COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Khamis, 18 Ogos 2011

KAJIAN KOS SARA HIDUP PEMANDU TEKSI - ANJURAN UNIT PENGURUSAN PRESTASI DAN PELAKSANAAN, JABATAN PERDANA MENTERI (PEMANDU)


Pagi tadi (18/8/2011) sekali lagi saya dijemput oleh PEMANDU untuk memberikan input terhadap kajian mereka berkenaan kos sara hidup pemandu teksi serta cadangan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Saya telah hadir bersama En. Mohd Suhaimi (Captain Suhaimi).

Setelah membentangkan serba sedikit berkenaan keperluan sara hidup, pendapatan dan kos operasi pemandu teksi, saya diminta untuk mengemukakan kajian saya tersebut secara bertulis. Kertas cadangan yang saya akan kemukakan kepada pihak PEMANDU esok adalah seperti berikut;

KAJIAN PENDAPATAN DAN

SARA HIDUP PEMANDU TEKSI

SERTA

CADANGAN UNTUK MENINGKATKAN

SOSIO EKONOMI PEMANDU TEKSI

A- LATAR BELAKANG PENDAPATAN, KOS OPERASI DAN SARA HIDUP PEMANDU TEKSI DI LEMBAH KELANG

1. Pemandu teksi berkhidmat untuk menghantar pelanggan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan bayaran tertentu. Pendapatan mereka tidak tetap kerana bergantung kepada permintaan oleh pengguna.

2. Rata-rata mereka bekerja melebihi 12 jam sehari bagi menanggung kos operasi yang sentiasa meningkat,

3. Purata kutipan harian dan kos operasi bagi seorang pemandu teksi adalah seperti di bawah;

ANGGARAN PENDAPATAN DAN KOS OPERASI PEMANDU TEKSI DI LEMBAH KELANG

BIL

PERKARA

HARIAN

BULANAN

CATATAN

PENDAPATAN

1

Kutipan sewa

180.00

4,680.00

Tempoh bekerja 14 jam 1hari & 26 hari 1bulan

JUMLAH

180.00

4,680.00

KOS OPERASI

1

Sewa teksi

50.00

1,500.00

Termasuk cukai jalan dan insurans

2

NGV

26.00

676.00

Termasuk RM5 sehari kos petrol

3

Penyenggaraan teksi

27.40

712.51

Rujuk Jadual Kos Penyenggaraan

5

Makan dan minum

20.00

520.00

Semasa bertugas

JUMLAH

123.40

3,408.51

PENDAPATAN BERSIH

56.60

1,271.49

4. Perincian kos penyenggaraan teksi adalah seperti di jadual berikut;

JADUAL KOS PENYENGGARAAN TEKSI JENIS WAJA CAMPRO @ SAGA BLM

Bil

Perkara

Kali dalam sebulan

Kos 1 kali

Jumlah Sebulan

Jumlah Setahun

Catatan

1

Servis bulanan

2

87.00

174.00

2,088.00

Minyak enjin, air filter, oil filter dan upah

2

Tayar

0.17

700.00

116.67

1,400.00

Tayar, balancing dan alignment (2 kali setahun)

