COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Sabtu, 20 Disember 2014

Sistem Teksi Berkupon VS Kaedah RM2 + Meter - Cabaran Besar KPPCB Tahun 2015

Pada 10 Disember 2014, Ketua Bahagian Operasi Negeri dan Pelesenan Terminal SPAD telah mengeluarkan surat "arahan" kepada Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. (KPPCB) bagi menyelaraskan sistem teksi berkuponnya kepada Kaedah Tambang RM2 + meter. Tempoh diberikan kepada KPPCB hanya sebulan (mesti dilaksanakan mulai 10 Januari 2015).

Sistem teksi berkupon menyumbangkan pendapatan tahunan kira-kira RM500,000.00 kepada KPPCB. Pendapatan ini memberikan peluang pekerjaan kepada 14 orang kakitangan dengan belanja gaji tahunan sebanyak RM280,000.00. RM108,000.00 darinya adalah sebagai kos operasi lain-lain (sewa, utiliti, komputer, cetakan kupon dan lain-lain). Keuntungan dari perkhidmatan ini pula dikembalikan kepada 550 orang pemandu teksi yang menjadi anggota KPPCB dalam bentuk dividen berasaskan saham (RM31,000.00), elaun, insentif, derma kebajikan, perubatan serta kecemerlangan pelajaran anak-anak (RM50,000.00).

Seperti selalu saya sebut, Kaedah Tambang RM2 + Meter ini tidak praktikal. KPPCB pernah melaksanakan kaedah ini di Kolej Universiti Lim Kok Wing Cyberjaya, namun terpaksa menghentikannya kerana penumpang tidak berpuashati kerana mereka masih perlu membayar tambang yang mahal (tak guna meter). 

Pengalaman pengusaha teksi berkupon di TBS (yang telah menyelaraskan kaunter kupon mereka kepada Kaedah RM2 + Meter) juga menunjukkan keadaan yang sama apabila bilangan trip harian mereka berkurangan berkurangan dari 700 kepada hanya 200 (penyusutan 71%). Puncanya ialah kerana pemandu masih enggan menggunakan meter. Pemandu yang telah menghantar penumpang juga tidak berminat untuk kembali menunggu di TBS melainkan sekiranya mereka mendapat trip ke TBS semula. Keadaan ini menyebabkan waktu menunggu penumpang meningkat sekaligus menyebabkan penumpang mencari alternatif pengangkutan yang lain.

Berdasarkan pengalaman ini, nampaknya KPPCB tidak mampu untuk meneruskan perkhidmatannya di KTM Serdang dan Presint 2 Putrajaya (kerana faktor pemandu yang tidak bersedia dan tidak berminat menggunakan meter). KPPCB akan sedaya upaya mempertahankan operasi kaunter teksinya di Putrajaya Sentral. Namun berkemungkinan ditutup juga sekiranya berlaku penyusutan ketara penumpang seperti yang berlaku di TBS.

Nampaknya cabaran besar 2015 ini ialah berkemungkinan KPPCB akan hilang pendapatan sebanyak RM500,000.00 dan terpaksa menghentikan 14 orang kakitangannya selain perlu mengkaji semula faedah-faedah kebajikan kepada anggotanya.

Sebagai Setiausaha yang mengasaskan penubuhan KPPCB sejak tahun 2004 hingga kini, saya terpaksa (dengan sedaya upaya) "membawa" KPPCB mengharungi "cabaran" ini. Beberapa rancangan sedang disiapkan untuk kelulusan ALK Koperasi sebelum dilaksanakan. 

Namun risiko yang akan dihadapi oleh KPPCB sekiranya rancangan ini gagal amat besar sekali. KPPCB yang sangat dibangga-banggakan oleh ahli-ahlinya ini berkemungkinan akan gagal dan tersungkur juga. 

Semoga KPPCB ini dilindungi oleh Allah SWT dari keadaan sedemikian.

Sabtu, 22 November 2014

Uber dan Grabcar

Dah lama jugak saya tak post sesuatu dalam blog.., terpesona dengan FB., tetapi kelemahan FB ialah susah nak cari balik posting kita yang terdahulu..., lebih2 lagi posting yang xde orang yang nak baca... hehe

Berkenaan Uber, pernah sekejap saya post berkali-kali (di FB) untuk menimbulkan kesedaran mengenai ancaman yang dibawanya. Alhamdulillah, sekarang ini sudah ramai rakan-rakan pemandu yang sedar, namun adakalanya kempen boikot yang kita buat memberikan iklan percuma kepada Uber. Harapnya kita lebih berwaspada.

