- Saya terbaca mengenai MUI (Majlis Ulamak Indonesia) yang disaran mengeluarkan fatwa mengenai wajibnya memakai topi keledar. Dengan fatwa ini, pembonceng dan penunggang yang tidak memakai topi keledar akan dianggap berdosa di sisi Islam (http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/index.php/bahasa/53839-indonesia-perlukan-fatwa-wajibkan-pakai-helmet-motosikal.)
- Terfikir pula saya mengenai masalah berleluasanya masalah keengganan pemandu teksi di Malaysia untuk menggunakan meter sekalipun tambang telah dinaikkan,
- Sebahagian rakan-rakan pemandu teksi yang saya kenal adalah orang yang boleh dikatakan alim...., memakai kopiah/serban malah ada yang menjadi khatib dan imam Solat Jumaat. Maaf cakap.., ada juga antara mereka yang tidak menggunakan meter,
- Mungkin LPKP boleh mengemukakan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia untuk mengeluarkan fatwa mengenai isu ini, wallahuaa'lam.
Khamis, 25 Februari 2010
Halalkah tambang teksi jika tidak menggunakan meter?
Jumaat, 29 Januari 2010
Kempen "Pemandu Berbudi"




- Petang kelmarin (28/01/2010) saya terdengar bual bicara Radio Bernama 24 dengan Dato' Aslah (Presiden PERPEKLI), yang memberikan penilaian 8 dari markah penuh (terbaik) 10 kepada mutu perkhidmatan teksi di Malaysia sekarang ini.
- En. Shahril (Timbalan Presiden PETEKMA) pula dalam rancangan yang sama mempertikaikan fakta angka yang dikemukakan LPKP yang katanya "hanya sedikit sahaja" pemandu yang terlibat dengan sikap negatif.
- Walaupun pahit untuk diakui, saya terpaksa bersetuju dengan fakta, pendapat dan teguran yang dikemukakan YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Aziz terhadap mutu perkhidmatan teksi, yang mana pada pendapat pelancong asing sebagai antara yang terburuk berbanding kelemahan-kelemahan lain yang wujud.
- Markah 8 yang diberikan Dato' Aslah pada saya adalah jauh dari realiti. Selaku orang yang masih berkerjaya sebagai pemandu teksi, saya memberikan markah 3 sahaja.
- Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi ini, LPKP mengambil tindakan 'ofensif' dengan mengadakan operasi besar-besaran (setakat terdaya kerana bilangan penguatkuasa yang tidak mencukupi). Kempen kesedaran kepada pengguna untuk mendapatkan hak mereka serta menggunakan kuasa pengguna untuk membuat aduan telah dilancarkan.
- Akhbar Berita harian (ruangan Sentral) baru-baru ini mendedahkan keengganan pemandu teksi di Alamanda Putrajaya untuk menggunakan meter.
- Pengarah LPKP dalam kenyataan kepada Berita Harian berhubung isu yang sama memaklumkan akan membuat operasi penguatkuasaan. Permohonan KPPCB untuk laksanakan sistem kupon tidak diluluskan kerana tambang kupon adalah lebih mahal dari kadar meter. Rakan-rakan teksi memaklumkan adanya operasi bersepadu LPKP, JPJ dan PDRM di lokasi sekitar Putrajaya dan Cyberjaya.
- Saya menyokong sepenuhnya operasi ini malah kalau boleh diadakan dengan lebih kerap. Ini kerana saya tidak mahu melihat Putrajaya dan Cyberjaya sebagai pusat pentadbiran negara dan MSC dicemari sikap-sikap negatif rakan-rakan saya yang lain.
- Sebagai tanda sokongan kepada operasi dan penguatkuasaan ini, KPPCB telah meluluskan cadangan untuk mengadakan kempen "Pemandu Berbudi" kepada semua pemandu teksi yang beroperasi di Putrajaya dan Cyberjaya ini.
- Istilah "berbudi" digunakan bagi mengajak pemandu agar menanamkan sikap "budi pekerti diri" yang baik, ramah, mesra dan mematuhi undang-undang. Dalam masa yang sama pemandu juga diseru untuk "berbudi" kepada kerajaan sebagai tanda terima kasih kerana diberikan lesen atau permit untuk berkerjaya sebagai pemandu teksi.
