COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Ahad, 7 Oktober 2012

KLIA 2 : Antara Harapan dan Angan-angan Pemandu


Salam 1 Teksi.
  1. Sekitar Februari 2012, saya dan beberapa rakan mewakili Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad (KPPCB) telah mengusulkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengumpulkan koperasi-koperasi teksi di Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi membincangkan cadangan mewujudkan gabungan koperasi yang lebih kuat bagi menaungi komuniti pemandu. Oleh itu, satu program yang dinamakan "Taklimat Penubuhan Gabungan Koperasi Pengangkutan Zon Tengah" telah dianjurkan SKM di Hotel Putra Nilai pada 22 dan 23 Feb. 2012.
  2. Hasil dari program tersebut, wakil-wakil koperasi yang hadir telah bersetuju menubuhkan sebuah koperasi menengah yang dinamakan "Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad" yang kemudiannya telah diluluskan pendaftarannya oleh SKM pada 21 Mei 2012.
  3. Fokus utama penubuhan "Gabungan Koperasi" ini ialah untuk menaungi komuniti pemandu teksi yang selama ini hanya menjadi kuli, penyewa ataupun pekerja kepada syarikat-syarikat teksi. Melalui Gabungan, dicadangkan supaya komuniti pemandu sendiri mengambil alih beberapa perkhidmatan pengangkutan khususnya pengendalian kaunter kupon (teksi dan limousin) di KLIA 2 yang dijangka beroperasi pertengahan tahun depan.
  4. Pengendali kaunter kupon di LCCT sekarang ini menjual lebih kurang 2000 kupon/trip yang bernilai lebih kurang RM180,000.00 sehari. Bagi tempoh setahun, diunjurkan mereka menjual kupon bernilai RM64.8 juta yang bermakna mereka memperoleh pendapatan sekitar RM6.48 juta. Ditolak dengan kos operasi, sekurang-kurangnya 3 orang individu pemilik syarikat ini membahagi-bahagikan di kalangan mereka seorang RM1 juta setahun. Dalam masa yang sama, nasib pemandu masih di takuk yang lama. Perkhidmatan yang diberikan pula tidaklah bagitu baik malah seringkali menerima kutukan di media internet.
  5. Melalui Gabungan, kami merancang supaya sekurang-kurangnya RM1 juta dari keuntungan bersih ini dikembalikan semula kepada pemandu dalam bentuk kemudahan perubatan, insurans, khairat kematian, dermasiswa pelajaran anak-anak, kursus dan latihan.
  6. Disebalik ikhtiar ini, seperti biasa, komuniti kita (pemandu teksi) ini amat sukar bersatu. Sebuah koperasi kecil yang mewakili sebahagian pemandu di LCCT sekarang ini tidak bersetuju dengan ikhtiar yang kami buat kerana merasakan mereka lebih layak dan berhak terhadap KLIA 2. Ada juga yang mahu supaya KLIA2 tidak mengunakan sistem kupon. 
  7. Dalam masa yang sama, saya mendengar tak kurang 20 buah syarikat telah melobi untuk projek kaunter kupon KLIA2, sebahagian mereka telah menubuhkan konsortium bagi menguatkan kertas kerja permohonan mereka.
  8. Sungguhpun kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada komuniti pemandu sendiri (melalui gabungan) untuk mengendalikan sistem kupon di KLIA2 ini, namun dek kerana perpecahan kita, harapan ini agak sukar dicapai.
  9. Jika cadangan Gabungan Koperasi ini tidak berjaya, saya secara peribadi tidaklah merasa rugi sangat kerana Gabungan Koperasi ini bukanlah milik saya secara individu. Namun, sebagai seorang pemandu teksi, saya merasa amat kecewa jika  2000 orang pemandu akan kembali bekerja sebagai "kuli" di KLIA2 walaupun sebenarnya mereka turut berpeluang menjadi tokey secara bersama.
**Khabar (angin) mutakhir yang saya terima, anak syarikat kepada pengendali perkhidmatan teksi dan limousine di terminal utama KLIA telah memenangi perkhidmatan teksi berkupon di KLIA2. 

Bagi yang pernah bekerja sebagai pemandu limousine di KLIA pasti faham bagaimana syarikat mengerah pemandu siang dan malam untuk membesarkan perut mereka...

Rabu, 3 Oktober 2012

BAJET 2013 - TEKSI


  1. Berbanding Bajet 2012 seperti yang pernah catatkan sebelum ini, Bajet 2013 kelihatan seolah-olah pemandu teksi tidak diberikan perhatian langsung. 
  2. Sebenarnya pemandu teksi adalah sebahagian dari warganegara Malaysia yang turut mendapat faedah secara langsung atau tidak langsung dari bajet ini melalui BR1M (bagi yang berpendapatan isi keluarga kurang RM3,000.00), bantuan persekolahan anak-anak, voucher buku anak-anak pemandu teksi yang belajar di IPT dan lain-lain. 
  3. Bantuan TR1Ma (bantuan tayar teksi) yang diberikan kepada pemandu teksi sebelum ini juga tidak dinyatakan dalam Bajet 2012, tetapi kerajaan memberikannya juga kepada kita menggunakan peruntukan dari 1MDB. Maka insya-Allah kita akan menerima sekali lagi bantuan tayar ini sebelum PRU-13 berlangsung..., :-)
  4. Tema pembentangan bajet tahun ini yang menggunakan istilah "Fastabiqul Khairaat" bermaksud berlumba-lumba dalam membuat kebajikan amatlah menarik sekali. Namun, saya agak khuatir kerana "pemberian" yang disebut sebagai fastabiqul khairat ini memberikan kesan negatif kepada negara secara keseluruhannya. 
  5. Sejak PRU 2008, kerajaan kelihatan begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan (undi) sehingga memberikan "pemberian" yang tidak pernah dibuat oleh 5 orang PM sebelumnya. Keadaan ini menyebabkan sebahagian rakyat mengambil kesempatan untuk "meminta-minta" akan perkara yang dahulunya tidak pernah diminta pun. Rakyat yang tidak dipenuhi permintaan mereka pula akan mengugut untuk mengundi parti lainKerajaan yang bakal memerintah selepas PRU 13 nanti pun akan mendapat tekanan yang sama.
  6. Selepas PRU 13 nanti, saya meragui akan keupayaan kerajaan sekiranya pemimpin kerajaan yang akan dilantik nanti memimpin, membuat sebarang dasar, memberikan "pemberian" dan seumpamanya dalam keadaan yang "kalau aku tidak luluskan pemberian ini, aku akan kalah. Maka aku kena bagi walaupun pemberian ini tidak munasabah, tidak mampu, salah dan menjejaskan sosio ekonomi masyarakat".
  7. Sebagai pemimpin, adakalanya kita perlu mempunyai kuasa membuat sesuatu keputusan yang dibenci oleh sebilangan rakyat (pada awalnya), namun memberikan lebih kebaikan, keharmonian dan kemajuan kepada rakyat yang lebih ramai pada akhirnya. Tanpa kuasa ini, pemimpin tersebut bolehlah diumpamakan seperti sekeping roti canai kosong sahaja.., wallahuaa'lam.