COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 19 April 2012

APAKAH PENYEBAB SEBENAR ADUAN PENUMPANG TERHADAP PERKHIDMATAN TEKSI?



Salam Perkhidmatan Teksi 1 Malaysia…,
Saya menerima permintaan seorang pengunjung blog ini yang merupakan seorang mahasiswi yang menyiapkan uji kaji di semester akhirnya berkenaan permasalahan perkhidmatan teksi. Sebenarnya ramai mahasiswa yang meminta ulasan saya mengenai perkhidmatan teksi untuk dimuatkan dalam kertas mereka, namun saya tidak berkesempatan mengulas nya kerana merasakan kebanyakan pendapat saya telah pun dimuatkan di blog ini. Walau bagaimanapun, kali ini saya meluangkan sedikit masa untuk ini memandangkan dah lama sangat saya tak update blog…... :)
Persoalan penting yang ditanya kepada saya ialah Apakah penyebab sebenar aduan penumpang terhadap perkhidmatan teksi? Sebelum mengulas lanjut mengenai persoalan ini, saya menjelaskan perihal am mengenai teksi terlebih dahulu.
Sekarang ini, terdapat lebih kurang 30,000 buah teksi di Lembah Kelang yang terdiri dari pelbagai jenis perkhidmatan, warna, kadar tambang dan juga kawasan operasinya. Pecahan perkhidmatan teksi boleh diperincikan seperti berikut;
1.    Teksi Bandar (Bajet)
a)    Hanya kenderaan keluaran Proton sahaja dibenarkan dengan syarat kenderaan tersebut menggunakan enjin kuasa kuda 1.5 ke atas,
b)    Permit teksi ini dikeluarkan kepada individu dan juga syarikat,
c)    Kadar tambangnya adalah menggunakan meter yang mengira kadar tambang berdasarkan formula berikut;
-       1KM atau 3 minit pertama RM3.00
-       115 meter atau 21 saat waktu menunggu berikutnya RM0.10
-       Surcaj perkhidmatan radio teksi RM2.00
-       Surcaj waktu tengah malam (12.00 malam hingga 6 pagi) 50% dari bacaan meter
-       Surcaj ke lapangan terbang KLIA RM12.00.
-       Boleh beroperasi dalam kawasan Lembah Kelang sahaja (KL, Putrajaya, Seremban, Melaka dan seluruh Negeri Selangor kecuali kawasan Kuala Selangor dan KLIA). Genting Highland dan Melaka juga dibenarkan teksi jenis ini menghantar penumpang.

d)    Terdapat pelbagai warna teksi bajet ini yang antaranya ialah;-
-       Merah dan biru bermaksud teksi bajet permit individu,
-       Merah dan putih tidak mempunyai maksud khusus untuk mengkategorikan nya sebagai teksi milik individu atau sebab syarikat sebab ada yang milik individu dan ada juga milik syarikat,
-       Merah di keseluruhan badan kenderaan bermaksud teksi milik Syarikat Public Cab,
-       Hijau di keseluruhan badan bermaksud teksi milik Syarikat Sunlight,
-       Putih keseluruhan badan milik syarikat Marlis Corporation,
-       Kuning di keseluruhan badan milik syarikat Super Cab, dan
-       Putih dan biru milik Destination Transport dan lain-lain.

2.    Teksi Premier
a)    Boleh menggunakan kenderaan import atau buatan tempatan dengan syarat kuasa kuda nya 2.0 ke atas,
b)    Setahu saya hanya syarikat mendapat permit teksi jenis ini,
c)    Kadar tambangnya juga adalah berdasarkan meter iaitu;
-       1KM atau 2 minit pertama RM4.00,
-       Setiap 45 saat waktu menunggu berikutnya RM0.20,
-       Surcaj midnight 50%,
-       Surcaj call RM2.00
-       Surcaj lapangan terbang RM12.00.
d)    Buat masa sekarang ini, teksi jenis ini sudah berkurangan di jalanraya ekoran kerajaan menggantikan perkhidmatan ini dengan perkhidmatan yang dinamakan teksi eksekutif. Yang masih kelihatan hanya teksi jenis Enviro.