3

Brake disc/pad

0.08

150.00

12.50

150.00

Brake system

4

Timing belt

0.11

350.00

38.79

465.50

Timing belt, tensioner bearing, alternator belt

5

Bateri

0.06

180.00

10.00

120.00

Bateri jenis kering

6

Clutch plate

0.04

400.00

16.67

200.00

Sekali dalam tempoh 2 tahun

7

Absorber

0.04

240.00

10.00

120.00

Sekali dalam tempoh 2 tahun

8

Brake, clutch & gear box oil

0.25

80.00

20.00

240.00

Tiga kali dalam tempoh setahun

9

Top Overhaul

0.03

1,400.00

38.89

466.67

Sekali dalam tempoh 3 tahun

10

Major Overhaul

0.03

4,500.00

125.00

1,500.00

Sekali dalam tempoh 3 tahun

11

Lain-lain

1

150.00

150.00

1,800.00

Tuning, bulb, alignment, balancing, Puspakom dll

JUMLAH

712.51

8,550.17

5. Anggaran kos sara hidup isi rumah pemandu teksi pula adalah seperti berikut;

ANGGARAN SARA HIDUP KELUARGA PEMANDU TEKSI DI LEMBAH KLANG

- 5 orang sekeluarga -

BIL

PERKARA

JUMLAH

CATATAN

1

Sewa rumah

800.00

2

Utiliti

150.00

3

Belanja dapur

500.00

4

Keperluan lain-lain

300.00

5

Pendidikan dan kesihatan keluarga

300.00

6

Simpanan kecemasan

300.00

JUMLAH

2,350.00

6. Dengan pendapatan bersih bulanan sebanyak RM1,271.50 sebulan berbanding keperluan sara hidup sebanyak RM2,350.00 sebulan, keluarga pemandu teksi mengalami pendapatan yang DEFISIT sebanyak (RM1,078.50).

7. Kesan daripada ini, pemandu teksi terpaksa bekerja dalam waktu yang lebih panjang sehingga 18jam sehari tanpa rehat bagi menampung perbelanjaan malah ramai dari mereka yang meminjam dengan “ah long”. Kedudukan kewangan mereka menjadi lebih sukar jika mengalami kemalangan atau sakit teruk.

8. Keadaan ini juga menyumbang kepada pelanggaran undang-undang seperti menggunakan dadah untuk bekerja dengan lebih lama dan juga menipu pengguna dengan mengenakan tambang lebih.

9. Kemalangan akibat pemandu teksi yang mengantuk juga sering terjadi dan ini membahayakan mereka serta pengguna jalan raya yang lain.

B- CADANGAN BAGI MENINGKATKAN PENDAPATAN PEMANDU TEKSI

1. Terdapat 2 kaedah meningkatkan pendapatan pemandu iaitu;

1.1. Meningkatkan pendapatan pemandu dengan cara;

(a) Mewujudkan program pembelajaran berbentuk kursus wajib yang ditanggung oleh kerajaan (melalui INSKEN-Institut Keusahawanan Negara) bagi melatih pemandu untuk menguruskan akaun harian, disiplin kerja serta cara memberikan perkhidmatan yang cemerlang. Mewujudkan sistem pembelajaran pemandu teksi ini juga boleh membantu meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia sesuai dengan melahirkan pemandu yang lebih berdisiplin dan mesra pelanggan.

(b) Meningkatkan kadar tambang teksi mengikut kesesuaian sesuai dengan peningkatan kos operasi. Namun ia sensitif kepada pengguna dan tidak popular.

1.2. Mengurangkan kos operasi pemandu dengan cara;

(a) Membenarkan kenderaan import yang tahan lasak dijadikan teksi. Antara jenis kenderaan yang dicadangkan adalah Chevrolet Aveo CNG/ NGV. yang dikeluarkan di Thailand yang terus dilengkapi dengan sistem NGV serta jaminan 3 tahun. Rujuk http://en.chevrolet.co.th/vehicles/view-all-vehicles/cars/aveo/models/aveo-cng-ngv.html

(b) Menghapuskan cukai jualan (sales tax) bagi kenderaan untuk dijadikan teksi,

(c) Subsidi harga kenderaan dan juga alat ganti kenderaan.

(d) Memberikan permit teksi terus kepada pemandu, namun diingatkan bahawa kaedah agihan permit ini hendaklah dipastikan betul kepada pemandu yang layak sahaja. Pemberian permit teksi kepada pemandu yang lanjut usia, back list, bankrap sebelum ini menyebabkan mereka memajakkan permit teksi tersebut kepada syarikat teksi dan syarikat teksi menyewakan semula kepada pemandu. Dengan ini ia tidak membantu pemandu teksi. Penjimatan kos operasi bagi permit individu ini ialah sebanyak RM415.00 sebulan.

2. Secara objektifnya, kaedah untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kos operasi pemandu teksi diringkaskan seperti berikut;-

PERKARA

%

JUMLAH

CATATAN

Tambahan pendapatan

Melalui latihan kerjaya yang terurus

5

234.00

Dari kutipan sekarang (RM4,680.00 sebulan)

Kenaikan tambang teksi

5

234.00

Dari kutipan sekarang (RM4,680.00 sebulan)

Pengurangan kos operasi

Permit individu

27.67

415.00

Dari kadar sewaan dengan syarikat

Gunakan kenderaan yang lebih tahan

20

142.50

Dari kos penyenggaraan

Subsidi harga kenderaan, alat ganti dan pengecualian cukai

10

146.26

Dari kos penyenggaraan dan sewa teksi

JUMLAH PENDAPATAN TAMBAHAN

RM1,171.76

Dengan tambahan pendapatan sebanyak RM1,171.76 ini, dapatlah mengimbangi defisit sebanyak (RM1,078.50).

