COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 27 Januari 2015

Masalah Ketidakcukupan Teksi Pada Waktu Puncak & Perkongsian Lawatan Ke Blue Bird

Assalamualaikum...,
Pada 23 Januari 2015, saya bersama wakil-wakil dari Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Bhd. (GKPMB) telah melawat Blue Bird Jakarta bagi tujuan untuk membuka minda ALK koperasi-koperasi dibawah GKPMB. Pada kesempatan ini, saya kongsikan sedikit pendapat saya setelah melihat bagaimana Blue Bird menguruskan perkhidmatan teksi mereka. 

Selama ini kita mengalami masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak dan lebihan teksi pada waktu bukan puncak. Masalah ini menyebabkan pengguna marah pada waktu puncak kerana teksi tidak "cukup" dan pemandu pula marah pada waktu bukan puncak kerana terlalu banyak teksi di atas jalan raya.
Mungkin catatan ini dapat memberikan sedikit pendedahan kepada rakan-rakan industri teksi. 
Pendahuluan
Istilah teksi merujuk kepada kenderaan yang mana tujuannya diwujudkannya adalah untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan kepada pengguna. Berbeza dengan perkhidmatan pengangkutan lain, teksi memberikan perkhidmatan yang ekslusif kepada pengguna yang mendapatkan perkhidmatannya. Maka sepatutnya, sepanjang 24 jam kewujudan kenderaan teksi ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada penumpang.
Di Malaysia, saya menganggarkan lebih separuh dari kitar hayat kenderaan teksi disalahgunakan. Antara salahguna yang saya maksudkan ialah;-
  1. Dijadikan sebagai kenderaan persendirian dan hanya parking selama 9 jam sehari oleh pemandu teksi sambilan yang bekerja kerajaan mahupun swasta.
  2. Dijadikan sebagai kenderaan keluarga oleh pemandu samada untuk ke pasar, hantar isteri ke tempat kerja, anak ke sekolah, bercuti dan balik kampong.
  3. Hanya disimpan di rumah apabila pemandu tidak bekerja atas alasan kalau bagi orang lain bawak, teksi lebih cepat rosak.

Secara keseluruhannya, dianggarkan bahawa bagi setiap teksi, hanya 40% dari masa kewujudkannya digunakan untuk mengangkut penumpang. Selebihnya disia-siakan bagi tujuan di atas.
Saya berpendapat inilah puncanya kenapa kita menghadapi masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak dan lambakan teksi pada waktu biasa.
Punca Masalah
Antara punca yang menyumbang kepada penyalahgunaan teksi ini ialah;-
  1. Skim sewa atau sewa beli.
  2. Permit individu

Skim sewa atau sewa beli akan menyebabkan pemandu tidak memanfaatkan sepenuhnya kenderaan. Secara amalannya, pemandu akan bekerja bagi mencapai sesuatu target kutipan bagi membiayai kos sewaan dan gaji pemandu, kemudiaannya kenderaan disimpan.
Permit individu pula akan menyebabkan pemandu yang dianugerahkan permit untuk kerja lebih “santai” kerana kos operasi harian mereka lebih rendah berbanding teksi sewa. Keadaan ini menyebabkan teksi permit individu lebih tidak produktif dalam memberikan perkhidmatan.
Penyelesaian
Bagi mengatasi masalah ini, transformasi perkhidmatan teksi yang diolah perlu mengambilkira isu “produktiviti” setiap lesen kenderaan teksi. Transformasi ini amat rumit serta memerlukan keberanian membuat keputusan oleh pihak berkuasa termasuk tidak mempedulikan tekanan politik. Dalam konteks Malaysia, ianya kelihatan amat sukar namun bukanlah sesuatu yang mustahil dilaksanakan.
Transformasi yang paling berkesan untuk memastikan produktiviti setiap lesen teksi ialah dengan cara menghapuskan skim sewa atau sewa beli.
Penghapusan skim ini akan menyebabkan syarikat pengusaha teksi marah kerana mereka telah selesa dengan skim sewa yang mana mereka tidak perlu mengurus, mengawal dan menyenggara setiap aset kenderaan teksi dan pemandu mereka. Syarikat hanya perlu memantau bayaran sewa harian pemandu sahaja.
Penghapusan permit individu yang tidak produktif pula akan menyebabkan tentangan yang tidak kurang sengit dari pemandu dan persatuan teksi. Namun, selain dengan cara menghapuskan permit individu, pihak SPAD mungkin boleh memastikan hanya individu yang benar-benar layak mendapat permit. Sistem kawalan yang ketat perlu dibuat bagi memastikan setiap teksi individu ini bekerja pada tahap produkiviti yang bersesuaian.
Perkongsian Cara Blue Bird Menguruskan Perkhidmatan
Di akhir catatan ini, suka saya kongsikan lawatan saya dan rakan-rakan dari Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad ke Blue Bird Jakarta pada 23 Januari 2015.
Antara ringkasannya adalah seperti berikut;-
Aspek Perkhidmatan.
  1. Pemandu hanya bekerja dan dibayar gaji/komisen dari hasil pendapatan tambang.
  2. Kos penyenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh Blue Bird kecuali bagi kerosakan akibat kemalangan atau kerosakan yang berpunca dari kecuaian pemandu.
  3. Setiap aset kenderaan dipastikan bekerja sepanjang masa yang boleh. Bagi tujuan ini, setiap tiga orang pemandu akan memandu 2 unit kenderaan berdasarkan jadual kerja yang disediakan. Waktu rehat kenderaan hanya sewaktu disenggara sahaja.
  4. Bengkel kenderaan yang diuruskan sendiri oleh Blue Bird akan memastikan supaya setiap kenderaan yang memerlukan penyenggaraan dibuat dengan secepat mungkin.
  5. Menyediakan talian hotline serta aplikasi tempahan dan agihan permintaan teksi menggunakan smartphone.
  6. Promosi dan pembinaan jenama serta imej secara berterusan.

Aspek Kebajikan Pemandu
  1. Kemudahan asrama percuma.
  2. Kemudahan pinjaman kenderaan peribadi dan juga perumahan.
  3. Kursus dan latihan yang berterusan.
  4. Belanja perubatan.
  5. Insentif kepada pemandu yang produktif dan berkualiti.
  6. Kebajikan dan dermasiswa juga dikembangkan kepada keluarga pemandu.

Aspek Disiplin dan Penguatkuasaan.
  1. Unit khas bagi mengawal selia aduan pengguna.
  2. Perkhidmatan kaunseling bagi membantu pemandu berjaya dalam bidang ini.
  3. Hukuman yang tegas bagi kesalahan besar atau yang berulang.

Sistem
  1. GPS yang boleh mengesan setiap pergerakan unit teksi.
  2. Sistem untuk mengesan samada meter teksi sedang digunakan atau tidak.
  3. Sistem untuk mengesan kadar bacaan meter serta jumlah wang yang perlu diserahkan oleh pemandu sebaik habis waktu bekerja.
  4. Sistem yang melaporkan prestasi kutipan tambang pemandu setiap hari.

Pencapaian Blue Bird
  1. Semua pemandu Blue Bird yang saya jumpa, semuanya sangat berpuas hati dengan majikan mereka.
  2. Sebahagian mereka telah bekerja selama 30 tahun dengan Blue Bird (Blue Bird beroperasi mulai tahun 1972).
  3. Perkhidmatan teksi Blue Bird mendapat pujian dari seluruh dunia serta menjadi salah satu ikon perkhidmatan teksi yang berkualiti di dunia.


Pencapaian Blue Bird dalam mengatasi masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak sukar diukur kerana banyaknya perkhidmatan pengangkutan alternatif seperti “ojek” (motosikal), "bajai" (tut tut), “angkut”, bas dan teksi.

Sabtu, 10 Januari 2015

Sistem Kupon VS Kaedah Tambang RM2 + Meter - Taklimat dan dialog dengan usahawan teksi Putrajaya


Sebentar tadi (jam 4.30 ptg., 10 Januari 2014) saya telah mengadakan sesi taklimat dan perbincangan dengan rakan-rakan usahawan teksi Putrajaya berhubung arahan SPAD untuk melaksanakan Kaedah Tambang RM2.00 + Meter. Saya kongsikan butir taklimat saya seperti berikut...