3.    Teksi Eksekutif
a)    Boleh menggunakan kenderaan import atau tempatan dengan syarat menggunakan enjin kuasa kuda 2.0 ke atas,
b)    Diberi kepada pengusaha individu dan juga syarikat,
c)    Teksi jenis ini mesti berwarna biru (Candy Blue) di keseluruhan badan kenderaan,
d)    Boleh beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia, dan
e)    Kadar tambangnya adalah berdasarkan meter seperti berikut;
-       1KM atau 2 minit pertama,
-       Setiap 21 saat waktu menunggu berikutnya RM0.20,
-       Surcaj midnight 50%,
-       Surcaj call RM2.00
-       Surcaj lapangan terbang RM12.00.

4.    Teksi Lapangan Terbang
a)    Menggunakan kenderaan import atau buatan tempatan,
b)    Perkhidmatan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu teksi bajet (kuasa enjin 1.5 ke atas), teksi premier (kuasa enjin 2.0 ke atas) dan teksi keluarga (van),
c)    Kadar tambang adalah berdasarkan zon yang dicadangkan oleh pengendali kaunter jualan kupon (tiket) setelah diluluskan SPAD (kerajaan).
Sebenarnya ada lagi jenis perkhidmatan teksi yang dipanggil Kereta Sewa. Kereta Sewa adalah jenis perkhidmatan teksi yang beroperasi dari pangkalan tertentu seperti di Pudu Raya, Pekan Kajang, Kuala Selangor dan lain-lain. Ia boleh beroperasi ke seluruh semenanjung. Kenderaan yang digunakan untuk kereta sewa ini adalah pelbagai jenis kenderaan import dan tempatan. Kadar tambangnya adalah berdasarkan jarak perjalanan tanpa menggunakan meter.
Pendapat saya mengenai kepelbagaian perkhidmatan teksi ini sebenarnya MENGARUT sahaja. Perwujudan pelbagai jenis teksi, kadar tambang, kawasan operasi dan lain-lain bukanlah sesuatu yang diminta oleh rakyat atau pengguna. Yang dimahukan ialah KUALITI PERKHIDMATAN yang hanya boleh disumbangkan oleh perkhidmatan yang selamat dan cekap, sistem bayaran tambang yang jelas dan munasabah, ruang boot kenderaan yang luas serta sedikit selesa, dan yang paling penting ialah kualiti pemandu teksi itu sendiri.
Menyediakan perkhidmatan teksi eksekutif dengan kenderaan jenis Mercedes Benz sekalipun tidak memberi makna apa-apa kepada pengguna sekiranya pemandu nya kasar, biadab, berbau busuk atau memandu secara berbahaya. Kepelbagaian jenis teksi ini juga hanya menambahkan keresahan dan kekeliruan kepada pengguna.
Mengikut maklumat yang saya dapat dari LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan - sekarang tugas ini diambil alih oleh SPAD), aduan yang banyak diterima mereka ialah PEMANDU TIDAK MENGGUNAKAN METER, MENGENAKAN TAMBANG LEBIH dan MENGGUNAKAN JALAN JAUH untuk mendapatkan tambang yang lebih. Kerajaan juga menghadapi masalah untuk menguatkuasakan semua peraturan mengenai tambang ini ekoran kekurangan penguat kuasa. Sebagai langkah jangka pendek, kerajaan mewujudkan pula perkhidmatan teksi berkupon.
Teksi berkupon bermaksud perkhidmatan teksi yang kadar tambangnya menggunakan kupon. Modus operandi perkhidmatan ini ialah;
a)    Pengusaha kaunter teksi dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan perkhidmatan di lokasi-lokasi strategik seperti di terminal pengangkutan, pasar raya dan lain-lain,
b)    Kadar tambangnya ditentukan berdasarkan jarak yang dibahagikan mengikut zon lingkungan. Contohnya, Zon 1 (jarak lingkungan 2KM pertama, kadar kuponnya ialah RM5.00),
c)    Pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan teksi di lokasi yang terdapat kaunter kupon ini perlu pergi ke kaunter teksi, menyatakan lokasi tujuan, membayar kadar tambang yang dimaklumkan serta mendapatkan 2 keratan kupon iaitu salinan penumpang dan salinan pemandu,
d)    Pengguna seterusnya menaiki teksi di ‘queue’ pertama, menyerahkan kupon salinan pemandu kepada pemandu tanpa perlu membayar caj tambahan lain kecuali tol,
e)    Pemandu menghantar penumpang ke destinasi dituju dan selepas itu membuat tuntutan kupon di kaunter. Pemandu akan mendapat 90% dari kadar yang dinyatakan di kupon. 10% adalah untuk pengurusan syarikat pengendali,
f)     Syarikat pengendali juga perlu mewujudkan kaunter aduan serta perkhidmatan “lost & found” sekiranya penumpang meminta bantuan untuk mendapatkan barangan yang tertinggal di dalam teksi.
