COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Ahad, 31 Julai 2011

Pemandu Teksi dan Ramadhan...


Salam Ramadhan...,
  1. Terlebih dahulu saya ucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini, semoga ianya menjadi yang terbaik berbanding Ramadhan sebelumnya.
  2. Ramai rakan teksi yang mengeluh sekarang ini kerana katanya tak ramai penumpang (mangkau). Seorang rakan yang memandu teksi Koperasi saya memohon agar dikecualikan tabung wajib sewaan teksi dia kerana kekurangan penumpang sekarang inilah kut...
  3. Hairan juga, yang berpuasa orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga turut kurang keluar di sepanjang bulan ini. Keadaan ini sangat terlihat kesannya kepada pemandu teksi (Airport Limo) di KLIA. Bagi teksi yang beroperasi di bandar, terasa juga perkara yang sama kecuali apabila hampir waktu berbuka, tetapi "traffic jam"nya pula sangatlah menyeksakan.
  4. Ramai rakan-rakan yang mula risau sekarang ini..., ye lah..., trip kurang, lepas puasa kena raya, untuk raya kena beli baju raya untuk anak-anak, belanja balik kampung dan lain-lain.
  5. Kita ini (pemandu teksi) agak berbeza dengan orang yang makan gaji, yelah..., diaorang dah tahu berapa diaorang dapat sebulan, mudahlah bajet menyimpan untuk saat ini, kalau sesak, boleh lagi mereka ikhtiar meminjam dengan slip gaji yang ada, kita ini, terpaksa bekerja kuat untuk itu, tapi kerja kuat mana pun, kalau dah tak ada orang nak naik..., nak buat macam mana lagi...?
  6. Kesian juga kepada rakan-rakan yang terpaksa meminjam dengan Ahlong...., yelah..., dah dia aje yang sudi bagi pinjam....
  7. Yakinlah bahawa Ramadhan ini adalah bulan yang sangat istimewa kepada kita semua, rintangan di dalamnya tersirat hikmah yang tak ternilai...,
  8. InsyaAllah, Allah kurniakan keadaan Ramadhan seperti ini kepada pemandu teksi adalah untuk mendidik kita supaya....,
  • Supaya kita sentiasa bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa dan diselitkan dengan pembaziran beli nombor ekor, layan GRO dan perkara yang sia-sia yang lain,
  • Supaya kita mengamalkan sikap menabung, jika wang yang kita bazirkan dengan rokok atau nombor ekor sebanyak RM15.00 sehari itu disimpan, tentu kita dah ada RM5,000.00 lebih sekarang ini kan....?
  • Supaya kita boleh bersatu (berjemaah) contohnya di dalam koperasi agar dengan itu wang atau modal dapat dikumpulkan, dijalankan aktiviti perniagaan bersama dan boleh pula membantu kita dengan memberi pinjaman di saat-saat seperti ini.
Salam Ramadhan sekali lagi dari saya, ampun maaf atas segala salah dan silap....

Selasa, 19 Julai 2011

RUKUN BEKERJASAMA DALAM ORGANISASI

Dari kecil kita diajar tentang pentingnya bekerjasama, bersatu padu, bergotong royong, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul dan lain-lain lagi, bahkan sekarang ini cerita kartun “Wonder Pets” pun menanamkan maksud yang sama kepada anak-anak kita. Sekali pandang, mudah sahaja kerjasama tu dan semua orang dah buat. Benarkah begitu?

Sekadar contoh, Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. ini punyai 550 orang ahli, mesyuarat agung tahunan memilih 12 orang jawatankuasa untuk melaksanakan agenda dan dasar yang ditentukan mereka. Seperti maklum, 12 orang AJK ini pula, bukanlah satu kepala, mustahil kita boleh dapatkan sekumpulan manusia yang semuanya satu kepala sahaja dalam semua hal, sedangkan lidah lagi tergigit, bahkan ada juga antara yang dipilih itu sebenarnya sedang berkelahi antara satu sama lain. Kitaran yang hampir sama ini berlaku di dalam semua organisasi yang berasaskan demokrasi.

Agak-agaknya macam manalah mereka ini hendak bekerjasama memajukan organisasi?

Kerjasama itu sangat luas batasan nya dan juga kompleks. Naiflah kalau kita berpendapat bahawa kerjasama itu hanya di kalangan orang yang sekepala dengan kita sahaja.

