COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 20 Mei 2010

Teksi BERMETER vs Teksi BERKUPON

Salam 1Malaysia…,

Menyentuh mengenai kaedah penetapan tambang teksi, saya merasakan masih terdapat kalangan pengguna tertanya-tanya dan keliru mengenai perkhidmatan teksi berkupon dan teksi bermeter ini yang antara persoalan yang ditimbulkan, “apa perlunya sistem teksi berkupon kalau semua teksi telah disediakan meter teksi di dalamnya sebagai mekanisme pengukuran tambang?.

Pada penilaian saya secara rambang, pengguna yang mempertikai dan mempersoalkan perkhidmatan teksi berkupon hanyalah terdiri dari pengguna yang tidak pernah menerima perkhidmatan teksi yang tidak memuaskan. Mungkin mereka sangat bertuah dan saya percaya hanya segelintir sahaja yang mendapat “tuah” sedemikian.

Selalunya penumpang yang menaiki teksi saya sering meluahkan ketidakpercayaan mereka kepada sistem tambang teksi bermeter seperti berikut;-

  1. Kenapa meter teksi ini laju sangat?,
  2. Agaknya berapa keseluruhan tambang untuk sampai ke rumah nanti, cukup ke duit aku nak bayar?, baik aku runding dahulu tambang dengan pemandu ini,
  3. Pemandu ini guna jalan jauh ke jalan dekat ni?, dan
  4. Meter teksi ini meter roket ke meter betul, laju semacam aja?.

Rakan-rakan termasuk saya yang memandu teksi menggunakan meter juga sering kali rasa cuak dan risau apabila mendapat penumpang yang macam ini. Antara rasa cuak yang dialami ialah;-

  1. Dia ini ingat aku kaki tipu ke?,
  2. Cukup ke dia nak bayar tambang nanti, jauh perjalanan ni, baik aku setuju sahaja kalau dia nak runding harga,
  3. Kalau aku guna laluan ini, jalan jem dan meter akan jadi lagi tinggi, aku akan dituduh menipu, nak guna jalan jauh sikit tapi tak jem, meter tak setinggi jalan jem tadi, tapi aku tetap dituduh cuba menipu penumpang kerana guna jalan jauh,

Persoalan-persoalan ini lah yang menyebabkan berleluasa nya pemandu tidak menggunakan meter sekalipun kadar meter telah dinaikkan. Diakui juga kedegilan pemandu yang tidak waras sengaja “memotong” penumpang turut menyumbang kepada masalah ini.

Persoalan ini jugalah menjadikan sistem teksi berkupon terus relevan dan diperlukan. Walaupun kadarnya lebih mahal dari meter, penumpang dan pemandu lebih gemar menggunakan sistem ini kerana;-

  1. Pengguna sudah tahu kadar dan kemampuan dia untuk membayar sesuatu tambang sehingga sampai ke destinasi dituju,
  2. Pengguna percaya bahawa pemandu tidak “bodoh” untuk menggunakan jalan jauh kerana tambang yang diperolehnya adalah sama,
  3. Meter “roket” atau tidak, tidak lagi menjadi persoalan,
  4. Pemandu juga senang hati apabila sudah tahu dan terjamin hasil yang diperoleh dari khidmat perjalanan yang diberikan,
  5. Pemandu dan penumpang tidak lagi sangsi antara satu sama lain sehingga menimbulkan salah faham, dan
  6. Perkhidmatan menjadi lebih mesra dan cekap hasil dari persefahaman yang dinyatakan di atas.

Menyentuh berkenaan Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. yang turut menjalankan sistem teksi berkupon di Putrajaya Sentral, Imigresen Putrajaya dan stesen KTM Serdang, tentulah perkhidmatan ini menyumbangkan sebanyak 10% dari kadar tambang yang dikenakan kepada Koperasi. Hasil dari kutipan ini, seramai 15 orang kakitangan yang terdiri dari anak-anak ahli Koperasi mendapat pekerjaan di kaunter-kaunter kupon ini.

Tahun 2009, Koperasi ini mendapat keuntungan sebanyak lebih kurang RM353,000.00 dari aktiviti-aktiviti yang dijalankan, dari itu dapatlah jua 515 orang ahli Koperasi ini yang juga pemandu teksi memperoleh dividen sebanyak 10% dari saham yang dipegang mereka. Koperasi juga telah mengagihkan sebanyak RM17,661.00 kepada Kumpulan Wang Kebajikan Am Koperasi ini.

Berdasarkan kenyataan di atas, saya berpendapat sistem teksi berkupon masih relevan sehinggalah pemandu dan pengguna keseluruhannya telah meyakini sepenuhnya sistem dan penguatkuasaan teksi bermeter ini. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika sistem ini diuruskan Koperasi kerana hasil darinya diperoleh kembali oleh pemandu teksi yang menjadi anggota demi faedah, kebajikan, kesihatan dan pendidikan mereka dan keluarga.

