COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Rabu, 29 Jun 2011

KUALITI HIDUP PUTRAJAYA - BENGKEL KUMPULAN SASARAN BIL.1/2011

Salam Putrajaya

Hari ini (29 Jun 2011) saya berkesempatan menghadiri "Bengkel Kumpulan Sasaran Bilangan 1/2011 - Kajian Kualiti Hidup Putrajaya". Terima kasih atas perhatian pihak Perbadanan Putrajaya yang turut menjemput saya mewakili Koperasi. Turut dijemput sama adalah persatuan penduduk, pengusaha bas, pengusaha makanan, pasar, Telekom, TNB, jabatan kerajaan berkaitan dan lain-lain.

Menyentuh mengenai kualiti hidup ini, sememangnya Putrajaya mesti bersifat 'livable', 'vibrant' dan mampan untuk bersaing dengan bandar-bandar lain di dunia, bukan hanya hidup (sibuk) di awal pagi dan petang hari bekerja, tetapi mati pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

Namun., dalam mengejar kemajuan agar setaraf atau setanding dengan bandar-bandar lain di dunia, apakah Putrajaya perlu untuk mengikut 100% apa yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa bandar-bandar yang telah maju tersebut. Apakah kerana hendak menjadikan Putrajaya ini bandar yang hidup 24 jam sehari seperti Singapura, maka kelab-kelab malam dan casino perlu dibuka di Putrajaya...?

Saya dan rakan-rakan yang dikumpulkan dalam Kumpulan 5 (Sektor Pengangkutan dan Infrastruktur) mengenengahkan pendapat kami yang antaranya bahawa;
  1. Apa jua kemajuan, perubahan, pembangunan infrastruktur, kemudahan pelancongan dan sebagainya yang hendak dibawa ke Putrajaya hendaklah dengan tidak mengubah imej asal Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Konsep Bandar Dalam Taman, dan
  2. Sungguhpun kita mahu Putrajaya ini dikunjungi ramai pelancong dan sentiasa hidup..., tetapi kunjungan pelancong ataupun bandar yang sentiasa hidup ini mestilah atas keunikan Putrajaya itu sendiri..., bukan kerana Putrajaya telah mencontohi bandar-bandar lain.
Perkara lain yang turut ditekankan adalah mengenai;
  1. Connectivity pengangkutan awam,
  2. Kesedaran sivik penduduk (low class mentality),
  3. Persekitaran ekonomi yang aktif serta melibatkan komuniti (bukan orang luar sahaja yang berniaga di dalam Putrajaya),
  4. Penglibatan komuniti dalam acara-acara antarabangsa dan peringkat kebangsaan yang dianjurkan di sini,
  5. Pengwujudan 'bazar' untuk menempatkan peniaga-peniaga kecil dengan konsep seperti Pekan Rabu di Alor Star atau Bazar Tok Guru di Kelantan (perlu diberi keutamaan kepada penduduk agar mereka tidak tertinggal dan hanya menjadi pengguna sahaja).
  6. Kemudahan hospital dan klinik perlu ditambah,
  7. Sekolah asrama penuh (MRSM dan seumpamanya), kemahiran, kolej malah pusat pengajian tinggi perlu diwujudkan di sini, dan
  8. Penduduk Putrajaya sekarang ini tidak mendapat faedah dari penganjuran program-program besar yang diadakan di Putrajaya (contohnya Perhimpunan Sejuta Belia - yang datang hanya orang luar, yang berniaga orang luar, penduduk hanya mendapat kesesakan jalanraya).
Sekian sahaja perkongsian saya.

Rabu, 22 Jun 2011

KETIRISAN PERMIT TEKSI INDIVIDU


Salam Teksi....,
  1. Ramai rakan pemandu yang terus mendesak supaya kerajaan hanya memberikan permit teksi kepada Individu sahaja. Secara peribadi, saya amatlah menyokongnya...,
  2. Tahun 2009, 3000 permit individu diumumkan YB Dato' Noh Omar, 3000 permit individu lagi diumumkan YAB Dato' Seri PM (sempena 100 hari pemerintahannya) menjadikan 6000 permit individu dikeluarkan dalam tempoh 2 tahun. Ramai sekali rakan-rakan yang mendapat permit ini. Difahamkan 6000 permit individu ini telahpun dikeluarkan kepada pemandu (difahamkan sekarang ini, semua permohonan permit bajet telah ditutup),
  3. Disebalik 6000 permit ini, apa yang saya perhatikan, banyak sekali pemandu yang tidak boleh mengeluarkan teksi kerana blacklist atau telah lanjut umur.
  4. MARA juga tidak lagi memberikan pinjaman teksi kepada pemandu Bumiputera kerana onar yang dibuat kalangan pemandu sendiri yang tidak membayar ansuran dengan baik, akibatnya peruntukan pinjaman menjadi sedikit seterusnya tidak lagi boleh memberikan pembiayaan teksi.
  5. Ekoran itu, banyak sekali pemegang permit individu ini yang menyewakan permit mereka kepada syarikat teksi..., ada juga yang menyewakan permit mereka kepada rakan-rakan pemandu lain pada kadar RM150-RM200,
  6. Dari 6000 permit individu yang dikeluarkan tadi, dipercayai sekitar 3000 atau 50% daripadanya disewakan kepada pihak lain secara sukarela ataupun kerana tidak boleh membuat pinjaman bank (blacklist).
  7. Persoalannya..., adakah pengurniaan permit teksi individu ini benar-benar dinikmati rakyat....?
  8. Siapakah puncanya yang menyebabkan berlakunya ketirisan sehingga 3000 permit ini dinikmati(sewa) oleh orang lain....?
  9. Setelah apa yang berlaku kini..., agak memalukan sekiranya persatuan-persatuan teksi terjerit-jerit semula menuntut permit teksi individu.... melainkan mekanisma yang ampuh diwujudkan bagi mengelak perkara sama berulang....

Ahad, 5 Jun 2011

Pemasangan NGV - Sekadar berkongsi pengalaman

Baru-baru ini seorang rakan bertanya kepada saya mengenai pemasangan NGV. Saya bukanlah tahu sangat mengenai NGV ini, cuma sekadar melalui pengalaman mengg
unakan NGV selama beberapa tahun lalu. Kalau tanya kepada penjual atau syarikat pemasang peralatan NGV..., semuanya baik..., sebab mereka perlukan duit kita untuk perniagaan mereka..., :)

Apa yang saya tahu mengenai NGV ini hanyalah seperti berikut;