- Budi pada kerajaan ini boleh disumbangkan oleh pemandu dengan cara mematuhi undang-undang, berkerjasama dengan PDRM untuk mencegah jenayah (program Rakan Cop), menyertai pasukan bulan sabit merah untuk membantu dan memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa kemalangan dan lain-lain.
- KPPCB berhasrat untuk menjemput YB. Dato Seri Nazri Tan Sri Aziz sendiri majlis pelancaran kempen "Pemandu Berbudi" ini.
Ahad, 17 Januari 2010
KEMPEN KESEDARAN HAK-HAK PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM TEKSI

LIPUTAN BERITA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN
- Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YB. Dato' Seri Nazri Tan Sri Abdul Aziz di Hentian Puduraya mulai tepat jam 10.00 pagi tadi (18/01/2010).
- Turut hadir YB Tan Lian Hoe, Timbalan Menteri KPDNKK dan Datuk Halimah Saddique, Pengerusi LPKP.
- Objektif kempen ini ialah untuk meningkatkan pengetahuan pengguna berhubung senarai kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi, memaklumkan kepada pengguna saluran untuk mereka mengadu dan mewujudkan rasa saling menghormati antara pengguna dan pemandu.
- Ucapan pelancaran oleh YB Dato' Seri Nazri menyentuh mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh pengguna, perana yang perlu dimainkan pengusaha bagi memenuhi kehendak pengguna dan disamping itu peranan agensi penguatkuasaan.
- Kalaulah semua pengguna bersepakat tidak menaiki teksi yang tidak menggunakan meter, nescaya tiadalah pemandu teksi yang boleh survive hidupnya jika tidak menggunakan meter. Begitu juga jika pengguna tidak menaiki teksi yang kotor, nescaya semua teksi akan menjadi bersih.
- Ucapan aluan oleh YB. Datuk Halimah pula menjelaskan bahawa tujuan kempen ini bukanlah untuk melepaskan tugas dan tanggungjawab penguatkuasaan LPKP kepada pengguna, sebaliknya adalah untuk mendapatkan kerjasama mereka agar kualiti perkhidmatan teksi dapat ditingkatkan lagi.

KOMEN SAYA
- Kempen ini sangat baik bagi meningkatkan kesedaran pengguna akan hak-hak mereka dari perkhidmatan teksi yang mereka gunakan.
- Namun, perlu diakui bahawa teramat sukar untuk menjadikan kesemua pengguna bersatu bagi menangani masalah ini. Sebagai contoh, seorang penumpang yang terdesak untuk mendapat teksi di awal-awal pagi ke KLIA, mereka hanya boleh mencuba untuk tawar menawar dengan pemandu. Sebaliknya jika pengguna berkeras meminta pemandu menggunakan meter dan pemandu tetap tidak bersetuju, maka apa alternatif lain yang pengguna ini boleh usahakan pada waktu ini.
- Pada pemerhatian saya, ramai pemandu bersikap opurtunist. Pemandu ini tentunya akan mengambil kesempatan atas kesuntukan masa pengguna untuk ke KLIA dengan mengenakan tambang yang lebih menguntungkan.
- Pemandu opurtunist ini juga bijak memilih pengguna yang tidak tahu hak mereka seperti pelancong asing, pekerja asing dan orang tempatan yang terdesak.
- Untuk mendidik 26 juta rakyat Malaysia dan berjuta-juta lagi pelancong asing terhadap hak-hak mereka tentulah teramat susah berbanding mendidik pemandu yang hanya seramai 30,000 orang sahaja.
- Sewajarnya kempen ini dituruti juga dengan kempen lain yang bertujuan mendidik pemandu agar mematuhi peraturan. Tajuk kemen ini mungkin boleh dinamakan sebagai "KEMPEN KESEDARAN PEMANDU UNTUK MEMBERIKAN PERKHIDMATAN TEKSI YANG BERKUALITI KEPADA PENGGUNA".
- Selain mendidik pemandu dalam sesi kempen-kempen yang dianjurkan, penguatkuasaan yang tegas turut perlu dijalankan secara berterusan kerana penguatkuasaan yang dijalankan sekarang adalah telalu lemah sehingga tidak ramai pemandu yang takut untuk tidak menggunakan meter.