Sistem kupon ini sangatlah membantu untuk mengelakkan ketidakpuasan atau syak wasangka antara penumpang dan pemandu berhubung kadar tambang. Penumpang sudah tahu kadar tambang yang tepat untuk sampai ke destinasi yang dituju, pemandu akan memandu ke destinasi mengikut laluan yang paling singkat dan cepat kerana kadar tambang yang diperoleh adalah sama. Pemandu juga mendapat bayaran 90% dari kupon yang kebiasaannya lebih sedikit dari kadar meter.
Pelaksanaan sistem kupon ini mendapat sokongan dan tentangan oleh pelbagai pihak. Ada juga ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk populariti masing-masing. Namun hakikatnya, ekoran sikap pemandu yang tidak guna meter atau menggunakan laluan jauh supaya bacaan meter menjadi tinggi, ramai pengguna lebih selesa dengan sistem ini walaupun sedikit mahal berbanding meter.
Pihak SPAD memaklumkan bahawa mereka sedang melaksanakan kajian sama ada untuk meneruskan sistem kupon ini atau tidak. Buat masa ini, perkhidmatan kaunter kupon sedia ada masih dibenarkan beroperasi sehingga kajian tersebut siap dan dilaksanakan.
Berkenaan komuniti pemandu pula, sebahagian dari mereka menubuhkan atau menyertai persatuan-persatuan teksi. Banyak sekali persatuan teksi yang ditubuhkan, selalunya persatuan tersebut mewakili kawasan mereka selalu beroperasi, contohnya Persatuan Teksi Serdang, Persatuan Teksi Cyberjaya dan lain-lain. Penubuhan persatuan teksi ini adalah di bawah Akta Pertubuhan yang mana permohonan penubuhannya perlu dikemukakan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Perkhidmatan persatuan teksi ini terhad kepada menjaga nasib dan kebajikan sesama ahli dengan mewujudkan khairat kematian, sumbangan kemalangan dan lain-lain. Namun, boleh dikatakan semua persatuan ini menyalahgunakan kewujudan persatuan mereka dengan memonopoli kawasan operasi sesuatu perhentian teksi. Contohnya, Persatuan Teksi Serdang mensyaratkan hanya ahli sahaja boleh beroperasi di stesen KTM Komuter Serdang. Peraturan sepatutnya ialah semua teksi Lembah Kelang boleh beroperasi di mana-mana kawasan kecuali di KLIA dan LCCT.
Akhir sekali, kembali kepada tajuk Apakah penyebab sebenar aduan penumpang terhadap perkhidmatan teksi? Saya tidak mahu menyalahkan pemandu mahupun pengusaha sebagai puncanya. Pemandu teksi hanyalah manusia biasa yang berkhidmat untuk mendapatkan rezeki bagi menyara keluarga. Boleh juga diumpamakan mereka sebagai peniaga kecil. Mereka berkhidmat dengan dikongkong oleh dasar dan peraturan yang ditentukan kepada mereka. Komuniti pemandu ini terdiri dari pelbagai latar belakang. Antara nya pesara kerajaan, pesara swasta dan orang-orang yang tidak mendapat pekerjaan (termasuk dibuang kerja atau berpendidikan rendah).
Pokok pangkalnya ialah kerajaan (SPAD) sendiri dalam menyediakan dan melaksanakan dasar mereka. Kerajaan tidak punyai satu dasar perkhidmatan teksi yang jelas. Peraturan-peraturan sedia ada yang bercelaru ini diwujudkan oleh mereka mengikut keadaan sahaja. Campur tangan politik juga menambahkan lagi kecelaruan. Contohnya ialah dasar warna teksi yang pelbagai.
Berdasarkan permintaan pengguna yang mahukan perkhidmatan teksi yang berkualiti melalui pemandu yang berdisiplin dan terlatih, kadar tambang yang jelas dan munasabah serta ruang boot kenderaan yang besar dan sedikit keselesaan kerajaan sepatutnya boleh membuatkan dasar-dasar yang khusus bagi mencapai hasrat pengguna tersebut.
