COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Isnin, 29 Jun 2009

Perpaduan yang memecahbelahkan.....

Semenjak dua ini, isu perpaduan orang Melayu (PAS dan UMNO) telah mula pudar dan kurang dibahaskan di blog-blog. Saya sendiri mengikuti dengan rapat isu Perpaduan ini kerana kepentingannya kepada agama, bangsa dan tanah air.

Sebelum ini kita hanya tahu bahawa "perpaduan" sangat penting. Hasil dari perpaduan, kita peroleh keamanan, kesejahteraan, keharmonian, kemajuan dan pembangunan.

Perpecahan pula menyebabkan kita lemah, tidak aman, menderita, peperangan, pertengkaran, permusuhan, dijajah, dihina dan lain-lain.

Walaubagaimanapun, dari isu perpaduan yang timbul baru-baru ini dapatlah dirumuskan perkara-perkara lain yang mungkin kita belum dengar sebelum ini seperti;-

1. PERPADUAN BOLEH MEWUJUDKAN PERPECAHAN

Cadangan perpaduan yang dibawa PAS menyebabkan parti itu hampir berpecah.

2. PERPADUAN BOLEH MENYEBABKAN SATU PIHAK TERANCAM

Perpaduan PAS dan UMNO mengancam PKR, DAP, MIC, MCA dan lain-lain.

3. PERPECAHAN MENYEBABKAN SATU PIHAK MENJADI KUAT

Perpecahan Melayu (PAS dan UMNO) menjadikan DAP dan PKR menjadi kuat.

4. PERPECAHAN MENGUNTUNGKAN SESETENGAH PIHAK.

Perpecahan Melayu (PAS dan UMNO) menyebabkan kaum minoriti
dimanjakan demi untuk memperoleh sokongan oleh kedua-dua pihak BN dan PR.

Mungkin "perpaduan" yang dicanangkan tersebut, kedua-dua pihak tidak membicarakannya dengan ikhlas kerana Allah. Perpaduan yang diserukan itu juga bukan dengan seruan agar berpegang kepada tali Allah seperti firmannya....,

"Dan berpeganglah kamu kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah-belah.."Surah Al-Baqarah 103.

(Pss......, mungkin masa perbincangan perpaduan yang sulit tu, UMNO sepatutnya tawarkan kepada PAS untuk benarkan hukum Islam dilaksanakan di Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor yang dikuasai hasil kerjasama antara PAS dan UMNO nie. Tok Guru Nik Aziz pasti bersetuju untuk bersatu dengan UMNO jika itu yang ditawarkan) - Hanya Allah yang lebih mengetahui...

Jumaat, 26 Jun 2009

Persatuan membela pemandu teksi?.... satu penilaian

Sejak sekian lama, telah wujud persatuan-persatuan teksi yang kesemuanya ditubuhkan dengan hasrat untuk membela nasib dan kebajikan pemandu teksi. Boleh dikatakan disetiap daerah, atau setiap kawasan tumpuan pengguna teksi, telah diwujudkan persatuan-persatuan seperti ini.

Terdapat juga beberapa tokoh persatuan teksi terkenal seperti Yusoff Lahir (PETEKMA), Dato' Aslah (PERPEKLI) dan lain-lain yang dahulu seringkali kelihatan begitu lantang menyuarakan masalah dan dilema pemandu agar diberi perhatian oleh kerajaan (ada rakan pemandu yang menyampaikan kepada saya bahawa suara lantang tu sebenarnya bukan nak bela pemandu, mereka nak permit sahaja..., dah dapat senyaplah nanti..., LPKP pandai, suapkan mereka dengan permit...., dah kenyang nanti diamlah dia. hmm..., rasanya tak kut..., - wallahuaa'lam).

Namun demikian, nampaknya nasib pemandu sejak sekian lama masih serupa seolah-olah puluhan persatuan teksi yang ada kini tidak pernah wujud. Pemandu masih ibarat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Kita mungkin sama sahaja dengan buruh kasar asing (Bangladesh, Myanmar, Indonesia dll.) kerana tiada skim simpanan seperti KWSP sebagai persediaan selepas bersara nanti, tiada perlindungan insurans seperti Socso bagi membantu mereka jika kemalangan dan/atau mengalami kecacatan kekal. Setahu saya juga.., tiada bank yang mahu memberi pinjaman perumahan jika diketahui pemohon bekerja sebagai pemandu teksi. Jika ditakdirkan ada yang kemalangan dan menghadapi kecacatan kekal sehingga tidak lagi mampu membawa teksi, bayangkan kesukaran yang bakal ditanggung isteri dan anak-anak kita..?

Sudahlah kerjaya ini tiada jaminan, kita juga sentiasa diburu bagi dicari kesalahan mereka oleh JPJ, Polis, LPKP dan Jabatan Alam Sekitar pada setiap saat masa mereka bekerja di atas jalan raya. Bekerja sebagai pemandu teksi ini juga seolah-olah pergi berperang. Maklumlah, jalanraya kat negara kita ni antara punca kematian yang tertinggi.

