COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 11 Februari 2011

TIPS UNTUK BERJAYA SEBAGAI PEMANDU TEKSI



Pemandu teksi yang berjaya…?. J mungkin ada yang merasakan entry ini agak lucu…, ye lah…, mana ada pemandu teksi yang berjaya…. Saya punyai kenalan lebih kurang 500 orang pemandu teksi terutamanya mereka yang beroperasi di sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan juga di KL ini. Dari 500 orang ini, ada yang bekas pesara kerajaan yang menjadikan kerjaya teksi bagi mengisi masa pencen mereka. Ada juga dari kalangan kakitangan kerajaan menjadikan kerjaya ini sebagai pendapatan sampingan. Kelompok pemandu teksi dari golongan ini dilihat lebih stabil kehidupan mereka kerana mereka punyai rumah sendiri serta anak-anak yang berjaya. Mereka ini bukanlah ukuran kejayaan sebagai pemandu teksi kerana harta yang mereka peroleh adalah dari kerjaya hakiki mereka selaku kakitangan atau pesara kerajaan. Tetapi, dari 500 orang ini, saya hanya berjumpa beberapa orang sahaja yang saya anggap sebagai berjaya. Selain itu ramai juga yang hanya cukup makan, berhutang keliling pinggang, teksi pernah ditarik berkali-kali dan sentiasa kesempitan wang.

Sebenarnya, walaupun tidak boleh kaya, pemandu teksi masih boleh untuk berjaya. Saya ingin kongsikan mengenai salah seorang rakan yang hanya dengan bekerja sebagai pemandu teksi beliau boleh membeli sebuah rumah, kereta kedua untuk kegunaan isteri di rumah serta membiayai kehidupan keluarga dengan baik.

Bagaimana dia boleh berjaya?. Semasa saya menumpang teksi beliau (pada tahun 2005 yang lalu) saya melihat 3 perkara dalam teksi beliau iaitu;

  1. Catatan pendapatan dan belanja harian,
  2. Catatan penyenggaraan teksi,
  3. Senarai pelanggan dan catatan tempahan,

Inilah perkara yang menyebabkan rakan saya ini mampu membeli rumah sendiri serta hidup berkeluarga dengan agak selesa (sederhana).

Saya berpendapat, seseorang pemandu teksi boleh dianggap berjaya dalam kerjayanya jika peroleh pendapatan (bersih) sekurang-kurangnya RM2,500.00 ke atas sebulan, mampu membeli rumah sendiri dengan pendapatan di atas, mampu memberikan nafkah kepada keluarga termasuk kesihatan dan juga pelajaran untuk anak-anak serta mampu menyimpan sejumlah wang untuk tabungan KWSP serta perlindungan insurans.

Mengambil iktibar dari kejayaan kenalan saya di atas tadi, saya ingin mengajak rakan-rakan pemandu sekalian untuk turut sama menjadi pemandu teksi yang berjaya. Perkara-perkara yang perlu ada pada kita untuk berjaya adalah;-

  1. Berpakaian bersih, kemas dan wangi supaya pelanggan suka dengan kita,
  2. Teksi mesti juga bersih, kemas dan wangi supaya pelanggan selesa,
  3. Layan pelanggan dengan sebaik mungkin (senyuman, ucapan aluan, buka pintu, angkat beg masuk/keluar dari bonet dan lain-lain),
  4. Promosikan perkhidmatan kita dengan berikan ‘business card’ bagi perkhidmatan ke KLIA, LCCT, Melaka, Genting Highland dan semua destinasi yang dibenarkan (tempahan bagi trip yang dekat tak perlulah ambil sebab merugikan. Kecuali kepada pelanggan tetap yang selalu ke destinasi jauh).
  5. Tetapkan target harian. Cadangan saya RM200.00 bagi teksi bajet dan RM350.00 bagi teksi eksekutif. Target harian ini bukanlah bermakna capai target kita balik rumah. Ia bermakna selagi tak capai target, jangan balik. Kalau dah capai target, tetapi hari masih awal, pulun lah selagi larat…., J lagipun kena ingat, akan ada hari yang kita tak dapat bekerja, lebihan ini lah yang akan menampung kekurangan tersebut.
  6. Catatkan setiap pendapatan dan belanja.
  7. Asingkan pendapatan secara harian kepada;

