Terdapat juga beberapa tokoh persatuan teksi terkenal seperti Yusoff Lahir (PETEKMA), Dato' Aslah (PERPEKLI) dan lain-lain yang dahulu seringkali kelihatan begitu lantang menyuarakan masalah dan dilema pemandu agar diberi perhatian oleh kerajaan (ada rakan pemandu yang menyampaikan kepada saya bahawa suara lantang tu sebenarnya bukan nak bela pemandu, mereka nak permit sahaja..., dah dapat senyaplah nanti..., LPKP pandai, suapkan mereka dengan permit...., dah kenyang nanti diamlah dia. hmm..., rasanya tak kut..., - wallahuaa'lam).
Namun demikian, nampaknya nasib pemandu sejak sekian lama masih serupa seolah-olah puluhan persatuan teksi yang ada kini tidak pernah wujud. Pemandu masih ibarat "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Kita mungkin sama sahaja dengan buruh kasar asing (Bangladesh, Myanmar, Indonesia dll.) kerana tiada skim simpanan seperti KWSP sebagai persediaan selepas bersara nanti, tiada perlindungan insurans seperti Socso bagi membantu mereka jika kemalangan dan/atau mengalami kecacatan kekal. Setahu saya juga.., tiada bank yang mahu memberi pinjaman perumahan jika diketahui pemohon bekerja sebagai pemandu teksi. Jika ditakdirkan ada yang kemalangan dan menghadapi kecacatan kekal sehingga tidak lagi mampu membawa teksi, bayangkan kesukaran yang bakal ditanggung isteri dan anak-anak kita..?
Sudahlah kerjaya ini tiada jaminan, kita juga sentiasa diburu bagi dicari kesalahan mereka oleh JPJ, Polis, LPKP dan Jabatan Alam Sekitar pada setiap saat masa mereka bekerja di atas jalan raya. Bekerja sebagai pemandu teksi ini juga seolah-olah pergi berperang. Maklumlah, jalanraya kat negara kita ni antara punca kematian yang tertinggi.
Saya ingin mengajak rakan-rakan pemandu untuk sama-sama merenungkan kenapa begitu buruk nasib kita sekarang ini?.
Secara peribadi saya berpendapat bahawa nasib yang kita hadapi ini adalah kerana kita tidak pernah bersatu walaupun kita ada persatuan. Kita sentiasa bertelagah sesama ahli. AJK persatuan teksi juga sentiasa bertelagah sesama mereka. Persatuan teksi A dan persatuan teksi B juga tidak pernah sependapat apalagi bekerjasama. Persatuan teksi juga pada masa ini nampaknya hanya berfungsi untuk memonopoli hentian-hentian teksi (secara haram) walaupun sebenarnya setiap stand teksi di sekitar Lembah Kelang adalah terbuka untuk semua teksi bandar Lembah Kelang.
Pemandu teksi perlu sedar mengenai perkara ini dan mengambil tindakan untuk menyatupadukan puluhan persatuan teksi teksi ini khususnya bagi membela nasib kerjaya dengan menubuhkan tabung simpanan dan perlindungan yang saya nyatakan di atas. Hentikanlah retorik sifat tamak dan mementingkan diri sendiri seperti "ini kawasan persatuan aku, kau bukan ahli pergi tempat lain".
Sesungguhnya jika 27,000 pemandu teksi Lembah kelang + 3 orang ahli keluarga setiap pemandu (isteri, anak, adik beradik, ibu bapa) telah menjadikan jumlah kita 81,000 manusia yang mampu menentukan siapa yang akan kalah atau menang dalam pilihanraya. Pemandu teksi yang sentiasa berhubung/bersembang dengan sekurang-kurangnya 20 penumpang sehari, tentunya juga boleh memberi kesan berpanjangan dalam politik negara.
Jika kita bersatu dengan kekuatan di atas, tanpa perlu melancarkan mogok pun, ahli politik akan mendekati kita dan akan memenuhi keperluan dan kehendak kita. Mungkin dengan keazaman politik, nasib pemandu menjadi lebih mudah dibela.
Suka juga saya bagi padangan, kalaulah kita menganjurkan mogok sedang kita tidak bersatu, nasib kita akan menjadi lebih buruk seperti yang dihadapi oleh pemandu limosin KLIA sekarang ini...,
Wallahua'alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan