COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Selasa, 6 Julai 2010

Istimewanya Aku sebagai MELAYU


Saya dilahirkan sebagai Melayu Bumiputera beragama Islam di Kg. Kota Tampan Air, Lenggong Perak. Ayah dan ibu saya juga merupakan Melayu Bumiputera Islam.

Saya merupakan anak ke 9 dari 12 orang adik beradik. Ayah saya berkahwin 2 dan saya dari isteri nombor 2, manakala isteri pertamanya yang saya panggil Makwe (telah kembali ke Rahmatullah 2 tahun lepas) mempunyai 11 orang anak. Kesemua keluarga besar saya punyai 23 orang adik beradik. Semasa kecil, saya biasa makan nasik dengan garam, atau kelapa parut yang digaul dengan garam sahaja.

Sekarang saya telah berusia 37 tahun, punyai seorang isteri dan 4 orang anak. Saya bekerja sebagai pemandu teksi di Lembah Kelang sejak tahun 2009 setelah gagal dalam beberapa perniagaan kecil yang saya usahakan di Ipoh sebelum itu.

Semasa bekerja sebagai pemandu teksi ini, saya punyai ramai kawan-kawan bukan Melayu yang menyatakan bertuahnya saya berbanding mereka kerana saya orang Melayu. Seorang dari rakan saya tersebut adalah Jothy yang juga bekerja sebagai pemandu teksi dan tinggal di Puchong.

Dalam satu perbualan, saya pernah berkata kepada Jothy ini bahawa tiada istimewanya jadi Melayu ini, mari kita tengok perbezaan antara kita berdua...,
  1. Kita berdua adalah pemandu teksi,

  2. Kita berdua (pada masa itu) menyewa teksi Koperasi yang kita sama-sama menjadi ahli,

  3. Pendapatan kita masing-masing bergantung kepada keadaan,

  4. Kos pembaikan teksi apabila rosak adalah sama,

  5. Jothy ada masalah nak dapat pinjaman Bank kerana dia ada masalah tunggakan loan rumah, saya pulak, langsung tiada rumah kerana tidak mampu membelinya,

  6. Kalau buat salah dan kena saman, tiada bezanya nilai saman kepada orang Melayu atau bukan Melayu,

  7. Saya dapat permit teksi dan Jothy jugak dapat permit teksi,

  8. Kita berdua tidak menerima apa-apa saham percuma atau murah dari kerajaan melalui DEB atau seumpamanya. Malah saya tidak faham pun bagaimana dasar-dasar DEB itu mengagihkan saham-saham Bumiputera yang kononnya ada 30% itu,

  9. Jothy tidak dapat pinjaman bank untuk beli teksi atas beberapa alasan, saya pula tidak dapat pinjaman beli teksi dari MARA kerana tiada peruntukan,

  10. Yuran persekolahan anak saya dan anak jothy adalah sama,

  11. Anak sulung saya ini dapat keputusan 5A dalam UPSR tahun lepas, tetapi permohonan saya untuk menyekolahkannya di Sekolah Menengah Sains dan MRSM telah ditolak. Saya merayu untuk kedua-duanya, namun tetap ditolak,

  12. Kos rawatan kesihatan saya dan Jothy di Hospital Kerajaan adalah sama, dan lain-lain.

Di luar sana, saya melihat kepada dua pertembungan kuasa politik, satunya mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu dan satu lagi pihak tidak suka dengan istilah-istilah perkauman seperti ini dan mereka lebih suka agar dasar-dasar yang adil diwujudkan dengan maksud bantuan kerajaan kepada rakyat hendaklah atas dasar keperluan, bukan atas dasar bangsa kaum-kaum tertentu.

Secara jujurnya, tentulah saya sebagai Melayu ini mahukan Hak-Hak Melayu ini dipertahankan, tetapi saya sendiri tidak tahu dan tidak faham dimana hak-hak saya sebagai Melayu itu untuk saya perjuang dan pertahankan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan