Salam 1 Teksi,
Mungkin sebahagian rakan pemandu teksi tidak sedar bahawa surcaj tambang (RM12.00) ke KLIA telah dimansuhkan oleh SPAD melalui Pekeliling Bil. 3 Tahun 2013 bertarikh 15 Mei yang lalu.
Untuk makluman pembaca yang merupakan pengguna teksi, surcaj KLIA ini adalah caj tambahan ke atas bacaan meter teksi sekiranya destinasi penumpang ke KLIA kerana sebelum ini teksi bandar tidak dibenarkan mengambil penumpang dari KLIA ke luar. Sebagai contoh, jika bacaan meter dari Presint 9 Putrajaya ke KLIA ialah RM33.00, ia akan ditambah RM12.00 menjadikannya RM45.00 yang perlu dibayar pengguna.
Pemansuhan ini dibuat SPAD bersekali dengan membenarkan teksi bermeter mengambil penumpang dari KLIA.
Saya tidak pasti respon pemandu lain
mengenai isu ini kerana tidak mendengar lagi sebarang rungutan pemandu melalui
persatuan masing-masing. Namun secara peribadi saya kurang bersetuju kerana
pemansuhan ini sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik.
Mungkin pada tanggapan
SPAD, apabila pemandu teksi sudah boleh mengambil penumpang dari KLIA, maka
surcaj itu tidak perlu lagi digunakan. Pemandu yang sebelum ini mendapat RM45
sahaja bagi trip dari Presint 9 ke KLIA, akan mendapat RM66 apabila mereka
dapat mengambil penumpang lain dari KLIA ke Putrajaya. Lebihan pendapatan untuk
pemandu ini hanya boleh dinikmati sekiranya pemandu yang menghantar
penumpang ke KLIA terus masuk “queue” dan dalam masa yang singkat (kurang 30 minit) mengambil penumpang berikutnya ke
pusat bandar.
Namun secara amalannya,
begitu ramai rakan-rakan pemandu yang rajin menunggu sehingga sanggup bergerak
kosong (tanpa penumpang) dari pusat bandar ke KLIA. Keadaan ini menyebabkan
permintaan terhadap teksi bermeter tidak seimbang dan kesannya pemandu terpaksa
menunggu begitu lama.
Apabila keadaan ini
berlaku, tidak ekonomik bagi pemandu dari Putrajaya yang menghantar penumpang ke
KLIA untuk menunggu antara 1 hingga 3 jam bagi mendapatkan penumpang dari sana.
Akhirnya, pemandu yang
sebelum ini mendapat RM45 bagi perjalanan yang sama akan mendapat hanya RM33 walaupun
terpaksa menanggung kenaikan kos operasi yang terus meninggi.
Mungkin boleh
dipertimbangkan agar hanya pemandu yang menurunkan penumpang di KLIA sahaja
boleh masuk "queue" bagi mendapatkan penumpang berikutnya supaya tidak berlaku
lebihan teksi pada satu-satu masa.
Mungkin rakan-rakan
pemandu lain ada pendapat yang berbeza, harap boleh dikongsikan untuk faedah
bersama.




