COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...
Memaparkan catatan dengan label permit teksi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label permit teksi. Papar semua catatan

Isnin, 2 Julai 2012

PERMIT TEKSI SYARIKAT = PERHAMBAAN MODEN

Salam 1Teksi...
24 Jun yang lalu, Y.A.B. Perdana Menteri dalam ucapan perasmian Perhimpunan Teksi Rakyat 1Malaysia telah menyebut bahawa pemberian permit kepada syarikat teksi yang kemudiannya menyewa teksi kepada pemandu adalah SISTEM PERHAMBAAN ZAMAN MODEN. Saya percaya bahawa ungkapan yang menusuk hati pemilik syarikat teksi ini dibuat oleh PM secara spontan sebagai refleks kepada ucapan alu-aluan oleh Presiden Petekma (Yufof Lahir) sebelum itu. Difahamkan bahawa Yusof Lahir juga secara spontan memohon hanya permit individu kepada pemandu teksi walaupun tiada dalam teks ucapan.


Hasil dari ucapan PM tersebut serta arahan beliau kepada Y.B. Pengerusi SPAD untuk mencadangkan formula kepada kerajaan untuk menghapuskan permit syarikat, mungkin rakan-rakan pemandu tertunggu-tunggu bilakah berita baik tersebut akan diumumkan. Bagi syarikat teksi pula, mungkin ada yang sedang memikirkan apakah langkah terbaik dalam memastikan keberadaan syarikat mereka dalam industri teksi terus kekal. Yang menariknya, ada juga kalangan pemilik syarikat ini yang menganggap bahawa ucapan PM tersebut sekadar mengambil hati bagi memancing undi pemandu teksi.., wallahuaa'lam.


Saya amat berharap PM ikhlas dengan ungkapan tersebut serta memastikan SPAD mangambil tindakan proaktif dalam melaksanakannya. Walaubagaimanapun, masyarakat pengguna sebenarnya tidak mempedulikan samada permit teksi ini milik siapa. Bagi mereka, yang penting adalah mutu perkhidmatan teksi yang terbaik. Tiada gunanya kalau semua teksi di Malaysia nanti milik individu, namun pemandunya masih ramai tidak menggunakan meter, kotor, busuk dan tidak berdisiplin.

Rabu, 22 Jun 2011

KETIRISAN PERMIT TEKSI INDIVIDU


Salam Teksi....,
  1. Ramai rakan pemandu yang terus mendesak supaya kerajaan hanya memberikan permit teksi kepada Individu sahaja. Secara peribadi, saya amatlah menyokongnya...,
  2. Tahun 2009, 3000 permit individu diumumkan YB Dato' Noh Omar, 3000 permit individu lagi diumumkan YAB Dato' Seri PM (sempena 100 hari pemerintahannya) menjadikan 6000 permit individu dikeluarkan dalam tempoh 2 tahun. Ramai sekali rakan-rakan yang mendapat permit ini. Difahamkan 6000 permit individu ini telahpun dikeluarkan kepada pemandu (difahamkan sekarang ini, semua permohonan permit bajet telah ditutup),
  3. Disebalik 6000 permit ini, apa yang saya perhatikan, banyak sekali pemandu yang tidak boleh mengeluarkan teksi kerana blacklist atau telah lanjut umur.
  4. MARA juga tidak lagi memberikan pinjaman teksi kepada pemandu Bumiputera kerana onar yang dibuat kalangan pemandu sendiri yang tidak membayar ansuran dengan baik, akibatnya peruntukan pinjaman menjadi sedikit seterusnya tidak lagi boleh memberikan pembiayaan teksi.
  5. Ekoran itu, banyak sekali pemegang permit individu ini yang menyewakan permit mereka kepada syarikat teksi..., ada juga yang menyewakan permit mereka kepada rakan-rakan pemandu lain pada kadar RM150-RM200,
  6. Dari 6000 permit individu yang dikeluarkan tadi, dipercayai sekitar 3000 atau 50% daripadanya disewakan kepada pihak lain secara sukarela ataupun kerana tidak boleh membuat pinjaman bank (blacklist).
  7. Persoalannya..., adakah pengurniaan permit teksi individu ini benar-benar dinikmati rakyat....?
  8. Siapakah puncanya yang menyebabkan berlakunya ketirisan sehingga 3000 permit ini dinikmati(sewa) oleh orang lain....?
  9. Setelah apa yang berlaku kini..., agak memalukan sekiranya persatuan-persatuan teksi terjerit-jerit semula menuntut permit teksi individu.... melainkan mekanisma yang ampuh diwujudkan bagi mengelak perkara sama berulang....

