COOP TAXI Hotline 03-8888 4000...

Jumaat, 28 Januari 2011

Salam Perkenalan dari SPAD

(Dikongsikan salam perkenalan melalui email dari Bahagian Komunikasi Korporat SPAD)


Assalamualaikum WBT.

Pertama sekali, izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Badri Bin Ibrahim dan saya bekerja dengan SPAD di bahagian Komunikasi Korporat. Saya join SPAD sejak ianya ditubuhkan pada bulan Jun 2010.


Secara peribadi, saya telah mengikuti tulisan2 saudara di laman blohttp://taxidriversmind.blogspot.com/ dan tertarik dengan hal-hal yang telah dimuatkan. Jadi saya kira tidak ada salahnya jika saya bagi pihak SPAD menghulurkan salam tanda perkenalan dengan saudara kerana saya yakin kita boleh bekerjasama dengan lebih erat, bagi memastikan sistem pengangkutan awam darat di Malaysia akan terus maju dan berdaya saing.


Untuk pengetahuan saudara, SPAD akan berkuat kuasa pada 31 Januari 2011 (Isnin) dan banyak perancangan yang akan di lakukan. Tentunya sebahagian perancangan2 ini akan melibatkan pihak saudara dan rakan2 pengusaha/pemandu teksi. Sehubungan itu, jika pihak saudara mempunyai sebarang cadangan/idea atau memerlukan maklumat lebih lanjut berkaitan SPAD, saudara bolehlah berhubung dengan saya, talian seperti di bawah.


Saya ingin mengucapkan tahniah di atas tulisan yang membina di laman blog saudara dan saya memohon saudara untuk teruskan dengan usaha ini.


Terima kasih.


BADRI IBRAHIM

Editorial & Media Relations

Corporate Communications

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

Level 19, 1 Sentral, Jalan Travers, Kuala Lumpur Sentral, 50470 Kuala Lumpur

Tel : 03 2268 5782 | DID: 03 2268 5768 | Fax : 03 2272 3744

Email: badri@spad.gov.my

Selasa, 18 Januari 2011

Mesyuarat Pelaksanaan Sistem Kaunter Teksi di Lim Kok Wing

Sebentar tadi (jam 10.30 pagi 19hb. Jan. 2011) telah berlangsung mesyuarat berkenaan pelaksanaan "Sistem Kaunter Teksi" di Kolej Universiti Lim Kok Wng.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh pengurusan LimKokWing ini turut dihadiri Pengarah Ketenteraman Awam IPD Sepang, Bahagian Aduan JPJ Selangor dan Bahagian Pelesenan LPKP dan juga pengurusan KPPCB.

Saya telah memberikan taklimat kepada semua pihak berkenaan ini mengenai bentuk pelaksanaan sistem kaunter teksi yang bakal dijalankan mulai Februari 2011.

Alhamdulillah, maklumbalas dari semua pihak khususnya LPKP adalah baik dan semua yang dirancang diluluskan.

Semoga model ini menjadi salah satu contoh/model perkhidmatan kaunter teksi yang boleh dijalankan di tempat-tempat lain kelak.

Jumaat, 7 Januari 2011

Teksi di Lim Kok Wing - 2

Merujuk kepada entry saya http://taxidriversmind.blogspot.com/2010/09/teksi-di-kolej-universiti-lim-kok-winga.html, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada YB. Datuk Halimah Mohamed Sadique, Datin Naimah Ramli dan semua Ahli Lembaga LPKP kerana telah meluluskan sistem kaunter teksi untuk dioperasi kan oleh KPPCB di Kolej Universiti Lim Kok Wing. (Difahamkan mulai 1 Jan 2011, LPKP telah diambil oleh SPAD yang dipengerusikan Datuk Seri Syed Hamid Albar).

Mungkin sebahagian kita (termasuk saya) tidak bersetuju dengan sistem ini bilamana penumpang perlu membayar RM2.00 sebagai tambahan kepada bacaan meter seperti saya nyatakan di http://taxidriversmind.blogspot.com/2010/12/sistem-kaunter-teksi-vs-teksi-berkupon.html.