  • Ansuran teksi. Kalau teksi syarikat yang sewanya RM45.00 sehari, maka wang ini terus diasingkan.
  • Tabung kerosakan. Dicadangkan jumlah tabungan yang berbeza mengikut jenis teksi. Teksi jenis Iswara dan Waja cukup dengan RM15.00 sehari manakala RM25.00 sehari bagi teksi eksekutif.
  • Tabung insurans (bagi permit individu). Tabungan ini adalah berdasarkan premium insurans yang perlu dibayar tahunan. Katakan bagi teksi Waja, kos insurans bagi tahun pertama adalah RM4,000.00 (first party), maka tabungan harian adalah RM12.00 sehari.
  • Modal untuk beroperasi di hari berikutnya (NGV, petrol, toll, makan minum dan seumpamanya). Lebih kurang RM50.00 sehari.
  • Gaji. Pemandu selalu menganggap semua kutipan yang dia dapat itu adalah gaji dia. Sebab itu mereka akan kesempitan wang setiap kali nak bayar sewa teksi, kereta rosak atau musim persekolahan anak-anak. Sekiranya kita rasa bahawa kos sara hidup di bandar ini tinggi dan anak ramai yang masih bersekolah dan kita perlukan RM3,000.00 sebulan, maka peruntukkan RM100.00 sehari sebagai gaji kita.
  • Lebihan dari kutipan ini jika ada peruntukkan lah kepada tabung khas untuk menampung kurangan kutipan akibat tidak dapat beroperasi.

8. Elakkan 3 perkara yang merosakkan pemandu teksi

  • Wanita (cukuplah dengan yang dah ada dan setia di rumah tu),
  • Judi
  • Arak dan dadah.

Contoh ringkas bagaimana pemandu boleh mendapat pendapatan bersih bulanan RM2,500.00 sebulan adalah seperti berikut;-

Jenis teksi : Proton Iswara sewa dengan syarikat

Kadar sewa harian = RM45.00 sehari (insentif cuti 2 hari sebulan)

Kutipan harian : RM 205.00

Tolak Kos

1. Tabung Sewa : - RM 45.00

2. Kos operasi (NGV makan&minum) : - RM 50.00

3. Tabung penyenggaraan : - RM 15.00

4. Gaji : - RM 90.00

5. Tabungan khas : - RM 5.00

Ringkasan belanja dan pendapatan bulanan (28 hari sebulan)

Kutipan Bulanan : RM5,740.00

Tolak kos

Bayaran sewa teksi : - RM1,260.00

Tabung senggara : - RM 420.00

Gaji : - RM2,520.00

Tabungan khas : - RM 140.00

Mungkin ada yang tidak setuju dengan kira-kira saya di atas. Mana mungkin kita boleh dapat RM200.00 sehari. Jawapan saya.., memanglah kita tak boleh capai sasaran ini kalau teksi kita busuk bau stoking tak berbasuh. Memanglah tak dapat kalau kita tidak pernah ada ‘business card’ dan hanya mengharapkan queue di KL Sentral, KLCC dan penumpang yang menahan di tepi jalan. Memang lah tidak boleh kalau kita tidak catat pun pendapatan harian dan belanja kita, malah sebahagian kutipan kita tu singgah pula di kedai nombor ekor. Mana boleh kita dapat RM200.00 sehari kalau melayan GRO kelab malam, dah la bagi khidmat teksi percuma, duit pemandu pun dia tarah.

Mungkin catatan ini ada kesilapan di mana-mana, tetapi hasil dari pengalaman saya sendiri dan rakan saya yang saya anggap berjaya tersebut, sebenarnya kita juga boleh mendapat pendapatan yang berbaloi dari kerjaya ini. Wallahuaa’lam.