Selasa, 29 Mac 2011

PEMILIK LESEN DAN STK KENDERAAN PERDAGANGAN PERLU MENDAFTAR SEMULA LESEN TERSEBUT DENGAN SPAD


KENYATAAN MEDIA
TAN SRI DATUK SERI SYED HAMID ALBAR
PENGERUSI
SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT (SPAD)


PEMILIK LESEN KENDERAAN PERDAGANGAN DAN PELANCONGAN PERLU DAFTAR SEMULA

Semua pemilik lesen kenderaan perdagangan di Semenanjung Malaysia, iaitu pengusaha pengangkutan awam bas, teksi dan lori perlu mendaftar semula dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bermula 1 April sehingga 30 September 2011. Mengikut Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2010, kegagalan pelesen mendaftar semula dalam tempoh yang diberikan akan menyebabkan lesen tersebut LUPUT.

Proses pendaftaran semula ini juga melibatkan semua pelesen kenderaan pelancongan iaitu van dan bas persiaran. Objektif utama pendaftaran semula ini adalah untuk meningkatkan kawal selia serta memudahkan transformasi industri pengangkutan awam darat di negara kita, demi kepentingan kemudahan dan keselesaan rakyat Malaysia.

Dengan langkah pendaftaran semula ini, SPAD dapat mengenalpasti status terkini pemilik lesen. Selain pemilik lesen sedia ada, pemegang Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Bersyarat (SKB) dan pengendali yang sedang dalam proses rayuan juga perlu melakukan pendaftaran semula.

Pendaftaran semula ini merangkumi pemilik lesen di Semenanjung Malaysia sahaja. Proses pendaftaran semula adalah PERCUMA dan semua pelesen yang terlibat perlu mengisi borang khas yang boleh di dapati di semua Pejabat Wilayah SPAD atau boleh dimuat turun dari laman sesawang di www.spad.gov.my.

Borang yang telah lengkap beserta dokumen berkaitan boleh dihantar ke Pejabat Wilayah SPAD yang terdekat, atau melalui pos berdaftar ke alamat yang tertera di laman sesawang SPAD.

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh diajukan dengan menghubungi talian bebas tol SPAD di 1800-88-9600.

30 MAC 2011
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Badri Ibrahim at 019-349 3300 / badri@spad.gov.my
Nurul Insyirah 03-88805620/ insyirah@lpkp.gov.my

Selasa, 18 Ogos 2009

Panduan daftar semula teksi syarikat (lama) dengan permit individu

Ramai sekali ahli KPPCB yang merungut dengan kesukaran yang mereka hadapi untuk melesenkan teksi syarikat yang telah habis bayar dengan permit teksi individu. Pihak 'runner' di JPJ meminta upah antara RM1,000.00 hingga RM2,500.00.

Memandangkan saya juga telah melunaskan perjanjian sewa-beli dengan KPPCB dan berhasrat melesenkan teksi tersebut dengan permit individu, maka saya akan cuba kongsikan di sini pengalaman melakukan urusan ini dari semasa ke semasa.

Semoga pengalaman ini menjadi panduan kepada mana-mana pemandu yang berhasrat untuk buat sendiri urusan-urusan ini.

Saya dimaklumkan oleh seorang rakan ahli KPPCB (En. Mohamad bin Abu Bakar HWC7700) bahawa dokumen yang diperlukan bagi urusan ini adalah seperti berikut;-

  1. Surat tawaran permit teksi dari LPKP,
  2. Surat syarikat yang memaklumkan kepada JPJ untuk menjual kenderaan kepada pemandu,
  3. Resolusi Pengarah Syarikat yang meluluskan penjualan/pelupusan aset kenderaan terbabit kepada pemandu,
  4. Surat "Pelepasan Hak Milik Dituntut" oleh pihak yang membiayai pinjaman kepada syarikat,
  5. Geran teksi,
  6. Permit teksi,
  7. Salinan pendaftaran syarikat pemilik teksi yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat,
  8. Salinan kad pengenalan pembeli (pemandu) dan penjual (syarikat),
  9. Pengisian borang JPJ K3,
  10. Pengisian borang JPJ untuk penyaksian pengesahan identiti (TM-AB), satu pembeli dan satu penjual yang ditandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah,
  11. Surat syarikat kepada JPJ untuk memohon membatalkan Lesen Pembawa (lesen teksi),
  12. Surat syarikat yang membenarkan JPJ membatalkan Lesen Kenderaan Motor (LKM),
  13. Borang LPKP untuk memohon membatalkan permit teksi syarikat,
  14. Pendaftaran perniagaan atas nama individu yang mana jenis perniagaannya adalah PERKHIDMATAN TEKSI,

Alhamdulillah walaupun terlalu banyak rasanya..., dokumen-dokumen di atas saya perolehi juga setelah berusaha mendapatkannya sejak sekian lama.

Mengikut En. Mohamad juga, susunan langkah yang perlu saya buat adalah seperti berikut;-

  1. Mengecat kenderaan warna merah dan biru seperti dalam STK,
  2. Membuat booking dengan PUSPAKOM untuk menetapkan tarikh Pemeriksaan Awalan (biasanya 4 hari baru ditetapkan tarikh),
  3. Sementara menunggu tarikh Puspakom, bolehlah callibrate meter dahulu,
  4. Puspakom memeriksa kenderaan secara lengkap termasuk meter, brake, alignment dan lain-lain serta mengekuarkan borang pemeriksaan,
  5. Dengan dokumen yang telah lengkap ini, pemandu kena submit kepada LPKP permit asal untuk pembatalan lesen,
  6. Dengan semua dokumen yang lengkap mengemukakan kepada JPJ untuk membatalkan hak milik dituntut, menukar nama pemilik, membatalkan cukai jalan dan melesenkan kenderaan ini untuk dijadikan teksi,
  7. Mengemukakan dokumen dari JPJ ini kepada LPKP untuk mendapatkan permit baru yang asal,
  8. Mendapatkan insurans bagi kenderaan teksi (sekarang ini wajib first party),
  9. Mengemukakan dokumen berkaitan kepada JPJ semula untuk mendapatkan cukai jalan.

Fuh..., panjangnya proses dia..., tak apa..., mulai esok saya akan ikut step di atas satu persatu dan akan kongsikan kos-kos yang saya kena bayar. Harapnya slogan "1 Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan" benar-benar diamalkan oleh semua agensi kerajaan.



Gambar HWC5401 pada jam 5.25 ptg. 18hb. Ogos 2009

19hb. Ogos 2009 - Hantar kedai cat untuk cat wara biru kat bumbung dan bonet. Seminggu baru siap sebab kononnya nak cantik dengan warna 2K untuk satu body kereta. Bajet yang sepatutnya dalam RM400 dah jadi RM1,300.00 lebih. Tak bolehlah nak salahkan kerajaan pulak sebab sendiri yang gatal nak yang cantik ..., hehe.

