli-ahli yang melanggar peraturan, bukan mendesak beliau meletakkan jawatan".

  6. Kenyataan ini tersasar jauh kerana kuasa sebenar bagi mengambil tindakan kepada pemandu yang melanggar peraturan ialah LPKP dan JPJ. Persatuan kalaupun boleh mengambil tindakan, hanyalah dengan memecat keahlian, tetapi lesen memandu, permit teksi dan lain-lain adalah di bawah kuasa LPKP dan JPJ sepenuhnya.

  7. Selaku pemandu teksi, saya secara peribadi mengakui fakta bahawa kualiti perkhidmatan teksi yang saya terlibat ini masih rendah, namun tidak berpuas hati dengan cara YB Menteri memberikan kenyataan kepada media.

  8. Walaupun marah dengan kenyataan beliau, memandangkan terdapat kebenaran di dalamnya, terpaksalah saya mengaku kebenaran ini walaupun ianya pahit.

  9. Tetapi kenyataan "pahit" ini sebenarnya tidak perlu ditanggung oleh pemandu teksi sahaja, kerana kegagalan perkhidmatan teksi sebahagian besarnya disumbangkan oleh dasar-dasar yang salah dan penguatkuasaan yang lemah.

  10. Sebagai Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga LPKP, sudah tentulah beliau perlu menanggung tanggungjawab yang lebih besar berbanding "pemandu teksi potong leher" yang berleluasa itu.

Isnin, 7 Disember 2009

PEMANDU TEKSI DAN 'METER' NYA



  1. Julai lalu kerajaan telah mengumumkan kenaikan kadar tambang meter teksi yang tak kurang juga ditentang oleh pengguna.

  2. Tak kurang juga para persatuan teksi mempertahankan kenaikan ini disamping mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.

  3. Kenaikan tambang mula bagi 1 KM pertama atau 3 minit dinaikkan dari RM2.00 kepada RM3.00 (kenaikan 50%).

  4. Kenaikan caj bagi bacaan jarak ialah dari 10sen bagi setiap 150 meter kepada 13 sen bagi jarak yang sama (kenaikan 33%). Kadar sekarang menjadi 10sen bagi setiap 115 meter.

  5. Kadar caj panggilan dinaikkan 100% dari RM1.00 kepada RM2.00.

  6. Kenaikan ini sebenarnya agak tinggi berbanding kenaikan 30% yang diwar-warkan dalam media sekalipun surcaj penggunaan bonet dan surcaj bilangan penumpang tidak lagi dikenakan.

  7. Di Putrajaya, pemandu yang dahulu mendapat RM150.00 sehari kini boleh mendapat RM195.00 (kenaikan RM45.00),Berdasarkan anggaran ini, sebulan pemandu boleh minikmati kenaikan pendapatan sebanyak RM1,170.00 jika dia bekerja selama 26 hari.

  8. Pada 28hb. Sept. 2009 (lebih kurang jam 8.00 mlm.) saya melalui Kompleks Alamanda, kelihatan 2 rakan pemandu teksi sedang menunggu dan saya berada di queue nombor 3, tetapi 2 orang pelajar Uniten terus pergi ke kereta saya dan meminta saya menghantarnya ke Uniten.

  9. Saya menjelaskan yang dia sepatutnya menaiki teksi di hadapan. Dia menjelaskan yang pemandu itu tidak mahu pergi.

  10. Saya terus bertanya kepada rakan yang saya kenal ini kenapa dia tidak mahu hantar penumpang tersebut.

  11. Jawapan selamba yang saya dapat ialah "aku minta RM20.00...., dia tak nak....".

  12. Setelah 2 rakan di hadapan beredar dengan penumpang lain (yang bersetuju dengan harga potong...), saya memanggil pelajar Uniten tersebut dan menghantarnya ke Uniten (saya terpaksa menunggu teksi depan keluar dahulu, kalau tidak saya akan dituduh "merosakkan tambang").

  13. Bacaan meter teksi saya hanya menunjukkan RM9.70.

  14. Pada 10hb. Okt. 2009 jam lebih kurang 7.00 ptg. 2 orang penumpang dari Alamanda mengadu dengan saya yang pemandu sebelum saya meminta RM20.00 untuk ke Marriot Putrajaya yang jaraknya hanya 7KM dan tempoh perjalanan hanya 5 minit.

  15. Pada 21hb. 11, saya telah menghantar penumpang dari PICC ke KL International Hotel, setelah menurunkan penumpang, terdapat 6 orang pelancong India menahan teksi saya beserta sebuah teksi lain untuk ke Sentral Market.

  16. Pemandu di belakang saya terus deal harga dengan penumpang dan dengan selambanya memberitahu saya "RM15.00 ye...., jangan pakai meter".

  17. Posting Pemandu Teksi (rakan blogger) bertajuk "Teksi Potong di Mont Kiara" mengesahkan lagi bereluasanya pelanggaran peraturan ini.

  18. Saya agak bersetuju bahawa pemandu teksi bersalah kerana tidak menggunakan meter.

  19. TETAPI SAYA LEBIH BERSETUJU BAHAWA LPKP TURUT BERSALAH KERANA MEREKA MEMBUAT PERATUTAN TETAPI TIDAK MAMPU MENGUATKUASAKANNYA.