Isnin, 21 Disember 2009
Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26
- Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 (PKTA-26) telah dilangsungkan di Dewan Merdeka PWTC pada 19hb. Disember 2009.
- Selaku Setiausaha Kehormat KPPCB, saya telah diamanahkan untuk mewakili KPPCB persidangan tersebut yang dihadiri 0leh 2900 orang perwakilan dari 1900 buah koperasi yang menjadi ahli Angkasa.
- Suasana di Dewan PWTC nampak hangat dengan aktiviti kempen oleh calon-calon yang bertanding.
- Pada saya, kempen yang menceritakan kebolehan dan pengalaman calon tidaklah menjadi masalah, yang menjadi masalah ialah kempen yang memburukkan calon lain samada dengan cara fitnah atau serangan peribadi.
- Antara kempen yang dihebahkan termasuk kepada saya ialah berkenaan (1) penyelewengan kuasa dan harta oleh calon YDP (2) Penggunaan gelaran Dato' dari Indonesia (3) Pembabitan calon dengan Al-Arqam sebelum ini (4) Perbuatan merasuah dan menebar wang di kalangan perwakilan.
- Berhubung dengan kempen yang menyatakan seorang calon menebarkan wang kepada perwakilan untuk membeli undi, agak pelik apabila saya sendiri tidak menerimanya. Memandangkan tiadanya siapa pun dari calon-calon tersebut (atau wakil mereka) yang menghubungi saya untuk membeli undi, saya menganggap tuduhan rasuah untuk membeli undi ini tidak berlaku.
- Tahun ini adalah tahun pertama saya menghadiri persidangan ini, jadi tidaklah layak bagi saya untuk membezakan antara Persidangan Angkasa dahulu dan sekarang, tetapi seorang rakan dari Koperasi Felcra Kuala Kangsar memaklumkan bahawa kempen untuk merebut jawatan tidak pernah sehebat pada persidangan pada kali ini.
- Perjalanan persidangan agak teratur dan selesa, walaubagaimanapun perbahasan isu agak hangat dengan teguran, tuduhan, perli-memperli dan kata-mengata. Agak malang apabila persidangan tahunan yang sebegitu penting ini hanya dimomokkan dengan isu yang sama dan berulang-ulang di kalangan perwakilan yang bercakap.
- Saya turut mengambil kesempatan bercakap semasa membahaskan Laporan Jawatankuasa Kerja Tertinggi Angkasa. Angkasa sebagai sebuah Koperasi Apex (induk) perlulah membanyakkan lagi kursus, seminar, bengkel dan malahan projek yang boleh menggalakkan koperasi bekerjasama sesama mereka sesuai dengan prinsip ke-6 koperasi. Dengan 7000 buah koperasi dan 7 juta manusia rakyat Malaysia menjadi anggotanya, kenapa gerakan koperasi hanya menyumbang 1% dari KDNK negara?. Saya mengetengahkan pendapat saya bahawa punca kegagalan ini ialah kerana tiadanya "kerjasama" di kalangan koperasi walhal "kerjasama" ini adalah prinsip atau rukun koperasi. Realitinya koperasi di malaysia hidup sendiri-sendiri dan tiada sifat tolong menolong sesama mereka. Kalaulah kita dapat mengembelengkan kerjasama dikalangan 7 juta rakyat Malaysia (yang menjadi ahli koperasi) untuk membeli produk-produk keluaran koperasi, bayangkan betapa besarnya faedah yang akan diperoleh gerakan ini disamping dapat mengawal harga barang dan lain-lain.
- Proses pengundian bagi memilih Ahli Jawatankuasa Tertinggi juga berlangsung dengan lancar dan terkawal walaupun wujudnya persaingan sengit antara Prof. Dato' Mohd Ali Baharum dan Tn. Hj. Mustafa Kamal Maulut untuk merebuh jawatan YDP. Penyandang jawatan nampaknya berjaya mengekalkan jawatan dengan kebebihan hanya 47 undi.
- Akan diperturunkan sedikit rakaman video persidangan dan gambar-gambar sebagai renungan.