Belum pun reda dengan isu Uber ini, kita diperkenalkan pula dengan perkhidmatan baru yang dinamakan PHV (Public Hire Vehicle) atau dalam Bahasa Melayunya ialah "Kereta Sewaan Awam". "Bijak pandai" di atas sana selalu membuat tanggapan mudah bahawa cara untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan teksi ialah dengan menukarkan jenis kenderaan. Pada saya cara ini salah, cara yang sepatutnya ialah dengan meningkatkan modal insan pemandu.

Walau bagaimanapun, sebagai pemain industri (pemandu) kita perlu menyesuaikan diri dan bersedia dengan kewujudan PHV. Ini lebih baik daripada kita hanya membantah dan terus membantah tanpa membuat apa-apa persediaan. Kepada persatuan yang membantah dasar-dasar PHV dan Uber.., saya menyokong tindakan tuan-tuan, sila teruskan..., namun dalam masa yang sama saya ingin mengajak tuan-tuan untuk bersedia sekiranya (selalunya macam tu la) bantahan kita tidak dipeduli.

Berbalik kepada isu Uber dan Grabcar, rumusan yang saya buat ialah;-
  1. Uber terus wujud disebalik operasi-operasi oleh JPJ dan saman yang dikeluarkan, malah bilangan kenderaan Uber terus meningkat. Saya sendiri masih boleh mendaftarkan kenderaan persendirian saya sebagai kenderaan Uber X, 
  2. Kewujudan kelas lesen PHV (yang tidak dapat disekat) akan memberi ruang kepada Uber untuk mengesahkan perkhidmatan Uber Black dan Uber Lux mereka. Manakala UberX terus dipertahankan mereka kerana mereka berpegang kepada prinsip perkongsian kenderaan dikalangan pengguna jalanraya,
  3. Uber secara jelas menyatakan bahawa musuh kepada perniagaan mereka ialah perkhidmatan teksi,
  4. Penerimaan pengguna kepada Uber terus meningkat dengan drastik kerana persepsi negatif pengguna kepada perkhidmatan teksi, dan
  5. Kerajaan secara "politiknya" akan membiarkan isu Uber ini tidak berkesudahan bagi memenangi kehendak majoriti pengguna yang semakin suka dengan Uber.
Bagaimana kita nak mengatasi 5 faktor di atas bagi menyekat Uber?
  1. Adakah kita mampu menyekat Uber walhal kerajaan (JPJ) pun terkial-kial?
  2. Adakah kita mampu menyekat kewujudan kelas perkhidmatan PHV?
  3. Adakah kita mampu untuk memastikan semua pemandu teksi beroperasi dengan ramah, mesra, kenderaan bersih, penampilan diri yang kemas serta mengenakan tambang ikut meter bagi menarik kembali sokongan masyarakat kepada kita?
  4. Adakah bilangan undi kita (pemandu) lebih banyak dari undi pengguna perkhidmatan teksi?.
Melihat kepada ketidakseimbangan ini, maka pilihan kita yang ada hanya 2 berikut;-
  1. seperti pepatah inggeris "if you can't beat them, join them", atau
  2. "the enemy of our enemy is our friend" iaitu bekerjasama dengan pesaing Uber dengan syarat-syarat yang kurang menjejaskan kita.
Saya pilih yang kedua..., harapnya kawan2 tidak membuat pilihan yang pertama....

Pesaing Uber yang paling kuat ialah Myteksi melalui aplikasi Grabcar nya. Saya dan beberapa rakan telah beberapa kali berdebat dan berbincang dengan pihak MyTeksi, dan nampaknya pihak MyTeksi sangat mendengar dan mereka bersetuju dengan permintaan kami antaranya;-
  1. pastikan permintaan kepada perkhidmatan grabcar hanya dari kalangan pelanggan yang sememangnya menginginkan kemewahan sahaja, oleh yang demikian, kadar tambangnya hendaklah melebihi kadar meter teksi eksekutif (lebih tinggi sekurang-kurangnya 25% ke atas),
  2. memberikan keutamaan kepada pemandu teksi sedia ada untuk memandu PHV Grabcar, dan
  3. membantu pemandu teksi sedia ada untuk membiayai pembelian kenderaan PHV sekiranya mereka memilih untuk menukar permit teksi eksekutif mereka kepada PHV.
Pastinya beberapa pengendali apps teksi lain akan marah dengan dengan pendirian saya dan beberapa rakan ini, tetapi apakah persediaan anda dalam menghadapi ancaman Uber?. Atau anda masih mahu jatuh menjatuh sesama pengendali apps teksi dan akhirnya membiarkan diri anda di "bunuh" oleh Uber...