Jumaat, 23 April 2010

TAKLIMAT SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT (SPAD)

Pada 22hb. April 2010 telah berlangsung taklimat di atas yang diadakan di Bilik Taklimat, Aras 2, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Majlis yang sepatutnya berlangsung mulai jam 3.30 ptg. terpaksa ditangguh sehingga jam 5.00 petang ekoran kesibukan YB Dato' Seri Nazri berbahas di dewan persidangan. Saya bersama En. Zakuan telah hadir mewakili Koperasi.

Semasa permulaan, agak kelam kabut jugak majlis ini keraa ketiadaan emcee. Mujurlah YB Dato' Halimah sendiri dengan mesra dan rendah hati menjadi emcee bagi menjemput bakal CEO Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memberikan taklimat. Saya amat kagum dengan keramahan dan kerendahan hati YB. Datuk Halimah.

Seterusnya taklimat disampaikan oleh En. Nur dalam keadaan yang agak bosan kerana penyampaian yang tidak menarik, tiada edaran "handout" dan tayangan nota "slide" yang terlalu kecik (tidak jelas).

Berikut saya perturunkan juga catatan saya dari ucapan En. Nur ini;-

Statistik penggunaan pengangkutan awam tahun 1985 ialah 34% berbanding hanya 10-12% sekarang ini.

Punca penyusutan penggunaan ini adalah kerana:-

  1. Polisi kerajaan dalam pembinaan dan pembesaran jalan dan lebuh raya,
  2. Dasar otomotif kerajaan yang membantu pengeluaran kenderaan tempatan dan import (20juta bilangan kenderaan yang didaftarkan sekarang ini),
  3. Persepsi pengguna terhadap kualiti perkhidmatan,
  4. Perkhidmatan pengangkutan yang tidak intergrated (bersambung), dan
  5. Kapasiti dan rangkaian perkhidmatan yang tidak berkembang mengikut keperluan.

Perkhidmatan pengangkutan negara sekarang ini diuruskan oleh beberapa agensi berbeza seperti JPJ, LPKP, PDRM, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Pelancongan dan lain-lain. Ini menyukarkan lagi kerajaan untuk membina hala tuju perkhidmatan yang lebih jelas.

Bagi mengatasi masalah ini, SPAD telah dicadangkan untuk ditubuhkan bagi mengambil alih seliaan perkhidmatan pengangkutan awam dari semua agensi kerajaan tadi. Kajian penubuhan SPAD telah dimulakan sejak tahun 2008 dan rang undang-undang mengenainya baru diluluskan.

Formasi organisasi SPAD akan bermula pada 1hb. Jun 2010 nanti. Ada 3 fungsi SPAD iaitu;-

  1. Perancangan
  2. Kawal Selia
  3. Penguatkuasaan

Semasa sesi dialog, ramai peserta mengambil bahagian, namun isu-isu yang dibangkitkan adalah remeh dan tidak berkaitan dengan tujuan majlis diadakan.

YB. Datuk Halimah semasa penggulungan (sebelum beredar ke mesyuarat lain) telah memaklumkan bahawa memorandum yang dikemukakan oleh beberapa persatuan teksi telah diterima untuk diangkat oleh YB. Menteri kepada YAB Perdana Menteri. Antara isu yang akan YB Menteri minta kelulusan YAB PM adalah;-

  1. Penghapusan access duty sepenuhnya (sekarang ini cukai masih mesti dibayar semasa convert teksi kepada kereta biasa). Kos yang ditanggung kerajaan bagi penghapusan duty ini ialah RM6.25juta setahun.
  2. Penghapusan sales tax (cukai jualan). Kos yang ditanggung kerajaan bagi penghapusan cukai ini ialah RM6.25 juta setahun.
  3. Subsidi pemasangan NGV oleh kerajaan. Perbelanjaan sebanyak RM24 juta setahun.
  4. Subsdi petrol dan Diesel turut diberkan kepada pemandu teksi sebagaimana nalayan

Sekian sahaja catatan yang mampu saya kongsikan pada kali ini

Jumaat, 26 Mac 2010

Balasungkawa Allahyarham Tumat bin Kalil

Saya dan rakan-rakan lama pemandu teksi di Putrajaya menyatakan rasa sedih atas kembalinya ke Rahamtullah, Allayarham Tumat Bin Kalil, Pemandu teksi HWC2673. Dahulunya beliau memandu teksi HWA2828.

Sebelum saya mengenali Allahyarham pada pertengahan tahun 2003, difahamkan beliau adalah Pengerusi atau Jawatankuasa Penaja Badan Kebajikan Pemandu Teksi Hentian Duta.

Sesungguhnya beliau telah berjasa kepada pemandu-pemandu teksi di Putrajaya dengan memberikan nasihat dan panduan kepada saya untuk menubuhkan Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya pada Tahun 2003 tersebut.

Dengan nasihat, dorongan dan pandangan beliau, dapatlah jua Persatuan Pemandu Teksi Putrajaya ditubuhkan dan seterusnnya berubah menjadi Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. sekarang ini.