Kitaran kerjasama ini berlaku dengan bentuk dan tujuan seperti berikut;

  1. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat dan matlamat yang sama;
  2. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat berbeza tetapi matlamat yang sama; dan
  3. Kerjasama dengan musuh dalam hal tertentu demi faedah bersama.

Di antara jenis kerjasama ini, saya berpendapat kerjasama bentuk ke-2 lebih complicated dan banyak dihadapi dalam organisasi sama ada politik, persatuan mahupun koperasi. Usaha jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain turut berlaku dalam maksud kerjasama konsep ini, ia juga dipanggil krisis dalaman.

Bagaimana mengawal situasi ini supaya organisasi kita tidak terjejas. Seorang pemimpin sebuah parti politik mengistilahkan krisis dalaman mereka dengan “umpama ribut dalam cawan”, maknanya hanya air yang berkocak, tetapi cawan tetap utuh.

Mengatasi cabaran kerjasama ini, ahli-ahli jawatankuasa perlulah memahami rukun bekerjasama serta berpegang teguh dengannya. Jika tidak, maka berlakulah perpecahan ketara sehingga melemahkan organisasi yang diperjuangkan tersebut.

Antara rukun kerjasama yang wajib difahami dan diamalkan oleh pimpinan (AJK) sesebuah organisasi adalah;

  1. Pastikan apa jua yang dibuat adalah dengan niat untuk kejayaan organisasi.
  2. Sentiasa berpegang teguh kepada asas perjuangan,
  3. Kebebasan memberi dan sedia menerima pendapat/idea,
  4. Bersedia menerima dan memberi kritikan,
  5. Menghormati antara satu sama lain, dan
  6. Akur kepada kehendak majoriti.

Tanpa kesemua 6 rukun di atas, maka pincanglah organisasi kita.

** Sekadar perkongsian pendapat dari pengalaman peribadi. Komen atau pendapat dari rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman amatlah dialu-alukan.

Rabu, 13 Julai 2011

"BERSIH 02" sekadar muhasabah

Sejak lebih seminggu lalu, saya banyak membaca pendapat bloggers berhubung perhimpunan BERSIH. Saya pula tidaklah berkeinginan untuk menyemakkan lagi keadaan dengan memberi komen.
Hanya sebagai catatan (supaya tidak lupa), saya turut punyai pandangan peribadi berhubung hal tersebut;-
  1. Pada awalnya saya berasa gundah apabila dikhabarkan media massa wujudnya elemen ganas dalam perhimpunan ini. Siapa yang inginkan negara yang dikasihi ini dirosakkan.
  2. Pada awalnya juga saya menjangkakan perhimpunan tersebut tidak berjaya kerana telah banyak tangkapan dan sekatan jalanraya yang dibuat oleh PDRM, namun yang berlaku sebaliknya.
  3. Saya menjangkakan bahawa perhimpunan sebegitu amat membahayakan, namun setelah melihat video-video yang berselerak di laman maya ini, elemen keganasan oleh peserta boleh dikatakan tiada langsung.
  4. Saya percaya, sekiranya perhimpunan tersebut dibenarkan dengan kawalan ketat polis (bukan dihalang), ianya akan berjalan dengan aman malah merancakkan lagi perniagaan KL ini
  5. Saya juga pernah merasa pelik kepada penganjur Bersih ini, apa perlunya mereka berhimpun dan berarak beramai-ramai untuk menghantar memorandum kepada DYMM YDPA, sedangkan mereka boleh sahaja membuat temujanji dan menyerahkan memorandum tersebut dengan mudah. Namun, baru faham bahawa jika hanya begitu, tiada perhatian berat akan diberikan terhadap tuntutan mereka.
  6. Melihat terus kepada 8 senarai tuntutan Bersih itu pula, saya merasakan permintaan tersebut adalah munasabah bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada sistem pengundian di negara kita. Mereka bukannya meminta agar dijatuhkan mana-mana peminpin seperti di Mesir.

Dari peristiwa Bersih ini, mungkin sudah tiba masanya kita semua bersikap terbuka. Parti yang memerintah dan juga parti yang bakal memerintah perlu bersikap terbuka dengan suara/tuntutan rakyat (pengundi). Pastinya pengundi akan memangkah parti yang mendengar suara mereka. Dengan itu, tiada ruginya jika kerajaan mendengar dan menimbangkan suara/tuntutan Bersih tersebut.