COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 8 November 2013

CADANGAN SEMAKAN SEMULA KADAR TAMBANG TEKSI KEPADA SPAD


Pada 18 Oktober 2013 lalu SPAD mengadakan Mesyuarat Semakan Semula Kadar Tambang Teksi bersama pengusaha-pengusaha teksi Lembah Kelang. Lebih kurang 21 pengusaha teksi yang hadir termasuk Dato' Aslah, Dato' Alias, Tn. Hj. Abdul Jalil, Frankie (Public Cab) dan lain-lain. Tujuan mesyuarat ini adalah bagi mengumpulkan pendapat pengusaha teksi berhubung cadangan SPAD mengkaji semula kadar tambang teksi. Pendekatan SPAD ini amat baik kerana mengambil kira pendapat semua pihak sebelum menentukan kadar kenaikan bagi memastikan kenaikan tambang nanti tidak menjejaskan permintaan pengguna terhadap perkhidmatan teksi.

Sebagai pemandu, kita inginkan kenaikan yang semaksima mungkin. Namun, sekiranya kenaikan terlalu mendadak, pengguna akan beralih kepada perkhidmatan pengangkutan lain ataupun membeli kereta sendiri. Lebih-lebih lagi, kenderaan semakin murah sekarang. Keadaan ini pastinya menjejaskan pendapatan pemandu. Tiada gunanya mendapat kenaikan tambang 40% tetapi permintaan penumpang menurun 50%.

Sebagai penumpang pula, pastinya kita tidak inginkan kenaikan langsung tanpa penambahbaikan kualiti perkhidmatan. Namun perlu difahami bahawa kenaikan harga sesuatu perkhidmatan atau produk bukanlah semuanya bersamaan dengan peningkatan kualiti. Mohon juga pertimbangkan faktor bahawa perkhidmatan teksi bukanlah perkhidmatan yang terlalu kerap digunakan penumpang. Ia selalunya menjadi pilihan terakhir selepas kenderaan sendiri dan perkhidmatan bas. Kenaikan tambang teksi ini tidak menjejaskan pengguna secara mendadak berbanding kenaikan harga petrol yang menyebabkan banyak barangan lain turut naik.

Kadar kenaikan tambang teksi ini saya cadangkan seperti berikut;


Saya mencadangkan surcaj bagi perjalanan jauh melebihi 50KM atas faktor sukarnya mendapat penumpang lain dari kawasan yang jauh kembali ke pusat bandar. Contohnya perjalanan dari KL ke Seremban. Apa lagi apabila pemandu teksi mempunyai banyak persatuan yang "kononnya berkuasa" mengawal sesuatu perhentian teksi. Apabila saya menghantar penumpang ke Seremban, saya tidak boleh "queue" di stand teksi Seremban, begitulah juga bagi teksi dari Seremban ke Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun mungkin pengenaan surcaj ini boleh dibuat secara berperingkat. Contohnya lingkungan 20KM tiada surcaj, 20 - 30 KM dikenakan 10%,  30 - 40 KM 25%, 40 - 50 KM 35% dan 50% bagi jarak jarak melebihi 50KM.

Akhir sekali, saya menyerahkan kepada SPAD untuk mempertimbangkan cadangan ini bersamaan dengan cadangan-cadangan lain yang diterima dari semua pihak. Pastinya SPAD akan turut mengambil kira faktor kos operasi, sara hidup pemandu, kemampuan pengguna dan keadaan ekomoni semasa. 

Semoga kajian semua kadar tambang ini menjadi pemangkin kepada penambahbaikan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia.

Sabtu, 2 November 2013

SURCAJ TAMBANG RM12 KE KLIA DIMANSUHKAN


Salam 1 Teksi,

Mungkin sebahagian rakan pemandu teksi tidak sedar bahawa surcaj tambang (RM12.00) ke KLIA telah dimansuhkan oleh SPAD melalui Pekeliling Bil. 3 Tahun 2013 bertarikh 15 Mei yang lalu.

Untuk makluman pembaca yang merupakan pengguna teksi, surcaj KLIA ini adalah caj tambahan ke atas bacaan meter teksi sekiranya destinasi penumpang ke KLIA kerana sebelum ini teksi bandar tidak dibenarkan mengambil penumpang dari KLIA ke luar. Sebagai contoh, jika bacaan meter dari Presint 9 Putrajaya ke KLIA ialah RM33.00, ia akan ditambah RM12.00 menjadikannya RM45.00 yang perlu dibayar pengguna.

Pemansuhan ini dibuat SPAD bersekali dengan membenarkan teksi bermeter mengambil penumpang dari KLIA.