Semoga rohnya mendapat belaian kasih sayang dan keampunan dari Allah s.w.t. Marilah kita hadiahkan setulus ikhlas hati bacaan Al-Faatihat untuk roh beliau. Alfaatihah.....

Khamis, 11 Mac 2010

JPJ ZALIM...???

  1. Entri saya pada 2hb. Julai 2009 yang lalu (http://taxidriversmind.blogspot.com/2009/07/dialog-ketua-pengarah-jpj-malaysia.html) menceritakan mengenai dialog yang saya hadiri dengan Ketua pengarah JPJ (diwakili oleh Pengarah Penguatkusa),
  2. Catatan saya adalah seperti berikut... "Soalan 2. Pemandu teksi bandar menghantar 4 orang penumpang, orang hendak ke KLIA dan dua orang lagi nak ke LCCT. Boleh atau tidak?". Jawapan : Boleh, dengan syarat jika ditahan pemandu dan penumpang hendaklah membuktikan keadaan seperti tadi dan bukan trick untuk mengulat.
  3. Pada 23hb. 2. 2010, pemandu teksi eksekutif nombor HWD1375 menghantar penumpangnya ke KLIA. Sesampai di KLIA, penumpang telah meminta beliau mengambil teman lelakinya dan pulang ke KL semula. Pemandu tidak mahu kerana tahu ianya salah dan JPJ sedang menunggu di bawah sana.
  4. Penumpang yang tidak memahami peraturan "mengarut" negara Malaysia tercinta ini telah memarahi pemandu dan mengugut tidak mahu membuat bayaran jika enggan hantar dia balik semula ke KL.
  5. Tanpa ada pilihan lain dan pemandu menghantar juga penumpang tersebut ke KL dengan harapan pegawai JPJ yang sedang menunggu di bawah sana memahami situasinya.
  6. Pemandu ini beserta penumpangnya telah ditahan JPJ dan pemandu telah menjelaskan situasinya seperti di atas kepada pegawai JPJ berkenaan iaitu EN. NORIZAN AZMI KPP (N22). Dimaklumkan penumpang juga menyatakan perkara yang sama kepada pegawai JPJ berkenaan.
  7. Pegawai JPJ berkenaan tetap menyatakan tindakan ini salah dan menyita lesen memandu dan PSV pemandu dan menyuruhnya menghantar penumpang ke KL dan kemudian mengarahkan pemandu hadir temusiasat pada 2hb. Mac 2010.
  8. Tidak cukup dengan itu, kenderaan HWD1375 ini telah disita semasa temu siasat dibuat. Penyitaan dibuat sehingga 10hb. Mac (10 hari pemandu tidak boleh bekerja).
  9. Mungkin tak puas hati lagi dengan masalah "dera" yang ditimpakan kepada pemandu ini, Pegawai JPJ Nurul Murni PPP(N27) mengeluarkan saman untuk dibicarakan di mahkamah pada 18hb. Mac 2010 tanpa memberi ruang langsung untuk membayar denda.
  10. Saya bersangka baik bahawa pegawai-pegawai JPJ yang saya nyatakan namanya di atas "TERPAKSA" menjalankan undang-undang yang dipikulkan oleh kerajaan kepada mereka. Jika begitu nampaknya macam kerajaan yang zalim sebab membuat peraturan dan kaedah hukuman sebegitu rupa.
  11. Saya pun jadi tidak pasti untuk apa JPJ adakan dialog yang saya hadiri sebelum ini jika keputusan/jawapannya tidak dipraktikkan serta terus menzalimi rakan-rakan saya.
  12. Adakah saya atau JPJ yang tidak faham slogan YAB Perdana Menteri "1 Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian DIUTAMAKAN".
  13. Khuatir juga kalau nanti JPJ akan dianggap sebagai ejen pembangkang yang berperanan sebagai penyemai kebencian pemandu teksi kepada kerajaan. Wallahuaalam.

Khamis, 25 Februari 2010

Halalkah tambang teksi jika tidak menggunakan meter?

  1. Saya terbaca mengenai MUI (Majlis Ulamak Indonesia) yang disaran mengeluarkan fatwa mengenai wajibnya memakai topi keledar. Dengan fatwa ini, pembonceng dan penunggang yang tidak memakai topi keledar akan dianggap berdosa di sisi Islam (http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/index.php/bahasa/53839-indonesia-perlukan-fatwa-wajibkan-pakai-helmet-motosikal.)
  2. Terfikir pula saya mengenai masalah berleluasanya masalah keengganan pemandu teksi di Malaysia untuk menggunakan meter sekalipun tambang telah dinaikkan,
  3. Sebahagian rakan-rakan pemandu teksi yang saya kenal adalah orang yang boleh dikatakan alim...., memakai kopiah/serban malah ada yang menjadi khatib dan imam Solat Jumaat. Maaf cakap.., ada juga antara mereka yang tidak menggunakan meter,
  4. Mungkin LPKP boleh mengemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia untuk mengeluarkan fatwa mengenai isu ini, wallahuaa'lam.