TAKLIMAT DAN DIALOG USAHAWAN TEKSI BERSAMA
PENGURUSAN KPPCB MENGENAI KUPON DAN METER + RM2

1.    FAKTA UNDANG-UNDANG
 1.1.    Kadar tambang teksi adalah menggunakan meter
Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pengangkutan Perdagangan) 1959.
a)    Perkara 17. Teksi tidak boleh beroperasi jika meter rosak atau tidak boleh digunakan.
b)    Perkara 22. Waktu mula bacaan meter ialah apabila pintu teksi dibuka untuk dinaiki penumpang dan tamat semasa teksi berhenti untuk menerima bayaran.
c)    Perkara 26. Meter teksi tidak boleh ditutup.
d)    Perkara 27. Meter teksi yang menunjukkan untuk disewa (lampu menyala) tidak boleh tidak berhenti apabila ingin disewa (ditahan) penumpang.
e)    Perkara 32. Pemandu tidak boleh meninggalkan tempat duduk.
f)     Perkara 38. Pemandu hendaklah menggunakan jalan yang paling dekat dan mudah.
g)    Jadual Kelima Butiran 12. Kadar tambang yang hendak dikenakan mestilah berdasarkan meter.
1.2.    Pengecualian penggunaan meter kepada KLIA dan di KL Sentral.
 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pengangkutan Perdagangan) 1959.
 a)    Perkara 35.(7) KLIA dikecualikan.
b)    Perkara 35.(9) KL Sentral dikecualikan.
1.3.    Kaedah Tambang RM2 + Meter dinyatakan dalam Jadual Kelima Butiran 12(k). 
1.4.    Kaunter Teksi Di Bawah Undang-undang. 
a)    Seksyen 6 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Perlesenan Terminal)
b)    Denda tidak kurang RM1 juta atau penjara tidak lebih 5 tahun jika beroperasi tanpa lesen. Seksyen 6.(6).
c)    Denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun jika langgar syarat lesen. 
2.    RUMUSAN MESYUARAT DENGAN SPAD 
(1)    Perbincangan dipengerusikan oleh En. Hazzelan Mohd Said dan beliau memaklumkan bahawa;-
-   Notis pelaksanaan Kaedah Tambang RM2 + Meter adalah berkaitan warta Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Pengangkutan Perdagangan) 1959.
-   Matlamat SPAD adalah untuk memastikan undang-undang berkenaan penggunaan meter teksi sepenuhnya.
-       Pelaksanaan Kaunter Tiket Berzon adalah menyalahi kehendak undang-undang kecuali bagi lapangan terbang dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. 
(2)    Pihak Koperasi memberikan respons seperti berikut;-
                      i.    Koperasi sememangnya menyokong hasrat dan dasar SPAD berhubung perkhidmatan teksi dan ingin bersama-sama menjayakannya.
                               ii.    Menyatakan kegusaran terhadap kesan dari pertukaran kaedah tambang ini dengan alasan berikut;-
§   Keyakinan penumpang terhadap penggunaan meter serta kejujuran pemandu dalam menggunakan laluan terdekat masih rendah. Keadaan ini akan menyebabkan meningkatnya aduan serta pengguna akan beralih kepada medium pengangkutan lain.
§   Penurunan mendadak penumpang yang menaiki teksi di TBS apabila pihak MIJ menyelaraskan kepada kaedah tambang RM2.00 + meter.
§  Berdasarkan tinjauan kepada kesediaan pemandu di ketiga-tiga kaunter teksi yang dikendalikan, Koperasi tidak mampu melaksanakan kaedah RM2 ini di kaunter teksi KTM Serdang dan Imigresen Putrajaya. Pemberhentian operasi ini turut melibatkan proses pemberhentian kakitangan serta kontrak sewaan dengan pemilik premis. Tempoh singkat yang diberikan tidak memadai.
                       iii.    Memohon SPAD menyediakan Garis Panduan yang jelas bagi pengoperasian Kaedah Tambang RM2 + Meter. Ketiadaan garis panduan yang jelas menyukarkan Koperasi untuk memastikan perkhidmatan yang dikendalikannya diuruskan dengan baik. Antara maklumat yang perlu diketahui oleh Koperasi, pemandu dan pengguna dalam mengendalikan perkhidmatan ini adalah seperti berikut;-
§  Peranan dan tanggungjawab pengendali kaunter,
§  Tanggungjawab pemandu,
§  Hak dan tanggungjawab pengguna, dan
§  Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh pengendali, pemandu dan pengguna.
                       iv.    Memohon pertimbangan pihak SPAD supaya Koperasi dibenarkan terus kekal dengan sistem kupon ataupun sekurang-kurangnya diberi tempoh yang sesuai bagi menyelaraskan perkhidmatan kepada Kaedah Tambang RM2 + Meter. 
(3)    Maklumbalas pihak SPAD terhadap permohonan Koperasi adalah seperti berikut;-
                     i.    Koperasi boleh meningkatkan keyakinan pengguna terhadap perkhidmatan ini dengan cara;-
§  Menyediakan anggaran tambang berdasarkan meter untuk makluman pengguna,
§  Memaparkan salinan Akta dan Kaedah berkenaan tambang teksi, dan
§  Memberikan perkhidmatan yang lebih baik dengan menyediakan “marshall” bagi membantu pengguna membuka pintu dan mengangkat beg.
                        ii.    Koperasi boleh merujuk kepada Akta dan Kaedah sebagai garis panduan.
                       iii.    Pihak SPAD sedia menimbangkan perlanjutan tempoh. Koperasi perlu kemukakan permohonan lanjutan namun tidak boleh melewati bulan Jun kerana sepatutnya kaedah tambang RM2 + meter dilaksanakan akhir tahun 2014.
(4)    Koperasi menyatakan akan mengkaji tempoh masa yang sesuai bagi menyelaraskan kaedah tambang ini serta akan memaklumkan kepada pihak SPAD dalam masa terdekat.