Saya ingin mengajak rakan-rakan pemandu untuk sama-sama merenungkan kenapa begitu buruk nasib kita sekarang ini?.

Secara peribadi saya berpendapat bahawa nasib yang kita hadapi ini adalah kerana kita tidak pernah bersatu walaupun kita ada persatuan. Kita sentiasa bertelagah sesama ahli. AJK persatuan teksi juga sentiasa bertelagah sesama mereka. Persatuan teksi A dan persatuan teksi B juga tidak pernah sependapat apalagi bekerjasama. Persatuan teksi juga pada masa ini nampaknya hanya berfungsi untuk memonopoli hentian-hentian teksi (secara haram) walaupun sebenarnya setiap stand teksi di sekitar Lembah Kelang adalah terbuka untuk semua teksi bandar Lembah Kelang.

Pemandu teksi perlu sedar mengenai perkara ini dan mengambil tindakan untuk menyatupadukan puluhan persatuan teksi teksi ini khususnya bagi membela nasib kerjaya dengan menubuhkan tabung simpanan dan perlindungan yang saya nyatakan di atas. Hentikanlah retorik sifat tamak dan mementingkan diri sendiri seperti "ini kawasan persatuan aku, kau bukan ahli pergi tempat lain".

Sesungguhnya jika 27,000 pemandu teksi Lembah kelang + 3 orang ahli keluarga setiap pemandu (isteri, anak, adik beradik, ibu bapa) telah menjadikan jumlah kita 81,000 manusia yang mampu menentukan siapa yang akan kalah atau menang dalam pilihanraya. Pemandu teksi yang sentiasa berhubung/bersembang dengan sekurang-kurangnya 20 penumpang sehari, tentunya juga boleh memberi kesan berpanjangan dalam politik negara.

Jika kita bersatu dengan kekuatan di atas, tanpa perlu melancarkan mogok pun, ahli politik akan mendekati kita dan akan memenuhi keperluan dan kehendak kita. Mungkin dengan keazaman politik, nasib pemandu menjadi lebih mudah dibela.
Suka juga saya bagi padangan, kalaulah kita menganjurkan mogok sedang kita tidak bersatu, nasib kita akan menjadi lebih buruk seperti yang dihadapi oleh pemandu limosin KLIA sekarang ini...,
Wallahua'alam.

Khamis, 25 Jun 2009

Majlis Interaksi YB. Menteri di JPM dengan pengusaha dan persatuan teksi


Pada 2hb. Jun 2009, alhamdulillah dan terima kasih kepada LPKP yang telah menjemput saya mewakili Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad (KPPCB) untuk berinteraksi dengan YB. Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz, Menteri di JPM yang bertanggungjawab terhadap LPKP.

YB. Menteri dalam ucaptama beliau mengajak supaya semua pengusaha, persatuan dan pemandu teksi untuk bersama-sama dengan kerajaan mewujudkan perkhidmatan teksi yang mengutamakan rakyat sesuai dengan slogan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" oleh YAB Perdana Menteri.

Seperti biasa, beliau dengan keras dan tegas menyatakan bahawa ini bukan masanya pemandu teksi untuk membuat apa-apa tuntutan. "Saya tidak peduli dengan 20-30 ribu pemandu teksi kerana saya perlu mengutamakan jutaan rakyat Malaysia lain" lebih kurang begitulah kenyataan keras dan tegas beliau kepada kami yang hadir pada hari itu.

Disebalik kenyataan tegas dan keras ini juga, nampaknya beliau menyejukkan kembali (rasa gusar dan kecewa) hadirin dengan makluman bahawa kadar tambang baru teksi sedang dalam peringkat akhir kelulusan kabinet..., terima kasih..., :)

Semasa sesi interaksi (dialog) saya telah mengemukakan pandangan dan harapan ahli-ahli KPPCB kepada beliau seperti berikut;-
  1. Memaklumkan kepada beliau bahawa semua pemandu teksi khususnya ahli KPPCB telah merasa lega, gembira dan senang hati dengan dasar pengutamaan pengeluaran permit individu yang dilaksanakan YB. Dato' Noh Omar sebelum ini. Sehubungan itu, kami ahli-ahli KPPCB mengharapkan agar dasar baik ini diteruskan dengan diperbaiki kelemahannya.

  2. Memaklumkan masalah yang dihadapi lebih 2000 pemandu teksi yang baru menerima permit individu untuk mendapatkan pembiayaan dari Mara dan Tekun kerana ketiadaan peruntukan. Mengharapkan YB. Menteri untuk mengajukan isu pemandu (rakyat) ini kepada Kementerian Kewangan untuk ditambah peruntukan dengan segera.