Rabu, 12 Februari 2014

Permit Individu - sekadar muhasabah


Apabila kita menyentuh isu teksi, bagi kalangan pemandu, perkara utama tuntutannya ialah permit INDIVIDU.

Saya cuba membayangkan satu suasana di mana semua kenderaan teksi di atas jalan raya adalah milik individu...., xde dah permit syarikat nie...., erm..., agak-agak apa yang akan jadi ye....?
  1. Adakah semua pemandu individu ini akan bertambah baik dari sudut ekonominya?
  2. Adakah semua pemandu akan menggunakan meter?
  3. Adakah semua pemandu akan memberikan perkhidmatan dengan penuh berdisiplin, ramah dan mesra kepada penumpang?
  4. Adakah penumpang tidak lagi menghadapi masalah mendapatkan teksi pada waktu puncak kerana semua pemandu akan bekerja pada waktu ini?
Sekarang ini saya melihat ramai sekali rakan-rakan permit individu yang teksinya ditarik kerana tidak membuat pembayaran kepada bank. Ramai sekali rakan-rakan saya yang mendapatkan pembiayaan dari MARA yang tidak membuat pembayaran sehingga MARA telah menghentikan kemudahan pembiayaan ini kepada pemandu teksi. Baru-baru ini BSN memberikan kemudahan pinjaman dengan kadar faedah subsidi 2% sahaja, itupun ramai yang tak bayar walaupun teksi baru berusia 6 bulan. Dengarnya BSN pun sudah nak menghentikan kemudahan pinjaman kepada pemandu teksi ini kerana NPL yang ditanggungnya terlalu tinggi.

Juga ramai pemilik permit individu yang menjadikan teksinya sekadar untuk pergi kerja (ada kerja kerajaan dan ada juga yang swasta), dia hanya "menarik" (membawa penumpang) pada waktu malam, hujung minggu atau apabila poket kosong sahaja. Jika begini, bagaimana kita nak mengatasi masalah ketidakcukupan teksi pada waktu puncak.

Tak cukup dengan itu..., berapa banyak rakan-rakan kita yang dapat permit namun dipajakkan kepada syarikat teksi...., :-(

Kesian kepada rakan-rakan yang benar-benar jujur, ikhlas dan siang malam membawa teksi (bekerja) untuk mencari rezeki...., namun dinafikan hak untuk mendapatkan permit individu ataupun dinafikan haknya untuk mendapatkan pinjaman MARA @ BSN hanya kerana sikap pemilik permit individu yang tidak bertanggungjawab ini.... 

Isnin, 10 Februari 2014

KENAPA PROTON MENGURANGKAN KUALITI KENDERAAN TEKSI BUATANNYA?

Umum mengetahui bahawa kerajaan menetapkan kenderaan teksi bandar di Lembah Kelang ialah kenderaan buatan Proton. Rakan-rakan pemandu teksi maklum bagaimana kualiti kenderaan ini. Lihat sahaja Proton Iswara dahulu, teksi ini tidak dilengkapi dengan peralatan audio dan ruang-ruang peralatan audio dibiarkan kosong (berlubang) sahaja. Bagi kenderaan model Waja dan Persona pula, peralatan audio kenderaan ini "katanya" tidak berkualiti berbanding kereta persendirian. Bagi Exora, ruang belakang yang sepatutnya terdapat blower pendingin udara juga telah dibuka. 

Dalam satu mesyuarat antara persatuan pengusaha teksi, pihak Proton dan SPAD beberapa minggu yang lepas, saya dimaklumkan wakil pengusaha meminta Proton untuk mengurangkan harga Exora agar kurang dari RM40,000.00. Dalam meminta pengurangan harga ini, pengusaha tersebut tidak memerlukan jaminan (warranti) atas alasan pengusaha memiliki bengkel sendiri dan tahu bagaimana nak membaiki sekiranya teksi rosak.

Timbul persoalan kepada saya, adakah desakan dari pengusaha teksi sebegini yang menyebabkan Proton mengurangkan kualiti kenderaan teksi yang dikeluarkannya. Jika keadaannya sedemikian, malanglah bagi pemandu individu, kerana mereka tidak dapat harga teksi yang murah berbanding pengusaha, namun mendapat kualiti kenderaan sepertimana diminta pengusaha. Wallahu a'alam