3.    KEBAIKAN SISTEM KUPON 
3.1.    Keyakinan penumpang yang tinggi.
3.2.    Pemandu bekerja tanpa rasa risau.
3.3.    Sangat kurang aduan.
3.4.    Pemandu rajin ambil trip di ERL (penumpang tidak perlu tunggu lama). 

Namun, apa yang difikirkan dan yang dikehendaki SPAD adalah berbeza dengan apa yang kita (pemandu) fikir.

4.    RISIKO PENYELARASAN KEPADA KAEDAH TAMBANG RM2 + METER 
4.1.    Tambang yang berbeza setiap hari menyebabkan penumpang tidak selesa / hilang keyakinan.
4.2.    Penumpang yang hilang keyakinan akan mencari alternative pengangkutan lain (bas, kawan/saudara, Uber).
4.3.    Pendapatan pemandu jika queue di erl adalah kurang berbanding ambil trip melalui apps Myteksi dan lain-lain. Keadaan ini menyebabkan kurangnya pemandu kembali ke ERL selepas menghantar penumpang ke mana-mana lokasi.
4.4.    Kurangnya bilangan teksi yang standby di ERL akan menimbulkan persepsi bahawa ERL tiada teksi terutamanya pada waktu puncak.
4.5.    Koperasi telah cuba laksanakan kaedah RM2 + Meter di Lim Kok Wing, namun gagal.
4.6.    MIJ telah menukarkan kaedah kupon di TBS kepada RM2 + Meter, namun didapati penumpangnya menyusut dari 700 sehari kepada hanya 200 (hilang 500).
4.7.    Bilangan purata trip harian teksi di Putrajaya Sentral sekarang ini ialah 700 trip. Apa akan jadi kalau tinggal hanya 200 trip sahaja?. 
5.    KEMUNGKINAN-KEMUNGKINAN LAIN 
5.1.    Meter dinaikkan pada akhir Januari 2015, namun kupon tidak dibenarkan naik. 
Kadar kenaikan meter baru (seperti dimaklumkan SPAD) adalah seperti berikut;-
-       Flag fall RM3.30, teksi bajet dan RM4.00 Teks1m.
-       RM0.25 bagi setiap 200 meter (kenaikan 40%)
-       RM0.25 bagi setiap 30 saat (kenaikan 40%)
Contoh perbandingan tambang meter sekarang dengan meter baru adalah seperti berikut;-
Perjalanan
Meter Sekarang
Meter Baru
Kupon (bersih)
P. Sentral ke Kompleks B
RM9.80
RM12.90
RM11.30
Pendapatan bersih pemandu menggunakan kupon adalah kurang sebanyak RM1.60.
Jika berlaku sedemikian (meter naik), adakah kita masih menyokong kupon? 
Bagaimana pula jika meter tidak dinaikkan?.
5.2. Koperasi diberi masa sehingga Jun 2015, dalam tempoh ini, Koperasi dengan sokongan semua (pemandu) akan melobi supaya kaedah tambang kupon dikekalkan. 
Antara pelan tindakan adalah seperti berikut;- 
a)   Mengumpulkan tandatangan semua pemandu dan penumpang yang mahukan sistem kupon dikekalkan serta mengemukakan kepada Menteri Wilayah Persekutuan.
b)    Mengeratkan hubungan dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya.
c)     Menjemput Menteri Wilayah merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi yang akan diadakan pada bulan Mei nanti.
d)  Menjemput seramai mungkin pemandu-pemandu menjadi ahli Koperasi (kalau boleh semua) dan kita bersatu untuk melaksanakan usaha ini (ramai ahli yang hadir, makin kuat tuntutan kita).