Namun, sebagai Setiausaha, saya perlu patuh dan laksanakan keputusan Lembaga KPPCB untuk memohon dan menjalankan “sistem kaunter teksi” ini di Lim Kok Wing. (bukan mudah sebenarnya untuk bekerja dalam sebuah organisasi demokrasi). Sebenarnya Koperasi memohon menjalankan sistem teksi berkupon, namun memandangkan Lembaga LPKP tidak lagi membenarkan sistem teksi berkupon baru di bina, maka yang diluluskan adalah “sistem kaunter teksi”.

Di sebalik sikap tidak bersetuju saya kepada sistem ini, saya turut mengakui elemen-elemen baik yang terdapat di dalamnya. Daripada tiada langsung sistem pengurusan teksi seperti sekarang ini, sehingga timbulnya masalah penjenayah yang menyamar sebagai pemandu teksi untuk merompak dan mencabul pelajar, tentunya lebih baik sistem ini diwujudkan. Ini boleh dianggap sebagai satu sumbangan KPPCB kepada komuniti pelajar di Lim Kok Wing.

Untuk makluman, Jawatankuasa Task Force Pelaksanaan Sistem Kaunter Teksi di Lim Kok Wing yang dipengerusikan oleh saya telah memutuskan perkara-perkara berikut;

  1. Semua pemandu teksi Lembah Kelang dibenarkan beroperasi di kaunter ini dengan syarat mengisi borang maklumat peribadi berserta salinan kad pengenalan dan lesen memandu (syarat ini diminta oleh pengurusan Lim Kok Wing untuk memudahkan pelajar mereka membuat aduan). Syarat ini dibuat setelah menimbangkan penguatkuasaan “Kad Pemandu” gagal dikuatkuasakan sepenuhnya sehingga berleluasa nya pemandu tidak mempunyai Kad Pemandu,
  2. Sticker khas diberik kepada pemandu yang telah mendaftar,
  3. Caj bayaran RM2.00 dikenakan kepada penumpang bagi setiap trip, namun (dalam tempoh sementara waktu) RM1.00 darinya dipulangkan kepada pemandu. Ini adalah bertujuan untuk menarik seramai mungkin pemandu beroperasi di sini serta menghargai mereka yang juga sebahagian besarnya anggota KPPCB,
  4. Baki RM1.00 dari kutipan ini akan digunakan oleh KPPCB untuk menanggung kos operasi termasuk gaji marshal dan lain-lain pengurusan serta jika boleh KPPCB mendapat sedikit keuntungan dari perkhidmatan ini demi faedah pemandu yang menjadi ahli,
  5. Jika kutipan RM1.00 ini tidak dapat menanggung kos operasi, KPPCB mungkin mengkaji semula kaedah pengagihan kepada pemandu,
  6. Semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi di sini akan diberikan salinan tiket dengan nombor giliran, tarikh, masa dan nombor teksi,
  7. Sebarang aduan penumpang terhadap pemandu hendaklah dikemukakan dengan salinan tiket ini untuk memudahkan KPPCB mengambil tindakan,
  8. Aduan serius akan dikemukakan kepada LPKP, JPJ dan jika aduan berbentuk jenayah disalurkan kepada PDRM. Aduan kecil akan diberikan amaran dan lain tindakan bersesuaian, dan
  9. Pihak Lik Kok Wing juga perlu mengambil tindakan terhadap aduan pemandu kepada pelajar mereka seperti enggan membayar tambang, berasmara di dalam teksi dan seumpamanya.

Mungkin sebahagian bertanya…, Kenapa diwujudkan sistem ini, bukankah lebih baik dibenarkan sahaja pemandu teksi queue seperti biasa di sana? Kenapa penumpang mesti membayar RM2.00 walhal mereka boleh hanya membayar tambang meter teksi sahaja?.

Sebagai jawapan kepada persoalan ini, silalah kunjungi Lim Kok Wing sekarang ini, lihatlah bagaimana pemandu mengenakan tambang sesedap mulut, bagaimana penjenayah dan perogol boleh menyamar sebagai pemandu teksi (seperti dimaklumkan pengurusan Lim Kok Wing).

Semoga sistem pengurusan kaunter teksi di Lim Kok Wing ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di Malaysia tercinta ini.