Saya tidak pasti respon pemandu lain mengenai isu ini kerana tidak mendengar lagi sebarang rungutan pemandu melalui persatuan masing-masing. Namun secara peribadi saya kurang bersetuju kerana pemansuhan ini sepatutnya boleh dibuat dengan lebih baik.

Mungkin pada tanggapan SPAD, apabila pemandu teksi sudah boleh mengambil penumpang dari KLIA, maka surcaj itu tidak perlu lagi digunakan. Pemandu yang sebelum ini mendapat RM45 sahaja bagi trip dari Presint 9 ke KLIA, akan mendapat RM66 apabila mereka dapat mengambil penumpang lain dari KLIA ke Putrajaya. Lebihan pendapatan untuk pemandu ini hanya boleh dinikmati sekiranya pemandu yang menghantar penumpang ke KLIA terus masuk “queue” dan dalam masa yang singkat (kurang 30 minit) mengambil penumpang berikutnya ke pusat bandar.

Namun secara amalannya, begitu ramai rakan-rakan pemandu yang rajin menunggu sehingga sanggup bergerak kosong (tanpa penumpang) dari pusat bandar ke KLIA. Keadaan ini menyebabkan permintaan terhadap teksi bermeter tidak seimbang dan kesannya pemandu terpaksa menunggu begitu lama.

Apabila keadaan ini berlaku, tidak ekonomik bagi pemandu dari Putrajaya yang menghantar penumpang ke KLIA untuk menunggu antara 1 hingga 3 jam bagi mendapatkan penumpang dari sana.

Akhirnya, pemandu yang sebelum ini mendapat RM45 bagi perjalanan yang sama akan mendapat hanya RM33 walaupun terpaksa menanggung kenaikan kos operasi yang terus meninggi.

Mungkin boleh dipertimbangkan agar hanya pemandu yang menurunkan penumpang di KLIA sahaja boleh masuk "queue" bagi mendapatkan penumpang berikutnya supaya tidak berlaku lebihan teksi pada satu-satu masa.

Mungkin rakan-rakan pemandu lain ada pendapat yang berbeza, harap boleh dikongsikan untuk faedah bersama.

Khamis, 31 Oktober 2013

Taukeh Teksi Untung Besar....?

Salam sejahtera semua...,

Sekadar nak berkongsi sedikit pengalaman merancang perniagaan teksi yang saya buat di Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya Berhad ini. 

Selama ini saya hanya berdiam diri apabila rakan-rakan pemandu teksi sekeliling saya yang mengatakan syarikat teksi ini cekik darah dan mengerah keringat pemandu untuk mengkayakan diri sendiri. Walaupun saya bersetuju bahawa sepatutnya permit ini dianugerahkan terus kepada pemandu agar kos operasi mereka dapat dikurangkan, namun untuk mengatakan syarikat teksi mendapat keuntungan yang berlipat ganda hasil dari memerah keringat pemandu agak kurang tepat.

Kebetulan sekarang ini saya sedang merancang skim sewaan baru bagi 30 permit teksi bajet yang akan digantikan kenderaan, maka saya ambil kesempatan ini untuk berkongsi. Semoga Koperasi pemandu teksi lain yang ingin menceburi bidang ini boleh mengambil sedikit panduan dari perkongsian ini.

Untuk  makluman, Koperasi ataupun syarikat teksi tidak mendapat geran RM5,000.00 seperti mana permit individu. Harga teksi model Exora (on the road price) termasuk pemasangan NGV, meter, insurans, cukai jalan, runner fee dan lain-lain (berdasarkan sebutharga Jun 2012) ialah RM63,091.00. Harga sekarang mungkin turun sikit tetapi tidak banyak jauh bezanya.

Jika pemandu dikenakan bayaran pendahuluan sebanyak RM6,000.00, pelaburan yang perlu dikeluarkan oleh pengusaha teksi ialah sebanyak RM57,091.00. Kos faedah pinjaman lebih kurang 4.5% setahun selama 5 tahun (RM11,418.20) menjadikan jumlah keseluruhannya ialah RM68,509.20.

Skim sewaan yang sedang dirancang adalah seperti berikut;-


 Sewa Harian       55.00
 Tabung (Road Tax, Insurans dll)       10.00
 JUMLAH       65.00

Faedah lain;
  1. Sewaan hanya dari 1 hingga 28 hb. sahaja setiap bulan,
  2. Cuti sewaan 2 hari untuk perayaan, 2 hari untuk pemeriksaan Puspakom,
  3. Fi pemeriksaan berkala Puspakom (RM55) ditanggung Koperasi, dan
  4. Insurans (1st party) dan cukai jalan ditanggung pemandu melalui tabungan RM10 sehari.
Kos pengurusan sewaan (pengurusan, kawalan kredit, permit, penguatkuasaan dan lain-lain) dianggarkan sebanyak RM280.00 sebulan.