Hanya SPAD sahaja yang boleh meminta Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Kenderaan Perdagangan) 1959 bagi membolehkan kaedah kupon digazetkan/disahkan menurut undang-undang. 
6.    SEKIRANYA KUPON GAGAL DIPERTAHANKAN 
6.1. Keyakinan penumpang kepada perkhidmatan teksi di Putrajaya Sentral perlu dipertahankan/dipupuk dengan cara;-
a) Menyediakan anggaran tambang meter bagi sesuatu perjalanan (seperti disediakan dalam apps MyTeksi).
b)  Menyediakan “marshall” bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih mesra kepada penumpang.
c) Memastikan / menggalakkan perkhidmatan pemandu yang lebih mesra kepada penumpang. 
6.2.    Meningkatkan keyakinan pemandu untuk terus beroperasi di Putrajaya Sentral dengan cara;-
a)      Mewujudkan 100 usahawan teksi khas yang didaftarkan. Pemilihan berdasarkan kuantiti trip yang dibuat selama ini.
b)  Menyediakan "car wash" mesin penyedut habuk (vakum) untuk kegunaan pemandu di Putrajaya Sentral (secara percuma) supaya teksi di Putrajaya sentiasa bersih.
c)     Membekalkan (percuma) pewangi kenderaan (setiap 45 hari) bagi memastikan teksi di Putrajaya Sentral sentiasa wangi.
d)      Menyediakan dua helai uniform beserta name tag (percuma) setiap tahun kepada pemandu (untuk meningkatkan imej teksi di Putrajaya supaya berbeza dan lebih baik).
e)      Kurus dan latihan dengan dibayar elaun.
f)   Insentif RM100 tunai bagi pemandu yang mengambil 200 trip dalam tempoh sebulan (untuk menggalakkan pemandu aktif mengambil penumpang)
g)      Kebajikan pemandu yang berdaftar.
h)     Insentif pulang barang penumpang, cabutan bertuah dan lain-lain. 
Pelaksanaan insentif ini adalah tertakluk kepada keyakinan penumpang terhadap perkhidmatan teksi di Putrajaya Sentral dapat dipertahankan.
Sekiranya gagal, perubahan kaedah tambang ini akan menyebabkan kesukaran kepada semua;
a) Penumpang (mungkin ada pemandu yang akan guna laluan jauh bagi meningkatkan bacaan meter).
b)   Pemandu (700 trip sehari sekarang ini akan menyusut kepada 200 trip sahaja). Apa guna meter naik 40% tetapi kuantiti trip berkurangan 70%.
c)   Koperasi (hilang sumber pendapatan dan terpaksa bergantung kepada perniagaan lain seperti sewaan teksi, hotel bajet dan dobi layan diri yang sedang dirancang) 
7.    RUMUSAN/PENUTUP 
7.1. Kaedah tambang RM2 + Meter serta kupon mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing.
7.2. Undang-undang berkaitan kaedah tambang teksi adalah jelas.
7.3. Untuk meminda peruntukan undang-undang berkaitan tambang teksi amat memerlukan kesepaduan semua komuniti pemandu bagi mendasak ahli politik memindanya. Apakah kita mampu bersatu padu?.
7.4. Selain berikhtiar untuk mempertahankan sistem kupon, kita juga perlu bersedia dengan pelbagai pilihan lain termasuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kita.
7.5. Koperasi akan bersedia dan bersama-sama dengan pemandu dalam menghadapi saat sukar ini.