Ahad, 20 Disember 2009
Konvensyen Hala Tuju Baru Angkasa

- Pada 18hb. Disember (Jumaat) saya telah di amanahkan mewakili KPPCB menghadiri Konvensyen Halatuju Angkasa yang diadakan di PWTC.
- Sebuah kertas kerja bertajuk "HALA TUJU DAN STRATEGI BARU UNTUK PENGUKUHAN ANGKASA" telah dibentangkan dengan panjang lebar oleh YDP Angkasa (Dato' Professor Mohd Ali Baharum).
- Antara kandungan kertas kerja tersebut menyentuh mengenai agenda Angkasa, latar belakang, rasional perubahan, analisa SWOT dan mencadangkan penetapan 4 elemen utama untuk kejayaan Angkasa di masa hadapan iaitu (1) Memperkasakan BPA (biro yang menguruskan potongan gaji kakitangan kerajaan) (2) Mengukuhkan kewangan Angkasa (3) Menceburi perniagaan baru (4) Penstrukturan semula organisasi.
- Untuk memperkasakan BPA, Angkasa akan memastikannya ianya adalah perkhidmatan yang berwibawa dan diyakini, meluaskan skop perkhidmatan yang strategik, meningkatkan kecekapan (setaraf bank), mengekalkan pelanggan utama disamping menambah pelanggan baru serta memastikannya sebagai peneraju perkhidmatan dengan kos terendah. Koperasi kredit juga akan dibantu untuk mendapat keyakinan dan minat masyarakat kepada produk kewangan koperasi dengan menggabungkan koperasi kredit bersaiz kecil serta meningkatkan profesionalisme mereka dalam aspek pemasaran, pengurusan dan khidmat komputer.
- Bagi mengukuhkan kewangan Angkasa, digariskan rancangan untuk menceburi perniagaan baru jangka pendek (perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan) dan jangka panjang (Bank Angkasa). Polisi pelaburan ditetapkan bagi memenuhi manfaat ahli, pulangan cepat (ROI > 8%), tidak bersaing dengan ahli, menjadi pelengkap kepada perniagaan ahli, risiko minima dan pematuhan syariah.
- Skop perniagaan yang digariskan bagi mengukuhkan kewangan Angkasa ini antaranya ialah (1) Insurans (2) Pembungkusan produk Koperasi, penjenamaan dan pemasaran (termasuk eksport) (3) Busana (pakaian sekolah), buku dan alat tulis (4) Agen zakat (5) Perladangan (6) Hartanah (7) Land Bank (membeli tanah2 murah dari kerajaan atau tanah-tanah terbiar) (8) Saham (9) Wakaf (10) Melabur dalam projek koperasi ahli yang berdayamaju.
- Cadangan mewujudkan Bank Angkasa (yang menarik minat saya) juga dihuraikan dengan detail. Begitu juga Skim Tabarru' (takaful), wakaf koperasi, tanggungjawab sosial dengan menubuhkan Pasukan Sukarelawan Koperasi dan penubuhan Yayasan Angkasa.
- Bagi merealisasikan misi ini, turut dicadangkan agar struktur organisasi Angkasa dirombak semula.
- Sekejap fikiran saya mengerawang ke angkasa lepas betapa gahnya gerakan koperasi di Malaysia ini nanti dengan berjayanya rancangan-rancangan yang digariskan diatas.
- Berbalik kepada realiti (selepas berangan sebentar), esok 19hb. 12. 2009 akan diadakan pemilihan semula jawatan Yang Dipertua Angkasa yang mana Prof Ali mempertahankan jawatan tersebut.
- Jawatan ini dicabar sengit oleh Tn. Hj. Mustafa Kamal Maulut (Naib YDP) yang juga mengemukakan manifesto yang tidak kurang hebatnya.
- Kelihatan konvensyen yang dianjurkan ini sebenarnya (mungkin) bertujuan untuk menyaingi manifesto pencabar.
- Jika ini benar, Angkasa tidak akan sampai ke angkasa lepas, malah akan kekal di bumi terpalit dengan "persepsi" rasuah, penyelewengan, penyalahguaan kuasa disamping mewujudkan lebih ramai kakitangan kerajaan yang menjadi mangsa ALONG berlesen yang berlindung disebalik logo Angkasa itu. Wallahuaa'lam.
Langgan:
Catatan (Atom)