Selasa, 28 Disember 2010

Kenapa Permasalahan Teksi Berlarutan

Menyambung mengenai mesyuarat antara pengusaha teksi berkupon dengan LPKP yang dihadiri saya beberapa minggu lepas, Pengerusi Mesyuarat (Cik Maslina - Bahagian Dasar dan Pembangunan Usahawan LPKP) telah meminta pandangan atau cadangan dari pengusaha untuk menyelesaikan permasalahan teksi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara ini. Dato’ Aslah dari Destination Transport menyanggupi untuk mengemukakan cadangan tersebut. Saya yakin bahawa pandangan beliau nanti memberi manfaat kepada semua pihak termasuk pemandu kerana beliau juga pernah menjadi pemandu teksi sebelum menjadi pengusaha. Saya tidaklah menyanggupinya kerana saya bukanlah orang yang terlebih bijak serta punyai masa yang banyak.

Berkenaan permasalahan teksi ini, saya melihat ia berpunca dari atas, maksud saya dari pembuat dasar. Mungkin pandangan ini agak kontras dengan sebahagian orang yang hanya menuding kepada pemandu semata-mata dalam setiap permasalahan yang timbul sehingga seolah-olah dasar pengangkutan teksi kita telah 100% sempurna, pemandu teksi sahaja tidak tahu bersyukur.

Cuba kita lihat dasar pemberian permit kepada syarikat yang menyebabkan syarikat mengambil untung tanpa mempedulikan nasib pemandu. Bagaimana pula dengan dasar warna-warna teksi yang pelbagai sehingga menyebabkan pengguna keliru. Lihat pula dasar jenis teksi dari jenis bajet, premier, eksekutif dan kemungkinan wujudnya jenis-jenis teksi baru di masa akan datang adalah tinggi sesuai dengan tingginya kemungkinan rombakan kabinet nanti.

Dasar pemberian permit teksi kepada individu juga seolah-olah kerajaan tiada hasrat memperbaiki mutu perkhidmatan teksi. Cuba lihat di majlis-majlis pemberian permit teksi individu ini, dengan mudah kita bertemu dengan pemandu yang berpakaian selekeh, berseluar jeans, berambut panjang, dan memakai baju dengan membuka butang di dada. Pemandu yang berpakaian ala taliban seperti di pergunungan Khunduz (Afghanistan) pun tidak kurang juga. Ada juga penerima permit individu ini tidak tahu berbahasa Melayu sedikit pun, malah ramai juga pemandu yang tidak tahu sepatah haram pun Bahasa Inggeris (mungkin kerajaan beranggapan pemandu jenis ini akan hanya membawa penumpang bangsa sendiri sahaja).

Begitu juga dengan dasar monopoli syarikat ALM di KLIA sehingga menyebabkan pemandu ditekan dengan kadar sewa yang tinggi. Bayangkan bagi sebuah Proton Waja, syarikat lain hanya mengenakan kadar sewa antara RM50-55 sehari, tetapi di ALM ini, kadar sewa kenderaan yang sama (dikatakan) mencecah RM130.00 sehari. Pengguna juga terpaksa membayar kos tambang yang tinggi, walhal kalau teksi bandar dibenarkan mengambil penumpang di KLIA, kadar tambang limousin (baca teksi) sekarang boleh diturunkan sehingga 40%. Ini kerana pemandu teksi tersebut telah mendapat penumpang ke KLIA, jadi dengan kos yang sama (tidak lagi balik kosong) mereka boleh membawa penumpang ke KL semula.

Setiap manusia termasuk pemandu memerlukan pembelajaran berterusan. Mereka perlu diajar mengenai bagaimana mengira pendapatan, bagaimana membelanjakan pendapatan, bagaimana memberikan perkhidmatan yang baik (customer servis), bahasa antarabangsa, promosi dan sebagainya. Mereka juga perlu diterapkan dengan kehidupan beragama yang melarang mereka mengambil hasil yang haram. Apakah kita punyai dasar pendidikan pemandu seperti ini.

Saya bukanlah maksudkan latihan pemandu seperti yang dicadangkan sebelum ini iaitu dengan mengenakan kursus wajib setiap tahun dan pemandu perlu membayar ribuan ringgit untuk mendapatkannya sebelum diluluskan pembaharuan lesen memandu teksi. Pemandu tidak perlu lagi diajar memandu, mereka sudah pandai memandu, kita bukan nak jadikan mereka pemandu Formula 1. Yang saya maksudkan ialah kerajaan perlu memperuntukkan sejumlah peruntukan bagi menjalankan latihan ini yang boleh dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan sendiri.