25hb. Ogos 2009 - Pergi Puspakom Padang Jawa untuk buat booking Pemeriksaan Awalan. Perlu kemukakan Surat Tawaran Permit, Geran Asal, Pendaftaran Perniagaan dan Borang TR1 (meter). Dimaklumkan oleh Penyelia Puspakom untuk callibrate meter dulu supaya senang nanti tak payah buat 2 kali. Tarikh Pemeriksaan Awalan ditetapkan pada Hari Jumaat 28hb.8.2009 sebelum jam 3 petang.


26hb. Ogos 2009 - Kereta baru siap cat (lama betul, salah sendiri jugak), terus masuk bengkel untuk tukar tayar, alignment/balancing dan tukar brake pad. Lepas tu terus pergi callibrate meter kat BH Chan (kat Batu Cave), 5 minit siap (pekerja dia sambungkan cable dari komputer ke meter untuk setting dan seorang lagi siapkan borang TR1) tapi terbang jugak RM70.00. Memang buat duit betul tokey meter teksi nie (berangan jugak nak jadi tokey meter teksi lepas nie..., hehe).

28hb. Ogos 2009 (11.15 pagi) - Masuk queue di Puspakom Padang Jawa. Pukul 1.15 ptg. kereta telah diperiksa dan penyelia memaklumkan telah lulus (Alhamdulillah), cuma terpaksa datang semula selepas Jumaat untuk pemeriksaan visual oleh penyelia lain (sebab Pemeriksaan Awalan kut...) Lepas solat, masuk balik Puspakom.

2.40 petang seorang penyelia lain membuat pemeriksaan. Beliau memaklumkan telah lulus (Alhamdulillah sekali lagi..) dan meminta datang selepas 3 hari iaitu Hari Rabu (2hb. September 2009) untuk mengambil keputusan (terlupa nak pastikan dengan dia tarikh tu sebab Hari Isnin cuti Merdeka, tak apalah...., saya nak pergi Hari Rabu nanti untuk ambil keputusan tu - Insyaallah.

2hb. September 2009 - (3.00 ptg.) - Ambil keputusan pemeriksaan Puspakom. Alhamdulillah dah siap. Tak sempat nak uruskan pendaftaran hari ini kerana kena selesaikan urusan Koperasi.

3hb. September 2009 - 10.10pg. - Sampai ke kaunter LPKP untuk batal permit teksi lama (Koperasi). 1 minit je siap. Dia ambil yang asal, dua salinan dia cop "Batal", 1 untuk syarikat dan 1 untuk dikemukakan kepada JPJ. Terus pergi ke JPJ Padang Jawa untuk urusan selanjutnya.

11.15 pg. sampai ke kaunter JPJ Padang Jawa. Ambil nombor, tunggu 2 minit sahaja terus dipanggil ke kaunter 9. Kerani kaunter cek semua dokumen yang diserahkan dan memaklumkan kena pinda nombor rujukan STK di LPKP dan Puspakom. Patah balik LPKP,

2.00ptg. sampai ke kaunter, tunggu 5 minit, siap. Terus ke kaunter JPJ Padang Jawa semula.

3.55ptg. sampai, Alhamdulillah, telah berjaya mendaftar dan melesen semula teksi. Nombor plate baru HBA2416. Esok kena ke LPKP semula untuk keluarkan permit baru.

4hb. September 2009 - 9.34 pagi - Sampai kaunter LPKP, serah semua dokumen,

pukul 11.00 pagi tepat permit siap, Alhamdulillah. Cuma terdapat perbezaan sedikit pada Nombor Rujukan pada permit asal iaitu tiada kod (7) yang membawa maksud permit individu. Terus ke kaunter 9 untuk buat pindaan bagi mengelakkan terpaksa berulang-alik lagi jika dokumen di reject oleh JPJ. Sambil menunggu pindaan, terus buat kad pemandu. Alhamdulillah siap serentak.

Terus gi batal insurans lama dan beli insurans baru dengan UNI ASIA..., terpaksa first party beb...., terbang jugak RM2,500.00.

