COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 22 November 2012

PANDUAN MENGURUSKAN KEWANGAN HARIAN TEKSI

Salam 1 Teksi. Posting kali ini sekadar perkongsian pengalaman dan idea sahaja. Jika pembaca merasakan pendapat saya ini salah, saya suka juga mendengar pendapat lain yang mungkin lebih baik dan saya boleh belajar dari tuan/puan juga... :-)

Sebagai pemandu teksi, kita sebenarnya adalah seorang peniaga yang menjual perkhidmatan kita kepada pelanggan. Dalam mana-mana perniagaan, kita sepatutnya membezakan entiti kita sebagai pemilik perniagaan  (perkhidmatan teksi) serta perkhidmatan yang kita tawarkan. Rujuk gambar di bawah..


Apa yang menjadi masalah selama ini ialah tidak mengasingkannya. Apa sahaja kutipan yang kita dapat, maka kita akan gunakan untuk apa sahaja samada untuk makan, minum, belanja kawan, beli barang dapur dan lain-lain. Maka hasilnya kita seperti tiada pendapatan tetap ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Untuk memudahkan kita menguruskan kewangan kita dengan lebih baik, saya cadangkan supaya kita menentukan berapakah gaji yang kita perlukan sebulan (contoh RM2,500.00 sebulan), kemudian kita tentukan pula berapa kos perkhidmatan teksi yang perlu perkhidmatan teksi yang kita jalankan ini menanggungnya, seperti sewa/ansuran bulanan, kos penyenggaraan, insurans dan lain-lain. Setelah kita menentukan peruntukan gaji dan kos operasi ini, maka kita akan dapat menentukan berapakah pendapatan yang perlu kita dapatkan setiap hari. Contoh pengiraan adalah seperti berikut;-

KOS PERKHIDMATAN TEKSI
PERKARA              RM

Gaji pemandu          2,500.00

Sewa/ansuran teksi          1,200.00

Kos penyenggaraan             200.00

Road tax/Puspakom dll             100.00

Tabungan kecemasan             200.00

Toll, makan, minum semasa bertugas             300.00
JUMLAH TAMBANG PERLU DIKUTIP SEBULAN          4,500.00
JUMLAH PURATA TAMBANG HARIAN (26 HARI)             173.08

Selepas kita menentukan kadar gaji dan kos operasi yang lain seperti di atas, maka jangan lagi kita menggunakan kesemua kutipan harian kita seperti sebelum ini. Cara mudah untuk mengelakkan diri kita menggunakan wang kutipan harian sewenangnya ialah dengan mendapatkan sejumlah wang sebagai modal pusingan. Contohnya dapatkan modal pusingan sebanyak RM300.00 dan wang ini hanya digunakan untuk menampung kos operasi sahaja. Kutipan tambang yang kita dapat pula terus disimpan di dalam akaun bank. Jika wang RM300 tadi telah kehabisan, maka keluarkanlah lagi RM300 untuk membiayai kos operasi bagi hari berikutnya. Cukup sebulan, kita keluarkanlah dari akaun bank RM2,500.00 sebagai gaji kita dan lain-lain jumlah untuk bayaran sewa/ansuran bulanan dan lain-lain. Hanya wang gaji RM2,500.00 sahaja kita gunakan untuk menyara diri dan keluarga. Jangan lupa, kita kena pastikan juga hasil tambang yang kita kutip sekurang-kurangnya RM4500 sebulan atau purata RM173.08 sehari. Nak gaji lebih..? mahirkanlah diri anda dengan perkhidmatan teksi serta "work smarter and harder".

Mungkin ada yang akan kata "mana boleh kita mendapat RM173 sehari, nak dapat RM100 pun susah. Kita ini ditekan lagi dengan tokey teksi yang zalim, kerajaan zalim tak bagi permit individu, saman AES lagi kena bayar, saman SPAD, saman JPJ, orang asing pun bawak teksi sekarang, teksi dah berlambak sangat..., bla-bla...."

Pendapat saya, di satu sudut kita patut meluahkan masalah yang kita tanggung selama ini dan kita berhak berjuang untuk menuntut sesuatu yang lebih baik. Ambillah kesempatan diambang pilihanraya ini untuk menuntut sesuatu (yang baik) untuk diri dan komuniti kita. Namun, di satu sudut yang lain, kita mesti akur bahawa bukan semua yang kita hendak kerajaan akan bagi. Nanti kalau kerajaan baru mengambil alih pimpinan negara pun, mustahil bagi mereka memenuhi kesemua kehendak kita. Maka untuk mengatasi halangan ini, kita sendiri kena berusaha dan berubah. Hidup dalam keadaan yang sentiasa rasa benci serta marah kepada orang lain hanya akan membuatkan diri kita bertambah derita. So, be positive..., jangan terlalu negative.