Saya percaya bahawa kualiti perkhidmatan teksi yang terbaik lebih diperlukan oleh negara dan rakyat dari menara 100 tingkat yang bakal dibina. Berbangga kah kita dengan bangunan itu sekiranya dikelilingi oleh pemandu potong leher seperti di KLCC sekarang ini?. Wallahuaa’lam.

Isnin, 20 Disember 2010

SISTEM KAUNTER TEKSI vs TEKSI BERKUPON


Beberapa minggu yang lepas saya bersama beberapa pengusaha teksi berkupon dijemput menghadiri satu mesyuarat di Ibu pejabat LPKP mengenai cadangan LPKP untuk menukar sistem teksi berkupon kepada sistem “kaunter teksi”.

Berdasarkan pemahaman saya dari taklimat yang disampaikan pegawai LPKP, Sistem Kaunter Teksi bermaksud satu pengurusan teksi yang diselenggarakan oleh satu kaunter pengurusan bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan teksi yang lebih murah iaitu dengan menggunakan meter selain mematuhi peraturan yang ditetapkan.

LPKP memaklumkan bahawa sistem teksi berkupon bagi sesetengah destinasi mendapat aduan dari pelanggan kerana terlalu mahal. Walau pun demikian, isu terbesarnya ialah kadar tambang bagi sistem kupon terlalu sukar di gazet kan kerana sukarnya menetapkan garis panduan harga bagi sesuatu destinasi berikutan jarak dan masa perjalanan adalah bergantung pada keadaan jalan raya pada waktu perjalanan tersebut dibuat.

Oleh yang demikian, LPKP mencadangkan sistem kupon ini ditukarkan kepada penggunaan meter sepenuhnya. Kaunter pengurusan dibenarkan pula mengenakan caj sebanyak RM2.00 bagi setiap trip kepada penumpang yang menggunakan teksi di kaunter tersebut.

Harapan LPKP, dengan penggunaan sistem ini, pengguna akan lebih berpuas hati terhadap tambang yang dikenakan kerana ia adalah berdasarkan meter. Di samping itu, LPKP telah pun menggazet kan kadar surcaj RM2.00 ini.

Dari sudut perundangan, kelihatan cadangan baru LPKP ini adalah lebih baik, namun demikian, berdasarkan realiti, timbul beberapa persoalan di fikiran saya yang antaranya;-

Dengan perubahan sistem kupon kepada sistem kaunter teksi dengan surcaj RM2.00 ini;-

  1. Adakah penumpang akan bersetuju untuk membayar surcaj RM2.00 ini sedang mereka masih belum yakin kepada pemandu sama ada mereka akan menggunakan laluan paling dekat?
  2. Adakah penumpang bersetuju bayar RM2.00 walhal mereka masih khuatir kalau-kalau meter teksi yang dinaiki telah diubahsuai menjadi laju?
  3. Apakah pengurusan “kaunter teksi” boleh memastikan pemandu menggunakan laluan meter teksi yang betul selepas menerima bayaran RM2.00 bagi setiap trip tersebut?

Tanpa ingin menyanggah pendapat LPKP, saya berpendapat, buat masa ini, sistem teksi berkupon adalah yang terbaik kerana;-

  1. Penumpang telah mengetahui satu harga yang tetap untuk sampai ke sesuatu destinasi,
  2. Pemandu tidak akan mencari jalan jauh atau berpusing-pusing 2-3 pusingan untuk sampai ke sesuatu destinasi kerana kadar bayaran adalah sama,
  3. Penumpang tidak perlu risau dengan meter roket lagi, dan
  4. Pemandu juga tidak perlu lagi berasa sangsi dengan penumpang yang menganggap mereka menipu walhal hanya sebahagian pemandu yang sedemikian.

Saya akui bahawa sistem terbaik bagi perkhidmatan teksi ini adalah dengan menggunakan meter sepenuhnya. Namun, apakah kita khususnya LPKP dapat menguatkuasakan dengan tegas penggunaan meter ini sehingga 98% pemandu teksi mematuhinya. Jika KPI ini dapat dicapai oleh LPKP atau SPAD yang menggantinya nanti, saya yakin persepsi masyarakat umum dan pelancong kepada perkhidmatan teksi di Malaysia akan berubah.