Rabu, 2 Februari 2011

Taklimat & Dialog Bersama Pemandu Teksi LimKokWing



Berhubung pelaksanaan sistem kaunter teksi di Limkokwing University of Creative Technology atau singkatannya LUCT, saya berasa gusar kalau-kalau sistem yang bakal diwujudkan ini mendapat tentangan dari persatuan atau individu pemandu teksi. Bantahan pemandu seperti yang dihadapi pengendali sistem kaunter teksi di KLCC perlu dielakkan.

Walaupun sistem ini mungkin lebih baik daripada tiada langsung, namun tidak semua pemandu memahami apa yang bakal dilaksanakan kelak. Komuniti pemandu teksi tidak mahukan pihak lain menindas atau mengambil kesempatan atas mereka. Inilah perkara yang mungkin dirasakan pemandu-pemandu teksi di KLCC sehingga mereka mengadakan protes. Kita juga boleh lihat bagaimana pemandu teksi menentang sesuatu kerana mereka tidak diberikan kefahaman akan kewajaran sesuatu arahan yang dikeluarkan (contohnya pemasangan sticker dan lain-lain).

Berbalik mengenai pemandu teksi di LUCT ini, saya telah memanggil pengerusi dan setiausaha Persatuan Pemandu Teksi Multimedia Universiti, Persatuan Pemandu Teksi Desaria Pulau Meranti dan Persatuan Pemandu Teksi Neo Cyberjaya ke satu mesyuarat yang diadakan pada 22hb. Januari 2011 yang lalu di Wisma KPPCB.

Hasil dari mesyuarat di atas, satu program yang dinamakan Majlis Taklimat dan Dialog Pelaksanaan Sistem Kaunter Teksi telah diadakan pada 29/1/2011 di Dewan Serbaguna LUCT. Seramai 120 orang pemandu teksi dari pelbagai bangsa telah hadir ke majlis tersebut. Turut hadir ialah pengurusan kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar LUCT.

Kandungan taklimat yang disampaikan pada majlis tersebut adalah mengenai;-

  1. Apa itu sistem kaunter teksi?
  2. Kenapa sistem kaunter teksi diperlukan di LUCT?
  3. Statistik aduan disiplin dan jenayah oleh pemandu terhadap pelajar.
  4. Kelulusan sistem kaunter teksi dari LPKP.
  5. Pentingnya komuniti pemandu teksi berubah agar kerjaya ini lebih dihormati sekali gus lebih ramai pengguna akan memilih untuk menggunakan perkhidmatan teksi,
  6. “Enam Perkara” pemandu mesti buat di kaunter teksi LUCT.
  7. “Enam Perkara” pemandu mesti elakkan.
  8. Peraturan queue.
  9. Jenis-jenis kesalahan dan bagaimana tindakan diambil terhadap sesuatu aduan yang diterima.

Selepas taklimat tersebut, peluang seluas-luasnya telah diberikan kepada pemandu untuk bertanyakan sebarang soalan. Soalan yang diterima adalah berkisar mengenai peraturan menggunakan meter, booking dari LUCT, peraturan queue, peraturan tambang, penumpang yang tidak bayar tambang, penumpang yang berkelakuan tidak senonoh dan lain-lain.

Soalan yang berkaitan dengan peraturan teksi dijelaskan oleh saya manakala mengenai aduan terhadap pelajar, En. Abdul Rahim (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) menjelaskan bagi pihak LUCT.

Alhamdulillah, majlis berjalan dengan baik tanpa menerima satu tentangan pun dari pemandu yang hadir. Pemandu juga nampaknya bersetuju untuk menggunakan meter dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Harapnya sistem kaunter teksi di LUCT ini berjalan dengan baik dan lancar.

(Sepatutnya sistem ini akan beroperasi mulai 7hb. Februari 2011, namun mungkin sedikit lewat kerana pihak LUCT sendiri belum menyiapkan beberapa gerak kerja yang dipersetujui)