Merujuk kepada entry saya http://taxidriversmind.blogspot.com/2010/09/teksi-di-kolej-universiti-lim-kok-winga.html, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datin Naimah Ramli dan semua Ahli Lembaga LPKP kerana telah meluluskan sistem kaunter teksi untuk dioperasi kan oleh KPPCB di Kolej Universiti Lim Kok Wing. (Difahamkan mulai 1 Jan 2011, LPKP telah diambil oleh SPAD yang dipengerusikan Datuk Seri Syed Hamid Albar).
Mungkin sebahagian kita (termasuk saya) tidak bersetuju dengan sistem ini bilamana penumpang perlu membayar RM2.00 sebagai tambahan kepada bacaan meter seperti saya nyatakan di http://taxidriversmind.blogspot.com/2010/12/sistem-kaunter-teksi-vs-teksi-berkupon.html.
Namun, sebagai Setiausaha, saya perlu patuh dan laksanakan keputusan Lembaga KPPCB untuk memohon dan menjalankan “sistem kaunter teksi” ini di Lim Kok Wing. (bukan mudah sebenarnya untuk bekerja dalam sebuah organisasi demokrasi). Sebenarnya Koperasi memohon menjalankan sistem teksi berkupon, namun memandangkan Lembaga LPKP tidak lagi membenarkan sistem teksi berkupon baru di bina, maka yang diluluskan adalah “sistem kaunter teksi”.
Di sebalik sikap tidak bersetuju saya kepada sistem ini, saya turut mengakui elemen-elemen baik yang terdapat di dalamnya. Daripada tiada langsung sistem pengurusan teksi seperti sekarang ini, sehingga timbulnya masalah penjenayah yang menyamar sebagai pemandu teksi untuk merompak dan mencabul pelajar, tentunya lebih baik sistem ini diwujudkan. Ini boleh dianggap sebagai satu sumbangan KPPCB kepada komuniti pelajar di Lim Kok Wing.
Untuk makluman, Jawatankuasa Task Force Pelaksanaan Sistem Kaunter Teksi di Lim Kok Wing yang dipengerusikan oleh saya telah memutuskan perkara-perkara berikut;
- Semua pemandu teksi Lembah Kelang dibenarkan beroperasi di kaunter ini dengan syarat mengisi borang maklumat peribadi berserta salinan kad pengenalan dan lesen memandu (syarat ini diminta oleh pengurusan Lim Kok Wing untuk memudahkan pelajar mereka membuat aduan). Syarat ini dibuat setelah menimbangkan penguatkuasaan “Kad Pemandu” gagal dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga berleluasa nya pemandu tidak mempunyai Kad Pemandu,
- Sticker khas diberik kepada pemandu yang telah mendaftar,
- Caj bayaran RM2.00 dikenakan kepada penumpang bagi setiap trip, namun (dalam tempoh sementara waktu) RM1.00 darinya dipulangkan kepada pemandu. Ini adalah bertujuan untuk menarik seramai mungkin pemandu beroperasi di sini serta menghargai mereka yang juga sebahagian besarnya anggota KPPCB,
- Baki RM1.00 dari kutipan ini akan digunakan oleh KPPCB untuk menanggung kos operasi termasuk gaji marshal dan lain-lain pengurusan serta jika boleh KPPCB mendapat sedikit keuntungan dari perkhidmatan ini demi faedah pemandu yang menjadi ahli,
- Jika kutipan RM1.00 ini tidak dapat menanggung kos operasi, KPPCB mungkin mengkaji semula kaedah pengagihan kepada pemandu,
- Semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi di sini akan diberikan salinan tiket dengan nombor giliran, tarikh, masa dan nombor teksi,
- Sebarang aduan penumpang terhadap pemandu hendaklah dikemukakan dengan salinan tiket ini untuk memudahkan KPPCB mengambil tindakan,
- Aduan serius akan dikemukakan kepada LPKP, JPJ dan jika aduan berbentuk jenayah disalurkan kepada PDRM. Aduan kecil akan diberikan amaran dan lain tindakan bersesuaian, dan
- Pihak Lik Kok Wing juga perlu mengambil tindakan terhadap aduan pemandu kepada pelajar mereka seperti enggan membayar tambang, berasmara di dalam teksi dan seumpamanya.
Mungkin sebahagian bertanya…, Kenapa diwujudkan sistem ini, bukankah lebih baik dibenarkan sahaja pemandu teksi queue seperti biasa di sana? Kenapa penumpang mesti membayar RM2.00 walhal mereka boleh hanya membayar tambang meter teksi sahaja?.
Sebagai jawapan kepada persoalan ini, silalah kunjungi Lim Kok Wing sekarang ini, lihatlah bagaimana pemandu mengenakan tambang sesedap mulut, bagaimana penjenayah dan perogol boleh menyamar sebagai pemandu teksi (seperti dimaklumkan pengurusan Lim Kok Wing).
Semoga sistem pengurusan kaunter teksi di Lim Kok Wing ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia tercinta ini.