Ahad, 7 Oktober 2012

KLIA 2 : Antara Harapan dan Angan-angan Pemandu


Salam 1 Teksi.
  1. Sekitar Februari 2012, saya dan beberapa rakan mewakili Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad (KPPCB) telah mengusulkan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengumpulkan koperasi-koperasi teksi di Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bagi membincangkan cadangan mewujudkan gabungan koperasi yang lebih kuat bagi menaungi komuniti pemandu. Oleh itu, satu program yang dinamakan "Taklimat Penubuhan Gabungan Koperasi Pengangkutan Zon Tengah" telah dianjurkan SKM di Hotel Putra Nilai pada 22 dan 23 Feb. 2012.
  2. Hasil dari program tersebut, wakil-wakil koperasi yang hadir telah bersetuju menubuhkan sebuah koperasi menengah yang dinamakan "Gabungan Koperasi Pengangkutan Wilayah Tengah Malaysia Berhad" yang kemudiannya telah diluluskan pendaftarannya oleh SKM pada 21 Mei 2012.
  3. Fokus utama penubuhan "Gabungan Koperasi" ini ialah untuk menaungi komuniti pemandu teksi yang selama ini hanya menjadi kuli, penyewa ataupun pekerja kepada syarikat-syarikat teksi. Melalui Gabungan, dicadangkan supaya komuniti pemandu sendiri mengambil alih beberapa perkhidmatan pengangkutan khususnya pengendalian kaunter kupon (teksi dan limousin) di KLIA 2 yang dijangka beroperasi pertengahan tahun depan.
  4. Pengendali kaunter kupon di LCCT sekarang ini menjual lebih kurang 2000 kupon/trip yang bernilai lebih kurang RM180,000.00 sehari. Bagi tempoh setahun, diunjurkan mereka menjual kupon bernilai RM64.8 juta yang bermakna mereka memperoleh pendapatan sekitar RM6.48 juta. Ditolak dengan kos operasi, sekurang-kurangnya 3 orang individu pemilik syarikat ini membahagi-bahagikan di kalangan mereka seorang RM1 juta setahun. Dalam masa yang sama, nasib pemandu masih di takuk yang lama. Perkhidmatan yang diberikan pula tidaklah bagitu baik malah seringkali menerima kutukan di media internet.
  5. Melalui Gabungan, kami merancang supaya sekurang-kurangnya RM1 juta dari keuntungan bersih ini dikembalikan semula kepada pemandu dalam bentuk kemudahan perubatan, insurans, khairat kematian, dermasiswa pelajaran anak-anak, kursus dan latihan.
  6. Disebalik ikhtiar ini, seperti biasa, komuniti kita (pemandu teksi) ini amat sukar bersatu. Sebuah koperasi kecil yang mewakili sebahagian pemandu di LCCT sekarang ini tidak bersetuju dengan ikhtiar yang kami buat kerana merasakan mereka lebih layak dan berhak terhadap KLIA 2. Ada juga yang mahu supaya KLIA2 tidak mengunakan sistem kupon. 
  7. Dalam masa yang sama, saya mendengar tak kurang 20 buah syarikat telah melobi untuk projek kaunter kupon KLIA2, sebahagian mereka telah menubuhkan konsortium bagi menguatkan kertas kerja permohonan mereka.
  8. Sungguhpun kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada komuniti pemandu sendiri (melalui gabungan) untuk mengendalikan sistem kupon di KLIA2 ini, namun dek kerana perpecahan kita, harapan ini agak sukar dicapai.
  9. Jika cadangan Gabungan Koperasi ini tidak berjaya, saya secara peribadi tidaklah merasa rugi sangat kerana Gabungan Koperasi ini bukanlah milik saya secara individu. Namun, sebagai seorang pemandu teksi, saya merasa amat kecewa jika  2000 orang pemandu akan kembali bekerja sebagai "kuli" di KLIA2 walaupun sebenarnya mereka turut berpeluang menjadi tokey secara bersama.
**Khabar (angin) mutakhir yang saya terima, anak syarikat kepada pengendali perkhidmatan teksi dan limousine di terminal utama KLIA telah memenangi perkhidmatan teksi berkupon di KLIA2. 

Bagi yang pernah bekerja sebagai pemandu limousine di KLIA pasti faham bagaimana syarikat mengerah pemandu siang dan malam untuk membesarkan perut mereka...

Rabu, 3 Oktober 2012

BAJET 2013 - TEKSI


  1. Berbanding Bajet 2012 seperti yang pernah catatkan sebelum ini, Bajet 2013 kelihatan seolah-olah pemandu teksi tidak diberikan perhatian langsung. 
  2. Sebenarnya pemandu teksi adalah sebahagian dari warganegara Malaysia yang turut mendapat faedah secara langsung atau tidak langsung dari bajet ini melalui BR1M (bagi yang berpendapatan isi keluarga kurang RM3,000.00), bantuan persekolahan anak-anak, voucher buku anak-anak pemandu teksi yang belajar di IPT dan lain-lain. 
  3. Bantuan TR1Ma (bantuan tayar teksi) yang diberikan kepada pemandu teksi sebelum ini juga tidak dinyatakan dalam Bajet 2012, tetapi kerajaan memberikannya juga kepada kita menggunakan peruntukan dari 1MDB. Maka insya-Allah kita akan menerima sekali lagi bantuan tayar ini sebelum PRU-13 berlangsung..., :-)
  4. Tema pembentangan bajet tahun ini yang menggunakan istilah "Fastabiqul Khairaat" bermaksud berlumba-lumba dalam membuat kebajikan amatlah menarik sekali. Namun, saya agak khuatir kerana "pemberian" yang disebut sebagai fastabiqul khairat ini memberikan kesan negatif kepada negara secara keseluruhannya. 
  5. Sejak PRU 2008, kerajaan kelihatan begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan (undi) sehingga memberikan "pemberian" yang tidak pernah dibuat oleh 5 orang PM sebelumnya. Keadaan ini menyebabkan sebahagian rakyat mengambil kesempatan untuk "meminta-minta" akan perkara yang dahulunya tidak pernah diminta pun. Rakyat yang tidak dipenuhi permintaan mereka pula akan mengugut untuk mengundi parti lainKerajaan yang bakal memerintah selepas PRU 13 nanti pun akan mendapat tekanan yang sama.
  6. Selepas PRU 13 nanti, saya meragui akan keupayaan kerajaan sekiranya pemimpin kerajaan yang akan dilantik nanti memimpin, membuat sebarang dasar, memberikan "pemberian" dan seumpamanya dalam keadaan yang "kalau aku tidak luluskan pemberian ini, aku akan kalah. Maka aku kena bagi walaupun pemberian ini tidak munasabah, tidak mampu, salah dan menjejaskan sosio ekonomi masyarakat".
  7. Sebagai pemimpin, adakalanya kita perlu mempunyai kuasa membuat sesuatu keputusan yang dibenci oleh sebilangan rakyat (pada awalnya), namun memberikan lebih kebaikan, keharmonian dan kemajuan kepada rakyat yang lebih ramai pada akhirnya. Tanpa kuasa ini, pemimpin tersebut bolehlah diumpamakan seperti sekeping roti canai kosong sahaja.., wallahuaa'lam.