C- MENANGANI MASALAH KEBAJIKAN PEMANDU TEKSI

1. Kerjaya pemandu teksi sama seperti nelayan atau pun peniaga kecil yang tidak punyai pendapatan tetap, bahkan pemandu teksi dibebankan dengan kos insurans yang lebih tinggi oleh pembekal perkhidmatan insurans kerana kerjaya mereka dianggap berbahaya (risiko kemalangan yang tinggi). Pemandu teksi juga tidak dilindungi oleh skim tabungan hari tua seperti dinikmati pekerja swasta dengan skim KWSP.

2. Mereka juga sukar membeli rumah kediaman sendiri kerana rata-rata nya, pihak bank tidak menyokong permohonan pinjaman oleh pemandu teksi yang tiada pendapatan tetap.

3. Keadaan ini meletakkan risiko kepada pemandu dan juga keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.

4. Dalam jangka masa panjang, apabila pemandu teksi sudah tua dan tidak mampu lagi bekerja, mereka tidak lagi mempunyai sebarang pendapatan dan mungkin akan memenuhi rumah-rumah kebajikan.

D- CADANGAN KERAJAAN MENUBUHKAN KOPERASI PEMANDU TEKSI 1MALAYSIA UNTUK MENAUNGI SELURUH PEMANDU TEKSI DI MALAYSIA.

1. Sehubungan itu, dicadangkan supaya sebuah koperasi diwujudkan bagi menaungi pemandu teksi di seluruh Malaysia dari sudut kerjaya dan juga kebajikan. Koperasi ini diberikan permit teksi oleh kerajaan dan menyewakan teksi tersebut kepada ahli (pemandu). Keuntungan dari perniagaan Koperasi yang berskala besar ini boleh mewujudkan kemudahan, skim simpanan persaraan, pinjaman kecemasan, bantuan khairat, biasiswa pendidikan anak-anak, kemudahan perubatan malah pinjaman perumahan. Sebagai gambaran kasar fungsi penubuhan koperasi ini nanti adalah seperti berikut;-

FAEDAH KEUNTUNGAN SEWA BELI KOPERASI KEPADA AHLI

Bilangan teksi (Lembah Kelang sahaja)

30,000

Untung sehari bagi sebuah teksi

10.00

Untung sehari bagi 30000 buah teksi

300,000.00

Untung sebulan bagi 30000 buah teksi

7,800,000.00

Untung setahun bagi 30000 buah teksi

93,600,000.00

SKIM TABUNGAN WAJIB PEMANDU (AHLI KOPERASI)

Bilangan teksi (Lembah Kelang sahaja)

30,000

Tabungan sehari bagi sebuah teksi

10.00

Tabungan sehari bagi 30000 buah teksi

300,000.00

Tabungan sebulan bagi 30000 buah teksi

7,800,000.00

Tabungan setahun bagi 30000 buah teksi

93,600,000.00








2. Dengan jumlah wang hasil dari keuntungan Koperasi dan juga simpanan pemandu teksi yang berjumlah RM187,200,000.00 (RM187 juta) setahun ini, sudah tentu boleh diwujudkan kemudahan dan kebajikan khusus buat pemandu teksi dan nasib masa depan keluarga mereka.

3. Kepimpinan dan pengurusan koperasi ini hendaklah dipantau oleh kerajaan bagi memastikan matlamat penubuhannya tercapai.


Kajian dan cadangan di atas masih perlu diperhaluskan. Terima kasih sekiranya pemandu teksi yang membaca entri ini dapat memberikan sedikit pandangan atau komen terhadap cadangan di atas.

Salam Ramadhan...

Ahad, 31 Julai 2011

Pemandu Teksi dan Ramadhan...