Pemandu teksi amat penting kepada negara, merekalah yang membawa pelancong yang datang melawat. 30,000 orang pemandu teksi di Lembah Kelang ini mampu membawa persepsi buruk kepada kerajaan dengan sekelip mata (dahulu pernah dihebohkan berkenaan pemandu yang berkempen untuk pembangkang di dalam teksi). Disiplin, cara pemanduan yang berbahaya, berbau busuk, mengenakan tambang lebih, tidak guna meter, menggunakan jalan yang jauh sekarang ini menghantui sebilangan besar pengguna. Pemandu teksi yang berkualiti boleh dianggap sebagai duta kecil yang mampu mengharum nama negara.
Bagaimana menjadikan pemandu teksi ini sebagai pemandu yang berdisiplin dan terlatih?. Untuk tidak mahu memanjangkan lagi posting ini, saya ringkaskan cadangan saya seperti berikut;
  1. Wujudkan skim latihan dan kursus sepanjang kerjaya yang diwajibkan kepada semua pemandu teksi untuk menghadirinya sekurang-kurangnya 4 hari setahun. Gunakan kemudahan yang wujud di Institut Keusahawanan Negara, Institut Kemahiran Belia Negara, MARA dan lain-lain. Antara latihan yang perlu diberikan kepada pemandu ialah;-
-       Khidmat pelanggan,
-       Pengurusan Kewangan Diri,
-       Komunikasi dan bahasa,
-       Undang-undang jalan raya dan pemanduan cekap serta selamat,
-       Maklumat Kawasan Operasi serta Pelancongan, dan
-       Agama dan sivik.
  1. Pemandu yang menghadiri kursus ini perlu diberikan pengecualian sewa oleh syarikat teksi serta elaun kursus dibayar oleh kerajaan seperti pelajar institut kemahiran yang lain.
  2. Wujudkan sistem penilaian terhadap kemahiran pemandu dengan memberikan permit individu jika mereka berjaya mencapai satu tahap yang terbaik. Pemandu baru perlu menyewa dengan syarikat teksi dahulu.
  3. Wujudkan sistem saringan bagi menapis penjenayah dan penagih dadah untuk bekerja sebagai pemandu teksi,
  4. Pastikan pendapatan bersih pemandu teksi mampu mencapai sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan dengan cara mengurangkan kos operasi mereka (subsidi), atau meningkatkan produktiviti mereka dengan mewujudkan dasar yang menggalakkan lebih ramai orang menaiki teksi, dan
  5. Sebagai tambahan, wujudkan lah juga skim yang boleh melindungi mereka dari kemalangan, kecacatan kekal, kemudahan perubatan dan simpanan hari tua.
Di samping itu, kerajaan perlu secara berperingkat membuat penyelarasan berikut;-
  1. Menyeragamkan kembali jenis-jenis kenderaan teksi sekarang ini dengan hanya mewujudkan 2 jenis teksi iaitu teksi bajet dan teksi keluarga (MPV atau van) sahaja. Pengguna super elit yang mahukan teksi yang super selesa, gunakanlah perkhidmatan limousin hotel atau perkhidmatan dari syarikat kereta sewa.
  2. Kenderaan teksi bajet diselaraskan kepada satu jenis kenderaan sahaja contohnya Proton Exora. Teksi keluarga pula dikhaskan kepada 2 jenis kenderaan (van dan MPV) sahaja.
  3. Warna teksi diselaraskan semula. Identiti pengusaha boleh dibezakan pada nama pengusaha di pintu atau sticker tertentu sahaja.
  4. Wujudkan dasar terbuka bagi kawasan operasi. Malaysia ni bukan besar mana pun…
  5. Penguatkuasaan yang lebih ketat dan tegas. Selepas pemandu diberikan latihan, dipastikan mempunyai pendapatan yang setimpal, maka pemandu yang masih melanggar undang-undang menerima hukuman yang berat.
Saya penuh yakin kualiti perkhidmatan teksi di Malaysia boleh ditingkatkan dan orang yang mampu berbuat sesuatu mengenainya hanyalah pihak KERAJAAN. Pemandu dan pengusaha hanya menurut sahaja dasar-dasar yang ditetapkan kepada mereka.
Wallahuaa’lam.