  1. Peralatan NGV ini mengandungi mengandungi beberapa alatan yang dipanggil "NGV kit" antaranya regulator, emulator, electronic controlling unit(ECU), meter, silinder gas dan lain-lain.
  2. Regulator berfungsi untuk memperlahankan pressure dari tangki gas, emulator pula untuk memastikan enjin menerima NGV sebagai bahan bakar dan ecu pula berfungsi sebagai kawalan komputer bagi sistem NGV ini bagi memastikan ecu sebenar enjin tidak mengesan apa-apa masalah dengan penambahan alatan baru pada sistem enjin.
  3. Semua produk ini diimport (dengarnya sudah ada syarikat yang buat sendiri beberapa alatan NGV ini).
  4. Saya mengetahui dua jenis sistem NGV iaitu caburator system (berharga antara RM2,500 hingga RM3,500) dan sequential system (berharga antara RM5,000 hingga RM7,500) bergantung kepada pembekal. Khabarnya sudah terdapat sistem baru yang lebih canggih, namun saya tidak pasti mengenainya.
  5. Caburator system sesuai bagi kenderaan yang masih menggunakan caburator dan juga kenderaan yang tidak dikawal oleh ecu.
  6. Sequential system pula sesuai digunakan oleh kenderaan eletronic injection dan yang dikawal oleh ecu.
  7. Pengalaman saya, kenderaan Proton Waja Campro tidak boleh menggunakan sistem caburator walaupun dengan adanya alatan "emulator". Teksi saya dahulu mengalami masalah "backfire" iaitu letupan di bahagian "air filter" sehingga menyebabkan pecah alat pengunci kotak "air filter" tersebut. Dimaklumkan oleh mekanik, ia kerana ecu enjin gagal mengawal kuantiti oksigen yang diperlukan untuk pembakaran. Enjin juga akan semput akibat dari kegagalan ecu enjin menerima kemasukan alatan NGV pada sistem pembakaran.
  8. Pengalaman saya juga menunjukkan masalah ini diatasi setelah menukar kepada sequential system (terbang la lagi dalam RM3,500 untuk tukar kit sahaja, silinder gas guna yang lama)
  9. Bagi yang ingin memasang sistem caburator pada kenderaan iswara, rusa dan seumpamanya, anda tidak perlu risau kerana kebanyakan alatan sistem NGV ini mudah diperoleh dan boleh di baiki di mana-mana bengkel yang memasang NGV.
  10. Awas kepada pengguna yang menggunakan sistem sequential, kerana sistem yang anda gunakan tersebut selalunya hanya boleh dibaiki oleh pembekalnya sahaja. Jika sistem NGV anda rosak, ia hanya boleh dibaiki oleh bengkel yang memasangnya sahaja.
  11. Oleh yang demikian, jika ingin memasang sistem NGV sequential ini, pastikan pembekalnya adalah betul-betul kukuh. Untuk makluman, banyak sekali pembekal sistem NGV ini yang dahulunya tumbuh bagai cendawan, mereka mengimport perlbagai produk NGV kit dari Argentina, Brazil, Cina dan lain-lain yang akhirnya tutup (Koperasi saya ini sendiri pernah terkena dan terpaksa berbelanja puluhan ribu untuk menukar sistem NGV ini kerana pembekal lama tutup perniagaan).
  12. Untuk makluman, pembakaran NGV ini bersifat kering iaitu tanpa ethanol seperti petrol yang bersifat basah. Pembakaran NGV menyebabkan enjin lebih panas berbanding petrol.
  13. Kebanyakan enjin terkini, alatan dalamannya seperti valve bersifat compact (kecil dan ringan) bagi menjimatkan petrol. Valve yang kecil ini akan mudah bengkok jika terlalu panas dalam tempoh yang lama. Oleh yang demikian, jika anda memecut kenderaan NGV anda melebihi 110km dan dalam tempoh terlalu lama, ia boleh menyebabkan valve enjin menjadi bengkok (saya dengar ada sistem NGV baru yang secara automatik tukar kepada petrol jika kita pandu melebihi had laju yang ditetapkan).
  14. Harga bagi satu liter NGV sekarang pula ialah RM0.68 sen berbanding RM1.90 petrol RON95 (dengarnya akan naik lagi), ini bermakna kos bahan bakar NGV hanya 36% sahaja berbanding petrol (jimat 64%).
  15. Saiz tangki silinder pula ialah antara 40 hingga 80 liter, kebanyakan teksi menggunakan sylinder 60 liter. Walaupun saiz tangki 60 liter, namun ia hanya boleh memuatkan lebih kurang 13 liter NGV sahaja iaitu lebih kurang RM9.00. Saya tidak pasti mengenai ini, ada yang bagitau saya, sebab NGV tersebut telah dimampatkan dengan udara tekanan tinggi (nama lain bagi NGV (Natural Gas For Vehicle) ialah CNG iaitu (Compressed Natural Gas).
  16. Untuk membuat pengisian semula NGV sekarang ini, tidaklah sesusah dahulu, boleh dikatakan stesen Petronas NGV boleh didapati di seluruh Malaysia.
  17. Bagi setiap tangki 60 liter yang diisi penuh, kenderaan boleh dipandu sejauh maksimum 180 kilometer di highway dan lebih kurang 140 kilometer di jalan bandar bergantung kepada cara dan keadaan pemanduan.
  18. Kos penyenggaraan kenderaan NGV ini boleh dikatakan sama sahaja dengan kenderaan biasa, kecuali jika anda memasang sistem NGV yang salah atau anda memandu kenderaan NGV dengan laju dalam tempoh yang lama di lebuhraya kerana kemungkinan besar valve akan bengkok malah boleh membuatkan head enjin kereta anda pecah (kawan saya yang baru 6 bulan guna teksi Saga BLM enjin Campro dah kena tukar head kerana masalah ini)
  19. Untuk makluman anda juga, jaminan pembekal bagi kenderaan yang dipasang dengan sistem ini akan luput kerana melanggar syarat jaminan iaitu membuat perubahan pada sistem wiring dan juga bahan bakar. Nasihat saya, kalau nak guna NGV, tunggulah selepas tempoh jaminan tamat.
  20. Mengenai keselamatan sistem NGV ini, ada yang mempertikaikan kononnya kenderaan mudah meletup atau terbakar. Apa yang saya tahu, saya tidak pernah berjumpa teksi yang terbakar kerana NGV ini. Kebakaran dan juga letupan yang dihebahkan dalam akhbar sebelum ini adalah akibat kecuaian pengguna yang mengubahsuai tong gas LPG dan mengiisikannya dengan NGV. Tangki gas LPG tidak dibuat untuk menampung tekanan tinggi seperti tangki khas NGV. Ketebalan dinding tangki juga jauh berbeza...,
  21. Satu lagi nasihat saya, sekiranya kenderaan anda hanya digunakan untuk perjalanan yang dekat atau kos petrol anda di bawah RM50.00 seminggu, adalah lebih baik anda terus menggunakan petrol kerana terlalu lama untuk anda mendapatkan semula kos pemasangan dari penjimatan yang anda dapat dan terdapat risiko kerosakan enjin yang agak tinggi.
Sekian sahaja apa yang saya tahu mengenai NGV ini. Ditegaskan lagi bahawa pengetahuan saya ini hanya dari pengalaman saya sendiri semasa menggunakan sistem NGV sejak tahun 2003. Mungkin juga pendapat saya di atas tidak betul, jangan jadikan entry ini sebagai fakta, cukuplah sekadar perkongsian pengalaman sahaja. Saya pasti rakan-rakan teksi saya mungkin lebih arif dari saya dan saya amat mengalukan jike tuan-tuan kongsikan pula pengalaman masing-masing. Wassalam