12.40 tengahari sampai ke JPJ Padang Jawa untuk keluarkan cukai jalan baru. 2 minit dipanggil tetapi belum boleh buat road tax sebab kenderaan kena dilesenkan dahulu dengan Bahagian Pelesenan JPJ.

2.25 ptg. sampai di Bhg. Pelesenan JPJ, ambil nombor..., ramai jugak orang dan terpaksa menunggu selama hampir satu jam.

3.19 ptg. nombor dipanggil, 2 minit selepas tu siap melesen. Terus ke kaunter bawah untuk keluarkan cukai jalan.

3.35ptg. nombor dipanggil tetapi tak boleh buat sebab tiada insurans dalam sistem JPJ. Saya minta kerani JPJ cek dengan pegawai apa masalah sebenar sebab saya te;ah beli insurans baru. 3 minit selepas itu Pegawai JPJ maklumkan insurans asal atas HWC5401 belum dibatalkan. Saya terus call Uni Asia dan maklumkan bahawa dia belum batalkan insurans atas teksi lama.

Selepas 20 minit, Uni Asia maklumkan pembatalan insurans lama telah berjaya dan insurans baru telah dikeluarkan. Terus ke kaunter semula dan cukai jalan berjaya dikeluarkan. Alhamdulillah syukur kepada Allah yang telah memudahkan segala urusan walaupun terdapat juga beberapa masalah berbangkit. Terus ke Bangi untuk buat nombor plate baru.

Jumaat, 31 Julai 2009

Syarat memohon permit teksi individu - Mengemukakan maklumat syarikat/perniagaan yang terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

Terlebih dahulu saya menyeru rakan-rakan pemandu agar melapangkan sedikit masa untuk mengemukakan permohonan permit yang sedang dibuka sekarang ini.

Janganlah pulak kita hanya marah dan meluahkan rasa tidak puas hati kerana tak dapat permit setelah berbelas tahun menyewa teksi syarikat, walhal kita tidak pernahpun mengemukakan permohonan.

Walaubagaimanapun, kepada rakan-rakan saya yang telah memohon berkali-kali, tetapi permohonan tetap ditolak, wajar juga mereka mengamuk..., hehehe.

Kesempatan ini suka saya komen sedikit berkenaan dengan syarat permohonan permit individu iaitu mengemukakan sijil pendaftaran syarikat.

  1. Terdapat sedikit kekeliruan berkenaan dengan syarat permohonan permit teksi individu ini,
  2. Ada pemohon yang di 'reject' permohonan awal-awal lagi (semasa mengemukakan borang) kerana gagal mengemukakan sijil pendaftaran syarikat,
  3. Tetapi ada pula yang telah menerima Surat Tawaran Lesen Kenderaan Perdagangan (STK) walaupun tanpa mengemukakan sijil pendaftaran syarikat (SSM) sebelum ini,
  4. Saya lebih suka dan setuju sekiranya sijil SSM hanya dikemukakan selepas kelulusan STK diperolehi,
  5. Ini bagi mengelakkan tanggapan pemandu bahawa kerajaan menganiaya mereka sekiranya permohonan permit individu mereka ditolak,
  6. Iyelah..., menghantar borang permohonan kena bayar RM10.00 dan nak daftar syarikat dengan SSM kena bayar lagi, belum ambil kira lagi masa yang perlu diluangkan...., akhirnya dimaklumkan permohonan anda TIDAK DILULUSKAN,
  7. Dasar-dasar yang boleh dianggap MENGANIAYA RAKYAT seperti ini mestilah dihapuskan pada era 1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN sekarang ini.

Suka saya maklumkan disini, saya sendiri tidak mengemukakan sijil SSM sebelum ini, tetapi permohonan telah diluluskan dan menerima STK pada majlis penyerahan STK fasa ke-2.

Saya menyuarakan ini kerana menginsafi rakan-rakan pemandu khususnya ahli Koperasi yang merungut dengan masalah ini. Saya yakin mereka mereka akan merungut dengan lebih kuat(berteriak) lagi sekiranya permohonan mereka ditolak kerana mereka telah membazirkan wang mereka kepada SSM = kerajaan.