Berdasarkan skim sewaan di atas, pengiraan hasil selepas menolak perbelanjaan adalah seperti berikut;-


Peratus keuntungan yang diperoleh hanya 6.02% sahaja. Sedangkan risiko lain belum diambil kira..., antaranya ;-
  1. Tangguhan sewa oleh penyewa atas pelbagai sebab,
  2. Kemalangan teruk kenderaan,
  3. Kenderaan disorok oleh pemandu,
  4. Kenderaan di "projek" oleh pemandu bagi mendapatkan alat ganti, dan lain-lain.
Berdasarkan unjuran ini, syarikat teksi sebenarnya sukar untuk memperoleh untung. Sebab itu ada syarikat yang terpaksa mengambil beberapa tindakan yang dilihat menzalimi penyewa, contohnya memberikan perlindungan insurans 3rd party serta syarat-syarat sewaan yang ketat. Ada syarikat yang tanpa sebarang notis menarik teksi sebaik sahaja mencecah 15 hari tunggakan. Kebanyakan syarikat juga tidak mengembalikan deposit teksi yang diserah kembali dan pelbagai lagi tindakan lain.

Rumusannya, bukan mudah sebenarnya menguruskan perniagaan teksi ini. Kepada usahawan yang ingin melibatkan diri dalam bidang ini perlu berfikir panjang. Sebaiknya biarlah pemandu sendiri yang mendapat permit individu serta mendapatkan pembiayaan sendiri.

Timbul pula persoalan lain..., lebih kurang (berdasarkan pemerhatian saya) 60% pemandu teksi "blacklisted", mereka tidak boleh mendapatkan pembiayaan dari bank. Bagaimana untuk membantu mereka?..., Kemudahan pembiayaan melalui MARA dan TEKUN selama ini juga gagal dibayar dengan baik oleh pemandu sehingga menyebabkan "NPL" yang tinggi serta membebankan kewangan kerajaan.

Wallahu A'alam.

Rabu, 7 Ogos 2013

Teksi Putrajaya VS Teksi Kuala Kangsar

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Aidil Fitri yang tarikhnya dijangka esok (8 Ogos 2013). Maaf zahir batin juga saya pohon dari semua pembaca blog kerana dah lama sangat tak update.

Coretan ini dibuat semasa saya balik beraya ke Kuala Kangsar dan Lenggong. Memandangkan keluarga dah bertambah besar (5 orang anak), saya terpaksa la kirimkan 2 orang naik bas dari Putrajaya Ke Kuala Kangsar. Sampai di bus stand Kuala Kangsar jam 12.10 malam. Saya pesan kat anak saya supaya sampai nanti, naik teksi ke Sayong, jangan naik teksi sapu yang tunggu kat pintu bas masa sampai nanti, sebab teksi sapu tu mahal. Naik teksi kat teksi stand sebelah tu aje....

Untuk makluman pembaca, jarak dari teksi stand Kuala Kangsar ke Kampung Kuala Sayong Hulu (rumah mak mertua) hanya 4.2 KM. Kalau di Putrajaya, dengan sistem kupon yang dijalankan di Putrajaya Sentral tu, tambang bagi jarak yang sama baru RM9.00. Kalau pakai meter, maksimum RM7.50.


Tapi, di pekan Kuala Kangsar nie, tambangnya kalau siang RM18.00. Oleh kerana dah midnight masa anak saya sampai tu, tambang yang dikenakan RM25.00. Saya tak percaya juga sebab dulu saya naik kereta sapu baru RM10.00, itu pun ikut laluan Kota Lama Kanan (lagi jauh sebab xde jambatan lagi). Anak saya cakap kadar tambang dah tertera kat stand teksi tu, harga tetap.

Dengan pengalaman baru ini..., saya keliru samaada tambang teksi di Putrajaya yang murah sangat atau tambang di Kuala Kangsar yang terlampau mahal. Mungkinkah kadar tambang di Kuala Kangsar ini adalah kadar yang sepatutnya...???

Tertanya-tanya juga bagaimana SPAD mengawal kadar tambang kereta sewa nie?. Tidak akan bermakna undang-undang dan peraturan yang dibuat, tanpa keupayaan untuk menguatkuasakannya.

