Alhamdulillah Misi Kemanusiaan Komuniti Teksi yang bertujuan untuk mengumpul kutipan dari kalangan ahli-ahli persatuan teksi dan orang awam berjaya juga dilaksanakan. Walaupun sasaran asal program ialah kutipan tunai sebanyak RM20,000.00, namun kekangan masa serta ketiadaan pengalaman menyebabkan hanya RM9,610.55 sahaja yang berjaya dikutip. Namun, ini tetap membuktikan komuniti teksi sentiasa peka dan sedia membantu masyarakat yang ditimpa bencana.
Terlebih dahulu, saya bagi pihak rakan-rakan yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada En. Saiful Nizam (Kuala Lumpur Taxi Driver Club - KLTDC) dan En. Kamal (Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia) atas cetusan idea bagi usaha ini. Saya bagi pihak KPPCB dan GKPMB hanya sekadar membantu bagi menjayakannya.
Untuk makluman semua penderma, jumlah kutipan yang diperolehi melalui persatuan dan koperasi teksi yang terlibat adalah seperti berikut;-
- Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Bhd : RM1,000.00
- Koperasi Pengangkutan Putrajaya & Cyberjaya Bhd. : RM3,724.55
- Pemandu dan penumpang teksi Putrajaya Sentral : RM1,936.00
- Tabung Lembaga KPPCB : RM700.00
- Kuala Lumpur Taxi Driver Club : RM615.00
- Persatuan Pemandu Teksi Berwawasan Putrajaya dan Selangor : RM460.00
- Koperasi Jurupandu Usahawan Limosin KLIA Bhd. : RM215.00
- Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia : RM140.00
- Mohd Amir bin Mohd Nin : RM140.45
- Mohd Kamal bin Mohd Shariff : RM680.00
JUMLAH SUMBANGAN DITERIMA : RM9,611.00
Semua sukarelawan yang terlibat dalam misi ini telah bersetuju untuk mengagihkan sumbangan ini dengan bekerjasama dengan kariah Masjid Al-Falah USJ 9 bagi membina bangsal sementara kepada penduduk Kuala Krai, Kelantan. Anggaran kos bagi bangsal ini ialah sekitar RM2,000.00 seunit. Komuniti teksi menyumbangkan RM4,000.00 bagi membina 2 unit bangsal sementara ini.
Bagi menyampaikan sumbangan seterusnya, kami telah bersetuju menghantar 4 orang wakil komuniti teksi untuk bersama-sama rombongan Masjid Al-Falah USJ 9 ke Kuala Krai pada 19 hingga 21 Februari ini. Baki sumbangan akan diagihkan samada dengan cara membeli barangan dan menyampaikannya kepada mangsa ataupun hanya memberikan sumbangan tunai kepada ketua keluarga yang diziarahi nanti. Sebahagian kecil kutipan ini akan digunakan untuk belanja perjalanan sukarelawan ke sana.
19 Feb. 2015
Wakil komuniti persatuan dan koperasi teksi yg diwakili oleh saya, Ust. Mukhtaruddin, En. Mohd Amir dan Muhammad Ajwad (anak saya).
Selepas sarapan pagi dan taklimat oleh Tn. Hj. Sham (ketua misi), kami bertolak ke Kuala Krai kira-kira jam 10.00 pagi.
Kesesakan jalanraya serta beberapa kali kami berhenti rehat, alhamdulillah akhirnya kami sampai di Kg. Dusun Nyiur kira-kira jam 12.00 tengah malam. Kami ditempatkan di sebuah khemah yang dipasang atas tapak rumah yang telah musnah.
20 Feb. 2015
Sebaik selesai solat subuh, Tn. Hj. Sham sekali lagi memberikan taklimat berhubung pembahagian kumpulan dan gotong royong serta lawatan ke Kg. Picu.
Bagi memudahkan pengurusan saya menyerahkan sumbangan tunai dari komuniti teksi yang saya bawa sebanyak RM5,000.00 kepada Tn. Hj. Sham. (RM2,000.00 untuk kenduri kampung yang dijadualkan malam nanti dan RM3,000.00 untuk disumbangkan kepada penduduk). Setakat ini, jumlah sumbangan yang telah diserahkan adalah sebanyak RM9,000.00.
Suasana Kg. Dusun Nyiur |
Rumah Ust Azman yang hanya tinggal tapak |
Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir (Nazir Masjid Al-Falah USJ 9 - Bekas CEO Proton) tiba kira-kira jam 9.00 pagi dan beliau terus bergotong royong bersama-sama kami.
Kami berhenti kira jam 1.00 tengahari untuk menunaikan solat zohor dan asar (jamak) dan makan tengahari.
Kira-kira jam 3.00 petang, kami bertolak ke Kampung Picu yang memerlukan kami menaiki bot ke sana. Jarak masa perjalanan dari Kg. Dusun Nyiur ke Kg. Picu adalah kira-kira 1 jam setengah. Sebaik tiba, kami terus ke rumah Pak Cik Hassan.
Bertolak ke Kg Picu |
Rumah Pak Cik Hassan |
Antara keperluan yang disumbangkan kepada penduduk |
Penduduk yang terharu dengan bantuan yang diberikan |
Menyampaikan sumbangan RM950.00 untuk 19 buah keluarga |
Selepas isyak, kami mengadakan majlis tahlil untuk 2 orang penduduk yang meninggal dunia (kira-kira seminggu yang lalu), diikuti kenduri kampung yang disumbangkan oleh komuniti teksi. Kira-kira 130 orang penduduk menyertai program ini. Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan sebanyak RM100.00 bagi setiap 23 ketua keluarga di kampung ini.
Datuk Syed Zainal memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada penduduk |
Kenduri Kampung |
Menyampaikan sumbangan tunai (RM100.00) kepada setiap keluarga di Kg Dusun Nyiur |
21 Feb. 2015
Selepas bersarapan pagi, kami sekali lagi bergotong royong membangunkan semula dan membaiki rumah penduduk.
Alhamdulillah, tiang rumah Ust Azman telah didirikan. Semoga penduduk kampung dapat meneruskan kerja menyiapkannya. |
Kami menamatkan kerja kira-kira jam 1.30 petang untuk solat zohor, makan tengahari dan bergerak pulang.
Penutup
Sekian sahaja laporan saya untuk misi kali ini. Insya Allah kalau ada lagi sumbangan tunai dari rakan-rakan, saya sedia untuk sekali lagi.
Terima kasih juga kepada Masjid Al-Falah USJ 9 kerana sudi menerima kami untuk menyertai program mereka. Tanpa mereka, kami mungkin hanya beli barang-barang keperluan (yang mungkin tidak diperlukan) dan hantar kepada mangsa. Namun, dengan mengikuti program ini, kami dapat menyelami keadaan sebenar mangsa serta memberikan bantuan berdasarkan keperluan.
Terima kasih kepada semua penderma, semoga Allah SWT membalas sumbangan kalian dengan nikmat dan rahmat yang melimpah ruah.