Isnin, 2 Julai 2012

PERMIT TEKSI SYARIKAT = PERHAMBAAN MODEN

Salam 1Teksi...
24 Jun yang lalu, Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Perhimpunan Teksi Rakyat 1Malaysia telah menyebut bahawa pemberian permit kepada syarikat teksi yang kemudiannya menyewa teksi kepada pemandu adalah SISTEM PERHAMBAAN ZAMAN MODEN. Saya percaya bahawa ungkapan yang menusuk hati pemilik syarikat teksi ini dibuat oleh PM secara spontan sebagai refleks kepada ucapan alu-aluan oleh Presiden Petekma (Yufof Lahir) sebelum itu. Difahamkan bahawa Yusof Lahir juga secara spontan memohon hanya permit individu kepada pemandu teksi walaupun tiada dalam teks ucapan.


Hasil dari ucapan PM tersebut serta arahan beliau kepada Y.B. Pengerusi SPAD untuk mencadangkan formula kepada kerajaan untuk menghapuskan permit syarikat, mungkin rakan-rakan pemandu tertunggu-tunggu bilakah berita baik tersebut akan diumumkan. Bagi syarikat teksi pula, mungkin ada yang sedang memikirkan apakah langkah terbaik dalam memastikan keberadaan syarikat mereka dalam industri teksi terus kekal. Yang menariknya, ada juga kalangan pemilik syarikat ini yang menganggap bahawa ucapan PM tersebut sekadar mengambil hati bagi memancing undi pemandu teksi.., wallahuaa'lam.


Saya amat berharap PM ikhlas dengan ungkapan tersebut serta memastikan SPAD mangambil tindakan proaktif dalam melaksanakannya. Walaubagaimanapun, masyarakat pengguna sebenarnya tidak mempedulikan samada permit teksi ini milik siapa. Bagi mereka, yang penting adalah mutu perkhidmatan teksi yang terbaik. Tiada gunanya kalau semua teksi di Malaysia nanti milik individu, namun pemandunya masih ramai tidak menggunakan meter, kotor, busuk dan tidak berdisiplin.

Isnin, 11 Jun 2012

PROGRAM BANTUAN TAYAR TEKSI RAKYAT 1 MALAYSIA (TRIMa) -UPDATE

Untuk mendapat maklumat lanjut berhubung program ini, sila layari laman ini

Berkaitan dengan posting saya sebelum ini berkenaan Perhimpunan Teksi Rakyat 1 Malaysia bersama YAB PM, ramai rakan-rakan tertanya-tanya berhubung Bantuan Tayar Untuk Teksi. Oleh yang demikian, saya kongsikan serba sedikit catatan yang saya dapat dari taklimat di Kelab Golf JPA, Bukit Kiara.

IDEA

Difahamkan bahawa idea ini adalah dari Y.A.B. PM sendiri yang memahami masalah pemandu dalam menanggung kos penyenggaraan yang tinggi.

OBJEKTIF BANTUAN
  1. Tambah baik kualiti perkhidmatan teksi (dengan tayar kenderaan yang baru).
  2. Mengurangkan beban pemandu teksi dalam menanggung kos penyenggaraan.
  3. Meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan teksi (semua teksi pakai tayar ori dah lepas nie.. :-). 
KELAYAKAN
  1. Teksi Bajet, Teksi Eksekutif, Kereta Sewa dan Teksi Lapangan Terbang (kecuali syarikat yang mendapati konsesi daripada kerajaan - Contoh..., Airport Limo). Teksi LCCT layak dapat bantuan TR1Ma ini.
  2. Pemandu teksi yang tergolong dari jenis-jenis teksi di atas dari seluruh Malaysia, layak menerima bantuan ini.
  3. Memiliki kad pemandu yang sah,
  4. Pemandu Pertama sahaja yang layak memohon (pemegang kad pemandu kedua tidak layak).
PROSES UNTUK MENDAPAT VOUCHER
  1. Isikan "Borang Permohonan TR1Ma" yang diberikan secara PERCUMA secara online, pejabat SPAD ataupun syarikat/persatuan teksi. Borang tersebut juga boleh disalin semula (fotostat).
  2. Serah "Borang Permohonan TR1Ma" yang telah lengkap diisi dengan melampirkan salinan kad pemandu dan salinan kad pengenalan kepada SPAD sebelum 17hb. Jun 2012. Pemandu yang hantar borang sebelum 17 Jun, akan menerima voucher semasa perhimpunan di Bukit Jalil nanti. 
  3. Jika terlewat, selepas 24 Jun 2012, anda masih boleh menghantar borang TR1Ma terus ke pejabat wilayah SPAD dan boleh dapatkan terus voucher.
** Link borang boleh di cetak melalui link berikut... http://www.spad.gov.my/sites/default/files/tr1maapplicationformbmv51.pdf

TERMA DAN SYARAT VOUCHER
  1. Setiap pemandu yang layak akan menerima 2 keping voucher yang setiap satu bernilai RM260.00 untuk mendapatkan 2 biji tayar. Kedua-dua voucher ini bernilai RM520.00.
  2. Tempoh sah laku voucher ialah selama 6 bulan. Anda boleh menukarnya dalam tempoh tersebut.
  3. 175 kedai tayar Goodyear 220 rangkaian kedai tayar Continental di seluruh Semenanjung telah dilantik sebagai panel. Penukaran voucher hanya boleh dibuat di kedai tayar ini sahaja. (rujuk pada link di bawah)
  4. Penukaran tayar boleh dibuat selepas 14 hari anda menerima voucher.
  5. Tidak boleh ditukar dengan tunai.
  6. Sekiranya tayar yang dibeli melebihi dari nilai voucher, sila-silalah tambah sendiri... :-)
Untuk senarai panel kedai tayar Goodyear dan Continental..., sila buka link yang saya sertakan di atas posting ini...