Salam Ramadhan...,
  1. Terlebih dahulu saya ucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Puasa di sepanjang bulan Ramadhan ini, semoga ianya menjadi yang terbaik berbanding Ramadhan sebelumnya.
  2. Ramai rakan teksi yang mengeluh sekarang ini kerana katanya tak ramai penumpang (mangkau). Seorang rakan yang memandu teksi Koperasi saya memohon agar dikecualikan tabung wajib sewaan teksi dia kerana kekurangan penumpang sekarang inilah kut...
  3. Hairan juga, yang berpuasa orang Islam, tetapi orang bukan Islam juga turut kurang keluar di sepanjang bulan ini. Keadaan ini sangat terlihat kesannya kepada pemandu teksi (Airport Limo) di KLIA. Bagi teksi yang beroperasi di bandar, terasa juga perkara yang sama kecuali apabila hampir waktu berbuka, tetapi "traffic jam"nya pula sangatlah menyeksakan.
  4. Ramai rakan-rakan yang mula risau sekarang ini..., ye lah..., trip kurang, lepas puasa kena raya, untuk raya kena beli baju raya untuk anak-anak, belanja balik kampung dan lain-lain.
  5. Kita ini (pemandu teksi) agak berbeza dengan orang yang makan gaji, yelah..., diaorang dah tahu berapa diaorang dapat sebulan, mudahlah bajet menyimpan untuk saat ini, kalau sesak, boleh lagi mereka ikhtiar meminjam dengan slip gaji yang ada, kita ini, terpaksa bekerja kuat untuk itu, tapi kerja kuat mana pun, kalau dah tak ada orang nak naik..., nak buat macam mana lagi...?
  6. Kesian juga kepada rakan-rakan yang terpaksa meminjam dengan Ahlong...., yelah..., dah dia aje yang sudi bagi pinjam....
  7. Yakinlah bahawa Ramadhan ini adalah bulan yang sangat istimewa kepada kita semua, rintangan di dalamnya tersirat hikmah yang tak ternilai...,
  8. InsyaAllah, Allah kurniakan keadaan Ramadhan seperti ini kepada pemandu teksi adalah untuk mendidik kita supaya....,
  • Supaya kita sentiasa bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, bukan sambil lewa dan diselitkan dengan pembaziran beli nombor ekor, layan GRO dan perkara yang sia-sia yang lain,
  • Supaya kita mengamalkan sikap menabung, jika wang yang kita bazirkan dengan rokok atau nombor ekor sebanyak RM15.00 sehari itu disimpan, tentu kita dah ada RM5,000.00 lebih sekarang ini kan....?
  • Supaya kita boleh bersatu (berjemaah) contohnya di dalam koperasi agar dengan itu wang atau modal dapat dikumpulkan, dijalankan aktiviti perniagaan bersama dan boleh pula membantu kita dengan memberi pinjaman di saat-saat seperti ini.
Salam Ramadhan sekali lagi dari saya, ampun maaf atas segala salah dan silap....

Selasa, 19 Julai 2011

RUKUN BEKERJASAMA DALAM ORGANISASI

Dari kecil kita diajar tentang pentingnya bekerjasama, bersatu padu, bergotong royong, ringan sama dijinjing, berat sama dipikul dan lain-lain lagi, bahkan sekarang ini cerita kartun “Wonder Pets” pun menanamkan maksud yang sama kepada anak-anak kita. Sekali pandang, mudah sahaja kerjasama tu dan semua orang dah buat. Benarkah begitu?

Sekadar contoh, Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Bhd. ini punyai 550 orang ahli, mesyuarat agung tahunan memilih 12 orang jawatankuasa untuk melaksanakan agenda dan dasar yang ditentukan mereka. Seperti maklum, 12 orang AJK ini pula, bukanlah satu kepala, mustahil kita boleh dapatkan sekumpulan manusia yang semuanya satu kepala sahaja dalam semua hal, sedangkan lidah lagi tergigit, bahkan ada juga antara yang dipilih itu sebenarnya sedang berkelahi antara satu sama lain. Kitaran yang hampir sama ini berlaku di dalam semua organisasi yang berasaskan demokrasi.

Agak-agaknya macam manalah mereka ini hendak bekerjasama memajukan organisasi?

Kerjasama itu sangat luas batasan nya dan juga kompleks. Naiflah kalau kita berpendapat bahawa kerjasama itu hanya di kalangan orang yang sekepala dengan kita sahaja.

Kitaran kerjasama ini berlaku dengan bentuk dan tujuan seperti berikut;

  1. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat dan matlamat yang sama;
  2. Kerjasama dengan rakan yang mempunyai pendapat berbeza tetapi matlamat yang sama; dan
  3. Kerjasama dengan musuh dalam hal tertentu demi faedah bersama.

