COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 26 Mac 2010

Balasungkawa Allahyarham Tumat bin Kalil

Saya dan rakan-rakan lama pemandu teksi di Putrajaya menyatakan rasa sedih atas kembalinya ke Rahamtullah, Allayarham Tumat Bin Kalil, Pemandu teksi HWC2673. Dahulunya beliau memandu teksi HWA2828.

Sebelum saya mengenali Allahyarham pada pertengahan tahun 2003, difahamkan beliau adalah Pengerusi atau Jawatankuasa Penaja Badan Kebajikan Pemandu Teksi Hentian Duta.

Sesungguhnya beliau telah berjasa kepada pemandu-pemandu teksi di Putrajaya dengan memberikan nasihat dan panduan kepada saya untuk menubuhkan Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya pada Tahun 2003 tersebut.

Dengan nasihat, dorongan dan pandangan beliau, dapatlah jua Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya ditubuhkan dan seterusnnya berubah menjadi Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. sekarang ini.

Semoga rohnya mendapat belaian kasih sayang dan keampunan dari Allah s.w.t. Marilah kita hadiahkan setulus ikhlas hati bacaan Al-Faatihat untuk roh beliau. Alfaatihah.....

Khamis, 11 Mac 2010

JPJ ZALIM...???

  1. Entri saya pada 2hb. Julai 2009 yang lalu (http://taxidriversmind.blogspot.com/2009/07/dialog-ketua-pengarah-jpj-malaysia.html) menceritakan mengenai dialog yang saya hadiri dengan Ketua pengarah JPJ (diwakili oleh Pengarah Penguatkusa),
  2. Catatan saya adalah seperti berikut... "Soalan 2. Pemandu teksi bandar menghantar 4 orang penumpang, orang hendak ke KLIA dan dua orang lagi nak ke LCCT. Boleh atau tidak?". Jawapan : Boleh, dengan syarat jika ditahan pemandu dan penumpang hendaklah membuktikan keadaan seperti tadi dan bukan trick untuk mengulat.
  3. Pada 23hb. 2. 2010, pemandu teksi eksekutif nombor HWD1375 menghantar penumpangnya ke KLIA. Sesampai di KLIA, penumpang telah meminta beliau mengambil teman lelakinya dan pulang ke KL semula. Pemandu tidak mahu kerana tahu ianya salah dan JPJ sedang menunggu di bawah sana.
  4. Penumpang yang tidak memahami peraturan "mengarut" negara Malaysia tercinta ini telah memarahi pemandu dan mengugut tidak mahu membuat bayaran jika enggan hantar dia balik semula ke KL.
  5. Tanpa ada pilihan lain dan pemandu menghantar juga penumpang tersebut ke KL dengan harapan pegawai JPJ yang sedang menunggu di bawah sana memahami situasinya.
  6. Pemandu ini beserta penumpangnya telah ditahan JPJ dan pemandu telah menjelaskan situasinya seperti di atas kepada pegawai JPJ berkenaan iaitu EN. NORIZAN AZMI KPP (N22). Dimaklumkan penumpang juga menyatakan perkara yang sama kepada pegawai JPJ berkenaan.
  7. Pegawai JPJ berkenaan tetap menyatakan tindakan ini salah dan menyita lesen memandu dan PSV pemandu dan menyuruhnya menghantar penumpang ke KL dan kemudian mengarahkan pemandu hadir temusiasat pada 2hb. Mac 2010.
  8. Tidak cukup dengan itu, kenderaan HWD1375 ini telah disita semasa temu siasat dibuat. Penyitaan dibuat sehingga 10hb. Mac (10 hari pemandu tidak boleh bekerja).
  9. Mungkin tak puas hati lagi dengan masalah "dera" yang ditimpakan kepada pemandu ini, Pegawai JPJ Nurul Murni PPP(N27) mengeluarkan saman untuk dibicarakan di mahkamah pada 18hb. Mac 2010 tanpa memberi ruang langsung untuk membayar denda.
  10. Saya bersangka baik bahawa pegawai-pegawai JPJ yang saya nyatakan namanya di atas "TERPAKSA" menjalankan undang-undang yang dipikulkan oleh kerajaan kepada mereka. Jika begitu nampaknya macam kerajaan yang zalim sebab membuat peraturan dan kaedah hukuman sebegitu rupa.
  11. Saya pun jadi tidak pasti untuk apa JPJ adakan dialog yang saya hadiri sebelum ini jika keputusan/jawapannya tidak dipraktikkan serta terus menzalimi rakan-rakan saya.
  12. Adakah saya atau JPJ yang tidak faham slogan YAB Perdana Menteri "1 Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian DIUTAMAKAN".
  13. Khuatir juga kalau nanti JPJ akan dianggap sebagai ejen pembangkang yang berperanan sebagai penyemai kebencian pemandu teksi kepada kerajaan. Wallahuaalam.