HIMPUNAN TEKSI RAKYAT 1 MALAYSIA BERSAMA Y.A.B. PERDANA MENTERI

Jam 3 petang tadi (11 Jun 2012) saya berkesempatan menghadiri taklimat berkenaan Program Himpunan Teksi Rakyat 1 Malaysia bersama Y.A.B. PM yang diadakan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara KL. Taklimat ini dihadiri lebih kurang 150 orang persatuan teksi dari seluruh Semenanjung (yang sempat saya bertegur sapa tadi dari KOP LIMO Pulau Pinang, Persatuan Teksi Kuantan, Persatuan Teksi Kluang dan lain-lain).

Taklimat disampaikan oleh YB Pengerusi SPAD, Y.bhg. Datuk Ketua Pengarah Kementerian Penerangan dan Y.brs CEO SPAD. Untuk makluman, program ini adalah anjuran bersama Kementerian Penerangan dan SPAD.

Dikongsikan di sini catatan peribadi saya yang didapati taklimat ini seperti berikut;-

Tarikh Program : 24 Jun 2012 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Perkarangan Tempat Letak Kereta A dan B, Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Aturcara program HIMPUNAN TEKSI RAKYAT 1 MALAYSIA bersama Y.A.B. PM

8.00 pagi : Pendaftaran dan sarapan pagi
8.00 pagi - 10.30 pagi : Pentarama (hiburan) yang dihoskan oleh kumpulan Osbon (Mr. Os & Abun)
11.00 pagi : Ketibaan Y.A.B. PM
11.30 pagi : Ucapan alu-aluan oleh Y.B. Pengerusi SPAD, YB Menteri Penerangan dan pengumuman Y.A.B PM mengenai program Bantuan Tayar Untuk Teksi, Insurans Berkelompok serta Khairat.
12.00 tengahari : Sesi Walkabout Y.A.B PM bersama pemandu teksi

Antara pengisian program ialah seperti berikut;

  1. Penyampaian Voucher Bantuan Tayar Untuk Teksi
  2. Pentarama
  3. Pertandingan teksi tercantik
  4. Cabutan bertuah. Kementerian Penerangan telah meminta Proton Holding untuk sponsor sebuah kenderaan sebagai hadiah utama cabutan bertuah.
  5. Pameran Interaktif
  6. Aktiviti keluarga (pertandingan melukis untuk anak-anak dan lain-lain)
  7. Gerai jualan produk kenderaan (alat ganti dan lain-lain)
Program akan berlangsung sehingga 5.00 petang.


SEMUA PEMANDU TEKSI DARI SELURUH MALAYSIA BESERTA KELUARGA DIJEMPUT HADIR.

3,000 TEKSI PERTAMA YANG MENDAFTAR KEHADIRAN AKAN MENDAPAT SPECIAL GOODIES DARI KEMENTERIAN PENERANGAN.

Khamis, 3 Mei 2012

Bengkel Pelesenan Terminal Pengangkutan Awam Darat



Terlebih dahulu terima kasih kepada SPAD yang memberi peluang kepada saya (Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd.) untuk menyertai bengkel ini pada 3 Mei 2012 yang lalu.

Menarik juga sebab kali ini, buat julung kalinya SPAD mengambil pendapat dan pandangan semua pihak termasuk persatuan pemandu teksi, persatuan pengusaha teksi, pengusaha bas, pihak berkuasa tempatan, persatuan OKU, pengguna dan lain-lain sebelum satu dasar atau peraturan dikuatkuasakan oleh mereka. Tahniah. 

"Harapnya lepas ini, kalau mereka ingin tambah lagi jenis kategori teksi, tukar warna teksi atau tambah sticker pada badan teksi atau seumpamanya, mereka akan terlebih dahulu mendengar pandangan semua pihak sebelum dilaksanakan. Tidak lah jadi cacamerba seperti sekarang".

Seperti yang dilaporkan dalam berita semalam, SPAD dalam proses untuk melesenkan terminal pengangkutan awam darat. Ini bermakna terminal atau hentian pengangkutan awam (stesen bas, taxi stand dan stesen keretapi) yang ada sekarang akan dilesenkan. Sebelum lesen diberi, terminal ini mestilah memenuhi beberapa kriteria penting. Macam nak dapat CF rumah kediaman la kut..... Apakah kriteria-kriteria penting sebelum suatu terminal pengangkutan ini diberi lesen?. Persoalan inilah yang ditanyakan kepada peserta bengkel.

Lebih kurang 80 orang peserta bengkel ini dibahagi-bahagikan mengikut kumpulan. Saya di'group'kan dengan Persatuan Pengusaha Teksi Lembah Kelang (Tn. Hj. Jalil dan En. Razak), Persatuan Pengusaha Teksi Selangor dan lembah Kelang (Dato' Aslah), Persatuan Pemandu Teksi Kepong dan Persatuan Pemandu Teksi Pelabuhan Kelang. Dato' Aslah dilantik sebagai ketua kumpulan atas cadangan En. Razak.
Tugasan yang diberikan kepada kumpulan saya untuk menyatakan pendapat kami berhubung.;
  1. Senaraikan rangkaian kemudahan yang perlu ada di terminal pengangkutan.
  2. Penilaian prestasi utama bagi terminal pengangkutan awam.
  3. Senaraikan mengikut keutamaan 6 penambahbaikan atau perubahan yang dianggap penting di terminal pengangkutan awam.
Dalam masa yang agak terhad, kumpulan kami sempat bersetuju bahawa terminal pengangkutan awam mestilah memenuhi kriteria berikut;
  1. Menyambungkan pengguna kepada pelbagai jenis pengangkutan mengikut kesesuaian dan keperluan pengguna yang pelbagai. Contohnya, pengguna yang turun dari bas boleh mendapatkan teksi di terminal yang sama untuk terus ke rumah.
  2. Jarak antara jenis perkhidmatan (keretapi, bas dan teksi) adalah munasabah (walking distance) iaitu kurang dari 300 meter.
  3. Infrastruktur yang lengkap (surau, bilik air, ruang menunggu, restoran dan lain-lain).
  4. Signage atau tunjuk arah kepada tiap-tiap jenis perkhidmatan pengangkutan yang lengkap dan jelas.
  5. Mesti menyediakan ruang menurun dan menaikkan penumpang (petak kuning untuk teksi menurunkan dan mengambil penumpang).
  6. Laluan khas bas dan teksi untuk masuk dan keluar dari terminal.
  7. Wujudkan pihak yang bertanggungjawab menyelia perkhidmatan teksi bagi memastikan teksi mengikut barisan, tidak memilih penumpang, menerima aduan pengguna serta perkhidmatan "lost & found".
  8. Keselamatan
Semasa sesi pembentangan, boleh dikatakan kebanyakan kumpulan memberikan pendapat kumpulan masing dengan baik dan bernas sekali (terlalu panjang untuk dikongsikan di sini). 