Di antara jenis kerjasama ini, saya berpendapat kerjasama bentuk ke-2 lebih complicated dan banyak dihadapi dalam organisasi sama ada politik, persatuan mahupun koperasi. Usaha jatuh-menjatuhkan antara satu sama lain turut berlaku dalam maksud kerjasama konsep ini, ia juga dipanggil krisis dalaman.

Bagaimana mengawal situasi ini supaya organisasi kita tidak terjejas. Seorang pemimpin sebuah parti politik mengistilahkan krisis dalaman mereka dengan “umpama ribut dalam cawan”, maknanya hanya air yang berkocak, tetapi cawan tetap utuh.

Mengatasi cabaran kerjasama ini, ahli-ahli jawatankuasa perlulah memahami rukun bekerjasama serta berpegang teguh dengannya. Jika tidak, maka berlakulah perpecahan ketara sehingga melemahkan organisasi yang diperjuangkan tersebut.

Antara rukun kerjasama yang wajib difahami dan diamalkan oleh pimpinan (AJK) sesebuah organisasi adalah;

  1. Pastikan apa jua yang dibuat adalah dengan niat untuk kejayaan organisasi.
  2. Sentiasa berpegang teguh kepada asas perjuangan,
  3. Kebebasan memberi dan sedia menerima pendapat/idea,
  4. Bersedia menerima dan memberi kritikan,
  5. Menghormati antara satu sama lain, dan
  6. Akur kepada kehendak majoriti.

Tanpa kesemua 6 rukun di atas, maka pincanglah organisasi kita.

** Sekadar perkongsian pendapat dari pengalaman peribadi. Komen atau pendapat dari rakan-rakan lain yang lebih berpengalaman amatlah dialu-alukan.

Rabu, 13 Julai 2011

"BERSIH 02" sekadar muhasabah

Sejak lebih seminggu lalu, saya banyak membaca pendapat bloggers berhubung perhimpunan BERSIH. Saya pula tidaklah berkeinginan untuk menyemakkan lagi keadaan dengan memberi komen.
Hanya sebagai catatan (supaya tidak lupa), saya turut punyai pandangan peribadi berhubung hal tersebut;-
  1. Pada awalnya saya berasa gundah apabila dikhabarkan media massa wujudnya elemen ganas dalam perhimpunan ini. Siapa yang inginkan negara yang dikasihi ini dirosakkan.
  2. Pada awalnya juga saya menjangkakan perhimpunan tersebut tidak berjaya kerana telah banyak tangkapan dan sekatan jalanraya yang dibuat oleh PDRM, namun yang berlaku sebaliknya.
  3. Saya menjangkakan bahawa perhimpunan sebegitu amat membahayakan, namun setelah melihat video-video yang berselerak di laman maya ini, elemen keganasan oleh peserta boleh dikatakan tiada langsung.
  4. Saya percaya, sekiranya perhimpunan tersebut dibenarkan dengan kawalan ketat polis (bukan dihalang), ianya akan berjalan dengan aman malah merancakkan lagi perniagaan KL ini
  5. Saya juga pernah merasa pelik kepada penganjur Bersih ini, apa perlunya mereka berhimpun dan berarak beramai-ramai untuk menghantar memorandum kepada DYMM YDPA, sedangkan mereka boleh sahaja membuat temujanji dan menyerahkan memorandum tersebut dengan mudah. Namun, baru faham bahawa jika hanya begitu, tiada perhatian berat akan diberikan terhadap tuntutan mereka.
  6. Melihat terus kepada 8 senarai tuntutan Bersih itu pula, saya merasakan permintaan tersebut adalah munasabah bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada sistem pengundian di negara kita. Mereka bukannya meminta agar dijatuhkan mana-mana peminpin seperti di Mesir.

Dari peristiwa Bersih ini, mungkin sudah tiba masanya kita semua bersikap terbuka. Parti yang memerintah dan juga parti yang bakal memerintah perlu bersikap terbuka dengan suara/tuntutan rakyat (pengundi). Pastinya pengundi akan memangkah parti yang mendengar suara mereka. Dengan itu, tiada ruginya jika kerajaan mendengar dan menimbangkan suara/tuntutan Bersih tersebut.