**Pagi tadi, jam 11.30pg. saya mengunjungi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di The Mall (depan Pan Pacific KL) untuk daftar syarikat bagi permit teksi (STK) yang saya dapat. Pukul 12.00 tgh. submit borang..., Alhamdulillah, pukul 1.00tgh. dah siap..., sempat tunai solat jumaat..., nasib baik tak upah orang buat..., kalau tidak terbang lagi duit.....

Suka juga saya kongsikan di sini, kos untuk daftar syarikat dengan SSM (lesen untuk tempoh 5 tahun) ialah RM160.00. Diskaun dibawah "Sokongan Pakej Ransangan Ekonomi" sebanyak RM15.00. Jumlah yang kena bayar tadi RM145.00.

Hmm..., terbayangkan bagaimana perasaan saya kalau saya belum dapat STK, baru nak mengemukakan permohonan, akhirnya dimaklumkan permohonan saya tidak diluluskan....... Harap kerajaan tak buat macam itu kepada rakan-rakan saya nanti...

Ahad, 12 Julai 2009

3000 permit teksi individu akan dikeluarkan dalam masa 3 bulan

1. Pada 11hb. Julai saya berkesempatan menghadiri majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" yang diadakan di KLCC.

2. Kehadiran yang begitu ramai (melebihi sekali ganda dari jemputan) menggambarkan harapan rakyat yang begitu besar dengan pendekatan beliau.

3. Sempena majlis ini, beliau telah mengumumkan "11 hadiah kepada rakyat" dan sebagai pemandu teksi, saya tentunya tertarik dengan hadiah beliau yang ke-4 iaitu mengeluarkan 3000 lagi permit teksi individu dalam masa 3 bulan kepada pemandu teksi.

4. Pengumuman ini tentunya menggembirakan sebahagian pemandu teksi dan tentunya mendukacitakan pengusaha teksi kerana pengeluaran lebih banyak permit individu bermakna lebih banyak teksi akan dikembalikan kepada mereka yang mungkin akan tersadai.

5. Disebalik kegembiraan saya dengan pengumuman ini, timbul juga kegusaran ekoran lambakan teksi yang berlaku sekarang ini. Tambahan 3000 teksi lagi dalam masa 3 bulan akan datang tentunya akan lebih menyukarkan.

6. Lainlah sekiranya sebanyak 3000 teksi syarikat yang sedang beroperasi sekarang ini dijual kepada penyewa yang telah mendapat permit individu (3000 permit syarikat yang kenderaannya telah dijual kepada pemandu ini hendaklah dibatalkan bagi mengelak lambakan teksi)

7. Jika ini yang dilakukan, mungkin ia akan menggembirakan pemandu dan mengurangkan dukacita pengusaha kerana mereka dapat mengelak teksi mereka dari tersadai tanpa penyewa.

8. Semasa majlis bersurai, saya diberitahu bahawa Dato' Seri Najib (mungkin) tersilap membaca teks. Teks yang sebenar bermaksud kerajaan telah menerima 7000 permohonan permit teksi individu manakala 3000 telah diluluskan.

9. Saya yakin seluruh rakyat Malaysia tidak sanggup menerima kenyataan bahawa Datuk Seri Najib "tersilap membaca teks" di hari ke 100 beliau sebagai PM.

10. Penuh harapan saya agar YB. Datuk Seri Nazri dapat melaksanakan "hadiah" yang diumumkan YAB PM ini dengan cara yang amat bijaksana.

11. Mungkin cadangan saya di perkara 6 dan 7 boleh dipertimbangkan.

12. Saya merasa khuatir apabila mendengar khabar angin bahawa sebuah 'syarikat istimewa' telah mendapat kelulusan 700 permit teksi baru-baru ini. Semoga maklumat tersebut adalah palsu.