Namun sedikit kecewa sebab Dato' Aslah yang ditugaskan membentangkan pendapat kumpulan kami telah membentangkan pendapat peribadi beliau yang relevan dengan tajuk bengkel. Beliau bangkitkan mengenai meter beresit dan menyanggah pendapat kumpulan lain yang membuat pembentangan terlebih dahulu. Sebuah kumpulan teksi lain (tak salah saya dibentangkan oleh Pengerusi Persatuan Kereta Sewa Kajang) telah membangkitkan isu-isu yang langsung tak relevan dengan tajuk bengkel. Beliau membentangkan masalah pemandu seperti bayaran fee puspakom, jenis kenderaan teksi, kos penyenggaraan teksi dan lain-lain.

Khamis, 19 April 2012

APAKAH PENYEBAB SEBENAR ADUAN PENUMPANG TERHADAP PERKHIDMATAN TEKSI?



Salam Perkhidmatan Teksi 1 Malaysia…,
Saya menerima permintaan seorang pengunjung blog ini yang merupakan seorang mahasiswi yang menyiapkan uji kaji di semester akhirnya berkenaan permasalahan perkhidmatan teksi. Sebenarnya ramai mahasiswa yang meminta ulasan saya mengenai perkhidmatan teksi untuk dimuatkan dalam kertas mereka, namun saya tidak berkesempatan mengulas nya kerana merasakan kebanyakan pendapat saya telah pun dimuatkan di blog ini. Walau bagaimanapun, kali ini saya meluangkan sedikit masa untuk ini memandangkan dah lama sangat saya tak update blog…... :)
Persoalan penting yang ditanya kepada saya ialah Apakah penyebab sebenar aduan penumpang terhadap perkhidmatan teksi? Sebelum mengulas lanjut mengenai persoalan ini, saya menjelaskan perihal am mengenai teksi terlebih dahulu.
Sekarang ini, terdapat lebih kurang 30,000 buah teksi di Lembah Kelang yang terdiri dari pelbagai jenis perkhidmatan, warna, kadar tambang dan juga kawasan operasinya. Pecahan perkhidmatan teksi boleh diperincikan seperti berikut;
1.    Teksi Bandar (Bajet)
a)    Hanya kenderaan keluaran Proton sahaja dibenarkan dengan syarat kenderaan tersebut menggunakan enjin kuasa kuda 1.5 ke atas,
b)    Permit teksi ini dikeluarkan kepada individu dan juga syarikat,
c)    Kadar tambangnya adalah menggunakan meter yang mengira kadar tambang berdasarkan formula berikut;
-       1KM atau 3 minit pertama RM3.00
-       115 meter atau 21 saat waktu menunggu berikutnya RM0.10
-       Surcaj perkhidmatan radio teksi RM2.00
-       Surcaj waktu tengah malam (12.00 malam hingga 6 pagi) 50% dari bacaan meter
-       Surcaj ke lapangan terbang KLIA RM12.00.
-       Boleh beroperasi dalam kawasan Lembah Kelang sahaja (KL, Putrajaya, Seremban, Melaka dan seluruh Negeri Selangor kecuali kawasan Kuala Selangor dan KLIA). Genting Highland dan Melaka juga dibenarkan teksi jenis ini menghantar penumpang.

d)    Terdapat pelbagai warna teksi bajet ini yang antaranya ialah;-
-       Merah dan biru bermaksud teksi bajet permit individu,
-       Merah dan putih tidak mempunyai maksud khusus untuk mengkategorikan nya sebagai teksi milik individu atau sebab syarikat sebab ada yang milik individu dan ada juga milik syarikat,
-       Merah di keseluruhan badan kenderaan bermaksud teksi milik Syarikat Public Cab,
-       Hijau di keseluruhan badan bermaksud teksi milik Syarikat Sunlight,
-       Putih keseluruhan badan milik syarikat Marlis Corporation,
-       Kuning di keseluruhan badan milik syarikat Super Cab, dan
-       Putih dan biru milik Destination Transport dan lain-lain.

2.    Teksi Premier
a)    Boleh menggunakan kenderaan import atau buatan tempatan dengan syarat kuasa kuda nya 2.0 ke atas,
b)    Setahu saya hanya syarikat mendapat permit teksi jenis ini,
c)    Kadar tambangnya juga adalah berdasarkan meter iaitu;
-       1KM atau 2 minit pertama RM4.00,
-       Setiap 45 saat waktu menunggu berikutnya RM0.20,
-       Surcaj midnight 50%,
-       Surcaj call RM2.00
-       Surcaj lapangan terbang RM12.00.
d)    Buat masa sekarang ini, teksi jenis ini sudah berkurangan di jalanraya ekoran kerajaan menggantikan perkhidmatan ini dengan perkhidmatan yang dinamakan teksi eksekutif. Yang masih kelihatan hanya teksi jenis Enviro.

3.    Teksi Eksekutif
a)    Boleh menggunakan kenderaan import atau tempatan dengan syarat menggunakan enjin kuasa kuda 2.0 ke atas,
b)    Diberi kepada pengusaha individu dan juga syarikat,
c)    Teksi jenis ini mesti berwarna biru (Candy Blue) di keseluruhan badan kenderaan,
d)    Boleh beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia, dan
e)    Kadar tambangnya adalah berdasarkan meter seperti berikut;
-       1KM atau 2 minit pertama,
-       Setiap 21 saat waktu menunggu berikutnya RM0.20,
-       Surcaj midnight 50%,
-       Surcaj call RM2.00
-       Surcaj lapangan terbang RM12.00.

4.    Teksi Lapangan Terbang
a)    Menggunakan kenderaan import atau buatan tempatan,
b)    Perkhidmatan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu teksi bajet (kuasa enjin 1.5 ke atas), teksi premier (kuasa enjin 2.0 ke atas) dan teksi keluarga (van),
c)    Kadar tambang adalah berdasarkan zon yang dicadangkan oleh pengendali kaunter jualan kupon (tiket) setelah diluluskan SPAD (kerajaan).
Sebenarnya ada lagi jenis perkhidmatan teksi yang dipanggil Kereta Sewa. Kereta Sewa adalah jenis perkhidmatan teksi yang beroperasi dari pangkalan tertentu seperti di Pudu Raya, Pekan Kajang, Kuala Selangor dan lain-lain. Ia boleh beroperasi ke seluruh semenanjung. Kenderaan yang digunakan untuk kereta sewa ini adalah pelbagai jenis kenderaan import dan tempatan. Kadar tambangnya adalah berdasarkan jarak perjalanan tanpa menggunakan meter.
Pendapat saya mengenai kepelbagaian perkhidmatan teksi ini sebenarnya MENGARUT sahaja. Perwujudan pelbagai jenis teksi, kadar tambang, kawasan operasi dan lain-lain bukanlah sesuatu yang diminta oleh rakyat atau pengguna. Yang dimahukan ialah KUALITI PERKHIDMATAN yang hanya boleh disumbangkan oleh perkhidmatan yang selamat dan cekap, sistem bayaran tambang yang jelas dan munasabah, ruang boot kenderaan yang luas serta sedikit selesa, dan yang paling penting ialah kualiti pemandu teksi itu sendiri.
Menyediakan perkhidmatan teksi eksekutif dengan kenderaan jenis Mercedes Benz sekalipun tidak memberi makna apa-apa kepada pengguna sekiranya pemandu nya kasar, biadab, berbau busuk atau memandu secara berbahaya. Kepelbagaian jenis teksi ini juga hanya menambahkan keresahan dan kekeliruan kepada pengguna.
Mengikut maklumat yang saya dapat dari LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan - sekarang tugas ini diambil alih oleh SPAD), aduan yang banyak diterima mereka ialah PEMANDU TIDAK MENGGUNAKAN METER, MENGENAKAN TAMBANG LEBIH dan MENGGUNAKAN JALAN JAUH untuk mendapatkan tambang yang lebih. Kerajaan juga menghadapi masalah untuk menguatkuasakan semua peraturan mengenai tambang ini ekoran kekurangan penguat kuasa. Sebagai langkah jangka pendek, kerajaan mewujudkan pula perkhidmatan teksi berkupon.
Teksi berkupon bermaksud perkhidmatan teksi yang kadar tambangnya menggunakan kupon. Modus operandi perkhidmatan ini ialah;
a)    Pengusaha kaunter teksi dilantik oleh kerajaan untuk menjalankan perkhidmatan di lokasi-lokasi strategik seperti di terminal pengangkutan, pasar raya dan lain-lain,
b)    Kadar tambangnya ditentukan berdasarkan jarak yang dibahagikan mengikut zon lingkungan. Contohnya, Zon 1 (jarak lingkungan 2KM pertama, kadar kuponnya ialah RM5.00),
c)    Pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan teksi di lokasi yang terdapat kaunter kupon ini perlu pergi ke kaunter teksi, menyatakan lokasi tujuan, membayar kadar tambang yang dimaklumkan serta mendapatkan 2 keratan kupon iaitu salinan penumpang dan salinan pemandu,
d)    Pengguna seterusnya menaiki teksi di ‘queue’ pertama, menyerahkan kupon salinan pemandu kepada pemandu tanpa perlu membayar caj tambahan lain kecuali tol,
e)    Pemandu menghantar penumpang ke destinasi dituju dan selepas itu membuat tuntutan kupon di kaunter. Pemandu akan mendapat 90% dari kadar yang dinyatakan di kupon. 10% adalah untuk pengurusan syarikat pengendali,
f)     Syarikat pengendali juga perlu mewujudkan kaunter aduan serta perkhidmatan “lost & found” sekiranya penumpang meminta bantuan untuk mendapatkan barangan yang tertinggal di dalam teksi.
Sistem kupon ini sangatlah membantu untuk mengelakkan ketidakpuasan atau syak wasangka antara penumpang dan pemandu berhubung kadar tambang. Penumpang sudah tahu kadar tambang yang tepat untuk sampai ke destinasi yang dituju, pemandu akan memandu ke destinasi mengikut laluan yang paling singkat dan cepat kerana kadar tambang yang diperoleh adalah sama. Pemandu juga mendapat bayaran 90% dari kupon yang kebiasaannya lebih sedikit dari kadar meter.
Pelaksanaan sistem kupon ini mendapat sokongan dan tentangan oleh pelbagai pihak. Ada juga ahli politik yang mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk populariti masing-masing. Namun hakikatnya, ekoran sikap pemandu yang tidak guna meter atau menggunakan laluan jauh supaya bacaan meter menjadi tinggi, ramai pengguna lebih selesa dengan sistem ini walaupun sedikit mahal berbanding meter.
Pihak SPAD memaklumkan bahawa mereka sedang melaksanakan kajian sama ada untuk meneruskan sistem kupon ini atau tidak. Buat masa ini, perkhidmatan kaunter kupon sedia ada masih dibenarkan beroperasi sehingga kajian tersebut siap dan dilaksanakan.