Khamis, 22 November 2012

PANDUAN MENGURUSKAN KEWANGAN HARIAN TEKSI

Salam 1 Teksi. Posting kali ini sekadar perkongsian pengalaman dan idea sahaja. Jika pembaca merasakan pendapat saya ini salah, saya suka juga mendengar pendapat lain yang mungkin lebih baik dan saya boleh belajar dari tuan/puan juga... :-)

Sebagai pemandu teksi, kita sebenarnya adalah seorang peniaga yang menjual perkhidmatan kita kepada pelanggan. Dalam mana-mana perniagaan, kita sepatutnya membezakan entiti kita sebagai pemilik perniagaan  (perkhidmatan teksi) serta perkhidmatan yang kita tawarkan. Rujuk gambar di bawah..


Apa yang menjadi masalah selama ini ialah tidak mengasingkannya. Apa sahaja kutipan yang kita dapat, maka kita akan gunakan untuk apa sahaja samada untuk makan, minum, belanja kawan, beli barang dapur dan lain-lain. Maka hasilnya kita seperti tiada pendapatan tetap ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Untuk memudahkan kita menguruskan kewangan kita dengan lebih baik, saya cadangkan supaya kita menentukan berapakah gaji yang kita perlukan sebulan (contoh RM2,500.00 sebulan), kemudian kita tentukan pula berapa kos perkhidmatan teksi yang perlu perkhidmatan teksi yang kita jalankan ini menanggungnya, seperti sewa/ansuran bulanan, kos penyenggaraan, insurans dan lain-lain. Setelah kita menentukan peruntukan gaji dan kos operasi ini, maka kita akan dapat menentukan berapakah pendapatan yang perlu kita dapatkan setiap hari. Contoh pengiraan adalah seperti berikut;-

KOS PERKHIDMATAN TEKSI
PERKARA              RM

Gaji pemandu          2,500.00

Sewa/ansuran teksi          1,200.00

Kos penyenggaraan             200.00

Road tax/Puspakom dll             100.00

Tabungan kecemasan             200.00

Toll, makan, minum semasa bertugas             300.00
JUMLAH TAMBANG PERLU DIKUTIP SEBULAN          4,500.00
JUMLAH PURATA TAMBANG HARIAN (26 HARI)             173.08

Selepas kita menentukan kadar gaji dan kos operasi yang lain seperti di atas, maka jangan lagi kita menggunakan kesemua kutipan harian kita seperti sebelum ini. Cara mudah untuk mengelakkan diri kita menggunakan wang kutipan harian sewenangnya ialah dengan mendapatkan sejumlah wang sebagai modal pusingan. Contohnya dapatkan modal pusingan sebanyak RM300.00 dan wang ini hanya digunakan untuk menampung kos operasi sahaja. Kutipan tambang yang kita dapat pula terus disimpan di dalam akaun bank. Jika wang RM300 tadi telah kehabisan, maka keluarkanlah lagi RM300 untuk membiayai kos operasi bagi hari berikutnya. Cukup sebulan, kita keluarkanlah dari akaun bank RM2,500.00 sebagai gaji kita dan lain-lain jumlah untuk bayaran sewa/ansuran bulanan dan lain-lain. Hanya wang gaji RM2,500.00 sahaja kita gunakan untuk menyara diri dan keluarga. Jangan lupa, kita kena pastikan juga hasil tambang yang kita kutip sekurang-kurangnya RM4500 sebulan atau purata RM173.08 sehari. Nak gaji lebih..? mahirkanlah diri anda dengan perkhidmatan teksi serta "work smarter and harder".

Mungkin ada yang akan kata "mana boleh kita mendapat RM173 sehari, nak dapat RM100 pun susah. Kita ini ditekan lagi dengan tokey teksi yang zalim, kerajaan zalim tak bagi permit individu, saman AES lagi kena bayar, saman SPAD, saman JPJ, orang asing pun bawak teksi sekarang, teksi dah berlambak sangat..., bla-bla...."

Pendapat saya, di satu sudut kita patut meluahkan masalah yang kita tanggung selama ini dan kita berhak berjuang untuk menuntut sesuatu yang lebih baik. Ambillah kesempatan diambang pilihanraya ini untuk menuntut sesuatu (yang baik) untuk diri dan komuniti kita. Namun, di satu sudut yang lain, kita mesti akur bahawa bukan semua yang kita hendak kerajaan akan bagi. Nanti kalau kerajaan baru mengambil alih pimpinan negara pun, mustahil bagi mereka memenuhi kesemua kehendak kita. Maka untuk mengatasi halangan ini, kita sendiri kena berusaha dan berubah. Hidup dalam keadaan yang sentiasa rasa benci serta marah kepada orang lain hanya akan membuatkan diri kita bertambah derita. So, be positive..., jangan terlalu negative.