  3. Manarik perhatian YB. Datuk Seri bahawa sebelum ini Suruhanjaya Koperasi, LPKP, PKK, MARA dan Tekun Nasional berada dibawah satu kementerian iaitu MECD. Dengan mansuhnya MECD, Koperasi telah diletakkan dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) manakala LPKP di bawah Datuk Seri. Walaupun telah berada dibawah kementerian yang lain, mohonlah agar LPKP terus mengutamakan koperasi kerana sebuah koperasi dianggotai oleh ratusan pemandu teksi. Komuniti pemandu ini juga adalah rakyat yang perlu diutamakan. Membantu Koperasi juga bermakna membantu rakyat.

  4. Memaklumkan kepada YB. Datuk Seri bahawa dasar terbuka perkhidmatan teksi yang membenarkan semua teksi Lembah Kelang beroperasi di mana-mana kawasan atau stand teksi Lembah Kelang adalah baik. Namun penguatkuasaan yang lemah menyebabkan banyak stand-stand teksi dikuasai secara illegal samada oleh persatuan teksi atau kumpulan pemandu tertentu. Perkara ini boleh dilihat di stesen-stesen KTM yang mana hanya pemandu tertentu sahaja boleh beroperasi di sana. Memandangkan penguatkuasaan gagal dijalankan, KPPCB mencadangkan supaya pengawalan keahlian sesuatu stand teksi dibenarkan untuk dilaksanakan oleh persatuan teksi yang sah. LPKP akan memantau supaya persatuan berkenaan memastikan bilangan teksi yang beroperasi mencukupi serta pemandunya (ahli-ahli) mematuhi peraturan LPKP. Cadangan ini mungkin boleh membantu kerajaan memperbaiki perkhidmatan teksi yang dilihat lemah (nagatif) sejak sekian lama.

Seorang rakan dari Persatuan Teksi Eksekutif Malaysia (tak salah saya) menarik perhatian YB. Datuk Seri mengenai masalah kadar meter teksi eksekutif yang tidak selaras. Ada yang mula dengan RM4.00 (rasanya syarikat Zalnas-milik Naza Group) manakala yang lain mula dengan RM6.00. Beliau menyatakan bahawa keadaan ini menyebabkan kekeliruan pelancong sehingga pernah menyebabkan pergaduhan antara pelancong arab dan ahli persatuan. Beliau mengharapkan supaya kadar meter teksi eksekutif diselaraskan, jika nak tetapkan RM4.00 pun tidak mengapa asalkan tidak menimbulkan kekeliruan kepada pengguna.

Respon YB. Menteri terhadap isu-isu di atas adalah seperti berikut.

  1. "Dasar pemberian permit individu bukanlah dasar oleh Dato' Noh sahaja, (jangan salah faham Salleh ye....,) saya dulupun bagi juga permit individu dan saya akan teruskan dasar ini pada masa sekarang. Adalah tidak betul jika kita hanya keluarkan permit individu dan menghentikan pengeluaran permit syarikat, kerana pemilik teksi individu adalah dipilih berdasarkan pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun. Tanpa permit syarikat, bagaimana pemandu akan beroleh pengalaman sebelum memohon permit individu?" (lebih kurang beginilah jawapan YB. Datuk Seri kepada saya).

  2. Meminta supaya pemandu mencari alternatif lain seperti bank dan syarikat kewangan lain...., (Datuk Seri tentu tak maksudkan along ye...., rakan-rakan jangan salah faham pulak.....)

  3. YB. Datuk Seri tak sempat nak ulas harapan ahli-ahli KPPCB ini. (mungkin sebab banyak sangat pertanyaan kut..., saya rasa tentunya YB Datuk Seri bersetuju menunaikan harapan ini kerana ia sesuai dengan maksud slogan YAB. Perdana Menteri "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan ")

  4. Perkara ini tidak boleh dilakukan. "saya tidak akan benarkan samada persatuan ke, koperasi ke apalagi geng-geng pemandu untuk memonopoli sesuatu stand teksi. saya bagi amaran, jika ini dibuat dan dimaklumkan kepada saya, saya akan turun pecahkannya"

  5. Isu kadar meter teksi eksekutif ini tidak perlu dipertikaikan pengguna. Dah nama pun teksi eksekutif, siapa nak dan mampu...., naik, tak mampu jangan. Pengguna juga sepatutnya tidak perlu mempertikaikan kadar meter dia RM4 ke atau RM6 ke..., apa yang dicatat di meter tu bayar sahaja.....

Pada keseluruhannya majlis berjalan dengan lancar walaupun terdengar soksek2 kat belakang yang tidak berpuas hati dengan ketegasan YB. Datuk Seri....,

Apa pun, saya mendoakan supaya Dato' Seri diberikan hidayah dan kekuatan oleh Allah swt. untuk mengemudi LPKP kearah "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

(Selepas majlis, saya terkenangkan majlis dialog YB. Dato' Noh Omar bersama persatuan, pengusaha dan pemandu teksi di Grand Season Kuala Lumpur sebelum ini - rindu pulak kat kemesraan dan kebijaksanaan YB. Dato' Noh semasa mengendalikan dialog tersebut..., semoga beliau berjaya menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke arah kecemerlangan seperti yang beliau lakukan di MECD sebelum ini....)