Berkenaan komuniti pemandu pula, sebahagian dari mereka menubuhkan atau menyertai persatuan-persatuan teksi. Banyak sekali persatuan teksi yang ditubuhkan, selalunya persatuan tersebut mewakili kawasan mereka selalu beroperasi, contohnya Persatuan Teksi Serdang, Persatuan Teksi Cyberjaya dan lain-lain. Penubuhan persatuan teksi ini adalah di bawah Akta Pertubuhan yang mana permohonan penubuhannya perlu dikemukakan kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Perkhidmatan persatuan teksi ini terhad kepada menjaga nasib dan kebajikan sesama ahli dengan mewujudkan khairat kematian, sumbangan kemalangan dan lain-lain. Namun, boleh dikatakan semua persatuan ini menyalahgunakan kewujudan persatuan mereka dengan memonopoli kawasan operasi sesuatu perhentian teksi. Contohnya, Persatuan Teksi Serdang mensyaratkan hanya ahli sahaja boleh beroperasi di stesen KTM Komuter Serdang. Peraturan sepatutnya ialah semua teksi Lembah Kelang boleh beroperasi di mana-mana kawasan kecuali di KLIA dan LCCT.
Akhir sekali, kembali kepada tajuk Apakah penyebab sebenar aduan penumpang terhadap perkhidmatan teksi? Saya tidak mahu menyalahkan pemandu mahupun pengusaha sebagai puncanya. Pemandu teksi hanyalah manusia biasa yang berkhidmat untuk mendapatkan rezeki bagi menyara keluarga. Boleh juga diumpamakan mereka sebagai peniaga kecil. Mereka berkhidmat dengan dikongkong oleh dasar dan peraturan yang ditentukan kepada mereka. Komuniti pemandu ini terdiri dari pelbagai latar belakang. Antara nya pesara kerajaan, pesara swasta dan orang-orang yang tidak mendapat pekerjaan (termasuk dibuang kerja atau berpendidikan rendah).
Pokok pangkalnya ialah kerajaan (SPAD) sendiri dalam menyediakan dan melaksanakan dasar mereka. Kerajaan tidak punyai satu dasar perkhidmatan teksi yang jelas. Peraturan-peraturan sedia ada yang bercelaru ini diwujudkan oleh mereka mengikut keadaan sahaja. Campur tangan politik juga menambahkan lagi kecelaruan. Contohnya ialah dasar warna teksi yang pelbagai.
Berdasarkan permintaan pengguna yang mahukan perkhidmatan teksi yang berkualiti melalui pemandu yang berdisiplin dan terlatih, kadar tambang yang jelas dan munasabah serta ruang boot kenderaan yang besar dan sedikit keselesaan kerajaan sepatutnya boleh membuatkan dasar-dasar yang khusus bagi mencapai hasrat pengguna tersebut.
Pemandu teksi amat penting kepada negara, merekalah yang membawa pelancong yang datang melawat. 30,000 orang pemandu teksi di Lembah Kelang ini mampu membawa persepsi buruk kepada kerajaan dengan sekelip mata (dahulu pernah dihebohkan berkenaan pemandu yang berkempen untuk pembangkang di dalam teksi). Disiplin, cara pemanduan yang berbahaya, berbau busuk, mengenakan tambang lebih, tidak guna meter, menggunakan jalan yang jauh sekarang ini menghantui sebilangan besar pengguna. Pemandu teksi yang berkualiti boleh dianggap sebagai duta kecil yang mampu mengharum nama negara.
Bagaimana menjadikan pemandu teksi ini sebagai pemandu yang berdisiplin dan terlatih?. Untuk tidak mahu memanjangkan lagi posting ini, saya ringkaskan cadangan saya seperti berikut;
  1. Wujudkan skim latihan dan kursus sepanjang kerjaya yang diwajibkan kepada semua pemandu teksi untuk menghadirinya sekurang-kurangnya 4 hari setahun. Gunakan kemudahan yang wujud di Institut Keusahawanan Negara, Institut Kemahiran Belia Negara, MARA dan lain-lain. Antara latihan yang perlu diberikan kepada pemandu ialah;-
-       Khidmat pelanggan,
-       Pengurusan Kewangan Diri,
-       Komunikasi dan bahasa,
-       Undang-undang jalan raya dan pemanduan cekap serta selamat,
-       Maklumat Kawasan Operasi serta Pelancongan, dan
-       Agama dan sivik.
  1. Pemandu yang menghadiri kursus ini perlu diberikan pengecualian sewa oleh syarikat teksi serta elaun kursus dibayar oleh kerajaan seperti pelajar institut kemahiran yang lain.
  2. Wujudkan sistem penilaian terhadap kemahiran pemandu dengan memberikan permit individu jika mereka berjaya mencapai satu tahap yang terbaik. Pemandu baru perlu menyewa dengan syarikat teksi dahulu.
  3. Wujudkan sistem saringan bagi menapis penjenayah dan penagih dadah untuk bekerja sebagai pemandu teksi,
  4. Pastikan pendapatan bersih pemandu teksi mampu mencapai sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan dengan cara mengurangkan kos operasi mereka (subsidi), atau meningkatkan produktiviti mereka dengan mewujudkan dasar yang menggalakkan lebih ramai orang menaiki teksi, dan
  5. Sebagai tambahan, wujudkan lah juga skim yang boleh melindungi mereka dari kemalangan, kecacatan kekal, kemudahan perubatan dan simpanan hari tua.
Di samping itu, kerajaan perlu secara berperingkat membuat penyelarasan berikut;-
  1. Menyeragamkan kembali jenis-jenis kenderaan teksi sekarang ini dengan hanya mewujudkan 2 jenis teksi iaitu teksi bajet dan teksi keluarga (MPV atau van) sahaja. Pengguna super elit yang mahukan teksi yang super selesa, gunakanlah perkhidmatan limousin hotel atau perkhidmatan dari syarikat kereta sewa.
  2. Kenderaan teksi bajet diselaraskan kepada satu jenis kenderaan sahaja contohnya Proton Exora. Teksi keluarga pula dikhaskan kepada 2 jenis kenderaan (van dan MPV) sahaja.
  3. Warna teksi diselaraskan semula. Identiti pengusaha boleh dibezakan pada nama pengusaha di pintu atau sticker tertentu sahaja.
  4. Wujudkan dasar terbuka bagi kawasan operasi. Malaysia ni bukan besar mana pun…
  5. Penguatkuasaan yang lebih ketat dan tegas. Selepas pemandu diberikan latihan, dipastikan mempunyai pendapatan yang setimpal, maka pemandu yang masih melanggar undang-undang menerima hukuman yang berat.
Saya penuh yakin kualiti perkhidmatan teksi di Malaysia boleh ditingkatkan dan orang yang mampu berbuat sesuatu mengenainya hanyalah pihak KERAJAAN. Pemandu dan pengusaha hanya menurut sahaja dasar-dasar yang ditetapkan kepada mereka.
Wallahuaa’lam.

Selasa, 31 Januari 2012

TEKSI EKSEKUTIF - APA DAH JADI..?

Salam 1 Teksi...., terlebih dahulu maaf juga kerana lama sangat tak menulis..., tak ade idea...., :-)

Antara teksi eksekutif yang tersadai
  1. Tak salah saya, jenis perkhidmatan teksi eksekutif diwujudkan oleh LPKP mulai tahun 2007. Dikhabarkan juga matlamat pengwujudan perkhidmatan ini adalah untuk menaik taraf perkhidmatan teksi sedia ada di Malaysia sesuai dengan Wawasan untuk menjadi negara maju pada tahun 2020. Difahamkan juga, teksi jenis bajet akan dikurangkan secara berperingkat (dengan menghadkan pengeluaran permit kepada individu sahaja) bagi memastikan perkhidmatan teksi menjadi lebih berkualiti menjelang tahun 2020 tersebut (maaf, saya tiada sumber yang jelas mengenai perkara ini, hanya sekadar sembang dari mulut ke mulut sesama pengusaha teksi).
  2. Pengusaha teksi eksekutif yang pertama, tak salah saya adalah Pempena Sdn. Bhd. anak syarikat Kementerian Pelancongan. YB. Dato Seri Tengku Adnan (Mantan Menteri Pelancongan) memaklumkan bahawa penubuhan teksi eksekutif ini adalah atas inisiatif Pempena selaku syarikat milik Kementerian Pelancongan kerana pada waktu itu Kementerian Pelancongan menghadapi masalah dengan aduan pelancong terhadap perkhidmatan teksi yang kecil, kotor dan lain-lain lagi.
  3. Mulai itu, permit teksi eksekutif rancak dikeluarkan dengan mudahnya kepada syarikat mahupun individu. Dengan itu, wujud beberapa syarikat yang mengeluarkan teksi eksekutif dengan banyaknya. Boleh dilihat dengan banyak sekali jenis model kenderaan yang dijadikan teksi eksekutif ini, antaranya Naza Ria, Naza Citra, Hyundai, Mercedes Vito dan lain-lain.
  4. Lambakan teksi eksekutif yang terlalu banyak disamping teksi bajet yang terus dikeluarkan menyebabkan pengusaha dan pemandu teksi eksekutif tertekan dan terpaksa bersaing dengan cara menurunkan kadar deposit dan sewa harian dan juga tambang.
  5. Ada pengusaha yang telah menurunkan kadar deposit sehingga hanya RM1500 untuk keluarkan teksi eksekutif. Kadar sewaan harian juga ada yang telah dikurangkan sehingga hampir sama dengan kadar sewaan teksi bajet (sekitar RM65). Beberapa pengusaha yang gagal bersaing telah gulung tikar dan kenderaan disita oleh bank (ada wakil sebuah syarikat jumpa saya propose untuk saya beli 18 teksi eksekutif Naza Citra dan 8 Perdana V6 mereka kerana nak tutup operasi).
  6. Pemandu teksi eksekutif pula sudah mula mengenakan tambang yang sama dengan tambang teksi bajet. Pemandu teksi eksekutif sekarang ini, kalau tetap dengan "meter eksekutifnya" alamatnya tiada penumpang sebab berlambak teksi bajet sedang menanti penumpang tersebut. Dengan kadar teksi bajet, mereka hanya boleh mengutip antara RM150 hingga RM250 sahaja sehari. Bagaimana mereka boleh 'survive' dengan pendapatan sebegitu walhal kos penyenggaraan teksi eksekutif lebih mahal sehingga 4 kali ganda kos penyenggaraan teksi bajet (Overhaul Naza Ria +- RM8,000.00). Alamatnya, pemandu ini juga akan gulung tikar apabila kenderaan mereka kena overhaul nanti.
  7. Rumusan entri saya ini, harap sangat lah, kalau kerajaan khususnya SPAD nak mengeluarkan sebarang dasar baru, pastikan ianya dirancang dengan betul, dibincang bersama dengan semua pihak terlibat (pengusaha dan pemandu) serta dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Plan jangka panjang hendaklah didedahkan kepada pengusaha/pemandu supaya sama-sama dapat mempertahankannya.
  8. Kegagalan membuat yang terbaik (seperti dalam masalah pengusaha teksi eksekutif ini) hanya menyebabkan lebih ramai pengusaha bumiputera yang muflis.
  9. Bagaimana kita mahu mendabik dada kononnya membangunkan usahawan bumiptera walhal dasar kita menyebabkan ramai kalangan mereka yang muflis....?
Apa cerita dengan TEKSI WANITA....? :-)